Saturday, January 15, 2011

Pramugari MAS ditemui mati di hotel

Pramugari MAS Ditemui Mati Di Amsterdam


KUALA LUMPUR 16 Jan. : Seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ditemui mati di tempat letak kereta di sebuah hotel di Amsterdam, Belanda pagi kelmarin.

Chin Swee Len, 34, ditemui mati di tempat letak kereta oleh pengunjung Hotel Radisson kira-kira 9 pagi.

Mendiang dilaporkan ditemui mati selepas kehilangannya disedari oleh beberapa orang rakan setugas.

Difahamkan mendiang sepatutnya pulang ke tanah air semalam selepas mengikuti penerbangan ke Belanda Selasa lalu.

Mendiang yang berkhidmat dengan MAS sejak 1997 itu disedari hilang apabila rakan setugas dan pengurusan penerbangan mahu bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

“Bilik dia tinggal di tingkat empat diceroboh masuk dan digeledah,” kata sumber dipetik oleh New Sunday Times hari ini.

“Seorang anggota krew telah pergi ke biliknya untuk memeriksa tetapi tidak menemui Chin sedangkan pintu biliknya terbuka,” kata laporan itu.

Mendiang dilaporkan tidak menghadiri taklimat yang lazimnya diadakan sebelum anggota krew meninggalkan hotel.

Punca kematiannya bagaimanapun masih belum diketahui, kata laporan itu.

Pengarah Operasi MAS Capt Azhaaruddin Osman dipetik berkata pihaknya amat bersedih di atas pemergian seorang staf yang amat berdedikasi.

Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan dikatakan telah berlepas ke Amsterdam malam tadi menaiki penerbangan pesawat MAS, kata laporan itu.

No comments: