Saturday, January 15, 2011

PAS tidak pernah undur memperjuangkan Islam

Iltizam PAS Perjuang Islam Tidak Pernah 'Mengendur'


KUALA LUMPUR 16 Jan. : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa iltizam PAS untuk membawa syiar Islam tidak pernah 'mengendur' namun mengamalkan pendekakatan yang lebih bijaksana dan hikmah.

Kenyataan Nik Aziz itu sekaligus menafikan dakwaan bahawa PAS semakin lembut dengan dasar Islam sejak kebelakangan ini seperti dakwa penulis blog Azizi Abdullah.

Azizi ketika sesi dialog Majlis Ramah Mesra dan Dialog bersama blogger di Ibu Negara malam tadi mengutarakan soalan mendakwa semangat PAS untuk menegak undang-undang jenayah Islam itu dilihat "mengendur" selepas bersama Pakatan Rakyat.

Menjelaskan hal itu, menurut Nik Aziz pendekatan hikmah yang dilakukan oleh PAS selama ini mendorong DAP untuk bersama-sama dengan perjuangan PAS.

Perkembangan terkini itu dapat dilihat pada Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat yang diadakan di Kepala Batas bulan lalu.

"Ketika APU (Angkatan Perpaduan Ummah) dulu, DAP minta kita gugurkan (dasar) Islam, kami kata kalau gugur bukan lagi parti PAS, dan mereka kata mereka mahu keluar, mereka buat sungguh (keluar) tetapi mereka datang balik, kita tidak berubah pendirian.

"Tetapi pada konvensyen Pakatan (di Pulau Pinang) DAP sudah berubah, mereka terima (pendirian dasar PAS)... Karpal Singh sudah tidak kata langkah mayat saya (Karpal),"jelas Nik Aziz.

Nik Aziz juga turut menjelaskan keputusan kerajaan negeri tidak melaksanakan hukum hudud kerana bimbang kerajaan persekutuan masuk campur lalu mengisytiharkan darurat.

Katanya, beliau tidak mahu perlembagaan negeri itu digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada sekitar tahun 1969 dahulu.

"(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

"Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran... Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua," tambah beliau lagi.

"Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran... dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik," ujarnya lagi.

Maka dengan itu katanya, PAS mengambil pendekatan seperti seguni beras. Kalau tidak terdaya mengangkutnya, maka diambil "secupak demi secupak" sehingga habis.

"Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS," katanya kepada kira-kira 130 penulis blog malam tadi.

No comments: