Friday, December 10, 2010

Kerajaan Selangor peruntuk RM 650 juta untuk buku latihan pelajar

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgHwOmQ_qlL2SLHr2qE5QbDswkMhsosGdtsft421RfejmL2Xv7P7RL4_p38jXj42Kr7U8XbtjVot1_xYAepIB30q4U1v5pz2kZh80sn7sJEX_W7_ghY6GJo33irLqImrEY8n-3UeoTRcsPN/s400/BukuLatihan_SriBangsar.jpg

KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kepentingan pendidikan bagi meningkatkan kehidupan rakyat Selangor dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan mereka kerana kita merasakan pendidikan adalah salah satu dari usaha kerajaan melepaskan masyarakat dari kongkongan kemiskinan. Oleh itu kita sangat berminat untuk meningkatkan pendidikan kepada semua rakyat,” jelasnya.

Menurut beliau, dasar itulah yang mendorong pelbagai bantuan dan program dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan buku latihan kepada pelajar sekolah di Negeri Selangor bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Sekumpulan lebih 70 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga kurang berkemampuan bersama Khalid di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini menerima bantuan buku dan kewangan bagi sesi persekolahan akan datang.

Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM650 juta bagi membekalkan lebih sejuta naskah kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri(DUN) termasuk kawasan parlimen tanpa mengira parti politik kepada pelajar kurang berkemampuan.

Difahamkan setiap pelajar menerima 20 buah buku latihan yang akan digunakan mereka pada sesi persekolahan akan datang sekaligus mengurangkan beban keluarga mereka.

Turut hadir ialah Exco Negeri Xavier Jeyakumar dan Yaakob Sapari serta ADUN Selangor iaitu Dr Nasir Hashim, Amiruddin Shari dan Yunus Khairi.

Khalid turut mengumumkan pembinaan insitut vokasional baru bagi memperkembangkan lagi industri dan membekal pekerja mahir beraliran vokasional dalam industri di negeri ini.

Ia merupakan pilihan kepada pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).

“Kerajaan Negeri juga akan merancakkan pembinaan institut vokasional untuk melatih mereka yang walaupun boleh masuk universiti tapi berminat dalam pelajaran berbentuk kemahiran.

Khalid turut berbangga dengan pencapaian negeri Selangor yang melahirkan lebih 30 ribu graduan dari ijazah setiap tahun dari lebih 30 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini.

Justeru beliau bertekad bagi menambah lagi bilangan graduan bagi memajukan negeri Selangor melahirkan pelajar berkelulusan tinggi, bermotivasi dan berdaya saing dalam pasaran kerja.

“Oleh itu kita mahukan semua anak-anak kita sekarang mempunyai tempat belajar sehingga ke Universiti dan program kedua kita nak galakkan ialah kelas tuisyen supaya dapat pelajaran tambahan dan dapat keputusan baik supaya dapat memasuki universiti,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Xavier Jeyakumar meminta semua ADUN memantau masalah yang dihadapi oleh penduduk bandar yang ditekan berikutan peningkatan kos Petrol dan Diesel.

Beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersedia memberi subsidi bas sekolah seperti yang diberikan pada kepada pekerja ladang.

“Kemiskinan dalam bandar makin meningkat, Kita minta ADUN prihatin dengan keadaan di bandar sebab tambang bas sekolah ini meningkat seiring dengan peningkatan harga petrol dan diesel. Saya minta ADUN perhatikan betul-betul supaya kita boleh bagi subsidi kepada mereka yang berpendapatan rendah sekali di dalam kawasan,” katanya.

Read more ...

Kerajaan pusat henti bantuan, kerajaan negeri tolong bayar

ALOR SETAR, 10 Dis. : Kerajaan Negeri akan membantu menjelaskan bil elektrik 21 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang tertunggak sejak bulan Jun 2010.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan demikian setelah berbincang dengan Persatuan Lembaga-Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kedah yang diadakan di Pejabat Menteri Besar.

Menurut YAB Menteri Besar, Kementerian Pelajaran melalui makluman lisan telah memberhentikan bantuan pembayaran bil elektrik sebanyak 21 buah sekolah jenis kebangsaan Cina di negeri ini.

“Ada sekolah yang telah pun dipotong bekalan elektrik oleh TNB disebabkan sekolah tersebut gagal menjelaskan tunggakan bil mereka,” katanya.

