Monday, May 23, 2011

Dato' Tuan Ibrahim bertanding Timbalan Presiden

TEMERLOH, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS dalam keadaan 'berat' dan merasakan "saya sedar saya bukanlah calon terbaik."

Beliau mengumumkan perkara ini jam 11 pagi hari ini dan yakin, "calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama."

Dengan pengumuman ini, sudah tiga calon mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden iaitu penyandang sekarang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau:

Saya telah menerima surat rasmi dari Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 22hb Mei 2011. Saya telah mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu Jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan.

Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.

Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ianya suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkan semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan.

Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama amat terasa beratnya - dan menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya - dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama.

Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat
24 Mei 2011

Read more ...

Orang Thai bakal dapat kad pengenalan segera untuk undi BN?

KUALA LUMPUR, 24 Mei: PAS mengesyaki wujud usaha BN memberikan kad pengenalan segera kepada warga asing di Tumpat, Kelantan bagi memberi undi kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) hari ini mendedahkan maklumat mengenai program yang dinamakan "program pelaksanaan operasi mydaftar" yang akan berlangsung Sabtu, 28 Mei ini.

Menurut beliau, program tersebut diumumkan imam masjid di salah satu mukim di daerah tersebut Jumaat lalu, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu (1), Tumpat.

Menurut maklumat yang diterima kata Kamarudin, program tersebut bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk rakyat negeri Kelantan yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta bagi yang layak memohon perkhidmatan yang disediakan.

Ianya merangkumi lima perkara iaitu pendaftaran, kelahiran, kematian serta anak angkat, pendaftaran urusan kad pengenalan, pendaftaran urusan kewarganegaraan, khidmat nasihat semua urusan JPN, dan khidmat nasihat oleh Jabatan Imegrisen Malaysia.

"Program ini sealiran dengan pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing yang sedang berangsung seperti yang dilaporkan contohnya di Hulu Selangor," kata beliau yang juga ahli Parlimen Tumpat pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, PAS mendesak program ini dihentikan kerana ia membantu kehadiran pengundi hantu seperti yang berlaku sebelum ini.

Read more ...

Dr. Mariah bertanding Timbalan, Siti Zailah mungkin bertanding jawatan Ketua Muslimat

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Dua calon, Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Asiah Ali, menolak pencalonan jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) pada Muktamar PAS, Jun ini.

Dr Mariah telah memutuskan hanya mahu bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP dan AJK PAS Pusat, manakala Dr Asiah pula hanya mahu bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa DMPP.

Dengan ini, hanya tinggal penyandangnya iaitu Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Siti Zailah Yusof untuk jawatan itu.

Menurut Dr Mariah, keputusan tersebut dibuat setelah berbincang dengan rakan-rakannya termasuk bersama rakan-rakan dari kalangan kepimpinan DMPP.

Katanya, kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP dan menolak pencalonan Ketua dan Naib Ketua bersandarkan kepada beberapa faktor.

"Di antara pencalonan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP, jumlah pencalonan bagi Timbalan Ketua DMPP yang paling tinggi bagi saya.

"Dengan itu, ia memberikan gambaran kepada saya bahawa dari ketiga-tiga jawatan itu, para perwakilan lebih berhasrat untuk saya bertanding jawatan Timbalan Ketua berbanding jawatan lain dalam DMPP," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kota Raja ketika dihubungi, hari ini.

Di samping itu, jelasnya, hasil perbincangan yang diadakan dengan rakan-rakan termasuk dalam usrah, mereka juga lebih suka jika beliau hanya bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP sahaja.

Manakala Dr Asiah ketika dihubungi menjelaskan, keputusannya untuk hanya bertanding jawatan AJK DMPP dibuat setelah berbincang dengan suami dan rakan-rakannya.

"Borang untuk bertanding AJK DMPP dah saya serahkan hari ini. Jadi dengan itu secara rasminya saya menarik diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Ilham menjelaskan, keputusan untuk tidak bertanding jawatan tertinggi DMPP dibuat bagi membolehkan beliau memberikan sepenuh perhatian terhadap soal pendidikan dalam PAS, khususnya untuk menghidupkan Ilham.

Ilham adalah institut latihan yang diwujudkan oleh PAS untuk melatih ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang khasnya berkaitan dengan agama Islam.

"Dalam Ilham, saya memang dah mempunyai tanggungjawab besar. Sekiranya saya memegang jawatan tertinggi dalam DMPP, saya bimbang akan terabai tanggungjawab saya terhadap Ilham.

"Politik bukanlah perkara main-main. Ia adalah amanah. Jika kita rasa kita dah tak layak, tak mampu kerana dah mempunyai tanggungjawab lain yang begitu besar, lebih baik kita tak bertanding, nanti hanya akan dimarah oleh ahli-ahli dan merosakkan parti sahaja," kata bekas pensyarah pendidikan Islam UiTM itu.

