KUALA LUMPUR, 6 Dis. : Hubungan kerjasama yang bertambah erat antara PAS dan DAP hari ini berjaya memecahkan tembok yang sekian lama dibina Umno-BN untuk memisahkan kelompok utama bangsa Melayu dan Cina di negara ini. Ini kerana, sejak 50 tahun yang lalu Umno-BN lah yang telah membina tembok itu untuk memisahkan kedua-dua kaum tersebut
Menurut Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, apa yang berlaku sekarang, hubungan intim PAS-DAP sangat dicemburui bahkan ditakuti oleh Umno BN sehingga mereka cuba menanam sentimen dan menakut-nakutkan kaum Melayu.
"Inilah yang menjadi ketakutan Umno-BN terhadap hubungan PAS dan DAP yang berjaya memenangi orang bukan Islam. Orang Melayu dan Cina bergabung memecahkan tembok yang dibina oleh Umno sekian lama," katanya ketika dihubungi Harakah.
Jelas Mahfuz, apabila Umno-BN berdepan dengan orang Melayu mereka akan mencanangkan DAP akan mengetui Pakatan Rakyat jika parti itu berjaya memerintah dan begitulah sebaliknya.
"Umno-BN jadikan DAP seperti 'lembaga hitam' untuk menimbulkan ketakutan orang Melayu, sekali gus menjejaskan masa depan kaum itu.
"Apabila Umno pergi kepada orang Cina, mereka akan kata yang akan 'lead' kerajaan adalah PAS yang dikatakan radikal dan ekstrem Islam 'potong sana potong sini'," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.
Tegasnya, politik Umno-BN inilah yang harus disedari rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat Melayu, agar mereka tidak terjebak dengan dakyah kononnya negara akan 'terjual' jika DAP berkuasa.
"Saya anggap bahawa lagu ini adalah lagu lama dan senikata yang cuba diperbaharui tidak berjaya untuk memancing undi orang Melayu yang sudah meluat kepada Umno," ujarnya.
Justeru kata Mahfuz, inilah hakikat yang menunjukkan bagaimana orang Melayu perlu ada kesedaran dengan tipu muslihat Umno-BN kerana selama-lamanya parti kebangsaan Melayu itu cukup cemas jika DAP boleh bekerjasama erat dengan PAS.
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT