Thursday, March 25, 2010

Tengku Muhammad Faris kekal Pemangku Raja Kelantan

KOTA BARU, 25 Mac : Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja Sultan kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

“Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Tengku Abdul Aziz telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya.

Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut disampaikan Tuanku Ismail Petra kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Menurut Wan Hashim, sehubungan itu juga baginda didakwa telah menitahkan jawatan itu diserahkan kepada Tengku Abdul Aziz, abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Wan Hashim berkata keadaan Sultan Kelantan kini: “Baginda boleh bertitah boleh bercakap dan ingatan baginda bagus.”

Katanya Tengku Abdul Aziz berpendapat bahawa tidak perlu dipanggil anggota MPN untuk diadakan mesyuarat majlis itu bagi memutuskan keputusan pemecatan Tengku Muhammad Faris kerana Sultan Kelantan sudah boleh bertitah dan sihat serta tindakan itu tidak salah.
Mohd Aiseri berkata oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran kegeringan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

“Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Beliau berkata sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pihak menghormati undang-undang perlembagaan tanpa bertindak membelakangi undang-undang yang sedia ada. — Bernama

Read more ...

Krisis Istana Kelantan terus meruncing



KOTA BHARU, 25 Mac : Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Tengku Abdul Aziz Hamzah sebagai Pemangku Raja Kelantan yang baru adalah tidak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ketika dihubungi BERNAMA hari ini, beliau berkata Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

"Pelantikan Tengku Abdul Aziz tidak ikut Perlembagaan negeri kerana untuk sebarang pelantikan dan pemecatan ianya memerlukan dua pertiga persetujuan daripada ahli Majlis Perajaan Negeri dan bukannya daripada seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Yahya Petra yang didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Muhammad Faris Petra, sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz, 76, abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah, itu dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di sini hari ini.

Mengenai keadaan Sultan Kelantan, Wan Hashim berkata: "Dia boleh bertitah, boleh bercakap dan ingatannya bagus."

Katanya Tengku Abdul Aziz berpendapat bahawa tidak perlu dipanggil ahli MPN untuk diadakan mesyuarat bagi berhubung keputusan pemecatan Tengku Muhammad Faris kerana Sultan Kelantan sudah boleh bertitah dan sihat serta tindakan itu tidak salah.

Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Tengku Muhammad Faris dan kerajaan negeri berhubung pengumuman itu.

Semalam Tengku Muhammad Faris bertitah ayahandanya, Sultan Kelantan masih gering dan beliau kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan untuk menjalankan tugas hal ehwal negeri sejak beliau dilantik pada 29 Mei tahun lalu disebabkan Sultan Kelantan gering dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Baginda bertitah kesemua laporan mengenai kesihatan Ayahandanya selain daripada pakar doktor-doktor yang dilantik adalah tidak tepat.

Abdul Halim berkata satu sidang akhbar akan diadakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias, yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri.Kerabu

Read more ...

Umno-BN takut pilihanraya



SHAH ALAM, 25 Mac :
Pengumuman Perdana Menteri bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi kekal disandang oleh Yip Sun Onn dari MCA menyerlahkan fobia Umno-Barisan Nasional untuk berdepan dengan sebarang pilihan raya kecil.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perlis Johari Shafie berkata Umno-BN kini terdesak mahu menghalang pilihan raya kecil diadakan apabila Speaker Datuk Yazid Mat enggan menyerahkan surat peletakan jawatan Yip kepada SPR walaupun beliau menerimanya sejak 22 Mac lalu .

Ini termasuk tindakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Kangar Datuk Ahmad Bakri Ali yang ditugaskan memujuk Yip agar menarik balik peletakan jawatannya.

"Umno-BN seboleh-bolehnya tidak mahu pilihan raya kecil diadakan kerana mereka tahu sokongan rakyat Perlis kepada mereka terutamanya masyarakat Cina semakin hilang," kata Johari kepada Suara Keadilan.

Johari berkata perkara ini menambahkan lagi keretakan parti dalam komponen BN apabila Umno Perlis juga dikatakan berpuak-puak - antara kumpulan Menteri Besar dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis Datuk Hashim Suboh berkata krisis ini membuktikan Dr Md Isa gagal memimpin dan menguruskan pentadbiran negeri.

Hashim yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Anak Perlis (MANTAP), sebuah pertubuhan yang berpihak kepada Shahidan dan ditubuhkan bagi melakukan kaji selidik dan penilaian terhadap keupayaan kepimpinan Dr Md Isa, berkata krisis ini tidak akan berlaku jika Dr Md Isa tidak dilantik sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya 2008.

Sebaliknya tegas Hashim jawatan Menteri Besar sepatutnya milik Shahidan mengikut prosedur sebagaimana dipersetujui mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini yang memilih Shahidan.

"Jika dalam Umno sendiri sudah berpecah, bagaimana mahu wujudkan perpaduan dengan komponen lain dalam BN? Bagaimana Perlis mahu maju jika pemimpin sendiri bermasalah," ujar Johari.Kerabu

Read more ...

Kes raba punggung : Mengapa tidak caj Jamaluddin?



KUALA LUMPUR, 25 Mac : Ahli Parlimen Bukit Gelugor mempersoalkan mengapa tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang pekerja hotel dua tahun lepas yang mendakwa dirinya dicabul oleh Jamaludin.

Ketika membahas titah Yang DiPertuan Agong Karpal berkata sehingga kini kes tersebut seolah-olah dilupakan dan tidak ada sebarang tindakan terhadap Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Rompin.

"Saya mahu Peguam Negera memberi penjelasan mengapa tidak ada tindakan undang-undang kepada duta tersebut. Laporan polis bahawa beliau didakwa mencabul kehormatan seorang gadis telah dibuat tetapi kenapa beliau tidak dihadapkan ke mahkamah? Kalau gadis itu membuat laporan polis palsu terhadap duta itu maka gadis itu boleh didakwa dalam mahkamah kerana membaut laporan yang tidak benar," kata ahli politik veteran itu.

Pada 19 April 2008 seorang wanita yang dipercayai bekerja sebagai pelayan hotel telah membuat laporan polis ke atas bekas seorang menteri dua hari lepas di sebuah balai polis di Kuala Lumpur kerana didakwa melakukan ganggu seks ke atasnya dengan memegang tangan dan meraba punggungnya.

Kejadian itu didakwa berlaku di Kelab Havana Hotel Meridien di KL Sentral ketika gadis itu sedang melayan dan menyediakan minuman keras untuk menteri berkenaan.

Laporan polis telah dibuat oleh teman lelaki pelayan tersebut.Kerabu

Read more ...

Muslimat PAS anjur majlis ramah mesra


PARIT BUNTAR , 25 Mac : Dewan Muslimat PAS Parit Buntar telah mengadakan kunjungan ramah mesra dengan ahli-ahli muslimat PAS Cawangan Sungai Betul bawah di Pusat Tarbiyah PAS Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.

Ketua Muslimat PAS Parit Buntar Hajah Zabariah Mat Amin berkata kunjungan ini bertujuan merapatkan lagi silaturrahim di antara Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Parit Buntar dengan Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Sungai Betul Bawah dan ahli-ahli muslimat-muslimat setempat.

"Dewan Muslimat turun menemui muslimat di cawangan bagi memantapkan Jawatankuasa Muslimat Cawangan.

“Muslimat merupakan pengerak penting kepada PAS di cawangan. Justeru, penting bagi Dewan Muslimat memastikan Jawatankuasa Muslimat Cawangan dapat bergerak seiring dengan PAS Cawangan" katanya

Menurutnya, majlis telah dimulakan dengan aktiviti membaca Yassin beramai-ramai dengan diketuai oleh Ainah Ahmad, isteri kepada ADUN Titi Serong

“ Seramai 35 orang muslimat telah menghadiri perjumpaan ini yang diadakan pada sebelah petang . Solat Asar secara berjemaah telah dijalankan selepas bacaan Yassin.

“ Selepas itu, Ustazah Zuraida Hussin isteri kepada Ahli Parlimen Parit Buntar telah menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Membangun Untuk Islam’”. Katanya

Zabariah berkata, penekanan yang diberikan dalam tazkirah berkenaan ialah kepentingan menghadiri majlis-majlis ilmu bagi menghidupkan hati yang sentiasa bergolak dengan permainan syaitan dan kemewahan dunia.

“ Muslimat juga diminta menjaga dan membajai nikmat Islam dan Iman serta sentiasa menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah terutama perkara syirik , perasaan riak dan ujub” katanya

Tambahnya, Dewan Muslimat PAS Parit Buntar akan mengadakan program ini secara berterusan terutama dengan muslimat cawangan yang memerlukan bimbingan dari Dewan Muslimat PAS Parit Buntar.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Sungai Betul Bawah Nurul Syahida Hassan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Muslimat PAS Parit Buntar kerana membuat kunjungan untuk beramah mesra dengan ahli-ahli muslimat PAS Cawangan Sungai Betul Bawah.

Saya berharap muslimat di cawangan ini dapat bergerak aktif di tengah-tengah masyarakat bagi menonjolkan imej PAS di mata masyarakat” katanya

Read more ...

Azmin, Karpal desak Zulkifli Nordin dedahkan, jangan buat fitnah



KUALA LUMPUR, 25 Mac : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu segala dakwaan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin bahawa PKR pernah membuat tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri.

“Beliau kena buktikanlah apa yang didakwa, saya sebagai ahli parti dan biro politik tidak pernah membuat tuduhan begitu, sama ada dalam mesyuarat atau secara terbuka.

