Penyandang presiden FAM Sultan Ahmad Shah bakal dicabar anakanda
baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Presiden Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada kongres
tahunan ke-50 FAM, 25 Mei ini.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiga calon bakal
bersaing untuk mengisi dua slot jawatan Timbalan Presiden iaitu Datuk
Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah yang merupakan
penyandang Naib Presiden, selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Selangor (FAS) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.
Katanya lapan calon akan bersaing merebut empat jawatan Naib Presiden
iaitu Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Sudarsono Osman, Datuk Rozabil
Abdul Rahman, Datuk Astaman Abdul Aziz, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin,
Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Datuk Wan Ahmad
Nizam Wan Abdul Hamid.
"Nama-nama itu merupakan pencalonan yang kita terima (daripada anggota
gabungan) sebelum tarikh tutup 23 Mac lepas, namun ada beberapa calon
yang menarik diri di saat akhir atas beberapa faktor," kata Hamidin.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa
Eksekutif ke-11 FAM bagi penggal 2010-2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di
sini hari ini.
Ia dipengerusikan Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri Tengku Abdullah serta anggota gabungan FAM.
Senarai Penuh Calon Pada Kongres Tahunan FAM ke-50:
------------------------------------------------
Presiden:
Sultan Ahmad Shah (penyandang)
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (penyandang Timbalan Presiden)
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Presiden PBNJ)