Monday, November 29, 2010

Masa BN rugi, masa PR untung

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgMyqS-NsQbapERSBJ-YYLZM4UzlbZS92KSPXyS2TVrkYA_9eYDNADtc5cwCyx31dZ_Bkbeu7uKhqzvzk8TnleHbZRYIo3aPMm0tLbc080chxyrrPqTwM2EFnZ_s_TQQcalzOZjOSwM6dw1/s1600/umnokhianat30135341.jpg

SEBERANG PRAI, 30 Nov: Sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) telah mengalami kerugian dan defisit yang teruk iaitu sebanyak RM230 juta dalam tempoh lapan tahun dari tahun 2000 hingga 2007.

“Sehingga kini kerajaan terdahulu masih gagal untuk menjelaskan perkara tersebut. Hanya apabila kerajaan negeri PR memerintah barulah defisit ditukar menjadi lebihan buat kali pertamanya pada 2008,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Majlis Angkat Sumpah Pemangku Yang Dipertua MPSP di Dewan Kenangan, di sini, pagi ini.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh BN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberikan pinjaman kewangan sebanyak RM10 juta kepada MPSP sebagai langkah mengurangkan tunggakkan pinjaman dari luar dan membolehkan MPSP bangkit semula melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Tambahnya, perkembangan kewangan positif MPSP berterusan iaitu sehingga 30 September tahun ini di mana kutipan hasil berjumlah RM141.9 juta yang terdiri daripada hasil cukai berjumlah RM113.56 juta termasuk RM11.86 juta hasil tahun ini yang dikutip pada akhir tahun 2009, hasil bukan cukai RM23.3 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM5.09 juta.

Secara perbandingan, katanya hasil majlis meningkat sebanyak RM6.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM135.59 juta.

“Prestasi kewangan baik adalah disebabkan prinsip CAT, tender terbuka dan konsep perbelanjaan berhemah membolehkan lebihan pendapatan dicapai dan adalah diharapkan MPSP dapat mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun lalu,” ujarnya.

Dari segi aliran keluar dana, jelasnya sehingga 30 September tahun ini, perbelanjaan yang telah dibuat oleh majlis adalah berjumlah RM88.72 juta.

“Perbelanjaan ini terdiri daripada bayaran emolumen sebanyak RM34.86 juta, belanja mengurus RM53.84 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM0.02 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, secara perbandingan perbelanjaan majlis menurun sebanyak RM4.49 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu di mana pada tempoh yang sama tahun lalu perbelanjaan majlis adalah sebanyak RM93.22 juta.

Tambahnya, berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan sehingga suku ketiga tahun ini, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan atau ”surplus” sebanyak RM53.17 juta.

Walau bagaimanapun, katanya tanggungan perbelanjaan majlis yang perlu dijelaskan dalam tahun ini adalah berjumlah RM37.83 juta termasuk tanggungan emolumen sebanyak RM14.53 juta).

“Setelah diambilkira keseluruhan perbelanjaan dan tanggungan, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM15.34 juta,” katanya.

Pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus dilantik memangku jawatan Yang Dipertua MPSP kerana YDP sekarang, Moktar Jait kini mengikuti Kursus Kepimpinan Dan Pengurusan Utama (ALMP) Siri 31 Bil.5 Tahun 2010 selama lebih kurang sebulan.

Read more ...

Lelaki botak pukul Aduka Taruna


SEREMBAN, 30 Nov. : Hari ini perbicaraan Aduka Taruna di Mahkamah Seremban.

Berlaku sedikit kekecohan di Mahkamah sebentar tadi apabila sekumpulan lelaki (3 orang) yang berlagak seperti samseng kampung dusun membuat huru hara.


Pada mulanya, Aduka Taruna telah di hampiri oleh 3 lelaki tersebut, dan salah seorang daripadanya berkepala botak dan berbaju biru telah menghampiri beliau dan bertanyakan nama. Aduka Taruna menghulurkan tangan untuk bersalaman sambil mengaku bahawa beliau adalah Aduka Taruna... sudah la salam yang di hulur tidak bersambut.... dalam masa yang sama mamat botak tersebut telah melempang Aduka Taruna (terkena bahagian kepala).


Berlaku kekecohan dan pergelutan, apabila adik Aduka Taruna bingkas bangun untuk membelasah mamat botak tersebut, malangnya telah di halang oleh polis yang bertugas di Mahkamah.


Dalam kekecohan tersebut si mamat botak itu telah menghilangkan diri, walau bagaimana pun kawan2 Aduka Taruna yang ada di situ sempat mengambil gambar 2 lelaki (kawan2) mamat botak tersebut. Gambarnya akan di upload dalam blog Aduka Taruna petang nanti dan menjadi bukti insiden tersebut.


Lebih malang lagi, apabila polis hanya memegang adik Aduka Taruna dan tidak menangkap mamat botak yang berlagak samseng dan pengecut tarak teloq hingga berjaya meloloskan diri.


Perasaan memang kecewa akan suasana perundangan tahap jakun oleh Melayu. Tapi realitinya, itulah dia zaman gua di tanah air ini ketika ini. Kerana itu kita semua wajib mengubah semua ini.

Ketika mahkamah berehat untuk sessi penangguhan (mungkin ayat dan istilah gua silap, kerana gua bukan ahli perundangan), gua keluar dari kamar mahkamah dan duduk di kerusi di luar. Bersebelahan dengan pintu masuk utama.

Ini adalah pengakuan gua.

Gambar akan diupload kemudian. Terdapat sedikit masalah kerana gambar ditangkap oleh penangkap yang bukan owner camera, dan sedikit kelam-kabut.

Demi Allah,

Ketika itu, gua didatangi oleh 3 lelaki, yang gua percayai saksi atau pengadu kepada kes gua ini. Ketika itu gua dalam keadaan duduk.

"Kau ke AdukaTaruna?" Soal lelaki bergambar 1. Riak wajah sedikit provokasi.

"Ya... saya." Gua senyum dan hulur tangan untuk bersalam. Masih dalam keadaan duduk.

"AdukaTaruna?" Soal lelaki bergambar 2. Juga berwajah provokasi.

"Ya." Gua senyum dan hulur tangan. Kedudukan gua masih duduk. Dan adik gua duduk disebelah gua.

"Tak payah salam dengan budak kurang ajar macam ni." Sampuk lelaki 3 (suspek) sambil tepis tangan lelaki 2.

Tetapi gua still tidak alihkan gaya tangan bersalam. Dan akhirnya lelaki 2 sambut bersalam sambil test genggam tangan gua. Gua hanya bertahan kerana gua dapat rasai bahawa genggaman gua lebih kuat. Wallahualam.

Ketika keadaan inilah, lelaki 3 (suspek) memukul kepala gua. Gua bingkas bangun. Adik gua menyerbu. Ditahan oleh lelaki 1 dan 2. Manakala lelaki 3 lari ke kelompok polis yang berhampiran.

Berlaku sedikit pergelutan. Antara gua dan adik, dengan lelaki 1 dan 2, dengan beberapa anggota polis. Gua minta adik gua tak lepaskan lelaki 3 dan gua turun dapatkan handphone berkamera. Menyesal gile sebab gua pengguna handphone nokia lampu suluh yang setia selama ini.

Bila dapat, gua naik ikut tangga sebelah berlawanan dengan tempat adik gua tadi. Teorinya, gua akan sampai ke lelaki 3 dari belakang. Tapi dah ghaib. Adik gua masih ditahan. Adik gua tunjuk pintu mahkamah sebelah. Gua masuk, mahkamah kosong. Gua tanya adik gua kat mana brother botak bermisai tanglung tu, adik gua sound polis bawa dia kat situ (sambil menuding jari.) Gua cari keliling mahkamah sambil diekori polis. Dah takda. Satu polis bisik dekat gua, si pemukul adalah pengadu. Dia dah cuak dan tak boleh lari. *Kalau takda pelindung ajaib lah. Tanda * adalah ayat gua sendiri.

Gua kol lawyer. Lawyer nasihatkan gua buat laporan polis. Gua kol ISA untuk makluman. Setelah mahkamah selesai membuat penangguhan, gua ke Balai Polis Seremban 2 terletak bersebelahan. Membuat report. Ketika membuat laporan, polis bertugas menghubungi (ASP Khu ntah gua lupa termasuk nama pangkat.) Dan berkata kepada gua begini :

"Encik, ini *ASP Khublala mahu bercakap."

*ASP Khublala speaking campur Melayu + Inggeris yang membuatkan gua hanya faham intipati. Gua boleh rekod, tapi bila mengenangkan handphone lampu suluh, gua terus kensel.


1. *ASP Khublala mengatakan yang pihak polis professional. Dia galakkan membuat report bagi tindakan undang-undang.

2. *ASP Khublabla menjelaskan bahawa gua hanya baru dituduh. Saksi, pengadu atau sesiapa tidak boleh menghukum secara sendiri.

3. If I tempat you pun I marah. You boleh saman dia.

4. Dia minta gua rujuk pada lawyer gua.

Setakat ini dulu. Alhamdulillah, gua tidak mengalami apa2 kecederaan. Dan doakan gua supaya gua tidak mendapat pukulan ajaib yang mencederakan secara lewat seperti mana yang dialami Ketua Putera UMNO.

Perbicaraan gua disambung pada Mac 2011, manakala untuk kes terbaru ini, *ASP Khublabla akan mendapatkan statement gua sebelum gua pulang ke Kelantan.

Gua ucapkan terima kasih kepada seluruh rakan blogger dan rakan pembaca yang memberi sokongan. Toche... toche... Idop Kak Ros!
ADUKATARUNA

Read more ...

Perbaiki kelemahan , yakinkan rakyat terhadap PR

























SHAH ALAM, 30 Nov. : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Negeri Pakatan Rakyat muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi Pilihan Raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam PRU ke 12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya," Abdul Hadi berkata demikian ketika membuat ucapan penggulusan Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat di sini semalam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan Kerajaan Pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-Barisan Nasional(BN) haruslah menjadi kebanggaan.

"Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya," ujarnya.

Beliau turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

"Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartaian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi, pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka," katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Read more ...

Kontraktor Melayu berjaya tanpa kabel politik


















GEORGETOWN, 30 Nov. : Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bertujuan menghapuskan kabel politik bagi mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Langkah ini juga menurut Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuktikan kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari Umno sahaja.

"Di Pulau Pinang, mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer," katanya.

Di sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Guan Eng berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pedoman pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

"Malah, program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81 peratus daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu di Pulau Pinang.

"Biarlah Umno-Barisan Nasional menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti-Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan

Kedua Pulau Pinang daripada 24.5 peratus sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus di masa depan, jelasnya.

Tambahan sub-kontraktor daripada Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor Pulau Pinang mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.

Bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil ini dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepada Guan Eng dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5 peratus sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, tambahnya.

Kerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer ini akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.

Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn. Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn. Bhd., IJM Contructions Sdn. Bhd., HRA Teguh Sdn. Bhd.

Read more ...

Ketuanan rakyat ganti ketuanan Melayu Umno























SHAH ALAM, 30 Nov. : Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat perlu menerangkan dan memberi penjelasan kepada rakyat negeri masing-masing mengenai konsep 'Ketuanan Rakyat' yang diangkat bersama Pakatan Rakyat.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, polemik Umno memutar belitkan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengenai isu meninggalkan ketuanan Melayu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, segala data dan fakta mengenai kegagalan konsep yang dibawa Umno dapat dilihat.

"Begitu juga dalam isu ini, tanggungjawab utama kerajaan negeri ialah untuk menegaskan pendirian kita mengenai 'ketuanan rakyat ini,' kerana nampaknya polemik atau wacana ketuanan melayu itu juga diputar belitkan oleh kelompok Melayu yang kaya dan rasuah," katanya.

Persidangan sehari itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan negeri dan wakil-wakil anak syarikat kerajaan negeri.

Resolusi Shah Alam yang dikeluarkan hasil persidangan ini juga membawa kepada hubungan lebih rapat dalam melawan serangan dari kerajaan pusat.

Malah satu badan media antara negeri Pakatan Rakyat bakal ditubuhkan untuk menghakis serangan media Barisan Nasional(BN).

"Negeri-negeri ini adalah kerajaan Pakatan Rakyat, secara rasmi mereka kemukakan ketetapan yang diluluskan kepimpinan Pakatan Rakyat yang menjadi dasar Pakatan Rakyat supaya tak ada usaha khianat dari Umno, pimpinan atau media mereka untuk cuba merosakkan institusi ini sepertimana dilakukan sebelumnya untuk menimbulkan kecurigaan," ujarnya lagi.

Anwar mahukan agar hubungan akrab antara parti dan ahli biasa terjalin di peringkat bawah bagi memastikan tiada ruang kelemahan dapat dieksploitasi BN.

"Saya tidak sangat runsing dengan serangan tapi saya setuju dengan Kit Siang bahawa tiba masa dan ketikanya untuk memastkan muafakat dan keakraban kita dalam parti cukup mantap. Kita tak mungkin dipatahkan dari serangan luar, kita mungkin sedikit lemah dan tergugat kalau kita menimbulkan sedikit syak dan wasangka dari dalaman maka kami kepimpinan mengesyorkan kerjasama dari peringkat negeri," Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Read more ...

PR terus erat bersedia ganti BN













SHAH ALAM, 30 Nov. : Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai satu 'turn around' yang membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada malah kini mereka bakal terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam ini.

"Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia. Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi 'turn around' Pakatan Rakyat, 'turn around' untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

Kit Siang berucap pada sesi penggulungan Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di Kediaman Pegawai Kerajaan Seksyen 7 di sini semalam.

Beliau menyatakan bahawa hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah menurut Kit Siang, Pakatan Rakyat perlu menjadi 'offensive' dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam PRU akan datang.

"Hanya jika ada perubahan radical yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu. Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan Pilihanraya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal," katanya.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui Barisan Nasional.

"Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai 'reform' dan transformasi, samada slogan baru 1 Malaysia Najib atau GTP, Rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi standard antarabangsa," tambahnya bersemangat.

Read more ...

Polis ceroboh premis PAS


KULAIJAYA, 30 Nov. : PAS Kawasan Kulaijaya membuat laporan polis berhubung dakwaan pencerobohan oleh anggota polis semasa ceramah berkaitan Hari Raya Korban yang dianjurkan parti itu pada 20 Nobember lalu, di Tadika Pasti Taman Anjaria, Felda Taib Andak di sini.

Laporan polis itu dibuat terhadap Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kulaijaya, Rohaizat Kasim, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kulaijaya, Mohd Suhairi Ismail mendakwa, tindakan menceroboh masuk ke dalam premis mereka adalah menyalahi undang-undang dan melanggar demokrasi rakyat Malaysia.

“Kami kesal apabila tindakan pencerobohan ini yang dilakukan oleh individu yang arif dalam bidang perundangan, namun bertindak demi kepentingan politik.

“Situasi ini jelas menghalang proses demokrasi dan kebebasan kami untuk menyalurkan maklumat dan informasi kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Suhairi berkata, kehadiran anggota yang turut mengadakan sekatan jalan raya dan berkawal di sekitar lokasi ceramah yang diadakan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan hadirin yang hadir.

“Pada hari kejadian, banyak sekatan jalan raya dilakukan malah pasukan polis simpanan (FRU) turut berkawal di sekitar lokasi.

“Keadaan ini menyebabkan orang ramai takut dan seolah-olah mencerminkan ceramah yang dijalankan adalah satu jenayah sedangkan kami sudah mengemukakan permohonan mengadakan ceramah dua minggu sebelum kejadian namun ditolak,” katanya.

Katanya, laporan polis berkenaan akan turut dilampirkan kepada Ketua Polis Johor, Ketua Polis Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jawatankuasa Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami berharap tindakan tegas diambil berhubung isu ini agar perkara sama tidak berulang dan memberi pengajaran kepada pihak berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 27, Akta Polis iaitu mengadakan perhimpunan haram.

“Pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap mereka di bawah Seksyen 27, Akta Polis kerana mengadakan perhimpunan haram.

“Permohonan mereka sebelum ini untuk mengadakan ceramah berkenaan ditolak atas faktor-faktor keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak meneruskan tindakan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan awam sekiranya permohonan tidak diluluskan.SH

Read more ...

Perak : Masa PR boleh simpan wang, masa BN defisit





























IPOH, 30 Nov. : DAP Perak hari ini mendedahkan sejak rampasan kuasa Barisan Nasional di Perak pada tahun 2009, kedudukan kewangan kerajaan negeri semakin merosot dan jumlah wang kumpulan bersatu negeri merosot sebanyak RM85.32 juta dalam tempoh satu tahun, satu gejala yang membimbangkan.

Setiausaha DAP Perak merangkap Ahli Dewan Negeri kawasan Pantai Remis, Nga Kor Ming mendedahkan hari ini bahawa mengikut laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan oleh Tan Seri Dato Seri Amrin Bin Buang di Parlimen tahun ini, Laporan rasmi jelas menunjukkan jumlah wang kerajaan negeri telah berkurang dari RM774.57 juta dan jatuh ke paras RM689.25 juta, satu kemerosotan ketara setinggi 11%.

Nga jugak bagitau masa Pakatan Rakyat perintah Perak dibawah Hj Nizar sebagai Menteri Besar, wang rizab sebanyak RM774.57 juta berjaya dikumpul untuk simpanan masa depan negeri dengan pentadbiran yang bersih dan cekap tanpa menaikkan sebarang cukai yang membebankan rakyat

Zambry pulak dalam masa setahun setengah lebih kurang, dah bentangkan 2 bajet dengan defisit RM103.89juta sebelum ni dan katanya hari ni akan bentang satu lagi bajet defisit sebanyak RM29juta lagi. Jumlah defisit RM131 juta untuk tempoh tak sampai setahun setengah.

Nga juga mendedahkan ada 7 projek terbengkalai dengan kos keseluruhan berjumlah RM17.32juta termasuk 5 projek dengan kos RM5juta di dalam kawasan Dun Pangkor yang Zambry sendiri jadi wakil rakyat.

Nama Projek dan Jumlah Kos terlibat
1.Resort Tepi Buki, Teluk Batik, Jumlah Kos terlibat: RM 2,430,000.00
2.Dewan Serba guna Padang Bandaran Kuala Kangsar, Jumlah Kos terlibat: RM 10,000,000.00
3.Pangkor Height Villa, Jumlah Kos terlibat: RM790,000.00
4.Dewan serba guna Teluk Gong, Pangkor , Jumlah Kos terlibat: RM260,000.00
5.Restoran Terapung Teluk Gong, Pangkor, Jumlah Kos terlibat: RM1,900,000.00
6. Restoran Terapung Teluk Dalam, Pangkor, Jumlah Kos terlibat:RM1,560,000.00
7. Korporat Villa Jenis B, Jumlah Kos terlibat: RM 380,000.00

Jumlah Kos keseluruhan RM17.32 juta

Read more ...

Umno tak tahu bersyukur


GEORGETOWN, 30 Nov. : Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jelutong menafikan mereka bakal menerima habuan atau ganjaran daripada mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam.

Pengerusinya, Mohd Naser Ismail berkata, mereka tidak menerima ganjaran seperti didakwa Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Mohd Khir Mohd Said sebaliknya menerima pelbagai cacian dan hinaan daripada penduduk walaupun kesemua ahli JKKK ikhlas membantu selama ini.


Mohd Naser yang kesal dengan kenyataan Mohd Khir, menyifatkan sikap pengerusi itu sebagai tidak tahu bersyukur dan mengenang budi walaupun orang lain yang tidak ada kena mengena dengan masalah penduduk bertungkus lumus mahu membantu dan membela nasib orang Melayu di kampung itu.

“Saya kesal dengan sikap Mohd Khir yang suka memburukkan orang lain sedangkan kami bersama dengan Kerajaan Negeri bertungkus lumus membantu untuk mendapatkan pampasan dan hak mereka.

“Kalau diikutkan dahulu pemaju hanya menawarkan pampasan yang tak seberapa sahaja namun selepas rundingan dibuat oleh Kerajaan Negeri, mereka mendapat sembilan rumah ganti yang akan ditempatkan semula berhampiran kawasan itu.

“Buat masa ini, kami juga sedang berusaha mendapatkan lagi pampasan yang sewajarnya kepada 14 keluarga yang masih belum menerimanya. Dia tidak seharusnya menuding jari dengan menyalahkan orang lain sebaliknya mereka perlu bersatu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Mohd Naser berkata, JKKK Kampung Jelutong bukan mahu menyibuk masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung tetapi atas dasar tanggungjawab dan mahu membela nasib sesama bangsa, JKKK perlu memainkan peranan sebaiknya untuk kebaikan bersama.

Menurutnya, kenyataan Mohd Khir yang mempersoalkan mengapakah JKKK perlu menjadi orang tengah dan tidak membenarkan penduduk menyelesaikan sendiri dengan pemaju adalah satu tuduhan kerana JKKK tidak pernah berurusan dengan pemaju sebaliknya yang berurusan dengan pemaju adalah pejabat Ahli Parlimen kawasan Jelutong dan Kerajaan Negeri sahaja.

“Kami tidak pernah berjumpa dengan pemaju sebaliknya kami berperanan membawa suara orang kampung kepada Ahli Parlimen Jelutong Ooi Chuan Aun (Jeff Ooi) dan Kerajaan Negeri. Selama ini Jeff Ooi dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu mereka.

“Kalau ikutkan, penduduk telah diusir lebih awal lagi oleh pemaju dari tanah itu sebaliknya Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen memainkan peranan mereka untuk membuat rundingan mencari jalan terbaik kepada penduduk dan pemaju bersetuju untuk menangguhkan dahulu arahan mengosongkan kediaman selama tiga bulan,” katanya.

Mohd Naser berkata, walaupun penduduk telah kalah dalam kes di mahkamah namun pemaju masih lagi membuka jalan untuk berunding. SH

Read more ...

Teresa memang layak


SHAH ALAM, 3o Nov. : PAS menyokong keputusan mengangkat Teresa Kok sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baru dan yakin dengan pemilihan itu mampu terus memberi nilai tambah serta memperkasa Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, ciri-ciri seorang pemimpin yang dipilih mestilah terbaik, berdisiplin dan komited melaksanakan tugas yang diberikan.


Menurutnya, Teresa merupakan pemimpin yang berwibawa dan berkemampuan mampu untuk memimpin serta memantapkan DAP Selangor.

“Dalam era PR, Teresa mempunyai prestasi terbaik dan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Selangor antara faktor yang diambil kira oleh ahli jawatankuasa DAP untuk memilih beliau sebagai pengerusi.

“Beliau juga mempunyai rekod membanggakan sebagai aktivis yang banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja pembelaan dan isu-isu rakyat,” katanya mengulas pemilihan Teresa sebagai Pengerusi DAP Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, setiap urusan dalam parti merupakan isu dalaman yang perlu dihormati.

“Saya menyokong keputusan yang dibuat oleh DAP Selangor dan yakin setiap parti mempunyai kekuatan masing-masing.

“Sesiapapun pemimpin DAP Selangor, keadaan PR akan tetap kukuh kerana kita memperjuangkan konsep tiada rasuah dan telus menjalankan tugas,” katanya.

Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya yang juga Bendahari DAP Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan pula berkata, pemilihan Teresa sebagai Pengerusi DAP Selangor adalah kemenangan kepada seluruh ahli jawatankuasa.

“Kemenangan Teresa adalah kemenangan kedua-dua belah pihak iaitu pasukan Perpaduan dan Pelangi.

“Kedua-dua pasukan telah memberi semangat berpasukan yang baik dan menunjukkan DAP mempunyai pemimpin lapisan yang baik,” katanya.

Terdahulu, 15 ahli jawatankuasa memilih pasukan Perpaduan (Unity) pimpinan Teresa Kok sebagai Pengerusi DAP Selangor dengan kelebihan satu undi daripada pasukan Pelangi (Pelangi) pimpinan Teng Chang Khim.SH

Read more ...

Cium Anwar : Utusan tipu lagi





















TEMERLOH,
30 Nov - Blogger Cucu Mat Kilau (CMK) akan bertindak menyaman akhbar rasmi UMNO Utusan Malaysia yang didakwa memfitnahnya keluar parti sedangkan beliau tidak pernah dihubungi oleh wakil berkenaan.

Lebih malang lagi, CMK atau nama sebenarnya
Mohd Shukri Mohd Ramli, difitnah pernah mencium (foto) Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan beliau tidak pernah berbuat demikian.

“Ada tiga perkara pembohongan Utusan, pertama saya tidak pernah pun dihubungi. Memang saya ada menyebut dalam facebook dan blog saya sedang mempertimbangkan untuk keluar PKR tapi saya belumpun buat sidang media lagi dan keputusan belum dibuat. Jadi cerita dibuat berdasarkan andaian.

“Kedua, penulis itu buat fitnah kata saya pernah mencium Anwar. Itu karut, saya tak pernah mencium Anwar dan mungkin penulis mengambil gambar dari blog
Anwaribrahimdotcom.blogspot.com yang dikendalikan oleh blogger Umno.

“Ketiga, ayat yang digunakan penulis menggambarkan seolah-olah saya belot kepada perjuangan Pakatan sedangkan saya masih kekal menyokong perjuangan,”
katanya ketika ditemui di sini petang semalam.Pahang Daily

Read more ...

Sokong 10 kerusi untuk pemuda di Perak



PARIT BUNTAR, 29 Nov. : Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh yang mahukan ramai calon daripada sayap kanan parti itu untuk mewakili PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Menurutnya Pemuda PAS mempunyai ramai calon-calon bawah 40 tahun yang layak bertanding dalam pilihanraya.

' Sebelum ini pun sudah ada calon daripada pemuda seperti Mohd Nazri Din dari Kubu Gajah, Muhammad Ismi Mohd Taib (Blanja) dan Radzi Zainon (Sungai Rapat) yang mewakili PAS dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

" Seharusnya Badan Perhubungan PAS Perak memberi ruang yang seluasnya kepada pemuda yang layak sebagai calon" katanya

Hairul Nizam berkata, kini anak-anak muda di seluruh negara mahukan pembaharuan dengan wakil rakyat di kalangan orang muda kerana wakil rakyat ini lebih segar, agresif, pantas bertindak dan memahami kehendak semasa.

" Sekarang ini kita melihat pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat di Parlimen begitu menonjol seperti YB Mohd Nasir Zakaria (Pas/Padang Terap), YB Yusmadi Yusof (PKR/Balik Pulau) dan YB Nga Kor Ming (DAP/Taiping).

" Ramai dikalangan pemimpin pemuda PAS Perak yang boleh disenaraikan. Ada dikalangan mereka merupakan pensyarah, peguam, ustaz, ahli perniagaan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi membawa suara dan menjaga kebajikan rakyat" katanya

Tambahnya. kenyataannya bukan hendak menidakkan keupayaan golongan veteran yang sudah lama dalam PAS sebagai calon, akan tetapi Badan Perhubungan PAS Perak perlu relevan dan membuka mata memberi ruang sekurang-kurangnya 10 kerusi calon pemuda untuk pilihanraya akan datang.

" Kita tidak sepatutnya jadi seperti UMNO yang hanya memilih pemimpin tertinggi bahagian sahaja sebagai calon manakala pemuda terpaksa berhempas pulas menjadi pemimpin bahagian untuk menjadi calon pilihanraya" katanya

Read more ...

Rancangan ahli bersekutu BN awal-awal dah gagal


















KUALA LUMPUR, 29 Nov. : Idea kewujudan ahli bersekutu Barisan Nasional adalah semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Ia merupakan antara langkah utama BN, untuk melebarkan sayapnya bagi menghindar kejatuhan kerajaan ke tangan Pakatan Rakyat.

Namun idea Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah gagal.

Gagal kerana ia tidak mendapat sambutan dari kalangan anggota komponen BN dan ia tidak dipersetujui sama sekali. Ia juga gagal kerana ia merupakan idea yang kabur dan kelam kabut. Yang bersetuju hanyalah media talibarut Umno-BN.

Difahamkan idea asal mengenai ahli bersekutu ini tercetus, akibat ramainya wakil rakyat lompat yang wujud dalam negara, selepas PRU ke-12 yang lalu dan juga kewujudan beberapa NGO yang bertentangan dengan beberapa buah parti komponen BN, tetapi jelas menyokong BN.

Asalnya keanggotaan ahli bersekutu adalah untuk memberi ruang kepada mereka-mereka ini bertanding atas tiket BN dalam PRU ke-13 nanti.

Malangnya, selepas dua hari PM Najib mengumumkan BN menerima ahli bersekutu, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor terpaksa membuat kenyataan pembetulan.

Tengku Adnan menjelaskan bahawa ahli bersekutu tidak boleh bertanding, kerana BN kekalkan syarat hanya wakil komponen sahaja yang menjadi calon pilihan raya mewakili BN.

Hakikat, persoalan yang timbul sekarang ini, mengapa Najib selaku Presiden Umno, terpaksa mengambil langkah yang penuh risiko dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu BN?

Bukankah langkah ini hanya menunjukkan bahawa BN berada dalam keadaan yang desperado sekarang ini?

Difahamkan idea asalnya, melalui ahli bersekutu ini, BN menjangkakan ia dapat menaungi kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang tidak mahu attach atau tidak diterima oleh mana-mana anggota komponen BN.

Walaupun langkah yang diumumkan Najib ini menyalahi konsensus BN, yang menetapkan persetujuan setiap komponen harus diperolehi, sebelum sesebuah anggota baru diterima, namun Najib cuba bulldoze.

Ada yang berpendapat tidak salah untuk BN mencuba idea memperkenalkan ahli bersekutu, namun yang dipersoalkan ialah, apakah rancangan ini semata mata untuk PRU sahaja atau untuk long term?

BN adalah entiti politik, individu atau NGO bagaimanakah yang hendak diterima sebagai ahli bersekutu?

Malangnya langkah yang diumumkan Najib ini nampaknya terpaksa diperbetulkan Tengku Adnan. Sebabnya ialah, anggota komponen BN sendiri yang tidak bersetuju dengan idea PM.

Dalam bahasa mudah, gagasan seorang PM yang mewakili Umno, ditolak anggota komponen BN. Ia menjadi sekadar idea, yang semakin melebarkan jurang antara Umno dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Dari segi tafsiran politiknya, jika idea seorang PM dan Presiden Umno ditolak, bermakna parti-parti komponen BN sudah tidak selesa lagi dengan dominasi Umno. Yang mereka mahu ialah equal right dan konsensus.

Ditimbulkan juga, dalam keadaan sekarang ini BN ada 14 komponen, jika tiga belas parti komponen selain Umno pun, susah untuk PM menjaganya, bagaimana kalau lebih ramai individu atau NGO yang masuk BN? BN akan menjadi lebih celaru dan cempera.

Timbul persoalan di kalangan anggotan komponen BN, apa tujuan individu atau NGO menjadi ahli bersekutu atau direct membership BN, jika tidak untuk tujuan menjadi calon pilihan raya?

Jika tidak untuk tujuan menjadi calon, mereka ini tidak perlu masuk BN, sebab mereka-mereka ini sudah menjadi penyokong tegar BN sejak azali.

Oleh sebab itu maka, kemungkinan besar ahli bersekutu ini akan tidak sehaluan dengan beberapa komponen BN tidak dapat ditolak.

Mereka yang duduk sebagai anggota komponen, penuh dengan kepentingan dan mereka yang mahu menjadi ahli bersekutu juga mempunyai kepentingan yang tertentu.

Sebabnya, jika mereka ini menjadi ahli bersekutu, jika mereka tidak mempunyai hak, penyertaan mereka dalam BN hanyalah sia-sia kerana, tidak mempunyai apa-apa makna.

Apa pun dalam isu ahli bersekutu ini ada NGO menunjukkan reaksi yang berbeza, ada yang menolak ada yang menerima.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) misalnya menyelar langkah BN dan berpendapat tindakan tersebut bertentangan dengan norma masyarakat demokratik.

Menurut Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, NGO harus menjadi wadah agen suara marhaen yang menjadi check and balance kepada dasar-dasar kerajaan.

Manakala Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) setakat ini dilaporkan berminat berhubung tawaran BN itu.

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan berkata, beliau akan menulis surat kepada Dewan Tertinggi BN, agar gabungan itu menyertai BN sebagai ahli bergabung.

Manakala dari sudut individunya, tekanan dalaman Umno dan komponen BN menyukarkan wakil-wakil rakyat lompat untuk bertanding pada PRU akan datang.

Setakat ini, masa depan Dato' Ibrahim Ali, Zahrain Hashim, Zuklifli Noordin, Wee Choo Keong, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzil Shamsuri, amat gelap.

Walau sehebat manapun mereka mengampu PM dan isteri, dalam ucapan-ucapan di Parlimen, mereka sukar untuk mendapat peluang sekali lagi sebagai calon pilihan raya.

Ke enam-enam Ahli Parlimen lompat ini boleh menjadi ahli bersekutu BN, tetapi tiada harapan untuk bertanding sekali lagi.

Hakikatnya, idea ahli bersekutu ini wujud semata-mata kerana BN hendak mempergunakan NGO atau individu terbabit meraih sokongan tambahan kepada BN.

Jika pun NGO atau individu lompat ini hendak bertanding, mereka boleh joint sahaja third force seperti geng-geng Dato' Zaid Ibrahim dan sekutu-sekutunya.

Maka boleh disimpulkan bahawa, menjelang konvensyen BN 4 Disember ini, Najib sudah mengambil langkah yang paling tidak popular dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu, yang ditolak komponen BN.

Langkah gamble ini hanya membuktikan bahawa BN berada dalam keadaan yang amat terdesak, dan Najib sendiri selaku PM, tidak mampu menolak tekanan dari kalangan komponen BN.

BN hari ini cuba menafikan bahawa mereka hanya tinggal 'nyawa-nyawa ikan'. BN dan sekutu-sekutunya harus sedar mereka akan tetap ditolak rakyat pada PRU ke-13 nanti.

BN hanya kelihatan kuat kerana media talibarut Umno-BN, yang dikerahkan bekerja siang dan malam untuk menjadi 'pak angguk' yang mengiyakan semua tindakan BN dan menutup segala kelemahan mereka.

Untuk mengalihkan persepsi rakyat mereka menggunakan media untuk menyerang Pakatan Rakyat habis-habisan.

Selepas lebih 30 bulan menyerang adakah mereka berhasil? Adakah Pakatan Rakyat goyah? Pakatan Rakyat terus ampuh dan didokong rakyat.

Oleh itu, elok juga cebisan akhbar talibarut BN yang makin tidak laku dikumpul, buat menutup 'bangkai gajah' BN selepas berakhirnya PRU ke-13 nanti.

Mohd Rashidi Hasan

Read more ...

PAS Terengganu mampu menang 'simple' majoriti
















KEMAMAN, 29 Nov. : Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu hanya memerlukan ‘simple’ majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk kembali memerintah negeri ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan datang.

Katanya, secara mudah PAS Terengganu hanya memerlukan ‘simple’ majoriti 17 kerusi Dun bagi mencapai cita-cita tersebut.

Menurutnya, dengan 17 kerusi Dun PAS Terengganu sudah boleh kembali memerintah negeri dan Dun Kemasik antara sasaran parti.

“Secara mudahnya, ‘simple’ majoriti kita hendak 17 kerusi Dewan Undangan Negeri dan sudah boleh memerintah negeri Terengganu.

“Dun Kemasik ini, duduk di kalangan orang yang boleh eksas dengan internet, golongan intelektual dan berpendidikan.

“Kita di Dun Kemasik juga ada cukup kekuatan jentera pilihan raya parti yang perlu disusun dengan strategi, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili PAS Terengganu pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Peringkat Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik di Pasti Al-Abrar, Kampung Gelogor, Kertih, Kemaman paad 24 November lalu.

Katanya, PAS perlu meraih undi di kalangan pengundi atas pagar, pengundi muda serta pengundi yang protes terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah, menurutnya jika PAS berjaya mendapat tiga peratus undi dari kalangan pengundi yang pernah mengundi Barisan Nasional sudah dikira boleh menang.

“Kita dalam PAS ada tanggungjawab politik untuk menang pilihan raya. Kita mahu mengembalikan syariat Allah SWT.

“Jika tiga peratus sahaja pengundi Umno-BN datang kepada PAS, kita sudah boleh menang di Terengganu ini,” tegasnya.

Menurutnya, menjadi kewajipan PAS Terengganu menebus semula kekalahan parti sejak tahun 2004 untuk kembali memerintah negeri.

Pelancaran gerak kerja tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dihadapan lebih 300 ahli parti dari 10 Unit Peti Undi (UPU) di Dun Kemasik.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman, Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah MTD Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid.

Read more ...

Tak salah bukan Islam petik ayat al-Quran






































SHAH ALAM, 29 Nov. :
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara sebagaimana disaksikan di Kongres Nasional PKR yang berakhir semalam.


Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pengalamannya berceramah bersama seorang pemimpin DAP dahulu, pemimpin itu merujuk kepada beliau ayat yang hendak digunakan terlebih dahulu sebelum berucap.

Pada Kongres Nasional PKR Ketujuh selama tiga hari yang berakhir di Petaling Jaya semalam, seorang perwakilan S Kesavan memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul.

Mengulas isu itu, laporan Bernama menyebut, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon maaf jika tindakan seorang perwakilannya bukan beragama Islam tersilap makna pada satu ayat al-Quran yang dibaca dalam perbahasannya di Kongres Nasional PKR semalam.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan Kesavan itu menunjukkan semua pihak akan membuat rujukan kepada al-Quran tetapi kalau beliau tersilap makna ayat al-Quran itu, PKR memohon maaf.

“Dia hanya untuk menceritakan bagaimana al-Quran itu memberi kewajipan kepada manusia untuk menjalankan tugas dengan baik. Saya pun tak berapa pakar tentang ini tetapi dia mencuba tapi saya tak menghalang dia mencuba kalau dia silap kita akan betulkan, itu tanggungjawab saya... saya tak tahu itu kesilapan,” kata Abdul Khalid.

Read more ...

Pusat hakis hak negeri















SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat.

Di samping itu, berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri dan mereka mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam ini.

Pada persidangan yang diadakan di sini sejak pagi tadi, selain Khalid, Menteri Besar Kelantan dan Kedah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pandangan masing-masing.

Namun demikian, mereka percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka mereka bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru, siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Berikut ialah resolusi penuh persidangan tersebut.

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;

Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;

Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;

Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan

Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;

Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);

Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;

Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan

Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;

Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;

Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;

Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;

Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;

Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;

Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.

Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;

Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri; dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan.

Read more ...

Zaman pemerintahan Umno : Orang gila bertambah, hospital gila tak cukup



























KUALA LUMPUR, 29 Nov. : Nampaknya negara kita Malaysia memerlukan lebih banyak hospital khusus untuk merawat pesakit mental. 11.3 peratus rakyat Malaysia sakit mental, bermakna hampir 3.3 juta orang.

50,000 kes cuba bunuh diri setahun dengan hanya 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia. Bacalah sendiri rintihan, penderitaan, kisah seorang ibu dibawah ini :


HARIAN METRO 29 NOVEMBER 2010
Tiada siapa peduli...

KUALA TERENGGANU: “Sehingga kini masih tiada siapa yang sudi membantu, malah anak saya semakin agresif kerana dia akan membawa bersama kayu, besi, atau mentol lampu ketika berjalan.

“Ada kalanya dia mengacukan kepada saya dan saya khuatir dia akan dipersalahkan atau ada orang tidak berdosa akan cedera,” kata Rokiah Ngah, 60, ibu seorang lelaki yang mengalami gangguan mental.

Menurutnya, anaknya Ahmad Shaari Mohamed, 27, turut mengoyak baju sebagai tanda protes ketika mereka bertemu baru-baru ini dan keadaan itu cukup meresahkan beliau.

Dia yang berasal dari Kampung Laut dekat sini berkata, dalam keadaan sekarang, ubat yang diberikan bagi mengurangkan tekanan jiwa juga dibuang anaknya itu.

“Saya sungguh sedih memikirkan masalah anak saya ini kerana bimbang dia akan mencederakan orang lain kerana dia sering berada di tempat saya bekerja dan tidak pulang ke rumah,” kata ibu tunggal berkenaan.

Harian Metro sejak seminggu lalu melaporkan mengenai keluhan Rakiah berikutan anaknya yang mengalami masalah mental sering kali bertindak ganas. Sejak berita itu disiarkan, pelbagai pihak berkuasa memberikan kenyataan.

Sehingga kini, belum ada sebarang tindakan diambil walaupun tiga pihak sudah memberikan kenyataan. Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr T Ramelah T Senik, sebelum ini memberitahu, pemeriksaan dan penilaian doktor ke atas pesakit mental akan menentukan sama ada seseorang pesakit akan berada lebih lama di wad mental atau sebaliknya.

“Penilaian bergantung kepada satu-satu kes yang dikendalikan doktor sebelum keputusan seterusnya diambil dan sekiranya masih terkawal, pesakit akan dibenarkan pulang,” katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar, pula pernah memberitahu, JKM tidak mempunyai tempat perlindungan untuk menempatkan pesakit yang mengalami masalah mental. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, turut berkata, kes seperti itu harus dilaporkan kepada pihak polis terlebih dulu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin pula berkata, keluarga lelaki berkenaan perlu berunding dengan pihak hospital. Rakiah berkata, sebagai orang kampung, tidak banyak dapat dilakukan dan dia kecewa apabila kisah hidupnya tidak ditangani oleh pihak berkenaan.

Menurutnya, dia tidak mampu menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan kerana setiap kali dia menyuarakan hasrat itu, anaknya akan menunjukkan sikap ganas.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadasiapapeduli/Article/index_html

Beberapa artikel sebelum ini mengenai pesakit mental di Malaysia :

11.3 PERATUS RAKYAT MALAYSIA SAKIT MENTAL, GILA

http://waghih.blogspot.com/2010/11/113-peratus-rakyat-malaysia-sakit.html

ORANG GILA MAKIN RAMAI DI MALAYSIA, DOKTOR SIKIT, JAKIM?

http://waghih.blogspot.com/2010/11/orang-gila-makin-ramai-di-malaysia.html

MAKIN RAMAI ORANG, REMAJA 1MALAYSIA BUNUH DIRI

http://waghih.blogspot.com/2010/04/makin-ramai-orang-remaja-1malaysia.html

MALAYSIA KENA BINA LEBIH BANYAK KLINIK 1MENTAL

http://waghih.blogspot.com/2010/01/malaysia-kena-bina-lebih-banyak-klinik.html



rozmal

Read more ...

Umnolah 'Si Kitol' moden


















SHAH ALAM, 29 Nov. : Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan pemimpin- pemimpin Umno sebagai “Si Kitol” moden yang bermuka-muka mempertahankan kedaulatan Raja dan Sultan Melayu setelah menghakis kuasa-kuasa mereka dan mengaibkan institusi itu demi kepentingan politik diri.

“Tiba-tiba , sejak awal 2009, setelah 17 tahun berlalu, pihak yang berusaha dan berjaya menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja- Raja Melayu kembali bermuka- muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati Raja dan Sultan,” kata Tan Sri Khalid.

“Syukur Alhamdulillah, mungkin akhirnya mereka sedar akan ketelanjuran, namun, patik teringat peranan Si Kitol dalam Sejarah Melayu. Adakah “Si Kitol” moden ini akan kembali memperalatkan Raja dan Sultan demi kepentingan politik mereka?,” tanya Tan Sri Khalid pada wacana mengenai institusi Raja- Raja Melayu.

Si Kitol dikenali dalam Sejarah Melayu sebagai watak yang menabur fitnah dan pandai mengadu domba sehingga menyebabkan keruntuhan Kesultanan Melaka.

Wacana bertajuk Kedaulatan Raja- Raja: Institusi Yang Mesti DiPertahankan dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya Tan Sri Khalid menyingkap peranan Raja dan Sultan Melayu dalam sistem demokrasi berparlimen serta kuasa- kuasa yang diperuntukan kepada mereka menerusi Perlembagaan.

Tan Sri Khalid berkata sejarah membuktikan bahawa peruntukan perlembagaan itu dicabuli pada tahun 1983 dan sekali lagi pada tahun 1992 serta 1993.

Pada 1983 kerajaan Umno- Barisan Nasional meluluskan pindaan undang- undang yang membolehkannya melaksanakan sebarang rang undang- undang tanpa kelulusan wajib Raja- Raja.

Perlembagaan turut dipinda bagi mewajibkan Yang DiPertuan Agong menerima nasihat Perdana Menteri sekiranya beliau mahu darurat diisytiharkan pada bila- bila masa.

Tan Sri Khalid berkata tahun 1993 pula menyaksikan imuniti atau kekebalan Raja- Raja Melayu disentuh dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, seluruh jentera kerajaan termasuk media massa dimanipulasikan secukupnya, secara biadap dengan memaparkan cerita- cerita yang memburukan peribadi Raja- raja Melayu, diulang siar dan ditokok tambah bagi mengwujudkan sentimen dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja- Raja Melayu,” tambah beliau.

“Pemerintah ketika itu menggunakan kuasa rakyat, terutama orang Melayu, supaya mendesak, malah memaksa Raja- Raja supaya menerima pindaan Perlembagaan. Malah ke satu tahap di mana seorang pemimpin politik tergamak mengadakan majlis pertabalan Sultan Baru di Kelantan,’ tambah beliau.

Tan Sri Khalid mengimbas bahawa Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad sendiri dipetik oleh akhbar Berita Harian sebagai mengutuk Institusi Raja kerana kononnya menyalah gunakan wang, harta kerajaan dan negara serta menekan pegawai- pegawai kerajaan.

Beliau menegaskan akhbar- akhbar terbitan akhir tahun 1992 hingga Mac 1993 harus dirujuk bagi menghayati pertelingkahan yang akhirnya menghapuskan kekebalan dan imuniti Raja- Raja Melayu.

“Penilaian harus ditekankan kepada mengetahui siapakah pihak- pihak yang pada ketika itu beriya- iya mahukan kekebalan Raja- Raja Melayu dihapuskan dan malah banyak pemimpin- pemimpin itu seolah-olah mahu Raja- Raja Melayu dinyahkan daripada tahtka dan Istana diRaja,” kata beliau.

Tan Sri Khalid berkata beliau menggunakan wacana itu sebagai forum sesuai untuk mengimbas peristiwa yang memberi “luka yang dalam kepada Institusi Raja- Raja pada ketika itu.”

“Luka yang dalam mungkin telah sembuh, barang pasti parutnya tetap ada,” kata beliau.

“Patik yakin dengan mengambil kira kata- kata keramat “sedangkan Nabi mengampunkan umat” maka keterlanjuran rakyat jelata turut sama dimaafkan apatah lagi memang sebenarnya Raja- Raja adalah Raja- Raja yang berdaulat.

Namun Tan Sri Khalid mengingatkan bahawa kerenah manusia boleh berubah mengikut zaman dan kepentingan justeru itu peri laku pemimpin Umno harus dibandingkan dengan peranan Si Kitol.

Read more ...

Perkasa 'pelacur murahan' Umno



















SHAH ALAM, 29 Nov. : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin menganggap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai 'pelacur murahan' kerana menggadaikan maruah bangsa bersekongkol dengan UMNO.

Menurut Shamsul serangan dan tuduhan Perkasa yang menyatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali sebagai 'pelacur politik' dan 'Pengkhianat' kerana menolak konsep 'ketuanan melayu' yang dibawa UMNO jeles menunjukkan kedangkalan pemikiran mereka.

"Kalau kedua-dua pemimpin Keadilan ini dilihat mereka sebagai pelacur politik, Saya kira perkasa juga bakal digelar sebagai pelacur murahan kerana sanggup lacurkan bangsa sendiri demi kepentingan politik mereka.

Perjuangan perkasa ini ibarat tong kosong yang tidak mempunyai isi kerana gunakan istilah yang menunjukkan betapa dangkalnya pemikiran mereka bertujuan mencari publiciti murahan," kata Shamsul kepada TV Selangor, petang tadi.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah dalam sebuah sidang media mengecam kedua-dua pemimpin PKR terbabit atas alasan mereka dilahirkan dan mendapat kesenangan menerusi konsep 'Ketuanan Melayu'

Arman juga mendakwa kononnya Wan Azizah dan Azmin sebagai 'kacang lupakan kulit.'

PKR semalam mengangkat konsep ketuanan rakyat dan bangsa bermaruah bagi menggantikan konsep ketuanan melayu yang telah terbukti gagal kerana digunakan Umno bagi menguntungkan orang-orang tertentu sahaja.

Menurut Shamsul, AMK bakal mengadakan beberapa siri 'dialog ilmiah' berbentuk dua hala dan intelektual bertujuan menerangkan hal itu kepada orang ramai khususnya masyarakat muda.

Shamsul yakin rakyat kini cukup matang untuk berfikir tanpa mengira batasan agama dan kaum.

Read more ...

Kes polis tembak mati meningkat 17 kali ganda


















SHAH ALAM, 29 Nov. : Aktivis bagi hak asasi dan pembaharuan kehakiman, Lawyers For Liberty mendedahkan jumlah individu yang ditembak mati oleh polis meningkat 17 kali ganda sejak 2001.

Badan tersebut berkata, jumlah statistik jauh berbeza dengan kadar yang dicatatkan pada 2001 lalu yang hanya mencatatkan lima kes sahaja.

Dalam kenyataan yang disiarkan, badan tersebut menyifatkan peningkatan mendadak kes individu yang ditembak mati oleh polis tidak boleh diterima dan mempertikaikan samada tindakan tersebut wajar.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kenyataan seorang pegawai polis dari ibupejabat polis persekutuan Bukit Aman dalam kes perbicaraan P Uthayakumar hari ini.

Pegawai terbabit mendedahkan 82 kes individu yang ditembak mati oleh polis pada 2008 manakal 88 lagi berlaku pada 2009.

“Dengan statistik yang mengejutkan ini, kami hanya dapat memberi kesimpulan yang tidak dinafikan bahawa polis begitu mudah melepaskan tembakan dan melepaskan tembakan sebaik sahaja terdapat peluang yang menunjukkan sesuatu tindakan menyalahi undang-undang berlaku.

Mangsa dikatakan cuba melarikan diri dari polis atau anggota polis preman walaupun melakukan kesalahan kecil ataupun mereka dikatakan cuba 'menyerang' dan polis terpaksa mengambil tindakan untuk mempertahankan diri walaupun tiada bukti menyokong dakwaan mereka," kata kenyataan badan tersebut lagi.

Menurut badan itu lagi, apa yang menyedihkan, pegawai kanan polis ataupun pegawai kerajaan secara melulu mempertahankan tindakan pasukan polis dan enggan mengkaji semula kemungkinan anggota polis terbabit bertindak secara melulu dan tergesa-gesa melepaskan tembakan menyebabkan kecederaan atau kematian.

Sambil memberi contoh, kejadian tiga remaja ditembak mati di Shah Alam baru-baru ini, kumpulan berkenaan berkata pemangku ketua polis Selangor pada ketika itu, A Thaiveegan menuduh mereka adalah penjenayah tegar dan sebahagian daripada kumpulan penjenayah “Geng Minyak”.

“Polis mendakwa suspek cuba menyerang polis menggunakan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan sebagai mempertahankan diri namun adalah kemungkinan besar mereka ditembak mati secara kejam oleh polis," kata kenyataan itu lagi.

Kumpulan tersebut merujuk kejadian tiga remaja, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, ditembak mati oleh polis di Shah Alam pada 20 November lalu.

Keluarga mangsa mendakwa kesan tembakan pada tubuh mangsa menunjukkan mereka ditembak sepert sengaja dihukum bunuh.

Kumpulan tersebut juga meminta penjelasan mengenai kemajuan oleh sebuah panel yang dibentuk oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)mengenai hasil penemuan dari siasatan kes kematian remaja, Aminulrasyid Amzah, 14 tahun pada 26 April lalu.

Menurut kumpulan berkenaan, panel tersebut telah memberikan beberapa syor dan cadangan kepada Ketua Polis Negara ketiuka itu, namun sehinggga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Read more ...

Kes Aminulrasyid : Ada mesingan kedua

















SHAH ALAM, 29 Nov. : Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu sepuluh das tembakan dilepaskan dari mesingan kedua dalam kejadian remaja, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati.

Lans Korporal Madi Samsuddin memberitahu mahkamah konstable Izham Mahayaddin telah memulangkan sebuah mesingan H&K MP5 bersama 90 biji peluru dari empat magazin yang diserahkan kepadanya pada 26 April lalu.

"Konsatble Izham memberitahu saya, beliau telah melepaskan beberapa das tembakan namun dia tidak pasti jumlah sebenar tembakan yang dilepaskan.

Saya kemudiannya mengosongkan semua magazin dan mengira baki peluru dari mesingan berkenaan dan mendapati ia kekurangan 10 butir peluru. Beliau telah dibekalkan dengan 100 butir peluru," katanya lagi.

Mesingan MP5 terbabit adalah jenis senjata sama seperti yang digunakan oleh tertuduh, Korporal Jenain Subi.

Jenain, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 14 tahun pada 26 April lalu.

Madi, bagaimanapun hanya merekodkan penerimaan senjata terbabit dalam buku log stor pada jam 6.30 pagi dan merekodkan pula dalam diari balai polis terbabit jam 2.30 petang kemudian.

Apabila ditanya oleh peguambela Salim Bashir mengenai kelewatan merekodkannya di dalam diari, Madi memberi alasan beliau telah merekodkan terlebih dahulu dalam buku log dan hanya merekodkannya dalam diari selepas beliau kembali ke balai beberapa jam kemudian.

Beliau menambah beliau telah diarah oleh seorang pegawai atasan untuk merekodkannya dalam diari namun tidak dapat mengingati siapa pegawai berkenaan.

Madi juga mengakui telah melakukan perubahan kepada catata nombor siri senjata yang digunakan oleh Izham selepas kesilapan tersebut dimaklumkan oleh Salim.

“Nombor siri senjata berkenaan tidak jelas jadi saya telah membuat kesilapan semasa mencatatkan nombor berkenaan.

Madi juga menjawa Ya apabila ditanya oleh peguambela samada maggazin dan peluru terbabit boleh dirosakkan.

Read more ...

Mustafar Rahadi lebih baik masuk Umno


IPOH, 29 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri melihat trend Barisan Nasional (BN) meletakkan punca perpecahan hanya kepada Pakatan Rakyat (PR) semata-mata tanpa melihat apa yang berlaku dalam parti itu sebenarnya adalah satu perpecahan yang nyata.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata, kenyataan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri, Mustafar Rahadi yang meletakan punca perpecahan umat Islam daripada PAS dilihat sebagai tidak relevan.

Menurutnya, persoalan kenapa Mustafar tidak memilih UMNO, tetapi menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai ideologi politiknya.

“Dewan Pemuda PAS menyarankan agar Mustafar menyertai UMNO bagi membuktikan bahawa tiada perpecahan sendiri dalam BN. Sudah tentu juga ahli Melayu dalam parti Gerakan perlu menyertai UMNO bagi mengelakkan perpecahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Salman berkata, sebagai sebuah parti Melayu dalam BN, sudah tentu keahlian mana-mana parti itu perlu menjadikan UMNO sebagai keutamaannya.

“Dewan Pemuda PAS mengambil peluang mengalu-alukan pertemuan dengan Pemuda PPP Negeri dalam masa terdekat jika ingin mendapatkan penjelasan berkaitan Islam.

“Kami bersedia memberikan penjelasan agar segala salah faham dan kekaburan dapat dijernihkan semula serta berharap akan menjadi kenyataan,” katanya.SH

Read more ...

Debat Pemuda Larut : IPMM sanggup jadi penganjur


IPOH, 29 Nov. : Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) bersedia menganjurkan debat terbuka antara Dewan Pemuda PAS Larut dengan Pemuda UMNO Larut bagi merealisasikan hajat kedua-dua belah pihak secara intelektual.

Pengarahnya, Mohd Hafez Sabri berkata, hasrat kedua-dua parti ini menunjukkan satu transformasi ke arah menghasilkan keputusan terbaik yang melibatkan masa depan Melayu Islam.


Menurutnya, isu yang hendak dibawa oleh kedua-dua pihak perlu dijelaskan dengan baik kepada rakyat dengan diketemukan secara terbuka di hadapan rakyat di dalam pentas perdebatan.

“Hasrat ini sekali gus akan membuka minda anak muda terhadap isu yang berlaku hasil daripada penjelasan kedua-dua pihak.

“Dalam merealisasikan debat ini, pihaknya sentiasa bersedia menganjurkan perdebatan politik yang sihat melibatkan pemimpin-pemimpin dari mana-mana parti sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan Ketua Pemuda UMNO Larut, Mohamad Anuar Arifin menggesa mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) menjadi badan perantaraan ke arah merealisasikan debat ini.

Mohd Hafez berkata, kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang politik, jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua berkaitan dengan politik dianggap kotor dan dianggap berbahaya.

Katanya, ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik yang perlu didedahkan kepada rakyat dan anak muda khususnya.

“Di sinilah relevannya IPMM menganjurkan debat politik ini. Anak muda perlu selalu mengadakan program bersama masyarakat seperti ceramah, forum dan diskusi serta dalam masa sama perlu berkecimpung dengan masalah penderitaan penoreh, petani dan nelayan,” katanya.

Beliau berkata, jika program tersebut dapat dijalankan pihaknya akan membentang resolusi perdebatan tersebut untuk tatapan umum melalui penerbitan akhbar, majalah dan risalah, perkara ini penting bagi menghidupkan budaya profesional dan intelektual dalam kalangan anak muda di negeri ini.SH

Read more ...