Wednesday, September 29, 2010

Momok Mahathir takut Umnoputra hilang kuasa


































SHAH ALAM, 30 Sept. : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memomok-momokkan kononnya masyarakat Melayu akan kehilangan kuasa jika Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat sebenarnya menyerlahkan ketakutan golongan elit Umnoputra kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum akan datang.


Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail yang menyanggah dakwaan Dr Mahathir itu berkata kenyataan beliau amat tidak tepat dan malah berunsur ugutan kerana yang mengkhianati umat Melayu dan Islam adalah Umno itu sendiri.


"Ini terbukti dalam kes Perlembagaan membabitkan Raja-Raja Melayu dan penarikan bantuan sekolah-sekolah agama.


"Ia juga terbukti dalam pengagihan peluang perniagaan, permit AP dan saham yang hanya tertumpu kepada golongan elit pemerintah Umno sahaja dan bukan rakyat terbanyak," tegas beliau kepada Suara Keadilan.


Tambahnya lagi, ini berpunca daripada kegagalan Umno untuk mengekalkan kerjasama baik di antara kaum yang akhirnya melemahkan tapak sokongan Melayu.


"Tohmahan beliau ini adalah tohmahan daripada seorang yang mempunyai hati yang sangat busuk, berbaur kebencian yang tidak terubat bila melihat kejayaan KEADILAN dan PAS khususnya dalam mendekati masyarakat Melayu," ujar Saifuddin lagi.


Minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.


Bekas Perdana Menteri itu turut menuduh PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.


Dr Mahathir juga menuduh KEADILAN bukannya untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

Read more ...

Barat sokong pemerintah Islam zalim

































SHAH ALAM, 30 Sept. :
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap kuasa-kuasa Barat yang menutup sebelah mata terhadap pemerintahan zalim di beberapa negara yang menindas secara terang-terangan hak asasi manusia atas alasan mempromosi demokrasi.


Anwar menyelar sikap ini yang dilihat sebagai hipokrit di mana kuasa Barat menyokong negara yang menindas rakyatnya sendiri tetapi pada masa yang sama mengecam tindakan serupa di negara lain.

"Anda tidak boleh berkata," berikan kami sokongan anda dalam perang melawan terorisme dan kami tidak akan campur tangan dalam hal dalaman anda. Polisi 'anda garu belakang saya, saya garu belakang anda' mungkin bagus untuk diplomasi realpolitik tetapi ia adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan menegakkan demokrasi dan kebebasan.

"Malangnya inilah pendekatan bersikap hipokrasi kepada demokratisasi yang kita lihat di kebanyakan negara islam yang hidup dalam merana di bawah sistem demokrasi palsu.

Pemerintahan sebegini diselaputi dengan imej demokrasi yang muluk tetapi pada hakikatnya penuh dengan kedurjanaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Demokrasi seperti ini menggunakan seluruh apparatus negara dan mengeksploitasi dana rakyat demi agenda serta kepentingan peribadi mereka. Mereka merompak perbendaharaan negara, merampas kawasan tanah prima dan bernilai tinggi dan menganugerahkannya kepada kaum kerabat, kroni serta mengambil jutaan ekar hutan dara dan mentransformasinya kepada tanah yang kontang dan tidak berguna," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Why Islam and Democracy are destined to coincide' di Brussels Selasa lalu.

Dalam ucapannya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan ideologi Islam yang berteraskan kepada konsep keadilan dan mempromosi keamanan dan perpaduan sejagat.

Beliau mengecam golongan yang menggunakan nama Islam untuk melakukan kezaliman dan penindasan ke atas orang Islam di negara yang kononnya mengaku mengamalkan sistem Islam.

"Mereka yang mengkritik Islam berkata ia bukan sahaja membenarkan malah menggalakkan pengikutnya untuk melakukan keganasan atas nama jihad. Ini pendapat yang mengarut. Mereka turut menggunakan ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat mereka.

Memang ada, tapi mereka mentafsirnya secara ekstrim. Sebaliknya, hakikat sebenar ialah Islam melarang keganasan dan terorisme kerana ia mendokong prinsip kesederhanaan dan perlindungan nyawa dan keselamatan. Ini tersirat di bawah doktrin maqasid al-Shari’ah, satu instrumen yang amat penting dan signifikan untuk memajukan masyarakat Islam.

"Bagaimanapun ia telah dipinggirkan dan diketepikan. Melalui doktrin ini umpamanya, jihad adalah seruan kepada umat untuk mentaati tiang agama dengan berbuat amalan baik dan menjauhi kemungkaran, menegakkan keadilan, menganjurkan amal jariah dan membantu golongan lemah dan terpinggir.

"Ia bukannya laungan untuk berperang, apatah lagi melakukan kerosakan dan membunuh. Lebih penting, jihad menggalakkan orang Islam mewujudkan keamanan dan melindungi kesucian nyawa dan harta benda. Ini merupakan prinsip yang selari dengan desakan demokrasi," jelas beliau lagi.

Anwar menjelaskan mereka yang menyeru kepada keganasan dan terorisme atas nama jihad tidak mendapat sokongan terhadap aliran Islam yang mereka reka.

Mengambil contoh Indonesia di mana semasa dua pilihan raya umum yang lepas memperlihatkan rakyat negara itu menolak secara mutlak golongan radikal yang menunggangi atas tiket jihad.

Kata beliau, perkembangan ini penting untuk menyanggah pemikiran bahawa demokrasi di dalam negara majoriti orang Islam senang dipengaruhi oleh ekstremis dan radikal.

Malah kata Anwar, Islam menggalakkan umatnya mempertahankan kesamarataan, keadilan dan maruah insan.

Jika keganasan dan terorisme disebar luaskan oleh umat Islam atas nama Islam maka yang dipersalahkan pengikutnya dan bukan agama.

Menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi puncanya tidak diatasi dan diselesaikan.

Tambah Anwar, Turki adalah contoh baik di mana pemimpinnya memegang taat kepada prinsip asas kenegaraan Islam: modernis, sederhana, progresif dan toleransi dengan keadilan dan negara hukum sebagai motto pemerintahan.

Anwar berkata referendum baru-baru ini yang menyokong perubahan asas kepada perlembagaan untuk mengukuhkan demokrasi adalah bukti jelas.

Dalam hal ini pemimpin Turki amat berlawanan dengan pemimpin autokratik dan diktator di sesetengah negara Islam yang terus menafikan rakyat nikmat demokrasi dengan mengamalkan sikap ekstrim.

"Jadi hakikatnya serangan ke atas kebebasan dan demokrasi bukan datangnya dari Islam walaupun kebanyakan yang melakukannya adalah orang Islam. Indonesia dan Turki membuktikan demokrasi bukan sahaja diterima malah amat penting dalam Islam. Sebaliknya musuh Islam bukan dari demokrasi tetapi adalah kezaliman, rasuah, tirani, dan ketamakan.

"Kebebasan dan demokrasi adalah sebahagian daripada kebenaran hakiki yang membezakan antara makhluk di bumi ini. Isu sebenar bukannya Islam dan demokrasi ditakdirkan selari tetapi samada golongan yang berkuasa di negara Islam akan menghormati kebebesan dan demokrasi, memartabatkan undang-undang dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat. Jika ini tidak berlaku adalah wajib bagi kita merealisasikannya dan itu satu perjuangan yang wajar.

"Kemodenan Islam di Asia Tenggara dicerminkan oleh adaptasi prinsip kebebasan dan demokrasi untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas. Dari segi ini peralihan rantau ini kepada demokrasi menyanggah ide Islam dan demokrasi tidak selari.

"Tindakan menyamakan Islam dengan sikap tidak toleransi dan keganasan pun tidak mempunyai asas dalam realiti. Orang Islam memerintah Sepanyol berkurun lamanya dan ini disahkan oleh rekod sejarah sebagai bukti jelas kepada toleransi dan semangat hidup muafakat antara orang Islam, Kristian dan Yahudi.

"Di Asia Tenggara, pedagang dan ahli Sufi menyebarkan agama melalui stail dakwah akomodatif yang menarik minat penganut yang pada masa sama mengekalkan aspek signifikan budaya pra-Islam. Ini menjelaskan bagaimana kepelbagaian budaya dan agama wujud dalam negara bermajoriti Islam," tegas Anwar dalam ucapannya.

Anwar berkata adalah penting merubah kekakuan aliran idealogi yang menjurus kepada persepsi bahawa ajaran Islam adalah kaku dan eksklusif.

Hakikat bahawa Islam mampu mengadaptasi kepada keadaan sekeliling menunjukkan sifat inklusifnya.

" Bagi memastikan negara Islam bergerak ke arah memartabatkan demokrasi berperlembagaan dan menterjemahkannya kepada realiti, adalah penting mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, memastikan pemisahan kuasa dan menjamin kebebesan hak sivil termasuk membenarkan penglibatan wanita dalam arean politik.

"Pendakwaan bersifat kedengkian, penahanan rambang, dan salahguna apparat negara untuk mengekang musuh politik mestilah dihapuskan. Reformasi ini mesti dilaksanakan, jika tidak harapan pertembungan Islam dan demokrasi hanyalah satu fatamorgana," kata Anwar.

Read more ...

Pengasas Pondok Pak Teh meninggal dunia


































GERIK, 30 Sept. : Pengasas Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pondok Pak Teh, Tuan Guru Dato' Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman (Gambar) atau lebih dikenali sebagai Pak Teh telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Pak Teh mendirikan pusat pengajian ini pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian ini teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya menjadi kontaversi setelah semasa 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelumnya tetapi tidak dilulus.

Pak Teh dalam kenangan :-

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampong Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa yang terletak di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana beliau berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan. Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan selama lebih 9 tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Haji Mohamad Saman, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik, dan juga ulama-ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Mustafa, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga minat bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya dimana pelbagai jenis tanaman di tanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, tanam-tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam ialah seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan macam-macam lagi buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut menjangkaui usia lebih 35 tahun bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Pak Teh merupakan ahli jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak dari tahun 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermatnya beliau dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa Syariah dan majlis fatwa Perak.

Diatas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan DYMM Paduka Sultan Perak ke 76 baru-baru ini. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kebanyakkan pengajian ilmu dimadrasah ini adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah ini yang berasaskan system pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi.Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin(tasawuf), Mughni Muhtaj(feqah), Syuzu(nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad(feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

SemugaRohnya ditempatkan bersama roh para Rasul dan Nabi, syuhada dan solihin diatas kegigihannya memperjuanbgkan agama Allah.....Al Fatihah..

Read more ...

Buang masa layan PERKASA

























SHAH ALAM, 30 Sept. : Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menganggap cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) untuk mengadakan rundingan meja bulat antara orang Melayu di dalam KEADILAN, PAS dan Umno sebagai satu pelawaan biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pada ketika ini, KEADILAN dan PAS mempunyai agenda yang lebih penting dan lebih utama daripada itu.


"Saya berpendapat adalah lebih baik KEADILAN dan PAS memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting daripada menerima pelawaan Perkasa untuk mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu orang Melayu.


"Kita menganjurkan supaya Perkasa meneruskan sahaja kerja buat mereka dalam lapangan yang mereka percaya.

"KEADILAN pula dalam konteks tersebut akan memfokuskan isu-isu utama seperti persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang serta memperkukuhkan organisasi," ujar beliau.

Pada masa yang sama, KEADILAN kata Ahli Parlimen Machang itu akan memperhebatkan lagi siri penerangan kepada rakyat terbanyak.

"Dalam kata lain, saya berpendapat pelawaan Perkasa itu sebagai pelawaan biasa dan tidak perlu diberikan tumpuan dan perhatian," ujar beliau.

Ahad lalu, Wira Perkasa Kedah mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN bagi membincangkan beberapa isu yang disifatkan menjadi penyebab perpecahan Melayu.

Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu.

Read more ...

Ahli Umno diajak sertai PAS




























KOTA BHARU , 30 Sept, : Ahli UMNO diajak sertai PAS dalam usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu sepatutnya berada di dalam PAS memandangkan parti itu mewakili semua yang beragama Islam dan sebagai orang Melayu yang beragama Islam tidak ada sebab parti itu ditolak.


“Tak perlu bertanding... saya sokong sangat la. Kalau boleh untuk berterusan. Melayu hanya satu, kenapa parti ada dua. Jadi kalau boleh bukan setakat pilihan raya kecil ini sahaja UMNO tak payah bertanding.

“Semua Melayu duduk dalam PAS. Islam ini bukan untuk Melayu sahaja untuk umat manusia semua. Maka Melayu tak Melayu pun semua duduk di dalam PAS. Senang tak ada apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya UMNO tidak bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.SH

Read more ...

PAS sudah ada calon


KOTA BHARU, 30 Sept. : PAS Kelantan sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Beliau berkata, parti itu memilih anak tempatan sebagai calon memandangkan sebelum ini jawatan itu juga disandang oleh wakil tempatan.


“PAS memang pilih calon tempatan. Calon yang meninggal dunia itu pun orang tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 354 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Bharu, di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini parti itu masih belum membahaskan apa-apa usul berhubung siapa calon yang akan mewakili parti itu.

“Fasal calon itu kita belum bahas lagi. Belum tiba masa lagi. Tetapi dalam parti tak ada samar-samar. Calon memang kita belum pilih lagi tetapi sudah dikenal pasti,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan juga berharap pengundi di Gua Musang terutama yang telah mengundi parti itu akan terus mengundi calon yang mewakili parti tersebut.

“Saya harap pada pengundi yang telah mengundi arwah terus mengundi PAS. Pada rakyat Kelantan yang belum mengundi PAS cuba mengundi. Alih rasa sikit.

“Kita juga tidak ketandusan calon. Sekarang kita (mungkin akan) bagi peluang kepada orang Cina dan orang India pula. Calon makin banyak,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan kerana penyandangnya, Chek Hashim Sulaima 46, meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.SH

Read more ...

PAS boleh menang besar


KUALA TERENGGANU, 30 Sept. : PAS yakin dapat mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti dengan majoriti lebih besar berbanding keputusan pilihan raya umum lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, keyakinan itu berdasarkan keadaan UMNO sendiri yang sudah tidak lagi berfungsi di Kelantan, selain PAS mendapat sokongan daripada veteran UMNO.


Malah beliau mendakwa, sokongan kepada calon PAS itu juga akan datang daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memang mempunyai pengaruh besar di kawasan berkenaan.

“Kita tidak nafikan pengaruh Tengku Razaleigh di sana sebab itu kubu dia, tapi Tengku Razaleigh sendiri pun insya-Allah akan beri sokongan kepada calon PAS nanti.

“Dia orang bijaksana. Biasanya dia pandai mengukur suasana dan realiti, veteran UMNO pun sudah ramai dengan PAS khususnya dalam pilihan raya akan datang sebab dah hilang keyakinan kepada UMNO,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu semalam yang dihadiri kepimpinan Pas negeri dan penyokong parti itu.

Mengulas mengenai calon kerusi DUN Galas, Harun berkata, belum ada perbincangan dibuat namun pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada PAS Kelantan untuk memilih mana-mana orang tempatan yang sesuai.

Ditanya cadangan PAS supaya UMNO tidak bertanding menentang PAS di DUN Galas, beliau mengalu-alukan saranan itu kerana merasakan UMNO tidak lagi berfungsi dengan baik di Kelantan.SH

Read more ...