Tuesday, September 28, 2010

Biar pelabur tak masuk asal Anwar masuk penjara

GEORGETOWN 29 Sept. : Umno lebih mengutamakan parti berbanding kepentingan negara apabila tidak berbuat apa-apa walaupun bersetuju dengan pandangan antarabangsa betapa kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjejaskan imej Malaysia.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong percaya semua ini dilakukan bagi meranapkan karier politik Ketua Pembangkang itu yang diterima semua lapisan kaum dan agama hingga mengancam kekuasaan pemimpin parti pemerintah itu.

"Ada kemungkinan Muhyiddin bersetuju kes fitnah II ini mengganggu aliran kemasukan pelabur asing tetapi bagi kerajaan Umno-BN, kepentingan parti lebih diberi keutamaan berbanding kepentingan negara termasuk ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kes konspirasi kedua itu mencalar imej negara di persada antarabangsa.

Jutawan Kumpulan Virgin, Richard Bronson sebelum ini membuat kenyataan yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbuat sesuatu supaya pertuduhan terhadap Anwar digugurkan kerana ia merosakkan reputasi Malaysia di mata dunia.

Setiausaha Antarabangsa Parti Tindakan Demokrat (DAP) itu tidak menaruh harapan untuk kerajaan menerima pandangan Richard kerana Umno Barisan Nasional sejak dulu akan melakukan apa sahaja untuk menghancurkan perjuangan yang diketuai Anwar.

"Keutamaan politik kerajaan Umno-BN adalah untuk menghancurkan calon Perdana Menteri Pakatan rakyat supaya tiada lagi individu yang mampu diterima segenap lapisan rakyat negara ini,” katanya.

Chin Tong berkata, masyarakat dunia sedia maklum betaoa Malaysia bukan lagi negara mengamalkan demokrasi tulen, jauh sekali menghayati semangat perundangan
"Sungguhpun Anwar adalah Ketua Pembangkang tetapi beliau terpaksa menghadapi kes sebegini . Tidak hairanlah negara ini dianggap tiada 'rule of law'," kata beliau.

Read more ...

PAS mampu tawan kerusi Umno

KEPALA BATAS, 29 Sept: Masyarakat Melayu di Pulau Pinang disarankan supaya memberi kepercayaan kepada PAS bagi menguasai sebahagian besar kerusi yang masih dimiliki Umno BN.
Timbalan Pesuruhjaya PAS neger, Rosidi Hussain berkata, PAS mempunyai kapasiti yang total bagi mengambilalih kedudukan Umno sebagai pembela masyarakat Melayu dan Islam.

"Walaupun 11 kerusi yang dimenangi oleh Umno dalam PRU ke-12 yang lalu, ini tidak bererti kita tidak boleh merampas kembali kerusi yang dilihat berada pada tahap kemenangan 50-50,” katanya.

Katanya lagi, keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS kebelakangan ini membuktikan sokongan sedia ada dari masyarakat Melayu dan pertambahan kepada sokongan dari bukan Islam mampu untuk meraih kemenangan.

"Percambahan masalah dalaman Umno dan BN seperti apa yang berlaku kepada Gerakan Pulau Pinang dengan perebutan kerusi dalam parti tersebut membuktikan sengketa dalaman ini akan turut merebak kepada Umno, MCA dan MIC," ujarnya lagi.

Katanya lagi, kekuatan yang ada pada PAS, PKR dan DAP di Pulau Pinang telah menggerunkan Umno dan BN sehingga mereka sedia mencipta isu bagi memberi imej yang buruk kepada kepimpinan kerajaan negeri.

"Ini termasuklah isu doa dalam khutbah Jumaat yang didakwa diganti dengan nama Lim Guan Eng, gambar 'super impose' ketua menteri menyembelih lembu korban, wang ihsan untuk warga emas didakwa dari sumber judi, wang Kelab Lumba Kuda sebagai sumber tidak halal bagi miskin tegar.

"Kita juga tidak hairan selepas ini kemungkinan ada lagi cerita baru yang mungkin akan dicipta bagi mencalarkan imej PR secara berterusan sehingga tibanya pilihan raya umum yang akan datang," ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas turut yakin peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang sejak 2008 yang lalu akan kekal dengan pertambahan kerusi di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk menang besar dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Read more ...