“PKR tidak pernah buat tuduhan bahawa Perdana Menteri mahupun isteri terlibat dalam pembunuhan altantuya, tidak pernah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh PKR sejak kes Altantuya bermula adalah perlunya siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Kulim Bandar Baharu (Zulkifli) kena buktikan, jangan bebankan kita, kalau dia tidak boleh buktikan, maka itu juga satu fitnah, beliau tahu kesannya.

“Boleh semak saya mahupun Anwar tidak pernah secara terbuka atau tidak menyatakan pernah menuduh PM (Najib) terlibat tetapi desak supaya yang terlibat diheret ke mahkamah,” katanya.SH

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini mencabar Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin menamakan pihak ketiga yang didakwa menawarkan ganjaran besar kepada beliau untuk mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Adakah dia rela dalam atau luar dewan untuk membongkar siapakah pihak ketiga ini?" katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Pengerusi DAP itu, turut mempersoalkan sama ada Zulkifli berani membuat laporan polis bagi membuktikan apa yang didakwanya sebelum ini benar.

"Jika dibuktikan, dia membuat satu laporan polis yang palsu, dia boleh dibawa ke mahkamah kerana memberi laporan yang palsu," katanya. - Bernama

Read more ...

DS Nizar berkhutbah di UK


Leeds (United Kingdom), 19 Mac : YB Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin hari ini telah menyampaikan khutbah Jumaat dan memimpin solat Jumaat di hadapan kira-kira lebih 500 pelajar Muslim University of Leeds, UK. Khutbah yang disampaikan itu menyentuh isu perpaduan Ummat Islam yang secara jelas telah memukau ratusan sidang Jamaah yang hadir. Dato' Seri Nizar dalam rangka lawatan mewakili kepimpinan Perhubungan PAS Perak telah meluangkan masa ke University of Leeds atas jemputan Leeds Univerity Islamic Society (ISOC) untuk menyampaikan agenda penting Ummat Islam seluruh dunia.





Sidang Jamaah yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa daripada puluhan Negara luar UK itu ternyata terpegun dan tersentak dengan isi kandungan khutbah yang disampaikan beliau. Isu perpaduan Ummah sejagat ini dilihat sebagai satu agenda penting bagi mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia. Sebaik selesai berkhutbah, terdapat beberapa pelajar antarabangsa seperti daripada Arab Saudi, Turkey dan Indonesia menemui Dato' Seri dan melahirkan rasa terpegun mereka dengan isi kandungan penyampaian khutbah Jumaat hari ini.





Kehadiran Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin ke Leeds hari ini dan kesudian beliau memimpin sidang Jumaat hari ini telah melakarkan satu sejarah luar biasa. Leeds hari ini telah menyaksikan seorang pimpinan dari Gerakan Islam luar UK diberikan penghormatan untuk menyampaikan khutbah di hadapan para penuntut yang terdiri daripada latar belakang pengajian yang pelbagai. Sejarah yang dilakarkan ini juga membuktikan agenda perpaduan Ummah dan kemenangan Islam yang dibawa PAS ini bukanlah bersifat tempatan semata-mata, tetapi merupakan sesuatu yang bersifat 'alamiah dan menyeluruh.





Para penuntut yang ditemui selepas selesai solat Jumaat merakamkan rasa bertuah mereka kerana dapat bertemu dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh YB Dato' Seri yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pimpinan kerajaan dan parti politik dari Malaysia. YB Dato' Seri juga sempat berkongsikan isu-isu setempat yang berlaku di Malaysia, khususnya di negeri Perak yang jelas telah membelakangkan prinsip keadilan sejagat selaras dengan firman Allah SWT dari surah al-Maidah ayat 8;

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Dato' Seri di dalam khutbah beliau melahirkan harapan supaya semua yang hadir, membelakangkan isu perbezaan kaum, bangsa dan negara bagi mencapai perpaduan Ummah yang berteraskan aqidah Islam. Beliau juga menasihatkan para Jamaah agar tidak terpengaruh dengan sandiwara Kerajaan Sekular di negara masing-masing yang berhasrat melemahkan ikatan antara Ummat Islam yang menjadi senjata utama kekuatan Islam sejak dari zaman Nabi SAW. Isu di Palestine yang dipetik sebagai contoh dilihat sebagai satu bukti nyata bagaimana perpecahan Ummat Islam boleh meruntuhkan agama itu sendiri.

Persinggahan Dato' Seri Nizar yang turut disertai Isteri beliau, Datin Seri Fatimah Taat, anak beliau, Ustaz Syahid Muhammad Nizar dan wakil Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Al-Fadhil Ustaz Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. Lawatan ringkas mereka ke Leeds diakhiri dengan pertemuan tidak rasmi dengan anak-anak Malaysia yang menuntut di Universiti ini.DPPPk

Read more ...