Belum pun sempat buka mulut untuk disoal, tau-tau dah mintak tarik balik saman?
Itulah yang terjadi terhadap perbicaraan berhubung insiden kes mata lebam oleh Anwar Ibrahim akibat dibelasah ketika dalam tahanan polis 14 tahun lalu yang dijadual bermula hari ini dibatalkan, setelah Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN itu pagi tadi.
Penarikan balik saman oleh bekas Ketua Polis Negara itu adalah berkaitan laporan polis oleh Anwar berhubung pemalsuan bukti dalam perbicaraan kes Fitnah 1 pada 1998.
Ia direkodkan di
hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Asmabi Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur yang penuh sesak dipenuhi penyokong Anwar.
Peguam Kamarul
Hisham Kamaruddin dan Hasnal Reza Merican yang mewakili Musa,
memaklumkan kepada Asmabi mengenai penarikan balik saman tersebut.
Peguam
Latheefa Koya yang mewakili Anwar berkata, penarikan balik saman
tersebut membuktikan tuduhan fitnah ke atas Anwar tidak berasas.
“Musa Hassan
telah tarik balik saman beliau kerana berpuas hati dengan semua
kenyataan Anwar selama ini, jadi tiada kes untuk diteruskan,” katanya.
“Jelas apa yang
dipertahankan Anwar Ibrahim tentang konspirasi dan fitnah itu benar,
kerana Musa Hassan telah menarik dakwaan beliau,” kata seorang lagi
peguam, N Surendran ketika ditemui.
Sepatutnya,
Surendran akan mula menyoal balas Musa pagi ini dalam kes saman ke atas
laporan polis berkenaan pemalsuan keterangan laporan perubatan oleh
beliau dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Abdul Gani Patail.
Merujuk laporan Keadilan Daily sebelum
ini, Surendran berkata, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas
mengenai penglibatan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam serangan
terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada malam 20 September 1998
oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor.
“Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.
Surendran
berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup mata, ditampar
dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai.
“Dalam keadaan
separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung, Anwar dinafikan hak
mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani perintah tahanan ISA
(Akta Keselamatan Dalam Negeri).
Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.
Pada malam
tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas polis yang
menerima arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri,
Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Tangkapan
dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN mensabitkan Anwar
dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas beliau dipecat
pada 2 September 1998.
Namun kes
berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan
mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua
nombor satu dalam PDRM.
Lebih teruk,
kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat hari serangan
dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.
“Pada 1 Oktober
1998, Dr Mahathir berbohong kepada seluruh rakyat Malaysia dengan
mengatakan bahawa kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri,” katanya.
Bekas Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum ini mengesahkan
bukti-bukti yang digunakan terhadap Anwar dalam kes Fitnah 98
dipalsukan.
Mat Zain,
pegawai yang menyiasat insiden mata lebam Anwar itu membuat pendedahan
tersebut dalam surat-surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara
sekarang, Ismail Omar.
Beliau
mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat polis pada
masa itu, Musa dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Gani.
Dalam surat terbuka kepada Ismail 12 September 2011, Mat Zain menyatakan pemenjaraan Anwar adalah ketidakadilan yang dirancang Musa dan Gani.
Pemalsuan bukti
diperoleh berdasarkan perbezaan di antara fail rasmi kes pada tahun 1998
dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir di dalam
autobiografinya, ‘A Doctor in The House’.
Beliau
mendedahkan Musa dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodwan Yusof,
‘mencuri’ sampel darah Anwar daripada doktor Hospital Kuala Lumpur
(HKL), Dr Zahari Noor sewaktu siasatan peristiwa mata lebam dibuat.
Mat Zain
mengakui bertemu dan berinteraksi dengan watak utama dalam konspirasi
ini, termasuk Mahathir, Gani dan Musa selain pesuruhjaya Suruhanjaya
Diraja Siasatan insiden mata lebam.
Surendran
menambah, Umno BN terus memanipulasi undang-undang dengan memperalatkan
polis apabila mensabitkan Anwar dengan kes Fitnah II.
“Serangan
terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan campur tangan pihak
tertinggi membuktikan tidak ada rakyat Malaysia yang selamat di bawah
Umno BN,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan Fitnah II pada 9 Januari lalu.
JALAN PULANG