Tuesday, July 20, 2010

Keluarga mangsa Kuala Dipang terima sumbangan RM 25000


KAMPAR, 20 Julai : Pada 26 Oktober 2009 telah berlaku satu insiden yang menyedihkan di Kuala Dipang, Kampar. Tiga murid sekolah rendah telah mati lemas akibat keruntuhan sebuah jambatan gantung di Kuala Dipang.

Mangsa kejadian itu ialah Divyasri (12), Dina Devi (11) dan Devatharshini (11). Mereka menghadiri program Kem 1Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pakatan Rakyat Perak telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk menyiasat dan melaporkan insiden jambatan runtuh ini. Jawatankuasa ini diketuai oleh YB V.Sivakumar (Tronoh) dan ahli-ahlinya ialah YB Chang Lih Kang (Teja), YB Thomas Su (Pasir Pinji) dan YB Khalid Idham Lim (Titi Serong).

Pengerusi Jawatankuasa V. Sivakumar yang juga ADUN Tronoh berkata, jawatankuasa tersebut telah melaksanakan siasatan dengan sempurna dan telah melaporkan hasil siasatannya kepada orang ramai. Pada masa yang sama YB Sivanesan (Sungkai) sebagai seorang peguam telah menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh mewakili keluarga mangsa.

Jawatankuasa Siasatan Jambatan Kuala Dipang Pakatan Rakyat telah mendedahkan punca-punca keruntuhan jambatan itu dengan jawapan teknikal. Jawatankuasa dibantu oleh jurutera pakar, juru ukur tanah bertauliah dan pakar-pakar yang lain.

Kementerian Pelajaran juga telah melantik satu jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu bagi pihak kerajaan. Jawatankuasa itu juga telah menyiapkan hasil siasatan tetapi ianya tidak didedahkan untuk makluman orang ramai.

Kementerian Pelajaran seharusnya lebih telus dalam soal ini kerana kejadian ini telah meragut tiga nyawa kanan-kanak yang tidak berdosa. Pendedahan ini akan menghalang kejadian seperti ini supaya tidak berulang sekali lagi.


Pada 6 Julai 2010, rombongan Jawatankuasa Kuala Dipang Pakatan Rakyat bersama-sama dengan keluarga mangsa telah pergi ke Parlimen untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong. Satu temubual telah diadakan selama 1 jam di biliknya di Parlimen. Dalam perbincangan itu 2 perkara ditimbulkan iaitu:

1) Meminta supaya Kementerian Pelajaran mendedahkan hasil siatan jambatan runtuh tersebut kepada orang ramai secepat yang mungkin. Tindakan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat tanpa tolak-ansur.

2) Mendapati sekolah-sekolah di seluruh Malaysia telah mengutip sumbangan derma untuk keluarga mangsa. Tetapi, keluarga mangsa tidak menerima apa-apa dana daripada pihak sekolah mahupun kementerian hasil kutipan sumbangan tersebut. Meminta Timbalan Menteri menyiasat hal ini dan menyerahkan sumbagan yang dikutip kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

Selepas itu, dalam tempoh 2 minggu keluarga mangsa menerima satu surat jemputan daripada SK Tamil Manbang Diawan untuk menghadiri satu majlis di sekolah pada 16 Julai 2010.

Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah PPD kampar En Azlan telah menyerahkan cek berjumlah RM 25312.55 kepada setiap keluarga. Ini merupakan sumbangan yang dikutip daripada sekolah-sekolah di seluruh Perak yang berjumlah RM75937.65.

Ini merupakan sumbangan yang dikutip di sekolah-sekolah di Negeri Perak. Jika sekiranya sumbangan sedemikian ada juga dikutip di tempat-tempat lain, sumbangan itu harus disalurkan kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

Walau bagaimanapun, kerajaan masih tidak terlepas daripada tanggungjawab. Laporan siasatan Kementerian Pelajaran harus didedahkan kepada orang ramai. Itulah matlamat dan permintaan ibu bapa mangsa yang masih tidak keluar daripada trauma kehilangan anak kesayangan mereka.

Mereka mahu mengetahui kebenaran dalam kejadian yang buruk ini. Kerajaan harus mengaku bersalah kerana melancarkan kem 1Malaysia ini tanpa perancangan yang rapi dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak sekolah.

Salah seorang bapa mangsa meminta pihak media melaporkan fakta-fakta yang benar mengenai kes ini supaya ia tidak disongsangkan atau memudaratkan mereka. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Ad Hoc Pakatan Rakyat yang membantu dalam hal ini.Suara Perak

Read more ...

Hubungan istana, kerajaan Kedah baik


POKOK SENA , 20 Julai : Hubungan yang baik dipupuk antara Kerajaan Negeri Kedah dan pihak Istana menjadi faktor kukuh kepada kestabilan pemerintahan Kerajaan Negeri membolehkan ia merencanakan pembangunan di samping tidak mengabaikan hal-hal kebajikan di negeri ini.

Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Ahmad Izzat Shauki berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh meminggirkan Istana kerana kedua-duanya mempunyai hubungan yang berkait rapat antara satu sama lain.


Menurutnya, segala maklumat perkembangan semasa di negeri akan sentiasa dalam pengetahuan Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“Kerajaan PR di Kedah sentiasa menjaga hubungan baik dengan istana kerana kita tahu sesebuah Kerajaan Negeri harus mempunyai hubungan yang rapat dengan Istana kerana Sultan adalah ketua dan penaung kepada rakyat di sesebuah negeri.

“Pendekatan yang mesra ini juga turut kita amalkan dengan pekerja Kerajaan Negeri kerana kita faham, tanpa mereka kita tidak mampu berdiri sendiri dalam melancarkan pentadbiran negeri,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir pada Majlis Ceramah Israk Mikraj di Kampung Lubuk Pak Samad, dekat sini.

Ahmad Izzat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada berkata, hubungan yang baik di semua peringkat ini juga turut memudahkan pihak Kerajaan Negeri menyusun atur pelbagai program dan kebajikan rakyat antaranya menurunkan beberapa peratusan jenis cukai antaranya cukai tanah yang dilihat membebankan rakyat.

“Pernah beberapa pihak mempertikaikan keputusan Menteri besar yang menurunkan peratusan cukai sehingga hampir RM50 juta yang dilihat sebelum ini adalah hasil keuntungan Kerajaan Negeri dan menganggap keputusan tersebut hanya memakan diri sendiri sahaja.

“Namun Menteri Besar membuktikan bahawa Kerajaan Negeri mampu memperoleh hasil lain yang tidak membebankan rakyat antaranya cukai batuan, sumbangan keuntungan anak syarikat negeri dan hasil balak,” katanya.

Menurutnya, beliau mengakui PR tidak mempunyai pengalaman memerintah sesebuah kerajaan, namun selepas mengambil alih sejak Pilihan Raya Umum yang lalu pelbagai nikmat kebajikan mampu dilaksanakan.

“Terbaru, hasil daripada keuntungan negeri kita telah laksanakan Skim Kafalah iaitu pemberian sebanyak RM500 kepada semua waris penduduk tanpa mengira kaum yang telah meninggal dunia dan layak dan selepas ini, sekiranya semakin banyak hasil yang diperoleh, kita percaya makin banyak program kebajikan yang mampu kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Kedah juga kini mampu menikmati bayaran air yang murah iaitu sekitar 40 sen semeter padu dan bayaran tersebut adalah kedua paling murah di negara ini selepas Pulau Pinang.SH

Read more ...

Umno menipu : IKYS tidak ditutup


SHAH ALAM, 20 Julai : Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap di Sabak Bernam tidak ditutup, sebaliknya melalui proses penyusunan semula sebagaimana institusi lain di bawah jagaan Yayasan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, IKYS itu bakal dijadikan pusat menjalankan Program Latihan Khidmat Nasional dan Program Pembinaan Modal Insan.


Katanya, situasi itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk menggunakan sebaik-baiknya pusat pendidikan yang sudah diwujudkan.

“Kawasan itu (IKYS, Bagan Terap) kita tidak akan biarkan begitu sahaja kerana ia akan dijadikan tempat untuk kegunaan Program Latihan Khidmat Nasional dan juga dijadikan pusat bina insan.

“Jadi kedua-kedua situasi ini dapat memberikan kita peluang untuk mempergunakan sebaik-baiknya institusi pendidikan yang sudah diwujudkan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.

Sementara itu Abdul Khalid berkata, ibu bapa pelajar yang anaknya menuntut di IKYS tidak perlu risau kerana mereka akan dipindahkan ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) di Kuala Selangor.

Katanya, pelajar IKYS amat bertuah berikutan Inpens merupakan salah sebuah kolej vokasional yang terbesar di bawah jagaan Kerajaan Negeri.

“Saya berpendapat ada baiknya ibu bapa pelajar terlibat menerima cadangan kita ini demi kebaikan anak mereka.

“Ini kerana di Inpens, anak-anak mereka akan mendapat tempat belajar yang lebih besar dan lengkap,”katanya.

Menurutnya lagi, anak-anak mereka juga boleh terlibat secara langsung dengan industri yang bersedia bekerjasama dengan Inpens.

“Dari segi kemudahan,Inpens Kuala Selangor adalah lengkap, iaitu mempunyai asrama serta mempunyai hubungan terus dengan industri sebagai tempat menjalani latihan dalam kerja,”katanya.

Abdul Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat sebelum mula memindahkan mereka ke Inpens.

“Inpens sekarang mempunyai 2,000 orang pelajar dan dapat menampung sehingga 5,000 pelajar termasuk tenaga pengajar,”katanya.

Terdahulu, Lebih 300 termasuk pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penutupan institusi itu oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

Perhimpunan hampir dua jam yang bermula 10.30 pagi itu dibuat di pekarangan IKYS di Bagan Terap di sini.

Berita berkaitan

Kompleks Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap, Sabak Bernam tidak akan ditutup sebaliknya akan dimanfaatkan sebagai Pusat Motivasi Pembinaan Modal Insan untuk rakyat di negeri ini.

Pengurus Besar, Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata, Yayasan Selangor berasa amat kesal kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor ke Kolej INPENS di Kuala Selangor sebagai satu isu.

“Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar di mana pelajaran mereka akan diteruskan seperti biasa. Malah, ia juga tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi kursus dan program, tenaga pengajar, pengiktirafan persijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa laporan akhbar yang mengatakan Kompleks IKYS akan ditutup adalah tidak benar kerana ianya digunakan untuk latihan khidmat nasional dan program pembinaan modal insan,” katanya semalam.

Katanya, keputusan tersebut merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kali ke-85 bil. 02/2010 yang memaklumkan bahawa semua pelatih dan program IKYS akan diserap dan digabungkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.

“Penyerapan atau penggabungan ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan pengajian serta pentauliahan sijil dan kursus seperti yang ditawarkan kepada pelatih.

“Malah ia tidak menjejaskan kemudahan Pinjaman Pendidikan Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada pelatih, kos pengajian, penginapan dan peperiksaan pelatih di tempat baru,” katanya.

Katanya, penggabungan program kemahiran Pendawaian PW2dan PW4 serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej Inpens di mana kedua-duanya adalah agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita telah diberi peranan yang khusus untuk pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat IPTA dan IPTS.

“Oleh yang demikian, perpindahan pelajar-pelajar IKYS (aliran vokasional) ke Kolej INPENS adalah tepat dan tidak bercanggah dengan peranan Yayasan Selangor,” katanya.

Menurutnya, perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk merasionalisasikan dan menyelaras fungsi agensi Kerajaan supaya tidak ada pertindihan antara agensi-agensi kerajaan. SH

Read more ...

Muslimat PAS terus aktif dekati masyarakat



PARIT BUNTAR, 20 Julai : Dewan Muslimat PAS Parit Buntar akan bersungguh-sungguh meningkat usaha untuk mendekati semua golongan wanita.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar Norijan Omar berkata, muslimat akan mampu bergerak mendekati rakyat dengan pelbagai program.

"Yang penting mulai sekarang kita kena main peranan untuk teruskan kerja-kerja yang kita buat dan muslimat kena tunjukkan kebolehan mereka untuk mendekati rakyat," katanya semasa program muslimat bersama penduduk di Kuala Bagan Tiang

Norijan berkata, Dewan muslimat mengadakan beberapa acara wanita seperti acara masakan dan gubahan tuala yang menjadi tarikan.

“ Kedua-dua acara ini mendapat penyertaan yang sangat ramai dan menggalakkan di kalangan wanita.

“ Acara gubahan dan lipatan tuala mempertaruhkan persaingan yang amat sengit dan tidak kurang hebat juga pertandingan masakan berasaskan udang yang secara tidak langsung mempamerkan sosiobudaya-ekonomi penduduk yang tinggal berhampiran laut di sini” katanya

Menurutnya, Dewan Muslimat juga turut membantu menguruskan pertandingan mewarna, kapal terbang, tiup belon dan baling straw untuk kanak-kanak.

“ Kanak-kanak paling ramai mengambil bahagian dalam pertandingan pada hari ini. Kami terpaksa mengadakan acara saringan terutamanya bagi acara sukaneka kanak-kanak kerana lebih seratus kanak-kanak menyertainya” katanya

Tambahnya, program turun padang mendampingi rakyat ini akan terus dilaksanakan oleh Dewan Muslimat.

“ Kita akan anjurkan program-program untuk kaum wanita disamping mengerakkan aktiviti kebajikan dengan menziarahi dan memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan” katanya


sekitar pendaftaran untuk acara-acara yg bakal dpertandingkan


pertandingan mewarna tahap II

mewarna tahap I

pertandingan masakan berasaskan udang

Mesra.....Hj Harun Hashim, YDP Pas Parit Buntar memberi hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna kategori pra-sekolah..

Yeah...nombor 1!!

Read more ...

Mufti Perak sudah lupa



IPOH, 20 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) tidak yakin akan personaliti Mufti Kerajaan Negeri Perak Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria mampu dijadikan seorang yang bersikap profesional atau adil di dalam memastikan isu perpaduan masyarakat Melayu / Islam kerana beliau jelas telah di lihat berpihak dengan pendirian politiknya.

Setiausahanya Dr. Raja Ahmad al-Hiss berkata, kenyataan isu perpaduan dan penyatuan ini sebenarnya adalah agenda Umno bagi memastikan mereka akan terus berkuasa setelah mana rakyat sudah mula menolaknya.

Malah DPPN Pk menolak Tan Sri Harussani kerana sikap perkauman yang terlalu tinggi dalam memperkatakan tanggungjawabnya dalam bidang tugasnya sebagai seorang Mufti.


Semasa berada di luar negara terutamanya (Australia, Jun 2010), Tan Sri Harussani menanamkan sikap pembenciannya terhadap bangsa-bangsa lain dalam ceramahnya kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di sana. Islam yang dibawa oleh Rasullullah SAW tidak mengajar umatnya untuk bersikap membenci agama atau bangsa lain tetapi perlu memahami dan mempelajari serta menguruskan perbezaan tersebut.

Sepatutnya Tan Sri Harussani masti bersikap neutral dengan ilmunya yang menampilkan ciri-ciri tokoh yang dihormati dan bukannya sebagai juru cakap pihak-pihak tertentu.


DPPN Pk yang pernah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Harussani pada setahun yang lalu (3 Julai 2009) dan telah menegaskan perkara tersebut.

DPPN Pk akan terus membantah usaha penyatuan ini yang jelas tidak berteraskan Islam dan menafikan tuntutan Perlembagaan Malaysia yang telah diterima oleh semua kaum di dalam negara kita.

Read more ...

Khidmat guaman percuma kepada pesalah saman ekor



IPOH, 20 Julai : Pakatan Rakyat Perak sedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana rakyat Perak yang mahu membawa isu saman ekor ke mahkamah. Demikian dijelaskan oleh YB Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin dalam sidang akhbar pagi tadi bersama dengan peguam Asmuni Awi.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri oleh beberapa pimpinan dan adun Pakatan Rakyat.

Menurut Tn. Hj Asmuni Awi, seorang pengamal undang-undang dan juga Pengarah Pilihanraya PAS Perak, tindakan JPJ yang tidak mahu memperbaharui cukai jalan kepada pesalah saman ekor adalah bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, pesalah saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah samada melalui pengakuan atau pembuktian pihak pendakwa.

Tindakan ini jelas satu penganiyaan ke atas rakyat.

Saman ekor melalui perangkap kamera ke atas pesalah jalanraya tidak dianggap satu kesalahan yang dilakukan oleh pemilik kenderaan selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

Tindakan tidak boleh memperbaharui cukai jalan seolah-olah pemilik kenderaan sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Ini bercanggah sama sekali dengan keadilan yang sebenar, pengguna jalanraya sekalipun di perangkap dengan kamera mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu oleh mahkamah, dan pengguna tersebut mesti diberi peluang membela diri di mahkamah.

Pakatan Rakyat Perak melalui pasukan peguamnya bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana pesalah saman ekor.

Read more ...

Exco Selangor cekup pencuri pasir


PUCHONG , 20 Julai : Konon-kononnya bijak apabila melakukan aktiviti mencuri pasir pada awal pagi namun seorang penyamun pasir di Putrajaya dekat sini terpaksa melarikan diri dan meninggalkan lori yang penuh dengan muatan bahan itu di tepi jalan selepas menyedari kenderaannya dikepung Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.

Difahamkan Exco Kerajaan Negeri itu dalam perjalanan pulang dari sebuah program Qiamullail di Sepang menuju ke Puchong sebelum mengesyaki dan mencurigai keadaan lori yang keluar masuk berhampiran selekoh Putrajaya di sini kira-kira jam 3 pagi,baru-baru ini.


Sinar Harian dimaklumkan kenderaan milik Exco itu kemudian menghalang laluan lori itu beberapa meter dari hentian tol Bukit Puchong sebelum pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaan dipandunya.

Yaakob berkata, ketika turun dari kereta dan menuju ke arah tempat duduk bahagian pemandu, individu memandu lori terbabit lari lintang-pukang ke arah kawasan hutan berhampiran dan hilang sekelip mata.

“Lori berkenaan ditinggalkan dengan keadaan enjin masih hidup dan penuh dengan muatan pasir yang kita percaya diambil di kawasan tidak dikeluarkan permit di kawasan Dengkil.

“Satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu dan kenderaan terbabit disita dan kini diletakkan di bangunan SUK,”katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kata Yaakob, perkara itu jelas menunjukkan Kerajaan Negeri serius dalam isu kecurian pasir dan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pesalahnya.

“Ia sejajar dengan langkah Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran kepada mana-mana orang awam yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya mereka yang bersalah.

“Seperti dimaklumkan mereka yang berjaya menahan lori akan dikurniakan ganjaran RM2,500 manakala mesin dan jentera diberi ganjaran RM5,000,”katanya.

Yaakob berkata, pihaknya mengakui memang wujud aktiviti kecurian pasir dan tindakan mengawalnya diambil secara keseluruhan.

“Macam jenayah, meskipun polis sudah melakukan usaha mengawalnya tetap ada berlaku jenayah.

“Ia sama macam kita, yang besar-besar sudah dikawal dan kini tumpuan kepada jenayah kecil,”katanya.SH

Read more ...

Umno ' meracau '


ALOR SETAR, 20 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyifatkan keterbukaan UMNO untuk mengadakan rundingan dengan PAS sebagai perlakuan ‘meracau’.

Ketuanya, Ahmad Yahya berkata, helah UMNO itu tidak ubah seperti parti yang keliru dengan hala tuju dan perjuangan mereka, selain gelabah apabila sokongan Melayu beralih kepada Pakatan Rakyat (PR).


“Saya pelik dengan pemimpin UMNO yang tidak tetap pendirian. Sekejap kata PAS sesat, kemudian ajak PAS bersama pula dalam isu perpaduan. UMNO seolah-olah gelabah,” katanya.

Menurutnya, parti itu dilihat semakin bimbang dengan kedudukan PR yang semakin mantap terutama di negeri-negeri dikuasai PR, lalu cuba mengalihkan pandangan masyarakat dengan helah mahu mengadakan kerjasama dengan PAS.

“Saya yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan agenda UMNO itu. Sebab matlamat perjuangan mereka berpaksikan kuasa dan kepentingan diri. Sebab itu jika isu berkenaan dapat tonjolkan mereka pada mata masyarakat, itulah strategi politik mereka,” katanya.

Ahmad berkata, matlamat utama parti lawan itu adalah untuk meraih sokongan orang Melayu dalam pilihan raya umum akan datang, dan inilah yang merunsingkan mereka, apabila mulai hilang sokongan Melayu.

“Saya percaya UMNO meracau sebab bimbang hilang pengaruh. Malah kenyataan pemimpin UMNO tidak konsisten, kejap mahu kejap tidak. Sebab itu mereka cari isu untuk berpaut. PAS tidak akan termakan dengan helah mereka sebab pendirian kami amat konsisten,” katanya.

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sering kali disalah tafsir untuk menimbulkan tanggapan serong terhadap pemimpin PAS itu.

“PAS memang terbuka untuk jumpa dan bincang dengan mana-mana pihak dalam isu perpaduan Islam, tetapi menolak perpaduan Melayu yang dicetuskan UMNO,” katanya.

Mengenai kuasa politik Melayu hilang sekiranya UMNO-PAS tidak bersatu, Ahmad berkata, kenyataan itu sekadar retorik.SH

Read more ...

Harga barang naik enam bulan lagi




























KUALA LUMPUR, 19 Julai:
Harga minyak serta barangan keperluan lain dipercayai akan terus naik enam bulan lagi sekiranya dirujuk pada jadual rasmi Makmal Rasionalisasi Subsidi, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat berkata, kenaikan harga minyak (RON95) dan diesel sebanyak 5 sen, Khamis lalu adalah mengikut jadual tersebut.

Katanya lagi, jadual tersebut turut merancang kenaikan harga gula dan gas masak (LPG) serta beberapa komoditi lain yang menjadi keperluan asasi rakyat.

Melihat pada rancangan menaikkan harga beberapa barangan tersebut sehingga 2014 kelak, beliau mendesak pentadbiran Najib supaya bersikap jujur dengan rakyat.

"Apakah ini satu permulaan yang mahu dilaksanakan oleh Najib (dan) Makmal Rasionalisasi Subsidi ini. Sebab itu, saya tanya apakah motif Najib menaikkan harga barang-barang ini," soal beliau pagi tadi di Pejabat Agung PAS.

Impak dari perlaksanaan jadual itu, katanya lagi bakal mengingkatkan kadar inflasi dan kos sara hidup yang nyata membebankan rakyat.

"Sekiranya jadian ini dilaksanakan, ia bukannya menjadikan negara sebagai 'negara berpendapatan tinggi' tetapi 'rakyat berbelanja tinggi'," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dari segi lain, beliau berkata, pentadbiran Najib sepatutnya tidak merampas subsidi rakyat memandangkan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah selaku Menteri Kewangan II sendiri sebelum ini mengaku bahawa kerajaan masih kukuh serta mempunyai RM10 bilion walaupun tanpa langkah mengurangkan subsidi tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mempertikai tindakan pentadbiran Najib membayar RM18.9 bilion setiap tahun kepada beberapa syarikat janakuasa bebas (IPP) yang nyata menguntungan beberapa individu tertentu sahaja.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya tidak terus membodohkan orang-orang Melayu dan rakyat kononnya langkah menaikan harga beberapa barangan tersebut demi menjimatkan perbelanjaan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, harga gas masak (LPG) dilaporkan naik 10 sen sekilogram manakala harga gula pula naik sebanyak 25 sen sekilogram.

Pengumuman Najib itu dibuat sejurus selesai sidang Dewan Rakyat.

Read more ...

Kuasa Melayu kekal walau Umno kalah


KUALA LUMPUR , 20 Julai : Orang Melayu tidak perlu risau dan bimbang kepada kuasa orang Melayu kerana ia akan tetap kekal menerusi kepimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata kuasa Melayu akan lebih mulia dan dihormati tanpa Barisan Nasional.


Katanya, beliau menghargai kenyataan terbuka Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa kuasa orang Melayu di bawah pimpinan UMNO akan hilang.

"Orang Melayu tidak perlu risau dan bimbang kepada kuasa orang Melayu akan tetap kekal malah akan lebih mulia dan dihormati tanpa Barisan Nasional,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung kerjasama antara PAS dan UMNO dan kesediaan Harrusani menjadi perantara bagi pertemuan pemimpin kedua parti itu.

Dalam pada itu, PAS menafikan kenyataan Harrussani bahawa terdapat wakil daripada parti itu menemuinya untuk menjadi orang tengah dan menganggapnya sebagai satu pembohongan.

Katanya, PAS tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani menguruskan pertemuan PAS dan UMNO bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Harussani itu satu fitnah dan pembohongan. Tidak ada, beliau cuba memburukkan dan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat seolah-olah ada pemimpin PAS yang hendak membelakangkan parti dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang media tersebut mengulangi pendirian PAS tidak pernah membincangkan isu kerjasama dengan UMNO.

“Kami sudah memutuskan sudah tutup bab perbincangan mengenai kerjasama politik dengan UMNO. Kalau PAS ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Datuk Mahfuz sudah tahu,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.SH

Read more ...