Thursday, May 20, 2010

Berita ' Kristian tolak PAS ' salah


IPOH, 21 Mei : Merujuk Laporan Akhbar Sinar Harian 20/5/2010 (semalam), saya ingin menyatakan kekesalan kerana beberapa fakta yang kurang tepat dan cara pemberitaan yang tidak profesional.

Bahkan tajuk akhbar "Kristian Tolak PAS" (muka depan) dan Kristian tidak minat sertai PAS: Nizar" di halaman PK4 adalah tersasar daripada hakikat pertemuan yang berlaku dan tidak ada kenyataan seperti itu dilafazkan oleh DS Nizar semasa sidang akhbar tersebut.

Selaku moderator dialog tersebut dan salah seorang pimpinan PAS yang turut serta memberikan kenyataan akhbar saya ingin betulkan fakta-fakta berikut:

i/ Perjumpaan PAS Perak dengan pimpinan gereja-gereja seluruh Kinta adalah di atas jemputan PAS. Matlamatnya adalah untuk saling berkenalan dan memahami di antara satu sama lain.

ii/ Perjumpaan tersebut bukan untuk mengajak pimpinan gereja untuk menyatakan sokongan kepada PAS. Sebagai satu entiti agama, pihak gereja adalah dilarang terlibat dalam politik kepartian. Namun pihak gereja menyatakan mereka bebas menyatakan sikap tentang isu-isu keagamaan dan isu-isu kepentingan rakyat atau negara.

iii/ Tidak pernah mana-mana pimpinan gereja yang berucap sama ada menyatakan sokong atau tolak PAS. Kenyataan yang mereka keluarkan hanyalah mereka rasa berbesar hati dan menyanjung keterbukaan PAS untuk bersemuka dengan mereka walaupun PAS berhadapan risiko.

iv/ Dalam sesi dialog pihak gereja meminta penjelasan PAS tentang isu-isu - peranan ulama dalam memberi fatwa, isu hak keluarga yang ditinggalkan oleh suami yang memeluk Islam, isu hak rakyat bukan Islam dalam hal-hal minuman keras dan hiburan serta isu kenapa hingga kini orang bukan Melayu masih dilabelkan sebagai pendatang. Isu penggunaan kalimah Allah disentuh secara ringkas sahaja. Akhirnya pihak pimpinan gereja memuji kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang mereka sebutkan sebagai ahli kepada semua rakyat dan memastikan amalan kebebasan agama berlaku dengan baik di Kelantan.

v/ Di pihak PAS, kami berusaha untuk menerangkan konsep-konsep utama dalam hubungan antara agama yang menjadi prinsip-prinsip Islam iaitu - tidak ada paksaan dalam kepercayaan, Islam adalah agama rasmi negara ini, hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing, prinsip-prinsip keadilan islam dan prinsip Pas tidak menerima perjuangan berasaskan perkauman.


DR. HJ KHAIRUDDIN BIN DATO' ABD. MALIK
TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PERAK

Read more ...

Perkauman Umno bahaya

BUKIT MERTAJAM, 21 Mei: Sentimen perkauman yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) amat merbahaya jika ianya dibiarkan berleluasa dalam setiap kali pilihan raya diadakan, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Menurut beliau, isu perkauman yang dimainkan oleh Umno dan BN banyak mempengaruhi rakyat kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang sebenar.

Katanya, Umno dan BN pernah menggunakan sentimen itu dengan mendakwa sekiranya pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP menjadi kerajaan, maka akan berlaku huru-hara dalam pemerintahan.

"Tapi mereka lupa di negeri Kelantan sejak tahun 1990, PAS memerintah negeri tersebut sehinggalah pada 2010 ini tiada berlaku huru-hara sepertimana yang mereka dakwa,” ujarnya semasa menyampaikan ceramah beliau di Bukit Teh, dekat sini malam tadi.

Begitu juga, tambahnya dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) sejak Mac 2008 yang lalu, tidak ada huru-hara seperti mana yang mereka dakwa.

Menurutnya, huru-hara yang berlaku adalah kerana tindakan yang pemimpin Umno BN sendiri atur dan rancang seperti mana yang berlaku di negeri Perak.

“Dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu juga mereka menggunakan isu perkauman dengan menakut-nakutkan masyarakat di sana supaya tidak memilih PR. Tapi akhirnya senjata memakan tuan apabila isu yang mereka gunakan membuatkan mereka kalah," katanya.

Katanya lagi, PR perlu menggunakan strategi yang terbaik bagi mematahkan isu perkauman yang sudah menjadi sebati dalam perjuangan Umno dan BN.

"Oleh kerana itu, maka PR adalah sebuah pakatan yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Kita adalah sebuah pakatan dan gandingan yang amat jauh bezanya dengan Umno dan BN yang ternyata tidak sesuai lagi untuk terus menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Speaker Dun Pulau Pinang, Tan Hock Leong serta kepimpinan PAS, PKR dan DAP Bukit Mertajam.

Read more ...

Kenyataan Najib tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kerugian besar Sime Darby Berhad tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab.

Ketika ditanya mengenai perkara itu semalam, Perdana Menteri berkata:

"'Kita perlu tengok dulu apa punca kerugian. Ini kita kena kaji sebelum kita boleh buat apa-apa tentang kebertanggungjawaban dalam soal ini".

“Sime Darby mengalami kerugian besar akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion. Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Najib sebagai Menteri Kewangan adalah orang yang paling bertanggungjawab terhadap kerugian itu," kata Salahuddin.

Menurut beliau, berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.

"Ia bermakna pegangan PNB dan KWSP dalam Sime Darby berjumlah 66 peratus dan kedua-duanya bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri," kata beliau.

Rakyat, katanya, tidak boleh menerima penjelasan bahawa lembaga pengarah Sime Darby yang turut dianggotai oleh wakil-wakil dari PNB dan KWSP tidak menyedari awal-awal lagi kemungkinan kerugian yang akan dialami.

"Peniaga kecil pun membuat kajian kemungkinan (feasibility study) dan penilaian prestasi (performance appraisal), sebab itulah rakyat tidak boleh menerima jika lembaga pengarah Sime Darby didakwa tidak menyedari kerugian itu sejak dari awal lagi," kata Salahuddin.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sejak dari awal lagi beliau mempersoalkan di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.

"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?
"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah GLC itu termasuk wakil-wakil dari PNB dan KWSP?" tanya Salahuddin.

Lebih dari itu, katanya, jika kerugian itu dikesan sejak dari awal lagi, adakah PNB dan KWSP tidak melaporkannya kepada Menteri Kewangan.

"Sebab itulah saya menyatakan sebelum ini, jika Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan tidak sedar kerugian yang sebegitu besar, sistem kebertanggungjawaban apa yang digunakan oleh kementeriannya?

"Tidak sedar bermakna kelalaian atau negligence dan negligence boleh dianggap breach of duty.
"Sebab itulah jika Perdana Menteri tidak sedar, beliau tidak layak menjadi Menteri Kewangan dan rakyat mesti menuntut beliau berundur.

"Jika beliau telah dilaporkan awal-awal tentang kerugian itu dan tidak berbuat apa-apa, adalah jelas beliau adalah sebahagian dari pihak yang bersalah atas kerugian itu dan beliau mesti berundur jika beliau seorang yang bertanggungjawab dan bersifat patrotik kepada negara ini," katanya.

Salahuddin juga meminta rakyat menyedari bahawa kerugian Sime Darby bukanlah yang pertama yang dialami oleh GLC dan tidak semesti yang terakhir.

"Sebelum ini kita mendengar kerugian Mas, Maybank dan sebagainya. Semua itu hakikatnya adalah simptom kepada penyakit sebenarnya iaitu pentadbiran Umno dan Barisan Nasional yang sarat dengan kelalaian, kepentingan sendiri, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa," katanya.

Read more ...

Kumpulan kompang baik untuk belia

CIMG3941.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 21 Mei : Sekumpulan anak muda kira-kira 20 orang dari Parit Sungai Labu Bawah menggunakan masa terluang mereka dengan menyertai kumpulan kompang. Kumpulan kompang ini yang diketuai oleh Khairul Hanafi ,20 .
Khairul yang sedang menunggu tawaran kemasukan ke universiti berkata, beliau bersama-sama remaja berlatih bermain kompang setiap hari.

" Bagi remaja yang bersekolah pagi akan berlatih pada waktu petang manakala yang bersekolah petang akan berlatih waktu pagi.
" Kumpulan kompang ini di bawah program Rakan Muda dan sering menyertai program-program di rumah kenduri kahwin dan majlis-majlis keraian lainnya" katanya
Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa beserta pengiringnya, Jasni Ahmad dan Abdul Wahid Mat Deris berkesempatan melawat kumpulan ini dan menyatakan rasa gembira di atas sikap anak-anak muda di kampung ini yang mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.
" Saya berharap kumpulan ini akan terus berkembang dan mendapat perhatian masyarakat setempat.

" Saya menyeru para belia di kawasan lain agar mengambil inisiatif yang sama bagi mengisi masa mereka yang terluang" katanya

Menurutnya, penyertaan dalam aktiviti sebegini akan dapat menghindarkan golongan remaja dari terjebak dengan aktiviti sosial yang membuang masa dan tiada faedah.

Read more ...

Cadangan cuti bersalin 90 hari ke mesyuarat Exco











KOTA BHARU , 21 Mei : Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, pihaknya akan membawa cadangan cuti 90 hari bagi kakitangan wanita Kerajaan Negeri dalam mesyuarat Exco nanti.

Beliau berkata, cadangan tersebut dapat memberi peluang kepada kakitangan wanita untuk berehat dan memberikan perhatian kepada bayi yang dilahirkan serta memberi peluang kepada golongan wanita untuk kembali pulih seperti biasa.

“Pihak kami bersetuju dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap permohonan tersebut dan usaha yang dijalankan Ke-satuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, usaha mendapatkan sejuta tandatangan daripada orang awam adalah langkah yang paling bijak.

Wan Ubaidah berkata, tujuan tersebut adalah untuk meminta pertimbangan Kerajaan Pusat menimbangkan pemberian cuti 90 hari kepada kakitangan wanita yang bersalin di negara ini.

Menurutnya, sebagaimana di negeri ini sebanyak 90 peratus kakitangan di peringkat sokongan (pengkeranian) adalah melibatkan wanita.

“Jadi dengan adanya kempen yang digerakkan itu kerajaan negeri pun akan berusaha ke arah cuti 90 hari bagi kakitangan wanita negeri ini dan saya akan membawanya kepada mesyuarat Exco nanti,” katanya.
SH

Read more ...

Protes judi bola seluruh negara





KUALA LUMPUR, 21 Mei : PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.
Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada
Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat "secara aman di dalam perkarangan masjid".

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara
rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindaka
n itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

"Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi," katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

"Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun," kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS


Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

"Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok," katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana "ia adalah satu perhimpunan aman".

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong. Malaysiakini

Read more ...

Pendedahan Dr. Selvaa perlu disiasat bukan dihukum











PETALING JAYA, 21 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) melakukan siasatan terhadap Doktor V P Selvaa sebelum menghukumnya.

Ia berikutan tindakannya membongkar keadaan pesakit orang asli di sebuah hospital Orang Asli di Gombak.

Weng San berkata, disebabkan pendedahan itu, Dr Selvaa dikenakan surat tunjuk sebab oleh jabatan berkenaan pada 19 April lalu.

“Doktor Selvaa menerima surat atas tindakannya membongkar peristiwa itu dan dikatakan melanggar peraturan tetap kakitangan awam.

“Beliau juga difahamkan turut membongkar perkara itu ke Majlis Peguam Malaysia pada 11 Februari lalu dan mengatakan bahawa rawatan yang diberi kepada pesakit Orang Asli tidak memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Weng San berkata, tindakan Dr Selvaa yang berani itu diikuti dengan peristiwa tunjuk perasaan yang diadakan di hospital berkenaan pada 24 Februari lalu oleh lebih daripada 30 penduduk Orang Asli.

“Saya berasa kecewa dengan tindakan jabatan itu kerana tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan yang dialami oleh golongan Orang Asli.

“Selain itu, masalah yang ditimbulkan Dr Selvaa itu berkait rapat dengan profesionalisme perkhidmatan perubatan di Malaysia dan sebagai seorang doktor perubatan yang bertauliah, beliau berhak untuk menyuarakan kepincangan dalam perkhidmatan perubatan kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan pembetulan boleh diambil,” katanya.

Katanya, Dr Selvaa memilih untuk membongkar perkara itu kepada pihak luar kerana tidak melihat sebarang tindakan susulan daripada pihak berkenaan bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku.

“Mereka harus menyiasat tuduhan yang dibuat dan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tidak menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Saya menyarankan kabinet dan Perdana Menteri campur tangan dalam hal ini kerana seseorang kakitangan awam tidak harus dipersalahkan hanya kerana beliau menyuarakan kebenaran,” katanya.
SH

Read more ...

Tiada lompat parti jatuhkan kerajaan PR Kedah








ALOR SETAR , 21 Mei : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution menafikan khabar angin mengenai tiga wakil rakyatnya di Kedah akan lompat parti.

Beliau yakin dengan kesetiaan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit dan tiada keperluan untuk mereka keluar parti kerana kepimpinan di Kedah berada pada tahap memuaskan

“Saya percaya wakil rakyat PKR di Kedah tidak akan keluar parti, seperti yang heboh dikatakan sekarang ini. PKR Kedah masih kuat dan tidak bermasalah,” katanya pada sidang media sebelum mengadakan perjumpaan dengan barisan kepimpinan PKR Kedah, semalam.

Saifuddin berkata, tujuan berjumpa pemimpin PKR Kedah sehingga ke akar umbi adalah untuk mengetahui situasi sebenar selain memantau keadaan supaya apa yang disebarkan tidak menjadi kenyataan.

“Lebih baik saya sendiri bersemuka dengan wakil rakyat terbabit dan bertanya apa sebenar yang berlaku, daripada hanya mendengar daripada pihak luar. Apabila berbincang dengan mereka, tak ada apa pun,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang di negeri ini bahawa dalam masa terdekat, tiga Exco PKR dan seorang ADUN akan melompat parti dan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Mereka yang dikatakan akan berbuat demikian ialah S Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Dakwaan ini timbul berikutan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin baru-baru ini, yang membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak akan berulang di Kedah dalam waktu terdekat.

Saifuddin berkata, semua anggota parti hendaklah menjalin kerjasama sebaiknya dan menjaga persefahaman dalam kalangan ahli.

Mesyuarat itu turut membincangkan persediaan Kongres PKR di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu, 28 Mei depan.
SH

Read more ...