Beberapa hari kebelakangan ini, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad
dilihat begitu banyak membuka mulutnya mengenai UMNO dan politik
Malaysia. Melihat kepada amalan masa lalunya, setiap butir kata-katanya
banyak mengandungi maksud tersirat, selain memahami apa yang tersurat.
Selain meramalkan BN akan terus menang dalam pilihanraya akan datang
tetapi dengan majoriti yang lebih kecil, Mahathir juga bercakap mengenai
tempoh seseorang pemimpin harus memegang jawatannya, memahami isyarat
untuk berundur, amalan menegur pemimpin, kerajaan pimpinan Najib yang
masih lemah dan pelbagai lagi.
Tetapi yang menarik untuk diperhatikan ialah bilamana beliau bercakap
tentang kerajaan pimpinan Najib yang masih lemah dan isyarat yang harus
difahami oleh seseorang pemimpin bila mereka seharusnya berundur
daripada jawatan yang dipegangnya.
Dengan menyebut kepimpinan Najib masih lemah dan gagal menarik sokongan
rakyat, apakah ini bermakna Mahathir ingin memberi isyarat kepada rakyat
dan ahli UMNO bahawa Najib sebenarnya adalah pemimpin yang gagal. Jika
diimbas proses peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib dahulu,
desakan agar dipercepatkan proses itu ialah agar Najib mempunyai cukup
masa untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.
Namun selepas lebih tiga tahun berlalu dan ternyata kerajaan yang
dipimpin Najib bukannya beransur pulih atau bertambah kuat, sebaliknya
bertambah lemah. Ini bermakna Najib telah gagal sama-sekali sebagai
Perdana Menteri.
Oleh kerana di masa yang sama Mahathir yakin UMNO dan BN akan kekal
tetapi dengan majoriti yang lebih tipis berbanding 2008, bermakna
kedudukan kerajaan menjadi tidak stabil. Ini sekaligus membawa maksud
bahawa Mahathir mahukan ahli UMNO bersiap sedia untuk menukar pemimpin
dan menggantikan Najib dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa. Jika
Najib tidak digantikan, UMNO dan BN akan menjadi terus lemah dan boleh
membawa akibat yang lebih buruk dalam piliharaya umum ke 14 nanti.
Itulah andaian Mahathir.
Perkara kedua yang disebut Mahathir yang menarik untuk diperhatikan
ialah apabila beliau menyebut tentang isyarat yang harus difahami oleh
seseorang pemimpin bila seharusnya mereka berundur. Walaupun berjaya
menjadi PM selama 22 tahun dan diberikan beberapa kali isyarat oleh
rakyat dan ahli UMNO terhadap kepimpinannya, kelebihan Mahahir ialah
beliau akhirnya berjaya mengatasi segala rintangan itu melalui
kepintaran dan kelicikannya bermain politik.
Bagi Mahathir pula, cabaran yang dihadapinya itu lebih menunjukkan sikap
keterbukaannya terhadap amalan demokrasi yang diamalkan oleh UMNO itu
sendiri. Sebab itu dengan bantuan kepungan kuasa, beliau berjaya menjadi
PM selama 22 tahun.
Bagi Mahathir, tidak kira sama ada seseorang itu lama atau baru menjadi
pemimpin, jika wujud isyarat yang mahukan seseorang itu berundur, mereka
haruslah memahami dan segera respon terhadapnya.
Jika isyarat berundur ini dikaitkan dengan kepimpinan Najib, ia
sebenarnya sudah banyak kali muncul. Cuma Najib saja yang tidak mahu
memahaminya kerana merasakan belum puas mengempuki kerusi kuasa sebagai
Perdana Menteri.
Najib sendiri pun sebenarnya memahami penolakan rakyat yang makin
melebar terhadap kepimpinannya. Sementara Najib menganggap penolakan
rakyat itu belum sampai ke tahap isyarat untuk berundur, Mahathir pula
cuba memberi bayangan sebaliknya. Sebab itu sehingga ini beliau masih
belum terjumpa tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya. Dengan
mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan pada
27 November hingga 1Disember depan, kebarangkalian yang nyata ialah
pilihanraya tidak mungkin diadakan pada tahun ini.
Pilihanraya mungkin diinjak ke penghujung tarikh luput pembubaran
Parlimen iaitu April 2013. Dengan menunda tarikh pilihanraya, Najib
mengharapkan beliau masih mempunyai ruang dan masa untuk menarik semula
sokongan rakyat, terutama melalui Bajet 2013 yang akan dibentangkan 28
September depan.
Sebagai langkah untuk menarik sokongan rakyat, sambutan Thaipusam, tahun
baru 2013 dan Tahun Baru Cina pada awal tahun depan dipercayai akan
dimanfaatkan sepenuhnya oeh Najib dengan beberapa pengumuman serta
pemberian habuan lagi.
Apa yang menarik, Mahathir sebenarnya sudah beberapa kali bercakap
mengenai kerajaan pimpinan Najib yang semakin lemah sekarang ini.
Meskipun Mahathir dilihat rapat dan sentiasa menyokong Najib, tetapi
beliau seringkali juga menyebut mengenai isu kerajaan yang lemah ini.
Mengenai isyarat berundur pula, beliau pernah menyebutnya lama dahulu.
Tetapi dengan menyebutnya kembali di ketika ini, di ketika Najib sedang
bergelut antara hidup dan mati dalam politik, ia tentunya mempunyai
maksud tersendiri. Dan mengenali perwatakan Mahathir, cakapnya jarang
tidak mempunyai maksud.
Cubalah ingat kembali ketika beliau berkrisis dengan Musa Hitam dan
Anwar Ibrahim dahulu. Banyak ucapannya ketika itu yang mempunyai maksud
tersirat lebih daripada yang tersurat. Beliau menyindir tentang
gandingan 2M dan beberapa kali menyebut tentang sejarah Brutus yang
sanggup menikam Julius Ceaser. Begitu juga ketika beliau tidak mahu lagi
menyokong Ghafar Baba yang dicabar oleh Anwar Ibrahim, ungkapannya
penuh sindiran ketika itu.
Sebenarnya itulah stail Mahathir. Beliau akan memberi bayangan dan
sindiran terlebih dahulu terhadap sesuatu perkara yang ingin
diusahakannya. Kemudian membiarkannya menjadi khabar angin dan
diperkatakan oleh ramai orang. Akhirnya ia akan meresap dalam pemikiran
dan tidak ada sesiapa yang terperanjat jika ianya menjadi kenyataan.
Dalam konteks pilihanraya yang semakin hampir dan pemilihan UMNO selepas
itu, Mahathir kini seperti memulakan langkahnya sebagai pencatur dalam
menentukan kepimpinan UMNO seterusnya. Sebagaimana beliau berjaya
menjatuhkan Pak Lak melalui gerakan dan road show ke seluruh negara
dahulu, Najib kini bakal menerima nasib yang sama.
Beliau mula menyebut tentang kerajaan yang lemah dan kegagalan Najib
memulihkan keadaan. Kemudian beliau juga menyebut tentang isyarat
berundur yang harus difahami oleh seseorang pemimpin itu. Jelas bahawa
ia ditujukan kepada Najib.
Meskipun tidak ada pemimpin atasan UMNO yang mengulasnya tetapi ia kini
mula menjadi percakapan di pelbagai peringkat dalam UMNO. Pemimpin
atasan bercakap, pemimpin bahagian bercakap, pemimpin cawangan juga
bercakap. Ahli UMNO biasa dan broker politik juga mulai bercakap
mengenainya.
Dan secara automatiknya nama Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri dan
Timbalan Presiden UMNO mulai menjadi sebutan di mana-mana sebagai watak
yang bakal mengisi kedudukan Najib sekarang. Mahathir nampaknya telah
berjaya mempromosi nama Muhyiddin sebagai bakal pengganti Najib. (SH
21/09/2012)
Read more ...