Saturday, January 15, 2011

Berani ka Zul katak berperang dengan MCA?

Seperti isytihar perang - Zulkifli Nordin

KUALA LUMPUR 15 Jan. : Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan tindakan pihak yang mempertikai laungan azan umpama mengisytiharkan perang secara terbuka terhadap Islam.

Menurut beliau, tindakan itu juga membawa makna mereka turut mempertikai Islam dan ia satu perbuatan yang tidak boleh diterima oleh umat Islam.

Jelasnya, azan merupakan salah satu aspek dalam ibadah umat Islam yang sudah wujud sejak pembentukan negara Islam di Madinah pada zaman Rasulullah.

''Perbuatan biadab ini perlu dihentikan segera sebelum ia menjadi lebih parah dan tidak terkawal. Kedudukan Islam dan segala institusinya bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan negara malah diletakkan di tahap tinggi dan dimuliakan dengan peruntukan khusus yang tidak diberi kepada agama lain.

''Menghormati Perlembagaan negara adalah ciri kewarganegaraan yang jelas dan Keluhuran Perlembagaan merupakan salah satu aspek Rukun Negara,'' katanya dalam entri terbaru bertajuk Azan Tercabar? di blognya http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.

Zulkifli mengulas tindakan seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum berkaitan azan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Disember lalu.

Memorandum itu antara lain meminta pihak pengurusan Masjid Al-Ikhlasiah di Jalan Pantai Permai di sini memperlahankan laungan azan yang didakwa mengganggu tidurnya setiap subuh.

Tindakan peguam berkenaan sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam.

Kata Zulkifli, mempertikai institusi Islam boleh disamakan dengan mempertikai Perlembagaan negara dan ia meletakkan seseorang itu tidak layak menjadi warganegara Malaysia.

Beliau hairan dengan sikap segelintir pihak yang menerima dakwaan bahawa arahan mempertikaikan azan itu dibuat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

''Apalah punya bodoh sangat. Takkan putar-belit dan pembohongan macam itu pun nak percaya? Takkan umat Islam begitu rendah tahap IQ (ukuran kepintaran) sampai fitnah bodoh macam itu pun mahu dipercayai?

''Ini adalah taktik kotor dan sempit yang diamalkan oleh musuh-musuh Islam dengan melaga-lagakan umat Islam. Akhirnya yang ketawa besar mereka juga,'' tegas beliau.

Menurutnya, fakta yang jelas, orang yang mempertikai, merungut dan menulis bantahan tentang azan ialah orang bukan Islam.

''Sudah tentu pihak berkuasa Islam seperti Jawi perlu mengkaji aduan dan bantahan tersebut. Untuk mengkaji, Jawi perlu turun padang berjumpa dengan kariah dan jawatankuasa masjid. Tetapi Jawi tidak pernah mengeluarkan arahan mempertikaikan azan di masjid itu. Bodohlah kalau Jawi bertindak demikian,'' katanya.

Tambahnya, dalam menghadapi situasi berkenaan, jawatankuasa masjid terbabit disaran supaya bertemu dengan orang yang mempertikai laungan azan itu dan cuba menyelidiki tentang rasa tidak puas hatinya.

''Berikan penjelasan kepadanya mengenai azan. Jelaskan kepadanya peranan azan dan kedudukannya dalam Islam. Juga jelaskan perbezaan azan dengan cara agama lain. Beritahu kepadanya mengapa azan dilaungkan lima kali sehari.

''Kalau dapat, selitkan juga kisah mengenai mukjizat azan dan bagaimana ia berulang kali dilaungkan di seluruh dunia 24 jam sehari berdasarkan keunikan bumi ciptaan Allah yang siang dan malamnya silih berganti mengikut lokasi geografi sesuatu tempat.

''Semoga dia bukan sahaja memahami institusi dan kedudukan azan dalam Islam malah kita mendoakan Allah membuka pintu hatinya kepada Islam,'' katanya.

No comments: