Saturday, January 15, 2011

Biar Umno jadi dinosaur

PAS jangan jadi dinosaur

http://media1.malaysiakini.com/310/b1bcfd3fe3fa01790a03168030152f11.jpg

BUKIT MERTAJAM, 15 Jan. : Organisasi yang tidak mahu berubah diumpamakan seperti dinosaur yang akan pupus apabila tidak berupaya mengikuti perubahan semasa, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Menurutnya, sesebuah organisasi termasuk parti politik seperti Pas perlu berubah untuk kebaikan, bukan hanya berada di takuk lama.

Sehubungan itu, jelasnya keseluruhan pemikiran yang dicurahkannya menerusi buku ‘Menuju Pas Baru Krisis, Peluang dan Dinamisme,’ adalah satu set agenda perubahan organisasi yang berlandaskan pemikiran dan boleh berubah-ubah.

“Mengapa dinosaur pupus? Kerana ia tidak mahu berubah. Teknologi sentiasa berkembang, begitu juga dengan pemikiran yang sentiasa bercambah dengan idea baru. Jika kita hanya duduk di situ tanpa mahu berubah, samalah seperti dinosaur yang akhirnya hanya akan jadi sejarah,” katanya.

Justeru, kata Dr Mujahid, beliau menulis buku itu bagi melakukan satu pembaharuan, ke arah kebaikan demi mengukuhkan parti.

“Tetapi malangnya, ia disalah tafsir dan ada yang mengharamkan buku ini,” katanya pada satu majlis diskusi bersama bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Institut Ibnu Qayyim, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, beliau tidak mengatakan semua yang ditulisnya dalam buku itu perlu diikut.

“Tidak. Saya hanya menyuarakan pandangan melalui kajian dan pemerhatian yang dibuat,” katanya.

Ahli Parlimen Parti Buntar itu berkata, salah faham timbul kerana perkataan ‘baru’ yang digunakan sebagai tajuk buku itu, walhal ia tidak semestinya merujuk kepada Islam yang baru.

“Sebaliknya, ‘baru’ yang dimaksudkan adalah pemikiran, idea, cara dan strategi yang perlu diubah demi memajukan serta memperkukuhkan parti, bukan mahu mengubah Islam,” katanya.

Menurutnya, Islam tidak sesekali akan terhapus atau tidak boleh diubah dan menyifatkan mereka yang membuat andaian itu tidak meneliti secara mendalam apa yang ingin disampaikan.

“Saya tidak rasa buku ini salah, dan tidak tahu mengapa ia diharamkan, Justeru, saya terpanggil untuk mengadakan diskusi ini bagi memperjelaskan agar tidak timbul lagi kontroversi kerana saya sayangkan parti.

“Oleh sebab itulah saya mahu kita berubah,” katanya yang akan melancarkan buku keduanya yang juga susulan daripada buku Menuju Pas Baru tidak lama lagi.

Sementara itu, pada sidang media, Dr Asri menyifatkan Dr Mujahid sebagai reformis dalaman yang boleh menjadikan Pas lebih relevan melalui konsep keadilan yang mampu diterima semua pihak.

Menurutnya, Pas dan DAP juga boleh bekerjasama jika kedua-duanya dapat melihat konsep kenegaraan Islam itu dengan kerangka yang lebih luas.

“Apa yang penting bukan soal nama, tetapi isi kandungan negara Islam itu yang memberikan keadilan dan kesaksamaan yang boleh dinikmati rakyat.

“Buku ini bagus untuk menyedarkan sebahagian penyokong Pas yang mungkin menganggap politik Islam itu adalah rigid dan tidak boleh terbuka,” katanya.SH

No comments: