Monday, August 16, 2010

Kerajaan BN luluskan lesen balak Rimba Teloi


ALOR SETAR, 17 Ogos : Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan lesen pembalakan di Hutan Simpan Rimba Teloi sepanjang dua tahun memegang tampuk pemerintahan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kawasan pembalakan yang diluluskan melalui tender terbuka adalah di Bukit Kachi, Tiang Layar, Ulu Muda dan Gunung Inas sahaja.


“Tidak ada di Rimba Teloi. Kelulusan itu dibuat ketika Barisan Nasional memerintah sebelum ini, iaitu pada 28 Ogos dan 9 November 2005,” katanya.

Menurutnya, setiap kawasan pembalakan melalui proses kelulusan yang ketat, di bawah seliaan Jabatan Perhutanan. Mana-mana kawasan yang diluluskan dalam Jawatankuasa Hasil Bumi mengambil masa satu hingga tiga tahun untuk proses ‘tagging’ (tanda pokok yang boleh ditebang), persempadanan, dan memproses lesen menebang.

“Itu prosedur biasa. Oleh kerana Kerajaan Negeri tidak keluarkan lesen di kawasan itu. Oleh itu jika ada pembalakan seperti didakwa, ia adalah kawasan yang diluluskan oleh Kerajaan BN,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kelulusan yang diberi tidak boleh ditarik balik walaupun pemerintah bertukar.

“Jika Kerajaan Negeri cuba batalkan mana-mana kawasan yang telah lulus sebelum itu, kelak boleh disaman atau didenda. Ada kes di Kelantan, kerajaan kena bayar beratus-ratus juta walaupun kes kelulusan pembalakan itu berlaku di zaman BN,” katanya.

Menurutnya, mana-mana kawasan yang diluluskan telah melalui proses standard yang termaktub dalam undang-undang (Akta Parlimen) yang telah diluluskan.

“Kelulusan pembalakan pada zaman 2006-2009 sangat ‘memilukan’, hanya sekitar RM6 juta hingga RM10.8 juta hasil pembalakan negeri. Kuota tebangan ditetapkan ialah 2,340 hektar, tidak termasuk tanah kerajaan dan kuota tahun sebelumnya yang tidak dihabiskan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini memperolehi antara RM35 juta hingga RM38 juta premium tidak termasuk cukai kayu per/tan pada 2008 hingga 2009.

“Saya kesal ada wakil rakyat UMNO cuba keruhkan keadaan. Buat masa ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan JKM sedang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan terbabit,” katanya.SH

Read more ...

Skandal Peguam Negara didedah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg3dcKsB_G2pzO-UywvhUMeODFK1X9aFjV-IA9gRkghOW8uDuAlYj-7rdOa_-d3FtvYU2m9iSrHhqF9YNaeonsAQ9W-2FvRwfKuMd9QYJk2MAljWS1KfPJYJJHQru-1aQtslA8TQjQ1718/s1600/gani_azailiza1.jpg

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Jabatan Peguam Negara sekali lagi menarik perhatian umum apabila Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri didakwa mempunyai hubungan romantis dengan salah seorang anggota bawahannya, Datuk Azailiza Mohd Ahad.

Menurut penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) dalam kolumnya, No Holds Barred, hubungan romantis Abdul Gani dan Azailiza, Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa itu sebenarnya merupakan rahsia umum di kalangan kakitangan Jabatan Peguam Negara.

"Ya, semua orang tahu mengenai hubungan sulit ini. Ianya bukan lagi rahsia. Peguam Negara (Abdul Gani) dan Azailiza acapkali bersama ke luar negara, dan bagi menjimatkan wang pembayar cukai, mereka memilih untuk berkongsi kamar hotel dari menyewa (kamar) hotel yang berasingan," dakwanya seperti dipetik dari artikel Okay, What About This Affair Than? di sesawang Malaysia Today, http://malaysiaktoday.net.

Difahamkan, pendedahan terbaru itu dibuat selepas beliau mendedahkan tentang skandal membabitkan salah seorang pasukan Abdul Gani, Farah Azlina Latif dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung bulan lepas.
Pada satu kenyataan rasmi 27 Julai lalu, Abdul Gani akhirnya menggugurkan Farah sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga pemilik blog Malaysia Today turut mempertikai kredibiliti Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi (dilantik sejak 2008) di samping menganggap kesemua pendedahannya itu sebagai skandal seks yang mencalar imej Istana Keadilan.

"Nampak gayanya, sangat banyak skandal seks di Istana Keadilan.

"Apatah lagi Ketua Hakim Negara mengahwini isteri keduanya di Thailand secara tidak sah lalu kemudiannya menghapuskan bukti berkaitan bagi mengelak sebarang pendakwaan, seperti juga kawan kita Ahli Parlimen dari Sabah," tulis beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau yang kini masih diburu oleh kerajaan ekoran pendedahan eksklusifnya berhubung pemimpin-pemimpin tertinggi tertentu negara sekali lagi mempersoal kredibiliti mereka yang terbabit dalam menguruskan soal keadilan di institusi kehakiman negara.

"Terfikirkah kita sama ada mereka mempunyai cukup masa untuk menyediakan kes di mahkamah," sinisnya lagi.

Di sebalik pendedahan terbaru itu, beliau sekali lagi mempersoal sikap diam diri Abdul Gani berhubung pendedahannya sebelum ini; iaitu hubungan romantis antara Farah dan Saiful.

"Kenapa Peguam Negara tidak mahu mengesahkan atau menafikan dakwaan salah seorang anggota pasukan pendakwaan mengadakan hubungan dengan saksi utama (Saiful)," soalnya.

Baginya, tindakan Abdul Gani menggugurkan Farah dari pasukann pendakwaan tanpa mengesahkan atau menafikan dakwaannya itu semata-mata untuk menyelamatkan diri dan Jabatan Peguam Negara yang ditadbirnya.

"Beliau (Abdul Gani) tidak mahu mengambil risiko ke atas dirinya kerana pertamanya beliau tahu bahwa sekiranya beliau menafikan lebih banyak keburukan akan terdedah.

"Bahkan, beliau paling risau sekiranya saya mendedahkan satu lagi hubungan sulit, iaitu antara beliau dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Datuk Azailiza Mohd Ahad," katanya seperti dalam artikelnya.

Tuntas dari itu, beliau membuat rumusannya sendiri berhubung ketetapan terbaru Mahkamah Tinggi menolak permohongan Anwar, Ketua Pembangkang untuk menggugurkan kes liwat disebabkan wujudnya hubungan romantis yang membabitkan saksi utama, Saiful.

"Dengan erti kata lain, adakah berlaku sebarang 'cakap-cakap di ranjang' semasa hubungan sulit tersebut diadakan?"

"Dan mahkamah yakin tidak ada 'cakap-cakap di ranjang', hanya hubungan intim sahaja. Jadi tidak ada salah pendakwaan dan maka pertuduhan terhadap Anwar itu tidak perlu digugurkan," beliau bertegas.

Pendedahan terbaru yang dibuatnya semalam itu dijangka memetakan sekali lagi keputusan berunsur politik di Istana Keadilan dan Jabatan Peguam Negera kelak.

Read more ...

Umno cari publisiti murahan

SIK, 17 Ogos: Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik menyelar pemimpin-pemimpin Umno di negeri Kedah dan media-media pro mereka yang mempolitikkan kejadian banjir kilat di daerah Sik dan Baling, kelmarin.

Menurutnya, Umno Kedah kini dilihat begitu terdesak untuk menjadi juara rakyat apabila meletakkan kesalahannya kepada kerajaan negeri yang didakwa kononnya membiarkan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Sungai Semeliang dan Ulu Muda yang berhampiran daerah itu.

"Sebenarnya aktiviti pembalakan di situ telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu dan telah berlaku sejak tahun 2004 lalu lagi, sebab apa baru sekarang mereka nak pertikaikannya?

"Mereka tak ada sewaktu kita semua sibuk menyelamatkan dan membantu mangsa, tapi bila dah selesai mereka datang bersama-sama media menyingsing kaki seluar kononnya prihatin dan simpati dengan apa yang menimpa rakyat," katanya.

Che Uda berkata, Umno tidak ikhlas membantu rakyat yang di dalam kesusahan tetapi sebaliknya hanya berhasrat mencari publisiti murahan dan cuba menangguk di air yang keruh.
"Sepatutnya mereka datang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat dan bukannya datang mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Tindakan mereka menyalahkan kerajaan negeri tanpa usul periksa hanya disebabkan beberapa batang balak reput yang hanyut seperti yang disiarkan media-media Umno menyerlahkan sikap kepura-puraan mereka dalam cubaan mereka menjuarai isu-isu berkaitan rakyat di Kedah ini.

"Saya alu-alukan sebarang tindakan mereka untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya badan itu menyiasat dan mendedahkan sebarang penyelewangan berkaitan kelulusan kawasan pembalakan seperti yang mereka dakwa itu," jelasnya.

Menurut Che Uda lagi, kejadian yang berlaku Sabtu lalu telah mengakibatkan beberapa buah kampung di daerah itu telah dinaiki air dan sebahagian daripada penduduk terlibat telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Chepir dan Sekolah Maktab Mahmud.

"Hujan lebat yang berterusan beberapa hari telah mengakibatkan limpahan air di hulu dan kesan daripada itu sejumlah 170 buah rumah di beberapa buah kampung di sini telah dinaiki air dan dimasuki lumpur.

"Sebaik kejadian, kami bersama-sama Pejabat Daerah Sik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan keselamatan telah berganding bahu membantu dan menyelamatkan mangsa yang terlibat dan bantuan segera telah disalurkan kepada semua mangsa.

"Kejadian ini telah menyebabkan kerugian yang banyak dan saya berharap mangsa dapat bersabar kerana pihak yang terbabit sedang menilai jumlah kerosakan dan sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan seterusnya," ujarnya.

Kesemua mangsa yang dipindahkan telah kembali ke rumah masing-masing selepas air surut dan pusat penempatan sementara yang dibuka telah ditutup.

Read more ...

11 Pemuda Umno tetap letak jawatan


ALOR SETAR , 17 Ogos : Sebelas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yang meletak jawatan pada 7 Ogos lalu sebulat suara tidak mahu bersemuka dengan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menyelesaikan kemelut itu.

Mereka juga memutuskan untuk tidak akan berbincang lagi dengan Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah,


Bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Azreen Azizan berkata, mereka telahpun menghantar surat peletakan jawatan kepada UMNO Malaysia pada 10 Ogos lalu, melalui faksimili dan salinan turut diserahkan kepada UMNO Negeri dan Bahagian melalui Setiausaha masing-masing.

“Ingin saya ulangi pendirian kami meletak jawatan kerana berasakan dipinggirkan daripada pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008 selain hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan Bahagian dan pelbagai masalah tidak puas hati yang berbangkit,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, tindakan mereka bukan mahu mengkhianati parti, sebaliknya berasakan tidak lagi dapat melaksanakan tanggungjawab yang sewajarnya.

“Kami meletak jawatan bagi membolehkan AJK baru dilantik, bukan disebabkan ada unsur-unsur hasutan daripada mana-mana pihak. Malah peletakan jawatan beramai-ramai ini tidak dirancang, ia berlaku spontan setelah masing-masing berdepan masalah yang hampir sama,” katanya.

Mohd Azreen berkata, mereka telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Bashah sebelum ini, tetapi perkara yang dibangkitkan tidak pernah selesai.

“Kami rela lepaskan jawatan agar AJK baru lebih aktif bergerak tmenjelang pilihan raya akan datang. Kami akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Mohd Azreen turut menafikan kenyataan Ahmad Bashah, yang mendakwa tidak tahu punca mereka letak jawatan.

“Kepimpinan parti tidak membantu menjalankan program rakyat, malah kami terpaksa keluar belanja sendiri anjur program parti,” katanya.

AJK terbabit ialah Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Elias Haron, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Ros Mahadi Hashim, Che Nat Said dan Mohd Shaharudin Manaf.SH

Read more ...

11 AJK Pemuda Umno bahagian Alor Setar letak jawatan



























ALOR SETAR, 16 Ogos : Sebelas ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Alor Setar telah meletak jawatan berkuatkuasa 7 Ogos lepas dengan alasan tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian kerana meminggirkan peranan pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008.

Mereka terdiri penolong setiausaha, Mohd Azreen Azizan, selain Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Elias Haron, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira bin Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Ros Mahadi Hashim, Che Nat Said dan Mohd Shaharudin Manaf.

“Kami tidak mahu mengkhianati parti dan atas sebab ini kami merasakan tidak lagi boleh melaksanakan tanggungjawab dan sewajarnya kami meletak jawatan bagi membolehkan AJK baru dilantik,” kata Mohd Azreen kepada pemberita.

Beliau menafikan kenyataan Ketua Bahagian Umno Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mendakwa tidak mengetahui punca sebenar peletakan jawatan mereka.

Katanya mereka telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah, tetapi perkara yang dibangkitkan tidak pernah selesai.

Mohd Azreen berkata mereka telah menghantar surat peletakan jawatan kepada ibu pejabat Umno pada 10 Ogos lepas dan salinan kepada kepada Umno negeri.

Katanya mereka akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Bernama

Read more ...

Petisyen online sokong Dinar Kelantan

































KUALA LUMPUR, 16 Ogos:
Satu petisyen online telah dibuka bagi menarik sokongan rakyat negara ini terhadap penggunaan dinar emas dan dirham perak Kelantan yang menjadi pertikaian hangat pada waktu ini.

Petisyen tersebut dikumpul melalui laman www.ipetitions.com/petition/dinarkelantan yang dibuka sejak semalam.

Menurut tulisan tertera di petisyen tersebut, ianya dianjur oleh dinarkelantan.com.my, bagaimanapun carian server web tersebut di internet tidak dijumpai.

Difahamkan petisyen online ini dibuat ekoran timbul usaha pihak kerajaan pusat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan kerana mengeluarkan mata wang sendiri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein sebelum ini mendakwa hanya kerajaan persekutuan melalui Bank Negara Malaysia mempunyai hak mutlak untuk mengeluarkan matawang dan kerajaan negeri adalah tidak berhak.

Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini telah menafikan penggunaan emas dinar dan dirham perak yang dikeluarkan negeri itu sebagai matawang secara mutlak.

Tetapi menurutnya, kerajaan negeri mengisytiharkan ianya sebagai medium perniagaan yang diterima di beberapa kedai yang berdaftar dengan pihak yang berkaitan.

Dalam pada itu, Husam melalui blognya www.husammusa.com juga turut mengulas perkembangan terbaru kerajaan pusat tersebut.

Beliau mempertikai kenapa isu penggunaan kedua dua wang tersebut kini dijadikan isu besar.

"Kenapa Awang Adek (juga terutamanya Tun Mahathir) yang sebelumnya pernah memuji pengenalan semula dinar emas tiba-tiba telah menayangkan urat-sarafnya (muscles) sebagai Timbalan Menteri Kewangan apabila pihak di Kelantan memasyhurkan apa yang pernah Awang Adek sendiri puji?" soalnya.

Menurutnya, sehingga kini belum ada pihak yang mendakwa yang kepingan syiling emas dan perak yang diperkenalkan oleh Kelantan itu sebagai mata-wang secara mutlak atau matawang alternatif.

Sebaliknya, ianya diisytiharkan sebagai medium perniagaan yang diterima di beberapa kedai yang berdaftar dengan pihak yang berkaitan.

"Kalau kepingan emas dan perak ini sah diperlakukan dalam jual-beli di kedai-kedai tersebut itu salah dan melanggar peraturan kewangan negara, bagaimana pula dengan kupon pasaria yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan pertubuhan di semerata negara?

“Kupon itu telah dijual oleh pihak penganjur dan kemudiannya dengan kupon itu boleh dibeli barangan-barangan di gerai-gerai yang terlibat dengan pasaria tersebut. Sejak sebelum merdeka lagi amalan ini telah dijalankan, kenapa Awang Adek membiarkannya?

"Atau umpama saya saya membeli di Tesco, akhir bulan saya menerima kupon yang mempunyai nilai ringgit untuk sebarang pembelian atau potongan harga untuk pembelian barangan tertentu. Apakah amalan ini juga mengikut Awang Adek hendaklah mendapat kelulusan Bank Negara?" soalnya lagi.

Menurutnya, Awang Adek dan Bank Negara sepatutnya berusaha untuk menandingi kerajaan Kelantan dengan mengeluarkan syiling emas dan perak yang lebih standard daripada Kelantan, paling kurang dengan rekabentuk yang lebih menarik dan mempunyai ukuran berat yang lebih pelbagai.

Tambahnya, dengan berbuat demikian, barulah terserlah kerajaan pusat sebagai kerajaan yang lebih berwawasan daripada kerajaan Kelantan.

"Marilah kita berkerjasama di dalam perkara kebaikan dan kita kita hindari perkara dosa dan permusuhan. Insya Allah Awang Adek akan bersetuju dengan saranan saya ini," katanya sinis.

Read more ...

Pesakit diabetis terima bantuan

IMG_0624-1.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 16 Ogos : Mohd Yani Zainal Abidin, 43 seorang pesakit kencing manis (diabetis) menerima kunjungan susulan rombongan Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar yang datang menziarahi di rumah beliau di Parit Tok Ngah , Batu Lima.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Rahimah Osman berkata, Mohd Yani kehilangan kaki kiri yang dipotong pada Mei 2010 akibat komplikasi penyakit kencing manis (diabetis).

“ Sebelum ini, Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar telah datang menziarahi beliau dan memberi bantuan kerusi roda yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa .

"Dengan bantuan kerusi roda tersebut Mohd Yani dapat menguruskan diri dengan lebih mudah untuk ke tandas dan bilik air” katanya

Rahimah berkata, kunjungan susulan ini bertujuan menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Mohd Yani sekeluarga.

“ Kami bersimpati dengan keadaan Mohd Yani yang tidak mampu bekerja apabila kakinya dipotong. Sebelum ini beliau berniaga roti canai untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.

“ Jabatan Kebajikan dan Baitulmal diharap dapat memberikan bantuan kepada Mohd Yani sekeluarga. Setakat hari ini, kami dimaklumkan Mohd Yani belum menerima mendapat bantuan dari mana-mana jabatan kerajaan berkaitan” katanya

Sementara itu, Pujah Hasmani, 41 isteri Mohd Yani mengucapkan terima kasih kepada Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar yang mengambil berat masalah yang dihadapi suami beliau.

“ Terima kasih kepada PAS Parit Buntar kerana sudi menyampaikan sumbangan wang tunai dan kerusi roda untuk membantu kami sekeluarga.

“ Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga akibat musibah yang menimpa suami " katanya

Read more ...

Felda disaman dan menyaman

logo-felda2


























TEMERLOH, 16 Ogos : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman memfailkan saman malu sebanyak RM20 juta berhubung penahanannya yang didakwanya tidak sah Mac lalu.

Mazlan menamakan empat defendan berhubung penahanannya ketika membuat lawatan di Felda Lembah Klau, Raub pada 9 Mac lalu.

Empat defendan terbabit – kerajaan Malaysia, Felda, pengurus Felda Lembah Klau Sungai Ruan Awang Sulong dan Inspektor Mohd Azran Rahmat – pegawai polis yang menangkapnya.

Mazlan yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu dalam samannya mendakwa defendan ketiga (Mohd Azran) melakukan penahanan yang salah terhadap plaintif bagi tempoh 9 Mac hingga 11 Mac lalu.

Beliau menuntut deklarasi bahawa perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Raub bertarikh 10 Mac terhadap plaintif (beliau) adalah cacat, salah dan tidak sah.

Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub 9 Mac lalu turut membuat laporan berikutan tindakan pengurusan Felda yang cuba menahannya.

Katanya, nilai saman itu bukan menjadi persoalan namun reputasinya tercalar ekoran insiden itu.

"Ini bukan soal nilai tetapi keadilan dalam memperjuangkan hak kami sebagai peneroka.

Reputasi dan maruah saya dah tercalar. Mereka tidak hormati hak dan kebebasan saya.

"Dan saman ini bawa maksud para peneroka tidak takut untuk memperjuangkan hak mereka," katanya yang dihubungi FMT.

Dilaporkan Mazlan ditahan satu hari untuk disiasat kerana dakwaan menceroboh Felda Lembah Klau.

Mazlan difahamkan membuat lawatan ke Felda berkenaan untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.


Felda fail saman RM 200 juta

KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Felda memfailkan kes saman fitnah terhadap enam pihak termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung tulisan Suara Keadilan pada Jun lalu mendakwa agensi persekutuan itu akan muflis.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib, penulis Rusnizam Mahat, pencetak Pelita Koridor Sdn Bhd dan penerbit NPK Sdn Bhd.

Peguam Datuk Hafarizam Harun berkata anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd juga adalah plaintif bersama.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3 petang ini.

Dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel itu bertarikh 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 terhadap Felda.

Felda mendakwa artikel pertama bertajuk “Felda Bankrap” dan artikel kedua berserta gambar bertajuk “Kontroversi” dan “Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu” berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.

Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetakan atau Internet.

Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

Selain itu, Felda juga menuntut faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh saman itu difailkan sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya.


Read more ...

Isu Pampena : Menteri MCA mungkin terlibat































KUALA LUMPUR, 16 Ogos:
Ekoran dakwaan ke atas para pegawai kanan anak syarikat Kementerian Pelancongan, Pempena Sdn Bhd, para pemimpin DAP hari ini tertanya-tanya apakah menteri dari MCA juga akan turut didakwa kerananya.

Ini kerana, sebelum ini, bekas Presiden MCA yang juga bekas menteri pengangkutan, Tun Ling Leong Sik telah didakwa ekoran skandal Zon Perdagangan Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).


"Tertanya-tanya adakah seorang menteri MCA akan didakwa ekoran kecuaian dalam meluluskan pinjaman oleh pengerusi Pempena," tulis Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua (
gambar) dalam twitternya.

Pagi tadi, dua bekas pegawai kanan Pempena Sdn Bhd, anak syarikat Tourism Malaysia yang pernah dilanda kontroversi kewangan melibatkan kira-kira RM50 juta ketika kepimpinan bekas menteri pelancongan Datuk Seri Azalina Othman, dikenakan tuduhan jenayah pecah amanah hari ini.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pempena Mohd Rosly Mohd Selamat dan bekas pengawal kewangan Lim Khing Tai dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini berhubung pembayaran yang dibuat kepada Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat dan salah guna kuasa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih sedekad lalu.


Tuduhan jenayah pecah amanah Rosly dan Lim melibatkan bayaran berjumlah RM169,700 dituduh dilakukan genap empat tahun lalu.


Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena di PWTC pada 15 Ogos 2006, lapor The Malaysian Insider.


Jika sabit kesalahan Rosly dan Lim boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun, satu sebatan dan denda.


Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali Yusof menetapkan ikat jamin RM20,000 dan kes akan disebut semula 6 September ini.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfokus terhadap Pempena dan syaikat gabungannya iaitu Malaysian Travel Business Sdn Bhd dan SD Corp Communications Sdn Bhd, yang mempunyai tenaga kerja berlebihan daripada yang dibenarkan.


Pempena dikatakan mengambil 20 kakitangan meskipun peraturan kerajaan hanya membolehkan seorang menteri menggaji lapan orang.


Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata Pempena walaupun dilanda kontroversi akan meneruskan urusannya dan operasi seterusnya akan bergantung pada hasil siasatan SPRM.


Ng berkata tidak ada sebab bagi Pempena menutup urusannya kerana ia sedang mengutip balik hutang dari beberapa syarikat.


Pempena telah mengemukakan sembilan aduan kepada SPRM dan polis pada 2008 dan tahun lalu mengenai penyelewengan pelaburan dan usaha sama yang telah dibuat dengan beberapa syarikat; setelah hal ini didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.


SPRM yang menyerbu Kementerian Pelancongan akhir tahun 2008 berkata pemeriksaan pihaknya dijalankan bagi mengesan sebarang bukti berkaitan pengagihan kontrak dan projek kepada perwakilan Umno.


Umno mengadakan pemilihan pada 2008 tetapi ia ditangguhkan ke Mac 2009.


“Pemeriksaan juga dilakukan untuk memastikan sama ada kontrak dan projek itu diberikan kepada individu terbabit dengan syarat mereka ‘menaja’ untuk jentera parti menjelang pemilihan akhir bulan ini,” kata kenyataan SPRM ketika itu.

Read more ...

360 ahli Umno ugut lompat parti




BUKIT BENDERA, 16 Ogos : Anggota Umno Bukit Bendera mengugut akan melompat parti sebagai bantahan terhadap parti itu yang didakwa mengabaikan masalah akar umbi.

Ketua Umno Kg Mutiara Rose Akhmar Ahmed (kanan) berkata kira-kira 360 ahli berkemungkinan keluar parti sekiranya pucuk pimpinan negeri terus membisu berhubung isu berkaitan mesyuarat agung tahunan bahagian pada 8 Ogos.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan parti masa yang akan disertainya selepas ini.

Katanya kumpulan itu telah menghantar surat rasmi kepada majlis tertinggi Umno dan perhubungan Umno negeri apda 11 Ogos, selepas membuat laporan polis terhadap bahagian berkenaan tiga hari lepas, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Surat itu, yang salinannya diberikan kepada media, ditujukan kepada Presiden Umno Datuk Sei Najib Razak dan pengerusi Umno negeri Datuk Zahid Hamidi.

"Kami mahu orang ramai tahu, terutamanya perdana menteri, tentang sikap tak ambil peduli pucuk pimpinan, terutamanya di Pulau Pinang," kata Rose Akhmar ketika dihubungi Malaysiakini.

"Mereka tunjukkan sikap tidak peduli tentang tekanan terhadap akar umbi sekiranya mereka terus tidak pedulikan isu ini, saya bimbang terdapat ahli akan melompat sebagai tanda bantahan," tambahnya.

Read more ...

MAS rugi RM 8 bilion

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan pihak yang melindungi bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli menyebabkannya bebas daripada pendakwaan yang mengakibatkan kerugian syarikat itu sebanyak RM8 bilion.

Beliau ketika mendedahkan dokumen berhubung kerugian syarikat tersebut mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan tersebut sebaliknya mendedahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM).

"Siapa sebenarnya yang melindungi penjenayah ini dan kes ini daripada disiasat dan siapakah yang melindungi kes ini untuk didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar.

"Laporan yang dibuat MAS kepada SPRM kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin Ramli. Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tetapi dia dedahkan aduan itu kepada JSJK PDRM," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mendedahkan sepucuk surat oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusuff bertarikh 26 Mac 2007 yang menyarankan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

"Datuk Ramli Yusuff mengadakan pertemuan khas dengan perdana menteri ketika itu yang mengatakan bahawa dalam surat ini membuktikan memang ada satu asas yang kukuh untuk mendakwa Tajuddin Ramli.

“JSJK juga membuat beberapa saranan bentuk dakwaan tetapi tidak ada satu pun tindakan drastik dibuat terhadap kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM memberikan jawapan yang bertangungjawab mengenai tindakannya mendedahkan aduan MAS kepada JSJK PDRM.

"Saya meminta SPRM jawab persoalan kenapa dedahkan makulmat berkaitan MAS kepada pihak yang diadu iaitu JSJK Bukit Aman yang bagi kita merupakan satu tindakan yang sangat tidak berintegriti dan membahayakan orang yang membuat aduan," katanya lagi.

Salahuddin yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa khas mengenai rasuah SPRM juga memberitahu, beliau sedang menghubungi pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Seri Azmi Khalid bagi meminta satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan kes tersebut.

Beliau juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan siasatan terhadap kes berprofil tinggi ini.

"Saya rasa pedana menteri perlu campur tangan segera dengan mengarahkan satu siasatan dilakukan dengan serius," katanya.

Dokumen yang didedahkan beliau kepada wartawan itu turut mengandungi aduan MAS kepada polis dan SPRM pada 2009 berhubung kerugian yang didakwa berpunca daripada Tajuddin.

Read more ...