Menurut Ustaz Azizan lagi, jumlah tunggakan keseluruhan yang terlibat adalah sekitar RM200 ribu, walaubagaimanapun jumlah tersebut tidak dapat dipastikan dan akan diselesaikan mulai bulan Januari tahun hadapan.

“Selain dari bantuan menjelaskan bil, kerajaan akan teruskan bantuan kepada tiga buah sekolah jenis kebangsaan Cina di negeri ini.

“Jumlah bantuan yang Kerajaan Negeri hulurkan akan ditambah dari RM50 ribu kepada RM60 ribu mulai tahun hadapan sebagaimana yang dibentangkan didalam bajet 2011 Negeri Kedah,” katanya.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan, YB Tan Chow Kang.


MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Raja Petra sertai Radio Free Sarawak

http://harismibrahim.files.wordpress.com/2009/02/20071011-raja_petra.jpg

KUALA LUMPUR, 10 Dis. :
Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin yang kontroversial menyertai Radio Free Sarawak sebagai penyumbang tetap — stesen yang mula beroperasi sejak pertengahan bulan lalu sebagai saluran siaran bukan kerajaan.


“Radio Free Sarawak bangga untuk mengumumkan bahawa blogger Raja Petra Kamarudin telah menyertai program radio ini sebagai penyumbang tetap,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Bagaimanapun ia tidak menyebut bila beliau memulakan sumbangan kepada radio itu.
Menurut kenyataan itu, Raja Petra (gambar) akan menyediakan komen harian kepada radio itu dengan memfokus pada isu-isu menyentuh negeri Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.

Kenyataan itu juga menambah, editornya menyifatkan Raja Petra sebagai seorang personaliti yang “menghiburkan, provokatif dan agar unik”.

“Raja Petra merupakan seseorang yang anda boleh mendengar untuk satu tempoh yang agak lama, bukan hanya kerana dia menghiburkan dan menarik (untuk diikuti), tetapi pandangan diiringi dengan (bahan berdasarkan) penyelidikan, pengetahuan dan kewartawaan berfakta.

Apabila anda mendengar Raja Petra, anda akan mempelajari sesuatu,” katanya lagi.

Radio Free Sarawak merupan stesen radio bukan kerajaan yang menyediakan siaran setiap hari antara pukul 6.30 hingga 7.30 petang pada gelombang 7590kHz dan dari 6 hingga 7 petang pada 15420 kHz.

Radio Free Sarawak memulakan siarannya pertengahan bulan lalu. Ia membawa rancangan berita, ehwal semasa dan komentar.

Difahamkan kandungan program itu akan diterbitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan pemimpin masyarakat setempat di Sarawak dan dihantar ke London untuk dipancarkan.

Raja Petra mula bebas selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 November lalu membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan penulis blog itu daripada tahanan dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun lalu.

Pada 7 November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada tahanan ISA selepas memutuskan bahawa penahanannya selama dua tahun di kem tahanan Kamunting di Taiping adalah menyalahi undang-undang.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana dianggap sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara dan perintah untuk menahannya mengikut ISA dikeluarkan pada 22 September 2008.

Raja Petra ditahan berdasarkan antara lain, memiliki dan menjalankan laman web Malaysia Today dan dengan niat dan menerbitkan artikelnya dan juga komen-komen pembaca Malaysia Today dengan sewenang-wenangnya, yang menghina orang Islam, kesucian Islam dan peribadi Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau memfailkan satu permohonan habeas corpus menuntut pembebasannya. Dalam permohonannya, dia menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Raja Petra juga telah dibebaskan oleh mahkamah berhubung tuduhan hasutan tahun lalu.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Kerajaan Selangor beri biasiswa tanpa mengira kaum








































SHAH ALAM:
Kerajaan Negeri Selangor pada Jumaat menegaskan bahawa ia tidak mengambil latar belakang kaum sebagai syarat untuk memberikan pinjaman pelajaran kepada pelajar miskin yang layak.

“Kami tidak melihat latar belakang pemohon tetapi keperluan dan keadaan calon apabila kami bercakap tentang bantuan pelajaran," Kata Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor Dr Halimah Ali.

Malah beliau memberi jaminan kepada para pelajar di negeri ini bahawa pinjaman pelajaran dan biasiswa kerajaan negeri kepada semua yang layak dengan keputusan cemerlang tanpa mengira latar belakang kaum.

Tahun ini katanya Negeri Selangor telah mengeluarkan pinjaman pelajaran kepada 505 pemohon yang layak yang juga menyaksiakn, 20 orang daripada mereka adalah dari kalangan pelajar keturunan India dan dua kepada pelajar keturunan Cina. Selebihnya adalah pelajar-pelajar Melayu.

Tahun lepas kata Halimah hanya dua orang pelajar dari keturunan India sahaja yang layak menerima berdasarkan keputusan cemerlangan mereka.

Halimah juga berkata, Yayasan Selangor pula telah mengeluarkan biasiswa kepada 874 pelajar tahun ini termasuk tiga kepada pelajar dari keturunan Cina dan dua India. Selebihnya adalah pelajar-pelajar Bumiputera.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri berpendapat, tidak ramai pelajar bukan Melayu yang memohon pinjaman pelajaran atau biasiswa negeri mungkin kerana mereka tidak memperolehi banyak maklumat mengenainya atau juga mungkin disebabkan tiadanya publisiti atau aktiviti promosi mengenainya.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan melipat gandakan lagi aktiviti promosi berkaitan kemudahan pinjaman pelajaran dan biasiswanya dalam semua akhbar utama nanti,” ujar Halimah.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

Bebaskan mahasiswa yang ditangkap polis

















KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Penangkapan tiga pemimpin mahasiswa memprotes kenaikan harga bahan api dan gula petang tadi menunjukkan pentadbiran Najib sedang menuju era Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai “kegelitaan demokrasi”, kata Pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Hilman Idham.

Ketiga-tiga mahasiswa yang ditangkap di pekarangan Majlis Putra, Putrajaya dan bangunan Jabatan Perdana Menteri ialah Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Ridzuan Othman, aktivis Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Ahmad Shukri Abdul Razak dan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

“Najib akan bertindak seperti era Mahathir menjadi Perdana Menteri, mungkin lebih autokratik dengan tangkapan demi tangkapan ke atas rakyat, mahasiswa dan ahli politik jika protes berterusan dilakukan selepas kenaikan harga petrol, gula dan LPG,” kata Hilman kepada The Malaysian Insider.

“Tidak mustahil selepas ini lebih banyak lagi tangkapan akan dilakukan kerana kerajaan yang angkuh tidak pernah menggunakan saluran diplomasi, mereka akan menangkap sesiapa sahaja rakyat termasuk mahasiswa yang berhimpun secara aman menolak keangkuhan Najib dan kerajaan Barisan Nasional.

“Rakyat tidak pernah dibawa berbincang mengenai kenaikan ini, mahasiswa yang mahu menjadi 'jurubicara rakyat' sendiri ditangkap seolah-olah memperlihatkan Putrajaya di ambang kegelitaan demokrasi dan Najib nampaknya sedang menunjukkan sikap angkuh mempertahan Putrajaya dari diambil alih oleh pihak lain (Pakatan Rakyat).”

Bagaimanapun Hilman berkata, penangkapan ketiga-tiga mahasiswa terbabit tidak akan melunturkan semangat mahasiswa untuk terus menyanggah urus tadbir kerajaan pusat yang dianggap tidak menguntungkan rakyat.

Bahkan mahasiswa menurut Hilman, tidak akan apologetik untuk menyatakan bahawa Barisan Nasional akan tumbang pada pilihan raya umum ke-13 kelak disebabkan keangkuhan Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I.

“Keangkuhan itu tidak akan terhenti dan mahasiswa tidak akan pernah apologetik untuk mengatakan bahawa pemerintah akan ditumbangkan dalam pilihan raya umum akan datang,” ujar Hilman, mahasiswa tahun tiga Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hilman turut mempertikai pentadbiran Najib dalam menguruskan ekonomi negara.
“GDP (gross domestic product) negara pada suku ketiga 2010 (5.3%) menyusut teruk berbanding suku pertama (10.1%) menjadi indikator jelas bahawa ekonomi negara tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

“Slogan rakyat didahulukan adalah tidak lebih daripada sekadar retorik politik untuk menggula-gulakan penyokong-penyokong yang buta politik dan menyokong secara buta tuli.

“Walhal hakikatnya, rakyat tidak pernah berada pada konsiderasi nombor wahid,” ujar Hilman dalam kenyataannya.

Dilaporkan lebih 100 mahasiswa berpakaian serba hitab — ala-ala berkabung — menyertai perhimpunan aman tersebut.

Memorandum diserahkan oleh Presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk Jabatan Perdana Menteri.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak lima sen, diesel juga naik lima sen, gas naik lima sen sehingga RM1.90 sekilogram dan gula juga naik 20 sen sekilogram.

Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga sehingga akhir tahun ini.

Kenaikan itu menurut kerajaan sebagai langkah merasionalisasi subsidi kerajaan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

Surat terbuka kedua kepada KPN




















KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zin Ibrahim menulis surat terbuka kedua kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar menjalankan siasatan terperinci berhubung isu keterangan palsu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya tidak mahu melihat “nasib Pulau Batu Putih” berulang lagi.

Dalam surat terbuka kedua yang diserahkan kepada Ismail, Mat Zin berkata, pemalsuan tersebut dilakukan dengan terperinci bagi memenuhi motif-motif tertentu.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusan final Isnin ini sama ada perlu membuka semula kertas siasatan berkaitan insiden mata lebam Anwar, yang berlaku 12 tahun lalu, ekoran dakwaan wujudnya bukti terbaru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider, beliau akan menjawab gesaan pembangkang di Parlimen minggu depan berhubung isu itu dan keputusan yang bakal diumumkan adalah “muktamad”.

Sehubungan itu, Mat Zin mengingatkan Ismail sekiranya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) boleh memalsukan dokumen-dokumen itu ia akan memberikan impak yang besar terhadap sistem keadilan jenayah negara.

“Tan Sri masih ingat, bila mana satu helai surat sahaja, bertarikh 21 September 1953 yang ditandatangani oleh seorang Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, menjadi antara sebab utama, maruah dan kedaulatan negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

“Bayangkanlah apa yang boleh 65 muka surat dokumen yang dipalsukan atas arahan Peguam Negara boleh lakukan terhadap sistem keadilan jenayah kita,” katanya.

Menurut Mat Zin, setiap pemalsuan yang dilakukan itu dibuat secara “deliberate”.

“Saya turut yakin Tan Sri mahir dengan ‘case laws’ berkaitan pemalsuan. Setiap pemalsuan itu adalah dilakukan secara “deliberate”. Tidak ada pemalsuan yang sebegini banyak dilakukan secara tidak sengaja.

“Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan yang dipalsukan itu dilakukan dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaannya dilakukan secara ‘deliberate’ bagi memenuhi motif-motif yang jelas. Diari penyiasatan saya dan minit-minit berkaitan boleh membantu mengenal pasti pemalsuan-pemalsuan ini.

“Jika saya yang menjelaskan motif-motif pemalsuan itu dilakukan, mungkin ada pihak yang akan mempertikaikannya atau mungkin ada yang akan mengatakan saya melampau atau bias. Untuk menjauhi tanggapan khilaf sedemikian, apa kata saya jemput Tan Sri menilai sendiri dengan merujuk kepada penemuan ahli suruhanjaya diraja yang terlibat,” katanya.

Mat Zin turut mendakwa pendirian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini lebih cenderung untuk melindungi individu-individu tertentu, bukan mencari jalan penyelesaian.

“Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pendapat saya bahawa pendirian yang PDRM ambil dalam menyediakan jawapan tersebut adalah jauh berbeza, malahan bertentangan dengan pendirian PDRM, ketika menangani siasatan insiden ini pada 1998.

“Saya wajar menegaskan bahawa pendirian PDRM ketika itu, adalah untuk menjalankan siasatan ‘tanpa pilih kasih dan mendapatkan maklumat secepat mungkin’ dan tidak ada sebarang ‘cover-up’ untuk sesiapa pun. Namun begitu pendirian kali ini nampaknya cenderung kepada melindungi orang-orang tertentu,” katanya.

Tambah Mat Zin, beliau tidak akan terkejut sekiranya Gani terlibat dalam pemalsuan dokumen yang membabitkan isu mata lebam Anwar.

“Untuk berlaku adil kepada beliau (Gani), saya tiada maklumat mengatakan yang beliau ada peranan sehingga menyebabkan laporan yang beliau arahkan itu digugurkan daripada laporan suruhanjaya diraja.

“Bagaimanapun saya tidak akan terkejut jika beliau terlibat, oleh kerana orang lain tidak mempunyai kepentingan berkaitan laporan ini.

“Pun begitu saya tidak bimbang dengan ketiadaan dokumen tersebut dalam laporan suruhanjaya, oleh kerana salinan-salinanya adalah dalam kawalan dan rakaman mengenai pembikinan laporan ini, dalam diari penyiasatan saya adalah lengkap dan jelas,” katanya.
Oleh yang demikian, Mat Zin meminta Ismail supaya menimbangkan semula pendirian yang diambil PDRM dalam isu ini.

