Ketuanya, Siti Aishah Ismail ketika ditemui berkata, kenyataan berkenaan diterimanya sekitar 5 petang, Isnin lalu dan ianya telah dibuat sebanyak tiga kali dengan menggunakan status yang berlainan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata, kenyataan itu jelas cuba mempermainkan hukum Islam kerana kenyataan itu ada menyebut bahawa perogol pasti terlepas daripada hukuman kerana tidak cukup empat orang saksi bagi disabitkan kesalahan.
“Kenyataan berkenaan jelas mengandungi unsur ugutan selain berbentuk ancaman kepada semua wanita muda yang bernaung dengan pertubuhan Srikandi Keadilan Malaysia.
“Ini satu isu yang serius kerana melibatkan satu organisasi yang besar. Saya harap polis dapat bertindak segera mengesan dan seterusnya mendedahkan siapakah sebenarnya pemilik atau individu itu kepada umum,” katanya kepada Sinar Harian.
Siti Aishah berkata demikian ketika mengulas kenyataan biadab daripada individu yang hanya dikenali sebagai Rango Krew yang terpapar di laman sembang sosial, facebook.
Hadir sama, Setiausaha PKR Negeri, Annuar Zakaria.
Siti Aishah berkata, individu itu juga dilihat seolah-olah cuba mengatakan Islam tidak menitik beratkan soal hukum dalam menangani perlakuan jenayah, khususnya jenayah rogol.
“Saya khuatir kerana ia bukan sekadar komen-komen biasa tetapi boleh menyumbang kepada tindakan secara nyata. Ini membimbangkan saya.
“Saya ada buat kajian dan mendapati individu berkenaan juga adalah ahli Kelab Anti PKR yang dinaungi oleh lebih 500 ahli di seluruh negara.
“Jelas ia datang dari satu organisasi dan bagi saya ia jelas berunsur politik apabila menjadikan Srikandi PKR sebagai sasaran,” katanya.
Pihaknya juga akan ke Suruhan Jaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) hari ini, untuk mengemukakan laporan polis itu agar pemilik atau individu berkenaan dapat dikenal pasti untuk tindakan lanjut.
Katanya, berdasarkan kepada maklumat, polis boleh bertindak segera bagi mengesan individu terbabit.
“Saya rasa semua maklumat itu benar dan berdasarkan kepada laporan-laporan polis yang turut dibuat oleh pihak Srikandi Keadilan di seluruh negara semalam, saya harap dia (individu) akan dapat diberkas,” katanya.