Najib tak layak bercakap konsep kesederhanaan




















SHAH ALAM, 29 Sept. :
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berhak menyarankan kepada masyarakat dunia supaya mengamalkan sikap sederhana apabila pentadbirannya masih diselaputi dengan kontroversi pengharaman kalimah Allah, ketidakmampuan mengambil tindakan tegas terhadap pengetua sekolah rasis dan indoktrinasi Biro Tatanegara mengenai konsep 'Ketuanan Melayu'.


Malah paling menyerlah ialah kegagalan Najib untuk mengecam secara terbuka sikap ektremis pertubuhan seperti Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) yang rata-ratanya disertai anggota Umno demi kelangsungan politik beliau.

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, ucapan sulung Najib di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Isnin lalu menyeru kepada usaha meminggirkan golongan ekstremis dan mengembeling gerakan keserhanaan yang merangkumi semua penganut agama.

Najib juga berkata ekstremis telah mengancam dunia dengan sikap perkauman dan bias sambil berkata masyarakat dunia perlu memilih kesederhaan daripada ektremisme, rundingan daripada konfrontasi, berkerjasama dan bukannya bergaduh sesama sendiri dan melihatnya sebagai keutamaan paling penting.

"Apa yang menarik mesej dan pilihan kata-kata Najib saling tidak ubah daripada ucapan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Konvensyen Kebangsaan DAP di Ipoh Januari lalu di mana Umno mengecam Lim kerana mencadangkan "Malaysia Yang Sederhana".

"Lim menyeru kepada penyelesaian kepada konflik agama bukan melalui konfrontasi tetapi mesyuwarah, bukan melalui paksaan tetapi rundingan apabila merujuk kepada kontroversi kalimah Allah.

"Lim juga berkata bahawa kita bukanlah sebuah negara yang berperang dengan diri sendiri tetapi apa yang kita lihat ialah Umno sedang memerangi nilai keterbukaan, pemikiran logika dan saling hormat menghormati. Apabila BN bercakap mengenai tanda aras antarabangsa, persoalan timbul mengapa amalan global dunia Islam dari Timur Tengah ke Indonesia membenarkan kalimah Allah digunakan oleh Kristian tetapi tidak di Malaysia," kata Tony dalam satu kenyataan semalam.

Tony menambanh DAP menyeru kepada 'Malaysia Yang Sederhana' yang mengangkat pendekatan kerjasama bukan konflik, mesyuwarah bukan konfrontasi dan perkongsian masyarakat bukannya masyarakat berasingan yang eksklusif.

Malah untuk menghayati "Malaysia Yang Sederhana' Pakatan Rayat mesti dilihat bersikap sederhana, inklusif dan menjauhi daripada sikap eksklusiviti, rasis, ekstremis yang diamalkan pihak lawan.

"Jadi adalah ganjil apabila Perdana Menteri bercakap mengenai kesederhanaan global tetapi gagal bertindak terhadap perkauman dan ektremis agama terutama dari partinya sendiri.
"Ucapan Najib dilihat tidak bermilai bilamana beliau sendiri enggan memandu partinya ke arah kesederhanaan untuk mencapai impian 'Malaysia Yang Sederhana'.

"Najib mesti mengawal partinya dahulu terutamanya golongan ektremis yang kurang menggunakan otak dan apa jua cara melalui pandangan oerkauman dan ektremis agama untuk menyerang DAP dan Pakatan Rakyat yang kini jelas memenangi hati dan sokongan rakyat dengan pendekatan dasar inklusif, sederhana dan progresif," kata beliau lagi.

Beliau menegaskan serangan berbaur perkauman dan agama mesti dihentikan segera oleh Umno sekiranya mahu mewujudkan suasana kondusif untuk kesederhanaan dan mengalahkan ektremisme dan seterusnya meletakkan Malaysia kembali di peta pelaburan antarabangsa.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata tindakan Umno yang terus meningkat retorik tidak bertanggungjawab mengenai kaum dan agama hanya akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang penuh dengan kontradiksi, terbaru berhubung penggunaan dana kerajaan negeri untuk programnya yang didakwa daripada sumber tidak halal seperti Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan negeri telah menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas apabila menjelaskan sumbangan seperti itu hanya disalurkan kepada golongan miskin tegar bukan Islam.

"Pemimpin Umno telah menunjukkan sikap hipokrit paling tinggi apabila Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Perdana Menteri melalui jawapan dalam Parlimen mengakui kerajaan pusat tidak mengasingkan pendapatan halal dan tidak halal dalam Akaun Amanah Disatukan.

"Ini bermakna pendapatan daripada sektor perjudian seperti Tanjung PLC dan Berjaya Sports Toto serta syarikat kilang arak seperti Guiness Anchor Bhd (GAB) dan Carlsberg digunakan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

"Apa yang membimbangkan ialah kecenderungan pemimpin Umno yang terdesak untuk berpaut kepada kuasa tanpa mengira kosnya bermula dengan menyarankan ide bodoh dengan menggunakan kejahilan dan ketakutan masyarakat," jelas Tony.

"Dengan menggesa pengasingan dana halal dengan yang tidak halal, pemimpin politik Umno akan membuka ruang yang besar yang akan menyebabkan kejatuhan ekonomi Malaysia.

Adakah Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Azahar mahu mengatakan syarikat, individu dan organisasi Islam tidak boleh berurusan dengan syarikat arak seperti GAB hatta untuk membekal peralatan tulis atau perabut hanya kerana GAB memperolehi pendapatan dan keuntungannya daripada sumber tidak halal?

"Atau lebih dahsyat kalau diikutkan hujah Umno, Ah Chong yang bekerja sebagai penjual daging atau Muthu yang bertugas di Berjaya Sports Toto tidak dibenarkan membeli nasi lemak dari Pak Ali kerana Pak Ali tidak seharusnya mengambil pendapatan daripada sumber seperti itu?," soal Tony.

Secara sinis beliau bertanya adalah Najib akan mengemukakan cadangan baru dalam pembentangan Belanjawan 2011 bagi mewujudkan dua bentuk sistem matawang iaitu satu untuk Ringgit halal yang hanya digunakan dalam urusan yang berbentuk halal dan satu lagi Ringgit tidak halal untuk barangan serta perkhidmatan bukan halal.

Read more ...

Umno iri hati PR bantu rakyat miskin



































PULAU PINANG, 29 Sept. :
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada usaha Umno-Barisan Nasional yang cuba mengganggu-gugat Program Penghargaan Warga Emas sebanyak RM100 yang diberikan setiap tahun.


Menurut beliau, Umno-BN sekali lagi meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri dengan mendakwa program itu dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, Umno-BN mengalih kepada program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) untuk membasmi miskin tegar.

Jelasnya, taktik jahat tersebut bertujuan semata-mata untuk menggagalkan program Kerajaan Negeri yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

"Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas.

"Di samping itu, waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia. Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010 pada tahun lepas," kata Guan Eng dalam satu kenyataan Isnin lalu.

Beliau membidas dakwaan pemimpin Umno berkata wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

"Ia adalah penjimatan hasil urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus serta langkah anti-rasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul, Transparency International.

"Urus tadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009," jelas beliau.

Oleh itu tambah beliau, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan.

Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen “anti-rasuah” yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

"Ini bukan kali pertama program ini diserang, kerana sebelum ini, Umno-BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah! Untuk mereka, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

"Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit! Umno jangan harap akan mengganggu-gugat program dividen anti-rasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan," tegas Guan Eng lagi.

Beliau berkata selepas gagal membuktikan Program Penghargaan Warga Emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAK membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram.

Bukti Umno kononnya adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
"Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri untuk membasmi miskin tegar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

"Menerusi RAK, kerajaan negeri PR telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh Umno-BN dalam 51 tahun.

"Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam. Malahan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam," ujar Guan Eng.

Beliau turut mengingatkan bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin Umno-BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?.

"Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno-BN luluskan lesen judi bola? Atau adakah mereka berdendam dengana Kerajaan Negeri yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekaligus merosakkan rancangan baik mereka untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia? Yang jahat pula tuduh orang lain," soal Guan Eng.

Tambahnya, bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan belanjawan yang disebut tadi.

"Mereka sebenarnya iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas. Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan," kata beliau lagi.

Read more ...

Bersedia untuk PRU 13 enam bulan lagi






























SHAH ALAM, 29 Sept. : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memalu gendang pilihan raya apabila mengingatkan Pakatan Rakyat supaya bersiap sedia menghadapi PRU ke-13 yang akan diumumkan seawal-awal enam bulan dari sekarang.


Ini berdasarkan kepada gesaan Menteri Besar 'Mahkamah' Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyeru semua komponen Barisan Nasional membuat persediaan bagi mengadapi kemungkinan PRU mengejut awal tahun depan.

"DAP dan Pakatan Rakyat mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi PRU-13 dalam masa enam bulan lagi," kata beliau semasa berucap pada majlis Hari Keluarga dan Pesta Makanan DAP Canning di Dewan Bulan Sabit, Ipoh Sabtu lalu.

Kit Siang berkata dalam tempoh 18 bulan menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan tiga inisiatif iaitu dasar 1 Malaysia, Model Ekonomi Baru serta Program Transformasi Ekonomi (PTE) RM1.4 trilion yang mensasarkan ekonomi nilai tambah yang tinggi menjelang 2020.

"Bagaimanapun kesemua langkah besar Najib telah gagal untuk dilaksanakan melihat kepada respons lemah Bursa Malaysia terhadap PTE.

"Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) tutup 1,469 poin pada hari Isnin, meningkat 6.30 mata kepada 1,475.99 pada hari Selasa apabila PRE dilancarkan. Tetapi menjelang penghujung minggu dagangan pada hari Jumaat, KLCI jatuh 28.80 mata kepada 1,451.19 poin.

"Terlalu sedikit keyakinan rakyat terhadap PTE setelah dua inisiatif Najib diserang dan seterusnya dimusnahkan.

"MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu diserang bertubi-tubi sehingga Najib terpaksa menjarakkan dirinya dengan mengatakan MEB bukanlah keputusan muktamad kerajaan tetapi sekadar usaha percubaan sekumpulan pakar yang melihat dari perspektif global!," jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Tambah beliau, dalam kedua-dua perkara, individu yang mengetuai serangan terhadap program Najib tidak lain tidak bukan adalah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau tidak faham konsep 1 Malaysia dan kesan buruk MEB jika dilaksanakan.

Kata Kit Siang lagi, dasar 1Malaysia umpamanya masih belum dibuktikan sebagai polisi negara yang mengamit komitmen penuh serta kesetiaan daripada anggota Kabinet Najib dan pentadbiran kerajaan sendiri.

Ini terserlah apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan secara terbuka bahawa beliau 'Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian' dan hanya satu sahaja Menteri Kabinet, Datuk Seri Nazri Aziz yang bersedia menyatakan sebaliknya sejak 18 bulan lalu.

"Terbaru, Mahathir meningkatkan retoriknya mengenai bangsa dan agama malah memberi amaran orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan.

"Ini adalah kemuncak sikap tidak bertanggungjawab daripada seorang yang telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan mewar-warkan konsep Bangsa Malaysia seiring dengan Wawasan 2020.

"Jika Pakatan Rakyat berkuasa yang akan hilang kuasa dan pengaruh ialah golongan Umnoputra sementara rakyat Malaysia terbanyak - Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban akan diperkasakan," tegas beliau lagi.

Kit Siang juga berkata Dr Mahathir telah menyerang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melalui kempen tidak beretika dan tidak jujur dengan memburuk-burukkannya hanya kerana beliau adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat yang popular sebelum rampasan kuasa haram Umno-BN.

Malah Dr Mahathir menunuduh Mohammad Nizar sebagai alat DAP dan mendakwa pentadbiran Nizar dianggap kerajaan negeri Cina oleh masyarakat Cina di Malaysia.

"Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas kerana tidak ada siapa pun yang menganggap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak sebagai pentadbiran Cina - ia adalah kerajaan negeri rakyat Malaysia dan diterima baik oleh semua kaum di negeri ini.

"Cara Mahathir memfitnah Nizar sama sepertimana beliau memburuk-burukkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman lebih 40 tahun dahulu, yang mana akhirnya Mahathir terpaksa meminta maaf dari Tunku.

"Sebagai bekas Perdana Menteri, Mahathir sepatutnya berhenti daripada mengamalkan politik perkauman dan agama," kata beliau lagi.

Read more ...

PRK Galas : Tumpuan pada Ku Li









KUALA LUMPUR, 29 Sept. : Meskipun persaingan langsung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), tetapi penganalisis melihat pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah akan berhadapan dengan “situasi paling sukar” dalam menghadapi pilihan raya kecil ke-12 nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan memutuskan tarikh pilihan raya kecil minggu depan dan kemungkinan ia diadakan akhir Oktober atau awal November. Galas adalah satu-satunya kerusi DUN di bahagian Parlimen Gua Musang jatuh ke tangan PR khususnya PAS.

Profesor A. Aziz Bari berkata, beliau melihat Tengku Razaleigh yang lebih mesra dikenal sebagai“Ku Li” akan melalui situasi sukar dalam kerjaya politiknya dalam menentukan “bakal keputusan” pilihan raya kecil itu. Penganalisis ini menjangkakan kemungkinan itu ekoran penerimaan Tengku Razaleigh dengan baik oleh komponen dan penyokong PR khususnya PAS sejak kebelakangan, lebih-lebih dalam isu royalti minyak.

“Saya lihat memang sukar, saat paling yang susah... cukup sukar bagi beliau (Tengku Razaleigh) sepanjang kerjaya politiknya dalam persekitaran sekarang.

“Ia tidak sukar baginya jika pilihan raya kecil ini diadakan di kawasan di luar bahagian Parlimen Gua Musang atau negeri lain seperti biasa,” kata beliau merujuk kepada kedudukan DUN Galas dalam bahagian Gua Musang.

Tengku Razaleigh juga merupakan ketua Umno Gua Musang. Aziz menambah, dalam menghadapi pilihan raya kecil ini Tengku Razaleigh perlu mengambil keputusan yang cukup “menarik” dalam menggambarkan pendirian beliau. Sebelum ini, Tengku Razaleigh telah beberapa kali menegaskan Kelantan mempunyai hak untuk menuntut wang royalti minyak, yang dinafikan pusat dan bersedia untuk muncul di mahkamah jika pertikaian itu dibawa ke mahkamah.

Kes itu telah difailkan di mahkamah 30 Ogos lalu. Ekoran pendirian Tengku Razaleigh itu, yang dizahirkan sejak awal tahun ini, beliau yang juga bekas menteri kewangan dan pengasas Petronas, telah berhadapan dengan tekanan segelintir pemimpin Umno agar dikenakan tindakan disiplin ke atas beliau.

Tengku Razaleigh mempertahankan pendiriannya dengan berkata beliau seorang pemimpin setia kepada Umno. Majlis Tertinggi Umno pula telah menyerahkan kepada ahli-ahli memberikan pandangan mengenai gesaan tersebut tetapi sehingga kini tiada perkembangan susulan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno-BN akan meletakkan pemimpin tempatan sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Galas. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno sedia mengambil langkah-langkah wajar bagi menghadapi pilihan raya kecil itu setelah tarikh pemilihan diumumkan oleh SPR.

“Malahan setelah kita dimaklumkan hal ini semalam, kita sudah mengambil perhatian. Dan seperti biasa, jika ada pilihan raya kecil, kita akan (letak) calon dan calon yang kita letak akan datang dari Gua Musang yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh.

“Kita akan letak calon terbaik yang akan diputuskan oleh pihak pimpinan parti dan kita percaya Tengku Razaleigh akan membantu sebagai ketua bahagian dan Datuk Seri Mustapa (Mohamed) selaku Ketua Perhubungan (Umno Kelantan) juga akan terlibat untuk memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin berkata peluang BN untuk merampas kembali kerusi tersebut adalah 50-50. Kerusi DUN Galas kini kosong berikutan penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, dari PAS meninggal dunia semalam akibat kanser kolon. Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh. Mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa beliau percaya bahawa Tengku Razaleigh akan membantu kejayaan BN di Galas, Aziz menambah, ia kenyataan strategi dalam ‘memerangkap’ gerak-geri pemimpin veteran menghadapi pilihan raya kecil.

Sebelum ini PR juga pernah meminta Tengku Razaleigh mengetuai kokus isu-isu berkaitan dengan minyak dan hubungan negeri dan persekutuan. MUhyiddin meminta Tengku Razaleigh berfikir dengan mendalam sebelum memilih tawaran tersebut. (The Malaysian Insider)

Read more ...

7000 hadiri Rumah Terbuka PAS Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 29 Sept. : Majlis Jamuan Hari Raya 'Idul Fitri PAS Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong menarik kehadiran ribuan rakyat di kawasan Parit Buntar,malah kehadiran pada tahun ini melebihi pada tahun sebelumnya.

Menurut Setiausaha program Azhari Hadi, keadaan cuaca yang baik dan hebahan program yang meluas ke seluruh Parit Buntar adalah faktor kehadiran lebih 7000 orang.

“Orang ramai datang bertali arus sejak jam 3.00 petang. Selalunya lepas Asar orang dah tiada tetapi tahun ini sehingga pukul 6.00 petang pun masih ramai yang berada di dewan. Makanan mencukupi untuk semua tetamu.

“ Kehadiran ramai tetamu yang berbagai latar belakang di dalam Majlis Jamuan Hari Raya 'Idul Fitri PAS Parit Buntar melambangkan suasana Pakatan Rakyat di Parlimen Parit Buntar berada dalam situasi yang baik untuk mengekal dan meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum akan datang” katanya

Azhari berkata, orang ramai yang datang ke majlis ini telah dihidangkan dengan lemang, nasi himpit, roti canai, mee goreng dan pelbagai jenis kueh raya.

“ Majlis pada hari ini dimulai dengan ucapan Yang Dipertua PAS Parit Buntar , ADUN Titi Serong dan diakhiri dengan ucapan Ahli Parlimen Parit Buntar.

“ Kami juga meraikan kanak-kanak yang hadir dengan menyediakan acara kuiz dengan hadiah yang disediakan oleh penganjur.” katanya

Selain masyarakat setempat yang memeriahkan majlis tersebut turut hadir adalah ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari, Ketua Penerangan PAS Sabah Hisamudin Sulaiman, pimpinan DHPP Parit Buntar dan para wartawan.

Pimpinan PAS Parit Buntar sedang menyambut tetamu

Pimpinan PAS Parit Buntar sedang menyambut tetamu

Orang ramai datang bertali arus

Tetamu mengambil juadah

Tetamu sedang mengambil juadah

Tetamu sedang mengambil juadah

Read more ...

Kekecohan pemilihan PKR , demokrasi belum matang























PETALING JAYA, 28 Sept. : Seorang penganalisa politik tempatan berkata, kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat pemilihan PKR menunjukkan ahli parti tidak mempunyai disiplin memilih pemimpin.

Prof Madya Mohd Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia sekaligus memperlihatkan prinsip demokrasi di kalangan ahli belum matang.

"Kalau kekecohan disebabkan kekalahan dan tidak dapat menerimanya persepsi tidak elok akan muncul di kalangan parti lain.

"Tetapi kalau bantahan itu ada asas, maka parti perlu mengatasi dan menanganinya secara berhemah supaya keyakinan ahli dan penyokong kepada parti kekal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat cabang PKR.

Antara yang paling kecoh ialah cabang Kota Raja, Selangor di mana beberapa individu telah membuat laporan polis.

Mohd Agus juga mengulas mengenai tindakan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan naib presiden PKR November ini.

Menurutnya, tidak ada sebarang kesalahan walaupun ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ketua umum PKR manakala emaknya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah presiden PKR.

"Bukan Anwar dan Dr Wan Azizah yang memilih, tetapi ahli parti, Jika ahli parti mahu Nurul Izzah menjadfi naib presiden PKR tidak ada salahnya.

"Begitu juga dalam isu Khairy Jamaluddin, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Jangan kata ada nepotime tetapi kena ingat mereka semua berjaya kerana dipilih dan bukannya dilantik.

"Itu semua tidak perlu menjadi isu, kena terima semangat majoriti" katanyaFree Malaysia Today

Read more ...

Jawapan bocor : prestasi naik pelajar teruk

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/jawapanbocor.gif

























KUALA TERENGGANU
- Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu diminta memberi penjelasan tentang dakwaan kejadian 'jawapan bocor' yang berlaku keatas pelajar tahun enam sekolah rendah yang mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru -baru ini.

Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) Cikgu Fauzi Abu Samah berkata pihak mendapat aduan dari warga pendidik negeri Terngganu berkenaan kejadian tersebut.

"MAMPAT dapat 'respon' daripada warga pendidik negeri Terengganu berkaitan dengan UPSR, kalau kita dulu terkenal, popular soalan bocor, tapi di Terengganu (sekarang) terkenal dengan 'jawapan bocor'.

"pelajar darjah 6 diberi jawapan bulat-bulat, disuruh menghafal,"katanya yang ditemui di Majlis Rumah Terbukanya disini semalam 28 September.

Sehubungan itu, menurutnya, seorang guru kepada pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah dalam daerah Dungun yang menyatakan ada pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR tahun lalu, tetapi tidak dapat membaca dengan baik.

Cikgu Fauzi berkata, pihaknya membuat semakan, ada pelajar yang kurang pandai, mendapat keputusan yang baik dalam UPSR, mendakwa jawapan diberikan oleh guru-guru mereka.

"Kita pun dapat respon daripada pelajar, ada yang kita 'check', kita dapati pelajar ni bukan kumpulan yang pandai, kita tanya, pandai, adik boleh menjawab periksa dengan baik,


"tiba-tiba jawapan yang diberikan sangat mendukacitakan, beliau tak pandai, tapi cikgu bagi jawapan,"ujarnya menjelaskan isu terbabit. BO

Read more ...

Kalau betul perjuang Melayu, Umno tak perlu letak calon di Galas


KOTA BHARU, 29 Sept. : Isu Perpaduan Melayu yang sebelum ini menjadi polemik antara PAS dan UMNO kini dibangkitkan kembali susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima kelmarin, sekali gus mewajibkan pilihan raya kecil berlaku di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, atas nama perpaduan Melayu, UMNO dicadangkan tidak meletakkan calon di pilihan raya DUN tersebut sekali gus memberi kemenangan percuma kepada PAS untuk mempertahankan kerusi di Hulu Kelantan itu.


Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan: berkata, UMNO seharusnya menjadikan Galas untuk membuktikan keikhlasannya untuk menyatukan orang Melayu sebagaimana yang didakwa sebelum ini.


Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, jika UMNO bolah mengambil tindakan untuk tidak bertanding di kawasan DUN Penanti Pulau Pinang atas pelbagai alasan, tindakan yang sama boleh juga dibuat di DUN di Galas yang menjadi persaingan antara dua parti Melayu ini.


Dalam masa yang sama Takiyuddin berkata, tindakan mengelak pertandingan dalam pilihan raya boleh menjimatkan wang dan masa yang diketahui umum menuntut perbelanjaan yang besar.


“Kalau nak betul-betul hasrat perpaduan, apa salahnya untuk pilihan raya kecil ini (UMNO tidak bertanding), untuk pilihan raya umum kita bincang semula, ini untuk menunjukkan keikhlasan dan ‘solidaririti’ (perpaduan) antara dua parti Melayu ni, (UMNO) sepatutnya kompromi bagi kepada PAS.


“Lagipun kalau BN menang, ia tidak banyak berubah kerusi dari 45 semua kerusi (jika menang) hanya menjadi 7 kerusi,” katanya dalam sidang media sempena pameran “Tortura” (kezaliman) di Muzium Negeri di sini semalam ketika mengulas persiapan PAS bagi menghadapi Pilihan raya kecil ke DUN Galas yang akan diadakan bila-bila masa dalam masa 60 hari selepas kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, kelmarin.
SH

Read more ...

Kepimpinan Tok Guru akan terus diterima di Galas





































KUALA LUMPUR, 28 Sept. :
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yakin parti Islam itu dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas jika pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima semalam.

Beliau melahirkan keyakinan kerana parti itu sudah membuat persiapan yang rapi dalam menghadapi pilihan raya umum, sekali gus jentera parti juga sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Parti sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum jadi pada saya semua jentera parti sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk hadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Malah kita yakin akan mengekalkan kemenangan di DUN Galas kerana dengan persiapan awal dan rapi yang dibuat sebelum ini kita boleh,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Allahyarham Che Hashim meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru semalam kerana kanser usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Pakatan Rakyat mempunyai 39 kerusi manakala Barisan Nasional pula enam di DUN Kelantan.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, bagaimanapun PAS tidak akan memandang rendah akan kebolehan parti lawan.

“Di Parlimen Gua Musang, Ahli Parlimen adalah Umno, dua DUN lain juga adalah Umno. Jadi ini merupakan satu cabaran kepada kita mempertahankan kerusi ini.

“Selain itu, kita tidak akan memandang rendah pada pihak lawan. Jentera perlu kuat untuk menghadapi pilihan raya kecil ini nanti,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dipetik berkata, pilihan raya kecil bagi DUN Galas perlu diadakan berikutan dengan kematian Che Hashim.

Mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Read more ...

'Mata sepet dan kaki botol' , bukti Umno tak mahu perpaduan



KUALA LUMPUR, 28 Sept . : Selepas dikritik MIC dan DAP ekoran kenyataan pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) semalam, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan gagasan 1 Malaysia pentadbiran Najib, yang menjadi platform perpaduan kaum, adalah imej sebenar Umno untuk memecah-belahkan semua kaum di negara ini.

“Ini adalah imej sebenar Umno yang sememangnya mahu memecahkan perpaduan kaum di negara ini.

“Malah kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai kanan Biro Tata Negara semalam telah menunjukkan imej sebenar Umno yang tidak mahukan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, konsep 1 Malaysia telah menjadi alat yang menyebabkan perpaduan kaum semakin terhakis.

“Kalau konsep 1 Malaysia ini diserapkan ke peringkat akar umbi saya yakin mereka akan faham.

“Tapi nampaknya apa yang jadi sekarang adalah sebaliknya dan bagi saya ini adalah wajah sebenar Umno yang rasis dan menolak perpaduan kaum,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutan yang mengatakan hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu akan hilang kuasa jika penguasaan Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini semalam.

“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.

Kata beliau Dr Mahathir dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga masyarakat Cina, India dan Orang Asli hanya mempunyai hak kepada satu undi.

“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Najib menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam juga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.

Subramaniam juga bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.

Read more ...

Gotong royong sedia jamuan raya

Image016-5.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 28 Sept. : Sambutan hari raya di Batu 4 ¼ Jalan Sempadan menyemarakkan semula adat gotong royang dikalangan masyarakat Melayu apabila penduduk bergotong royong menyediakan jamuan hari raya.

Ajk Penyelaras sambutan Rosli Masran berkata, tradisi sambutan hari raya di Batu 4 ¼ Jalan Sempadan dekat sini, bertambah meriah apabila dihadiri kira-kira 500 penduduk.

“Sambutan hari raya yang diadakan sememangnya mendapat sambutan daripada penduduk dan apa yang lebih istimewa, persiapan diadakan secara gotong-royong termasuklah dari segi penyediaan makanan,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan.

Image035-3.jpg picture by paspb

Menurut Rosli yang juga Ketua PAS Cawangan Batu 4 ¼ Jalan Sempadan, jamuan hari raya yang mengumpulkan penduduk kampung itu mampu menjadi platform buat penduduk mengeratkan hubungan baik yang sudah sedia terjalin.

“ Setiap tahun pemuda di sini bersepakat bersama penduduk kampung mengadakan jamuan hari raya. Penduduk bersama mengeluarkan belanja menyediakan makanan untuk jamuan hari raya ini.

“ Penduduk menggunakan peluang sambutan hari raya untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk. Sambutan kali ini lebih meriah apabila penduduk dapat berkumpul bukan sahaja dengan kaum keluarga tetapi dengan jiran sekampung” katanya

Tambahnya, Majlis sambutan hari raya penduduk Batu 4 ¼ Jalan Sempadan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Mantan ADUN Titi Serong Ahmad Azhar Sharin dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad

Sekitar jamuan raya Batu 4 ¼ Jalan Sempadan

Image030-5.jpg picture by paspb

Image032-3.jpg picture by paspb

Image034-5.jpg picture by paspb


Read more ...