“Apa yang patut dibimbangkan ialah jika laporan penting sepertimana rekod prosiding suruhanjaya diraja ini, yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pun boleh dimanipulasikan, maka bayangkan apa yang boleh dilakukan terhadap rekod siasatan melibatkan rakyat biasa.

“Apa pun, saya serahkan kepada kebijaksanaan Tan Sri untuk membuat keputusan yang terbaik untuk PDRM dan adil untuk semua pihak.

“Bagaimanpun saya memelihara hak saya, untuk menyambung atau menghentikan setakat ini sahaja, persuratan berkaitan perkara dalam persoalan ini atau perkara yang berkaitan dengannya,” katanya.

Pada 22 November lalu, Mat Zin telah menghantar surat terbuka pertama kepada Ismail yang merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang di Parlimen pada 9 November lalu, mengesahkan telah menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur itu pada 14 April lalu.

“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.

Ekoran isu dibangkitkan oleh Lim di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah memaklumkan bahawa akan membawa isu itu ke Kabinet yang bermesyuarat 12 November lalu.

Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani bagi memberinya peluang untuk menjelaskan diri beliau yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.

“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.

“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” katanya,

Mat Zain juga berkata, Jabatan Peguam Negara, polis dan Kementerian Kesihatan juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.

Malah dalam surat terbuka itu, Mat Zain menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti pasukan polis.

Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.

Tan Sri Rahim Nor, ketika kejadian merupakan Ketua Polis Negara, telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa telah memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman.

Kejadian itu berlaku selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Kontrak RM bilion, TPM disyaki terbabit

















SHAH ALAM, 10 Dis. : Tindakan pemberian tender dan kontrak kepada kroni bertopengkan nama ketuanan Melayu terus di bidas oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong mempersoalkan tindakan pemberian kontrak kepada individu berkepentingan tertentu malah cuba menyembunyikan perbuatan itu dengan alasan pemberian dilakukan kepada syarikat berlainan.

"Mengapa di dalam satu negara, kontrak diberi pada golongan tertentu. Ini juga satu tanda mengapa mereka tidak telus. Kalau syarikat yang ternama, kenapa adakan 50-60 syarikat tapi pengarah yang sama," jelasnya ketika dihubungi Tv Selangor.

William turut melahirkan kebimbangan kerana ia menjejaskan kualiti dan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia yang sepatutnya dijaga dengan baik kerana mereka bertugas mengawal negara ini.

"Ketenteraman tentang askar kita, wira kita, mungkin mereka boleh beri kontrak terus kepada (menara) 100 tingkat-warisan tapi jangan pada perwira kita. Terutama kontrak tentang makanan, kelengkapan dan kediaman.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, mendedahkan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memberikan projek-projek lumayan Kementerian Pertahanan berjumlah lebih RM2 bilion kepada seorang dua individu.

Beliau mendakwa tindakan itu membuktikan Umno hanya menggunakan slogan Ketuanan Melayu untuk memperkayakan kroni.

Anwar berkata sejak tahun 2008, seorang individu bernama Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dipercayai dari Umno Bukit Gantang Perak telah diberikan pelbagai tender berjumlah RM2 bilion.

.Semalam, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail turut menyanggah peranan yang dimainkan Umno dan Menteri mereka dalam hal ini.

Menurutnya, ketuanan Melayu Umno tidak relevan kerana adanya praktis seperti ini seterusnya menindas hak sebenar rakyat.

"Kebetulan watak itu adalah pemimpin penting Umno Bukit Gantang. Rangkaiannya itu membabitkan bekas pemimpin politik negara dan ada juga berkait dengan Timbalan Perdana Menteri yang sekarang sedang menjawat jawatan.

"Kalau berbahas dalam dewan memang berkaitan dengan isu Melayu dahulu tetapi dibelakang ini rupanya ? itu baru sekelumit cuma.

"Dokumen yang kita perolehi memualkan, jadi hentikanlah bercakap mengenai Ketuanan Melayu. Hentikan, tak perlu berpura- pura lagi. Ketuanan Melayu cuma kembungan dan gendutkan perut sendiri, atas nama ketuanan Melayu," dakwa Saifuddin .

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

SPRM gagal bila rakyat tak percaya

















SHAH ALAM, 10 Dis. : Pendedahan Global Corruption Barometer 2010 oleh Transparency International hari ini bahawa majoriti rakyat Malaysia percaya rasuah berleluasa di negara ini mendapat perhatian pemimpin Masyarakat.

Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Kesavan menganggap hal rasuah di negara ini bukan lagi satu gurauan dan tiba masa tindakan serius perlu diambil oleh semua pihak.

Beliau menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibentuk tahun lalu sebagai gagal dan tidak efektif.

Ia bukan lagi satu gurauan. Korupsi di negara ini bukan lagi satu gurauan. Ia bukan sesuatu yang kita boleh main-main lagi. Jika tidak benar-benar serius menanganinya, ia akan memusnahkan negara.

"Fakta mereka (SPRM) gagal dan tidak mampu mengurangkan kadar jenayah menunjukkan SPRM tidak efektif," Ambiga menyatakan demikian ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Mengikut Global Corruption Barometer itu, 46 peratus percaya amalan rasuah tahun ini adalah lebih tinggi daripada tahun lalu manakala 19 peratus berpendapat ia telah berkurangan dan 35 peratus lagi pula berkata keadaan tidak berubah.

Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata pasukan polis paling terjejas dengan gejala rasuah dan diikuti dengan parti politik, badan perundangan dan parlimen.

Mereka mencatatkan mata 4.1, 4.0 dan 3.4 masing-masing pada skala 1 hingga 5, dengan 5 sebagai yang paling terjejas akibat rasuah.

Ambiga bertegas supaya SPRM bertindak mengikut cara kerja Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang benar-benar telus dan berjaya menurunkan kadar rasuah dalam masa tiga tahun sahaja.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia kesal dengan tidakan SPRM dan Peguam Negara kurang mengejar pesalah yang jelas atau mereka yang berpangkat tinggi dan hanya mengejar ikan bilis sahaja.

"Pada pendapat saya, tidak kisah ia(rasuah) bertambah teruk atau berkurang pada tahun ini berbanding tahun lalu. Kadar korupsi di negara kita masih di tahap tinggi.

"Ada tanggapan bahawa SPRM tidak bebas kerana ia tidak mengejar pesalah yang jelas," jelasnya.

Sentimen sama dikongsi oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo'lo' Mohd Ghazali yang mengaitkan reaksi rakyat ini dengan kurangnya tindakan kerajaan membanteras gejala itu.

"Kita lihat program kerajaan sebelum ini tiada langsung meyeru ke arah 'good governance' dan sebagainya. Saya rasa apa yang dikatakan oleh rakyat itu juga kebanyakannya hanya sampai ke meja AG(Peguam Negara) sahaja. Dari meja AG mungkin terlalu lambat atau berpilih-pilih," jelasnya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan betapa Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) ini tidak akan berubah berdasarkan cara pemerintahan mereka sebelum ini.

Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia yang telah sedar untuk bertindak menggunakan kuasa mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi mengubah keadaan ini.

"Jadi sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan. Ini saja cara rakyat untuk mengajar dan memastikan kuasa itu kembali ke tangan rakyat. Kalau terus sahaja sokong walau ada kepincangan, kerajaan tidak akan berubah. Dan apabila Umno-BN terus memerintah, keadaan tidak akan berubah perkara sama juga akan berlaku," jelasnya.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Tak saman maksudnya betul la tu













GEORGE TOWN, 10 Dis. : Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Pulau Betong Muhamad Farid Saad daripada Barisan Nasional tidak akan meneruskan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar terbitan PAS, Harakah, berhubung laporan yang tidak benar mengaitkan beliau.

Katanya walaupun beliau memaafkan wartawan dan penerbit akhbar berkenaan, tindakannya itu tidak bermakna beliau mengakui laporan itu benar.

"Lebih baik saya beri perhatian kepada agenda pembangunan Melayu Pulau Pinang daripada memikirkan apa yang orang lain kata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 23 Nov lepas Muhamad Farid dilaporkan berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakah jika akhbar berkenaan gagal memohon maaf dalam tempoh 14 hari.

Muhamad Farid mendakwa akhbar itu telah memutar belit kenyataannya dalam forum bertajuk Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang pada 10 Nov lepas.

Harakah pada 15 Nov lepas melaporkan bahawa Muhamad Farid mengakui kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa menjadi punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang.-BERNAMA

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Ini kerja ketuanan Melayu Umno

surau madrasah al falah kg kerinchi



















KUALA LUMPUR, 10 Dis. : PAS Lembah Pantai tidak menolak usaha pihak kerajaan hendak meroboh surau Al Falah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur kerana unsur-unsur politik kepartian yang dibawa oleh Umno dan dikatakan gagal untuk menguasai surau tersebut, lapor Harakahdaily.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh berkata, pihaknya percaya cadangan untuk merobohkan surau Al Falah timbul berikutan rasa tidak senang pemimpin Umno selepas gagal menguasai surau tersebut melalui usaha Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mahu menubuhkan 'Muafakat Masjid dan Surau Lembah Pantai'.

Sehubungan itu kata Adlin, PAS Lembah Pantai memberi amaran kepada Umno dan BN untuk berhadapan dengan kemarahan daripada rakyat khususnya pada pilihan raya akan datang sekiranya usaha meroboh surau itu diteruskan.


"Isu ini perlu ditangani segera atau hadapi tindakan rakyat," katanya.

Sementara itu Pemuda PAS Lembah Pantai mendakwa ada pengaruh politik dalam arahan perobohan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Ketuanya, Nasaie Ismail, berkata, apabila pihak surau menghantar memorundum dan ingin mengadakan perbincangan dengan Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, mereka telah diminta hadir ke pejabat Umno Lembah Pantai dengan alasan parti itu akan menjemput wakil DBKL, Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan pihak pemaju bagi berunding bersama.

"PAS mempersoalkan kenapa perlu campur tangan Umno dalam urusan DBKL dan JAWI ini. Jelas ada unsur politik dalam usaha mereka," kata Nasaie.

jasni abdullah, surau madrasah al falah kg kerinchiSelain itu, beliau turut membidas dakwaan yang menuduh surau Al Falah sebagai surau PAS semata-mata hanya kerana ramai penyokong parti itu bersolat di situ.

"Apakah salah orang PAS memenuhi mana-mana masjid atau surau di negara ini sehingga tergamak hendak merobohkannya. Pelik dalam sebuah negara yang pemimpinnya beragama Islam, adanya halangan kepada orang Islam yang berlainan parti politik mereka untuk mengimarahkan masjid," kata beliau.

Isu surau Al Falah timbul apabila DBKL mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu untuk tujuan pembangunan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kira-kira 80 ahli kariah surau itu yang bimbang tempat solat mereka akan dirobohkan telah bermalam di situ dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Penduduk juga telah menghantar memorandum bantahan kepada Raja Nong Chik supaya surau mereka tidak dirobohkan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Najib amal kuku besi ala Mahathir



















SHAH ALAM, 10 Dis. : Sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang tidak mengendahkan hari hak asasi sedunia yang disambut hari ini membuktikan pemerintahan kukubesi ala-Mahathir kini merupakan modus operandi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam kenyataannya hari ini berkata laporan hak asasi yang dikeluarkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) semalam, mengesahkan kongkongan yang terus mencengkam kebebasan rakyat Malaysia oleh rejim penguasa.

"Merenung situasi dalam negara, kita menyambut hari yang penting ini dalam keadaan yang suram apabila kurang seminggu yang lepas, rakyat dipukul, disembur dengan air asid dan ditangkap hanya kerana berhimpun secara aman untuk menyuarakan isi hati dan protes terhadap syarikat kroni Umno-BN, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

"Pihak polis juga digunakan untuk menyekat kebebasan rakyat yang asas – iaitu hak untuk berhimpun yang mana sepatutnya undang-undang dan peraturan seharusnya memihak kepada kebenaran dan keadilan," kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Ujarnya lagi, dalam sejarah moden, setiap negara yang dikuasai oleh rejim yang angkuh, rakyat pasti bangkit melawan undang-undang yang zalim dan menindas.

"Apa yang berlaku di negara kita, undang-undang diguna untuk mempertahankan kelompok penguasa dan golongan elit tetapi pada masa yang sama, terus menindas dan mengongkong kebebasan rakyat. Ini merupakan cabaran besar kepada rakyat dan para pejuang demokrasi," ujar beliau.

Oleh itu kata Azmin, beliau menyeru supaya rakyat mengimbau kembali mutiara kata dari Widji Tukul dalam salah sebuah sajaknya yang terkenal berjudul ‘Peringatan’ yang berbunyi;

Apabila usul ditolak tanpa ditimbang

Suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan

Dituduh subversif dan mengganggu keamanan

Maka hanya ada satu kata: lawan!

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Ambil iktibar hasil kajian UM


















SHAH ALAM, 10 Dis. : Hasil kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) perlu diambil iktibar dan positif bagi mengukuhkan Parti Keadilan Rakyat(PKR).

Bagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar faktor masa memainkan peranan penting dalam melakukan apa jua soal selidik kerana ia bakal mempengaruhi jawapan yang diberikan oleh responden yang ditemuduga.

"Saya rasa masa kajian itu dibuat juga menyebabkan keputusan sedemikian. Jadi kadangkala, perlu diambil kira dalam satu fasa yang berlangsung," kata Izzah, mengulas hasil kajian UMCEDEL yang mendapati 49 peratus hilang keyakinan terhadap PKR ekoran kemelut yang melanda parti itu.

Justeru menurut Izzah, beliau lebih setuju sekiranya tarikh kajian itu dibuat ialah selang beberapa lama selepas proses Pemilihan PKR 2010 yang dicemari dengan serangan Umno-Barisan Nasional(BN) yang diperhebatkan lagi oleh media-media arus perdana.

Kajian yang dilakukan UMCEDEL pada 19-21 dan 27-28 November lalu mendapat liputan yang meluas dari media arus perdana.

" Titik kajian bila ia diambil, siapa yang diambil, dan dibandingkan dalam tempoh dua minggu selepas. Tentunya dengan kemelut dan serangan bertubi-tubi di media massa itu menjadikan satu persepsi agak negatif bagi parti," tambah Izzah lagi.

Mengambil positif dan berlapang dada terhadap mana-mana pihak yang membuat kaji selidik berhubung perjalanan parti itu membawa arus perubahan, Izzah bagaimanapun tegas dengan pendiriannya, bahawa sekiranya kajian dilakukan selepas Kongres PKR ke-7 lalu, hasil kajian pastinya lebih positif.

"Saya yakin dengan kongres parti yang baru berlangsung dengan pimpinan yang baru dilantik, ada ruang untuk kita perbaiki dan perjelaskan pendirian parti terutamanya tawaran kita, kejayaan kita, memegang tampuk pemerintahan di Selangor misalannya," ujarnya.

"Jadi keputusan itu mungkin akan menjadi objektif lagi, kalau keputusan itu kita ambil dalam masa sebulan dua bulan, dan ia menjadi persepsi postif terhadap parti," ujar Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tambah beliau lagi, apa yang perlu dilakukan oleh parti kini dalam mengharungi serangan demi serangan yang dilakukan oleh media milikan Umno-BN ialah dengan menjadikan segala kritikan dan tohmahan sebagai pemangkin kepada kejayaan parti itu di masa depan.

"Apa yang boleh kita buat sekarang ini ialah, ambil sebagai peluang untuk memperbaiki gerak kerja, promosi kejayaan-kejayaan kita yang banyak di negeri Selangor dan negeri-negeri lain," kata beliau lagi.

Sementara itu, seorang Naib Presiden parti itu, Tian Chua pula mahu anggota PKR mengambil sebarang teguran mahupun hasil kajian mana-mana pihak sebagai iktibar untuk terus memperjuangkan misi parti.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Batu, walaupun berdepan dengan pelbagai halangan termasuk serangan media arus perdana, ia bukanlah faktor yang bakal meruntuhkan semangat juang ahli parti dan rakyat yang setia bersama PKR.

"Kita ambil ini sebagai satu iktibar, kita akan memperbetulkan keadaan. Kita menyedari bahawa kita menghadapi serangan media yang kencang dari Umno-Barisan Nasional tetapi ini tidak menghalang kita untuk berusaha untuk terus memperjuangkan agenda perubahan," kata Tian ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR merupakan parti yang memimpin budaya politik baru di Malaysia malah merupakan satu-satunya parti yang berani berhadapan dengan risiko serangan Umno-BN.

"Walaupun menyedari akan risiko yang bakal dihadapi oleh parti apabila mengadakan pemilihan menggunakan sistem 'satu anggota satu undi' sebelum ini, namun PKR realisitik bahawa pemilihan tersebut penting dalam memastikan parti bakal mengangkat pimpinan parti yang berkualiti tinggi," katanya yang juga Pengarah Komunikasi PKR.

Tambahnya, walaupun proses pemilihan mencabar, proses tersebut juga perlu bagi memastikan kualiti kepimpinan dan mengurangkan risiko politik wang.

Hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya mendapati 49 peratus responden hilang keyakinan terhadap PKR setelah pelbagai kemelut melanda PKR, selain kehilangan beberapa ahli yang sengaja diperhebatkan oleh media arus perdana.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...