Saturday, January 15, 2011

Anwar : Umno-BN kian tergugat punca serang PR saban waktu



SHAH ALAM 15 JAN : Umno-Barisan Nasional saban hari melontar fitnah dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat (PR) kerana semakin tergugat dengan cabaran politik gagasan pembangkang itu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemerintah mencuba sedaya upaya memecahbelahkan saf Pakatan Rakyat untuk menghakis kewibawaan gagasan itu.

Serangan-serangan itu bukan kerana Umno-BN kuat tetapi menzahirkan sebuah parti yang terdesak kerana sokongan rakyat makin pudar.

"Kalau betul dia kuat, kenapa dia serang menggila. Kenapa tiap perkataan PR dia gelabah menjawab. Kenapa usaha-usaha mendekati Pas berterusan. Tidak pernah Umno kalau kuat dia akan cuba curi kekuatan dari luar, ini menunjukkan keadaan lemas, " katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam rancangan Terus Terang terbitan TVSelangor.

Dalam wawancara ini, Anwar merujuk kepada ucapan Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno-BN akan mempertahankan Putrajaya habis-habisan.

Ucapan itu hanya menunjukkan pemimpin sebuah parti yang semakin terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa politiknya.

"Pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang PM mengatakan akan pertahan Putrajaya habis-habisan, keluar semua nyawa dan badan kerana ini kenyataannya, " katanya.

Ditanya mengenai rekod Parti Keadilan Rakyat, Anwar mengakui parti yang masih dalam usia muda itu menerima beberapa pengajaran khususnya dalam memilih pemimpin-pemimpin untuk diketengahkan kepada rakyat. Pendidikan dan latar belakang calon diberi keutamaan, supaya rakyat lebih yakin dengan pilihan mereka.

Pada masa sama keutamaan juga diberi kepada mereka yang menghayati dan mendokong semangat perjuangan parti supaya tidak tunduk kepada tekanan dan budaya politik wang Umno.

"Kita harus lebih berhati-hati dalam memilih. Ada orang yang berpendidikan rendah, tidak boleh dipilih ke tempat yang tinggi dalam parti, kerana ia memberi mesej yang buruk kepada rakyat. Pengalaman mengajar kita, kita harus pilih pimpinan yang lebih layak, wibawa dan ada daya tahan menghadapi tentangan Umno," katanya.

Anwar berkata PKR bersama PAS dan DAP komited untuk melaksanakan agenda perubahan yang dipersetujui bersama untuk menetapkan hala tuju baru negara yang bebas dari rasuah dan penyelewengan kuasa.

Sekiranya Pakatan diberi mandat menubuhkan kerajaan pusat, Anwar memberi jaminan bahawa hak semua pihak termasuk kepimpinan Umno-BN sebagai warganegara Malaysia akan dipertahankan.

"Hilang kuasa tidak bermakna hilang segala-galanya. Hilang kuasa mereka, tetapi hak sebagai rakyat dan proses perundangan bahkan kita akan perkemaskan. Itu bedanya, Umno merosakkan badan kehakiman, kita memperkukuh dan menjamin badan kehakiman yang bebas," katanya.

No comments: