Sunday, January 2, 2011

Penjaga gol Malaysia bersama Tuan Guru Nik Aziz

Kelantan hadiah rumah untuk Khairul Fahmi



Live Khairul Fahmi Dapat Rumah Dari TGNA

KOTA BHARU, 3 Jan:
Penjaga gol skuad Harimau Malaya yang berjaya membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki, Khairul Fahmi Che Mat dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini.


Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meraikan kepulangan beliau ke Kelantan di Chabang 4, Cherang dekat sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh pejabat Anggota Parlimen Kota Bharu dan juga kerajaan negeri Kelantan.


Khairul Fahmi berjaya mempertahankan gawang Malaysia dari ditembusi semasa Indonesia bertandang ke Malaysia yang membawa Malaysia menang 3-0 dalam pusingan pertama perlawanan akhir piala itu di Bukit Jalil.


Beliau juga berjaya menjaga gawang Malaysia dengan baik apabila pasukan negara itu berkunjung ke Jakarta termasuk menyekat sepakan penalti oleh Indonesia.


Malaysia menang dengan agregat 4-2 walaupun kalah di Jakarta dengan 2-1.


Media hari ini melaporkan, sebuah laman web menyiarkan berita kononnya Mancester United berminat dengan Khairul Fahmi apabila pengurusnya, Sir Alex Ferguson mengarahkan lamaran ke atas Khairul dibuat selepas dua jam perlawanan akhir di Jakarta itu.

Read more ...

3,800 pengundi Felda jadi rebutan di Tenang

Prk Tenang : Jui Meng garis dua cabaran besar



JOHOR BAHRU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng menggariskan dua cabaran besar yang menanti jentera pilihan raya Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor.

Dua cabaran tersebut adalah usaha Umno BN yang akan melakukan apa-apa sahaja untuk menang hatta membeli undi sekali pun, serta faktor pengundi Felda di kawasan Labis yang dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional.

“Semenjak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, kita sedia maklum jentera BN akan melakukan apa-apa sahaja untuk menyelamatkan maruah mereka daripada terus kalah dalam pilihan raya kecil negeri.

“Contohnya di Batu Sapi, Sibu, serta Hulu Selangor, begitu banyak wang ditaburkan untuk membeli undi dan merasuah rakyat semata-mata untuk menjamin kemenangan mereka,” kata Jui Meng.

“Jumlah pengundi Felda seramai hampir 3,800 orang yang dianggap sebagai undi simpanan BN juga perlu diambil kira dalam merangka strategi pilihan raya kecil ini,” tambah Jui Meng lagi.

Menurut Jui Meng lagi, taktik Najib yang baru-baru ini sahaja mengumumkan pembayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 secara tunai untuk memenangi hati peneroka juga akan menjadi cabaran kepada jentera Pakatan Rakyat di Tenang.

Namun begitu, menurutnya, jentera Pakatan dari awal lagi sudah bersedia menghadapi Umno BN dengan meletakkan calon yang mempunyai kapasiti untuk menang di Dun Tenang.

“Pakatan yakin PAS pastinya akan menurunkan calon yang benar-benar berkredibiliti dan berintegriti serta diyakini rakyat.

“Tambahan pula, persediaan jentera pilihan raya yang kemas dan teratur sudah direncanakan semenjak awal lagi untuk menawan pengundi di Tenang,” kata Jui Meng kepada KeadilanDaily.com

Kerusi N5 Dun Tenang kosong berikutan penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Penamaan calon bagi Dun Tenang akan berlangsung pada 22 Januari sementara hari pengundian jatuh pada 30 Januari.

Read more ...

Pakaian wanita Tiger Show sopan, pakaian YB Teo seksi

Tiger Show dibiar, pakaian Nie Ching dipersalah

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu pertunjukkan maksiat 'Tiger Show', dalam satu majlis makan malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali melahirkan rasa pelik apabila Umno sangat cepat menyelar cara pemakaian Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel tarian tiger show, Umno seperti tidak peduli.

"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro Umno," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.


Majlis makan malam tersebut didakwa dianjurkan Syarikat Sony dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.


Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa tidak memperdulikan atau bertindak ke atas penganjur majlis makan malam tersebut.


Katanya, majlis tersebut secara jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.


"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.


"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.


Minggu lalu,
Harakahdaily telah melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudi Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.

Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.


Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.


Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas Sony sebagai penganjur dan pihak Hotel Marriot sebagai pengendali majlis.

Read more ...

Pilih Khoo Kay Kim : Umno dan Perkasa bakal demo habis-habisan?

Memo Pelajar Unisel: Khoo Kay Kim Dicadang Ganti Rosmah


SHAH ALAM 3 Jan. : Berpegang pada prinsip untuk bebas bersuara dan menyatakan pandangan, idealisme dan hak mereka sebagai 'third force' sekumpulan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) mahukan tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai Canselor mengantikan Datin Seri Rosmah Mansor.

Tegas kenyataan kumpulan itu mereka menolak pelantikan canselor pusat pengajian tinggi itu yang berlatakbelakangkan pengaruh politik sama ada dari Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat.

“Seluruh mahasiswa Unisel telah bersetuju memilih ahli akademik selaku canselor baru Unisel dan menolak sekeras-kerasnya pelantikan ahli politik dalam melantik canselor baru.

“Antara sebab lain pelantikan beliau (Khoo) adalah kerana disebabkan pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas dalam bidang akademik serta sumbangan terhadap pembangunan negara,” kata Presiden Pro Mahasiswa Unisel Muhammad Nasir Abu Bakar pada sidang media di sini.

Kenyataan itu juga menyeru agar pihak pentadbiran seharusnya berlapang dada dalam menerima kritikan dan pandangan dari mahasiswa khususnya untuk membaiki masalah yang sedia ada.

Perlu ditegaskan bahawa mahasiswa harus diberikan autoriti dalam mengerakkan idealisme mereka sendiri,

Pada 20 November lepas, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Read more ...

Khir Toyo punya hal

Khusrin: Legasi Khir Toyo Punca Putrajaya Belakangi Kerajaan Negeri



SHAH ALAM 3 Jan. : Krisis perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) Selangor yang berlaku kini didakwa Faekah Husin berpunca dari bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo yang membiarkan Ketua Setiausaha Negara(KSN) melantik Datuk Ramli Mahmud tanpa merujuk kepada perlembagaan negeri.

Jelas Setiausaha Politik Menteri Besar itu, ini adalah permulaan Putrajaya belakangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kini.

"Beliau telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar.

"Kerajaan Selangor enggan meneruskan ketidakpedulian Khir terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan KSN menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"KSN telah mengabaikan kebijaksaan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa," katanya.

Ujar Faekah, ini adalah kerana, KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar.

Tegas Faekah, Umno-Barisan Nasional merupakan 'dalang' sebenar yang telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi ketika ini cuba bersembunyi di sebalik istana untuk meneruskan agenda politik jahat.

"Khir Toyo tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemubual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

"Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,"jelasnya.

Dalam pada itu, Faekah turut menegaskan bahawa jika kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan dipimpin Pakatan Rakyat perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.

Read more ...

Abang Mat Sabu bersama 9 aktivis tidak bersalah

Mahkamah: Mohamad Sabu Bebas Tuduhan Halang Tugas Penjawat Awam


NIBONG TEBAL 3 Jan.: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu dan sembilan rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menghalang tugas penjawat awam tiga tahun lepas.

Majistret Mohd Izham Ali ketika menyampaikan keputusan itu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga sebab utama.

Katanya tiga sebab itu ialah terdapat keraguan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, percanggahan keterangan dua saksi pendakwa iaitu
saksi kesepuluh Supt Mohd Nasir Salleh dan saksi ke-11 Idris Rejap dan tiada keterangan spesifik mengenai tertuduh telah menolak penjawat awam.

Sembilan tertuduh yang lain ialah Mohd Binyamin Ishak, 48, Fuadzi Suharat, 48, Md Lazim Osman, 54, Abdul Razak Ramili, 46, Mohd Subri Mohd Said, 46,
Zamarul 'Aini Abdul Malik, 40, Zainul Azrun Zainal Abidin, 39, Abdul Rahim Mat Ariff, 62, dan Mohamad Salleh, 51.

Mereka dituduh enggan membuka pintu kenderaan dan telah menolak pegawai dan anggota polis dalam menjalankan tugas pada 7.45 malam, 9 Dis, 2007 di hadapan Plaza Tol Plus Bukit Tambun (laluan keluar lebuhraya Plus Kuala Lumpur-Pulau Pinang).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, dibantu oleh Khairul Fairuz Rahman dan Ahmad Razali Muhamad Nazri, manakala Mohamad dan sembilan rakannya diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusof.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan menganggap ia satu kemenangan dalam menegakkan perjuangan.

"Terima kasih atas usaha peguam-peguam kami yang telah bertungkus lumus mencari bukti dan berhujah membela kami untuk menang dalam kes ini," katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Mohamad dan rakan-rakan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Tahniah kepada barisan peguam yang telah berusaha memastikan kemenangan bermakna ini, katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti (Tenaga, Air, telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi) negeri Lim Hock Seng.

Read more ...

Hina wanita mengandung : Gerakan tiru perangai Umno ?

Taresa: Kenyataan Seksis Pemuda Gerakan Kedah, Perlu Minta Maaf



SHAH ALAM 3 Jan.: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak Ketua Gerakan Pemuda Kedah, Teng Keng Liang memohon maaf atas kenyataan berbaur seksis yang dilemparkan terhadap Hannah Yeoh yang juga ADUN Subang Jaya.

Teresa menganggap kenyataan Teng itu sebagai suatu penghinaan kepada kaum wanita dan ibu selain turut menggesa beliau memohon maaf berhubung kenyataan sinis yang mempertikai kebolehan kaum itu menggalas tugas sepertimana kaum lelaki di negara ini.

"Saya menggesa Teng meminta maaf kepada Hannah dan semua wanita tanpa syarat ketidakperihatinan beliau selain mendidik dirinya tentang kesamarataan gender. Saya berbesar hati akan menaja Tan Keng Liang untuk mempelajari kesamarataan gender oleh NGO terkemuka di Malaysia," jelas beliau dalam kenyataan media pagi ini.

Memetik kenyataan laman Twitter Teng semalam, beliau mempertikai kebolehan Hannah menjalankan tugas sebagai ADUN ketika sedang hamil.

"Siapa you pilih @ jezlai atau @ hannahyeoh yang akan bercuti hamil (sebagai ADUN Subang Jaya untuk pemilihan mendatang)?" memetik laman twitter Teng.

Walaupun mendapat kecaman pelbagai pihak menerusi komen, Teng tetap berkeras mempertahan kenyataan beliau selain menggambarkan sifat chauvinistic beliau terhadap kaum wanita.

Namun dalam masa yang sama Hannah mempertahankan dirinya melalui komen balas mengatakan beliau masih mampu untuk bekerja keras walaupun sedang bercuti hamil berbanding Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Teresa berkata, sehingga kini, Hannah yang dilantik sebagai ADUN Subang Jaya sejak terpilih pada Mac 2008 serta pasukannya telah bekerja keras untuk masyarakat di kawasan itu.

Tambah beliau, dedikasi yang ditunjukkan Hannah amat dihargai oleh masyarakat Subang Jaya setakat ini justeru beliau yakin ADUN itu akan menyumbangkan usaha kepada masyarakat di Selangor di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Read more ...

Setelah Ketua Pemuda Umno Larut takut berdebat, Nazri cabar Raja Ahmad Zainuddin pula berdebat

Debat: Pemuda Umno Larut penakut

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Ketua Dewan Pemuda PAS Larut Nazri Din menyelar tindakan Ketua Pemuda Umno bahagian yang mungkir janji untuk berdebat isu Melayu Islam.

Beliau yang kecewa dengan ketidakhadiran Mohamad Anuar Arifin pada debat yang dijadual malam semalam mendakwa, pemuda Umno penakut dan hanya pandai bermain wayang.

"Pemuda Umno dilihat cuba bermain wayang apabila satu persatu alasan diberikan untuk mengelak dari menyertai debat dan itu sudah disyaki sedari awal lagi.

"Buktinya sehingga tepat hari dan masa yang dijanjikan untuk berdebat, pemuda Umno masih lagi menyorokkan diri disebabkan takut untuk berdepan dengan pemuda PAS di pentas debat," kata Nazri kepada Harakahdaily.


Beliau menyatakan, Debat itu pada asalnya dicetuskan Pemuda Umno Larut sendiri yang mencabar Pemuda PAS Larut dan kemudiaannya dipersetujui bersama dengan tajuk 'Islam dan Melayu'.


Inisiatif penganjuran debat itu kemudiannya disambut oleh sebuah badan NGO dari Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) yang bersedia menjadi penganjur debat itu.


Nazri turut mendakwa pihaknya mendapat maklumat pemuda Umno Larut mendapat tekanan dari pemimpin tertinggi Umno agar membatalkan debat tersebut kerana dibimbangi rahsia penyelewengan dan kezaliman mereka terhadap rakyat terbongkar.


"Jika ketua pemuda umno Larut tidak mampu berdepan dengan pemuda PAS Larut, saya mencabar supaya Umno menghantar Ketua Umno bahagian, Raja Ahmad Zainuddin bertemu dengan pemuda PAS Larut dipentas perdebatan," cabarnya.


Beliau turut menyatakan bahawa, pihak pemuda PAS Larut sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan siapa sahaja pimpinan Umno sama ada pimpinan dari peringkat bahagian atau negeri asalkan debat yang dicanang selama ini dapat direalisasikan.


Tambahnya, jika Pemuda Umno berani mereka sepatutnya tidak memberikan alasan untuk mengelak dari menyertai debat ini, sebaliknya mengotakan janjinya dan tampil ke pentas debat untuk menyatakan hujah mereka, bukannya bercakap diluar gelanggang sahaja.


Debat itu sepatutnya mempertemukan Nazri Din dan Mohamad Anuar dengan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid akan menjadi perantara majlis.


Naib Ketua Pemuda PAS kawasan itu, Akmal Kamarudin sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan terhadap sikap berdolak dalih pemuda Umno yang dari awal mencipta pelbagai alasan.


Ekoran sikap dolak dalih itu juga, tempat asal program terpaksa ditukar ke Dewan Serbaguna Majlis Bandar Selama.


Difahamkan lebih 200 orang ramai hadir bagi menyaksikan debat tersebut, namun akhirnya pulang kecewa akibat sikap ketua pemudaa Umno Larut yang tidak hadir pada program tersebut.

Read more ...

Jawatan Kosong : Jurubahasa SUK . Kelayakan : Fasih berbahasa Inggeris, keutamaan kepada ahli Umno

Pulak Dah : Khusrin tidak mahir berbahasa Inggeris? Kita pandang ke timur pulak deh..!!!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjf4Qi94zChmG4msbQDSUUgvk6vBwmHbTQ1T2SVSYquIBns0RlWL_23Uuojf4crkLxTjpiSBjNElIzEaOSCrxn23vqPqnB2hSkLqsiU2LPeNHoCTY1sejNARjUXURK5oJgzy82O7o7SLmQ/s1600/khusrin-rejected.jpg

SHAH ALAM: Lemah penguasaan bahasa Inggeris antara salah satu sebab kerajaan Selangor dikatakan tetap tidak mahu Datuk Mohamed Khusrin Munawi menyandang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

“Penguasaan bahasa Inggeris Khusrin yang lemah akan menyukarkan urusan pentadbiran kerana SUK selalu mengiringi Menteri Besar dalam lawatan ke luar negara ataupun ketika menerima tetamu luar,” kata satu sumber dalaman kepada Keadilan Daily.

Sebelum ini, banyak pihak menganggap kerajaan negeri membantah pelantikan Khusrin atas faktor perbezaan fahaman politik semata-mata berdasarkan pengalaman ketika Khusrin masih Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini terus menegaskan kerajaan Pakatan Selangor tetap mahukan seorang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) daripada senarai pendek yang disediakan panel pemilih, dan bukannya Khusrin.

Katanya, perbincangan masih berterusan dan kerajaan negeri tetap berfungsi seperti biasa walaupun kemelut SUK ini masih belum diselesaikan.

“Isu lantikan setiausaha negeri masih dibincangkan oleh pimpinan. Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap berfungsi sepenuhnya,” kata Khalid pada laman Twitter beliau.

Khalid turut membandingkan lantikan SUK negeri yang tidak dimaklumkan kepada beliau dengan kemungkinan lantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang tidak dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

“Bayangkan jika Perdana Menteri sendiri tidak terlibat atau dirujuk dalam lantikan Ketua Setiausaha Negara,” kata Khalid.

Read more ...

Khusrin tak tahu malu , masuk pejabat. Macam Umno dah perintah Selangor ?

Khusrin Mula Bertugas, Lapor Diri Kepada Siapa?

SHAH ALAM 3 Jan.: Diselubungi kontroversi bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini dilihat memasuki pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan.

“Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas.

“Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar,” lapor The Malaysian Insider, kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

Beliau mengesahkan sudah memulakan tugas dan akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Read more ...

Azan selepas konsert

Azan berkumandang selepas konsert Wali Band

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/band_wali.jpgKOTA BHARU, 3 Jan: Satu kelainan di Kelantan apabila azan berkumandang apabila jam 12 malam berdetik selepas ribuan rakyat negeri itu menonton konsert Wali Band di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V sempena sambutan tahun baru 2011.

Turut menyaksikan persembahan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob yang mewakili kerajaan negeri hadir pada majlis berkenaan.

Program anjuran Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Sekretariat Misi Cakna Palestin dan kerajaan Kelantan itu diadakan untuk mengisi Tabung Amanah Cakna Palestin.

Tiket-tiket yang dijual kepada orang ramai RM100, RM40, RM20 dan RM7 untuk kanak-kanak akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin.

Sebanyak 15 buah lagi telah didendangkan oleh kumpulan semua lelaki itu melalui vokalisnya Faank yang bermula dengan lagu Kekasih Halal dan berakhir dengan lagu ‘berhantunya’ Cari Jodoh.

Keadaan cuaca yang begitu mengizinkan walaupun kadang-kadang hujan renyai selama lima minit, tidak mematah semangat orang ramai untuk mengikuti konsert itu hingga berakhir.

Turut dipersembahkan persembahan tarian oleh pemuda dari Palestin, nyanyian dari Megat Hiqal iaitu anak pendikir tersohor Kelantan Megat Nordin, Kumpulan Ar-Rasy dan peserta mentor Shaq yang juga anak jati Kelantan.

Sebaik sahaja melangkah ke tahun baru, azan berkumandang di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V

Kelantan tidak tolak artis

Sementara itu, Kerajaan Kelantan tidak pernah menolak mana-mana artis sama ada secara individu atau melalui band untuk melakukan persembahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, berkata bagaimanapun mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan khususnya dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Menurutnya, sekiranya artis atau band berkenaan termasuk penganjurnya memenuhi syarat yang telah ditetapkan, mereka layak membuat persembahan di Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Negeri, Anuar Safian yang mendakwa konsert Wali Band, berunsur politik serta mengutamakan orang luar berbanding artis tempatan.

“Jadi tidak timbul soal orang luar atau orang dalam, kita memberi kerjasama kepada semua pihak yang ingin membuat persembahan di negeri ini.

“Kalau pemimpin Umno sendiri ingin menganjurkannya pun kita bersedia mempertimbangkannya sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Enakmen hiburan

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan, mengingatkan Pemuda Umno khususnya ketuanya sendiri memahami Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan negative berhubung kerajaan Kelantan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ahmad Fadzli Shaari, pada kenyataan medianya berkata, Ketua Pemuda Umno Anuar Safian sendiri khususnya seharusnya memahami intipati yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan itu sebelum membuat sebarang spekulasi berhubung kehadiran Kumpulan Wali Band ke Kelantan.

Katanya, ‘orang luar’ yang dimaksudkan oleh pemimpin pemuda Umno itu kononnya diutamakan berbanding dengan kumpulan tempatan sebenarnya tidak pernah wujud.

“Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama kepada semua pihak sekiranya mereka menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, tidak timbul soal orang luar atau tempatan.

“Alasan yang remeh seperti ini sepatutnya tidak keluar dari seorang ketua, tapi mungkin juga Pemuda Umno Kelantan ingin menyindir kerajaan BN yang mengambil syarikat perunding APCO Wordwide menjadi penasihat dengan bayaran RM77 juta setahun dan bukannya perunding tempatan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian, sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar harian semalam.

Semalam Anuar mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band diadakan di Kelantan sempena sambutan tahun baru 2011 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu.

Adam Lembut

Fadhli seterusnya berkata setiap persembahan hiburan di Kelantan perlu mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Sambungnya, ia sebagai pendirian kerajaan Kelantan sejak memperkenalkan Dasar Membangun Bersama Islam dan tidak timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda seperti yang dinyatakan oleh Anuar.

Di dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan.

Katanya, persembahan konsert Wali Band langsung tidak melanggar Enakmen tersebut.

“Manakala penganjur konsert tersebut, Anjung Tulus Corporation Sdn. Bhd. telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung.

“Inilah juga peraturan yang dikenakan terhadap semua penganjur aktiviti hiburan di Kelantan termasuklah Jom Heboh yang dianjurkan oleh Stesyen TV Portal TV3 pertengahan tahun lepas.

Sehubungan itu, Fadhli meminta Pemuda Umno Kelantan lebih prihatin terhadap langkah pemimpin mereka membenarkan penganjuran konsert yang terang-terang melanggar syariat seperti persembahan artis gay yang penuh kontroversi, Adam Lambert.

Katanya, sepatutnya Pemuda Umno Kelantan menentang keras konsert Adam di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Oktober 2010 lalu.

Read more ...

SPRM : Bila nak siasat Ali, dah terlalu teruk

MELAKA, 3 Jan. : Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang dipengerusikan beliau.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina Kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat.

Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN yang diketuai Dato' Seri Mohd Ali Rustam sehingga menyebabkan tanah milik MAIM terlepas kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan Melaka melalui MAIM juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks MAIM sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004.


Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83.

Adly mendedahkan, MAIM telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002.

"RMSB dikehendaki membina Kompleks MAIM di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta."

"Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan MAIM akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks MAIM selesai," tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006

RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta, jelas beliau.

MAIM, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, disamping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106.

"Sikap kerajaan Umno-BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam."

"PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan kemuka pengadilan" tegas Adly.

Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus 'Negeri Maju'.

Beliau berkata nilaian tanah milik MAIM telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008.

"Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian komplek perniagaan MAIM, yang disewakan kepada JAIM."

"Selain itu MAIM juga gagal mendaftar sebanyak 20% dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan." jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Menururnya kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal erta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya.

Read more ...

Pemenang Debat Pemuda PAS Vs Pemuda Umno Larut ialah ........

Tak debat pun sebab UMNO dasar Bacul !!!


Wira-wira Larut bersama Cikgu Azmi

Pemuda PAS Larut menanti Pemuda Umno Larut untuk berdebat hampir 3 jam namun kelibat Pemuda Umno larut tidak kelihatan. UMNO dasar bacul dan penakut..

Read more ...

Jentera Pemuda Pakatan sudah bersedia berjuang di Tenang

Tenang: Jangan gentar hadapi Umno BN

LABIS, 2 Jan: Jentera Pemuda PAS diseru tidak gentar berhadapan dengan Umno BN di Dun Tenang meskipun dikatakan kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda seharusnya menanamkan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat khususnya PAS mampu menawan kerusi Tenang.

"Orang kata di sini kubu kuat Umno tapi saya nak bagitahu sifir pilihan raya,sekarang ini tiada lagi istilah kubu kuat bagi Umno BN.

"Di seluruh negara, kita pernah menawan kerusi-kerusi mereka dan di Dun Tenang ini pilihan raya kecil ke 14. Dari 13 pilihan raya kita telah menang dengan agregat 8-5.

“Dalam orang tak percaya kita boleh menang, kita mampu melakukannya.

"Ini bermaksud kita ada keupayaan untuk menang.Inilah yang harus kita yakin. Saya tak mahu pemuda-pemuda kita tak yakin dengan kekuatan yang kita miliki," katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pemuda Pakatan Rakyat dekat sini, semalam.

Justeru Nasrudin berkata, jentera pemuda harus bersiap sedia dari sekarang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

"Saya harap jentera yang turun hari ini mampu menggunakan segala kekuatan untuk memenangi Dun Tenang ini," katanya disambut laungan takbir oleh kira-kira 500 pemuda yang hadir.

Sementara itu, ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, pemuda Pakatan akan membuat agihan tugas secara tepat dan tersusun dalam gerak kerja PRK kali ini.

"Rupa-rupanya di Tenang ini satu kebangkitan rakyat akan berlaku. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Pekan Tenang jangan disangka tak akan mengamuk.

"Kita berhadapan realiti, iaitu kawasan Felda yang dikatakan kubu kuat Umno.

"Pemuda PAS, Dapsy dan AMK akan agih tugas dengan betul kali ini. Kalau kita tengok pengalaman di Sibu, semua orang kata kita susah nak menang. Tapi oleh kerana kita bekerja secara tersusun, kita mampu menawan Sibu," katanya.

Bukan Islam yakin dengan PAS


Penolong setiausaha Dapsy Kebangsaan, Tey Kok Siew pula berkata, orang Melayu Islam harus meninggalkan Umno BN yang ternyata tidak mampu membela nasib mereka.

"Saya tahu Islam itu satu sahaja. Tapi kalau orang tanya saya, saya boleh terima Islam cara PAS atau Islam cara Umno,saya akan jawab saya terima Islam cara PAS.

"Saya dan kawan-kawan saya orang Cina yang bukan Islam boleh terima PAS, saya nak tanya orang-orang Melayu Islam terutamanya di Tenang, kamu tunggu apa lagi? Nak tunggu Umno berubah? Bila Umno akan berubah? Tunggu kucing bertanduk dulu.

"MCA boleh berubah tak? Boleh...tunggu pisang berbuah dua kali. Jadi kita tidak boleh percaya lagi pembohong-pembohong besar ini.

"Kita nak tanya orang Umno,kalau betul Umno jaga Melayu,kenapa sampai sekarang semakin ramai orang Melayu yang miskin?"soalnya yang juga Adun Bandar Hilir Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan DHPP Johor, Subramaniam memberi jaminan bahawa mereka akan membantu PAS sedaya mungkin untuk menawan Tenang.

"Saya berjanji Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan rombongannya akan bertungkus lumus menggegarkan Tenang terutamanya kaum India.

Tambahnya, orang India sudah yakin bahawa hanya Islam yang dibawa PAS mampu memberikan kesejahteraan kepada negara.

"Saya seorang Hindu, dilahirkan sebagai seorang Hindu, hari ini pun saya masih Hindu, esok belum tahu...di hati saya, di dalam tanah yang bertuah ini, hanya Islam akan menjamin kesejahteraan semua.

"Sekarang masyarakat India tidak bimbang dengan parti PAS. Dulu mereka khuatir kerana mungkin mereka nampak PAS itu parti hanya untuk Islam dan mereka tidak faham kerana tidak terlibat dalam PAS.

"Tapi hari ini mereka faham hanya Islam sahaja boleh membanteras gejala sosial termasuk rasuah dan akan membawa Malaysia menyelamatkan maruah Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub,setiausaha DPPP, Ahmad Sabki Yusuf, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi DHPP Johor,Nadarajan.

Read more ...