Jadi, katanya, bagi jawatan-jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP, beliau menyerahkan kepada calon-calon lain yang lebih berkelayakan untuk bertanding bagi kepentingan parti atau perjuangan Islam, walaupun beliau telah disahkan layak bertanding bagi jawatan-jawatan itu.

Sementara itu, seorang lagi calon Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof memberitahu, beliau belum membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak bagi jawatan itu.

Beliau juga belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau sebaliknya bagi jawatan-jawatan lain dalam DMPP yang diterimanya termasuk Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan AJK.

"Segalanya masih dalam proses. Nanti saya akan beritahu kemudian," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang ketika dihubungi.

Calon layak bertanding Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Nuridah Mohd Salleh (Penyandang)
2. Siti Mariah Mahmud, Dr
3. Asiah Ali, Dr
4. Siti Zailah Mohd Yusof.

Timbalan Ketua

1. Asiah Ali, Dr.
2. Mumtaz Mohd Nawi, YB
3. Nuridah Salleh
4. Siti Mariah Mahmud, Dr
5. Siti Zailah Mohd Yusof , YB
6. Wan Hasrina Wan Hassan

Naib Ketua

1. Aiman Athiran Al-Jundi
2. Asiah Ali, Dr.
3. Mastura Mohamad
4. Mumtaz Mohd Nawi, YB
5. Najhatussolehah Ahmad, Dr.
6. Normala Sudirman
7. Nuridah Salleh
8. Rohani Ibrahim, YB
9. Siti Mariah Mahmud, Dr.
10. Siti Zailah Mohd Yusof , YB
11. Wan Hasrina Wan Hassan

AJK

1. Aiman Athirah
2. Amizan Baharuddin
3. Asiah Ali, Dr.
4. Azizah Khatib Mat
5. Azlina Che Haron
6. Bariah Alang Sapri
7. Fatimah Ismail
8. Fatimah Wan Teh
9. Fatimah Zainab Ibrahim, Toh Puan
10. Fazilah Abu Samah
11. Halimah Ali, Dr. YB
12. Hawa Yaakub
13. Kartini Ahmad
14. Khadijah Mahmud
15. Khatijah Jumangat
16. Kintan Man
17. Lo扡o?Ghazali, Dr.
18. Mariam Abdul Rashid
19. Mastura Mohamad
20. Maznah Taha (Melaka)
21. Mumtaz Mohd Nawi
22. Muna Izzah Fadzil Nor
23. Munirah Athira Hassan Adli, Dr.
24. Najihatussolehan Ahmad, Dr
25. Noraini Hussein
26. Norazliza Abd Latif
27. Norhafizah Musa @Ummu Hannan
28. Norhayati Bachok
29. Normala Sudirman
30. Nuridah Salleh
31. Nurul Huda Yusof Rawa
32. Nurwani Ahmat
33. Rahimah Sahit,
34. Rahmah Mohd Isa
35. Raja Azrina
36. Rohani Ibrahim, YB
37. Rohaya Yaacob, Dr.
38. Rosiah Salleh
39. Rosnah Abdullah
40. Rosni Adam, Dr.
41. Safinah Jusoh
42. Sakinah Awang
43. Salbiah Wahab
44. Salmiah Mohd Nor
45. Siti Aisyah Ghazali, YB
46. Siti Mariah Mahmud, Dr.
47. Siti Mariam Othman
48. Siti Zailah Yusof, YB
49. Wahibah Tahir
50. Wan Hasrina Wan Hassan
51. Wan Ubaidah Wan Omar, YB
52. Zahroni A Bakar
53. Zaironi Othman
54. Zaitun Ahmad

Read more ...

Kes Kematian Ahmad Sarbani : " Bukan saya....Orang saya" kata pegawai penyiasat SPRM

"Keterlanjuran" seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencungkil keraguan balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, yang pada asalnya telah "redha" dengan kematian suaminya. Maziah Manap, terkejut dengan kenyataan "Bukan saya...Orang saya" dari bibir seorang pegawai penyiasat SPRM bernama Ghani, dalam satu perjumpaan pada 28 April 2011.

Maziah Manap (gambar kiri) membuat repot polis pada 2 Mei 2011 di Balai Polis Kelana Jaya, mengesyaki bahawa Ghani telah "terlepas cakap", semasa perjumpaan di pejabat Kastam dengan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian suaminya. Maziah berharap agar polis akan menyiasat maklumat tersebut.

Dalam perjumpaan pada 28 April, Maziah telah meluahkan perasaannya kepada pegawai penyiasat, termasuk Ghani. Di akhir luahannya, Maziah menyatakan bahawa dirinya redha dengan kematian suaminya, seterusnya bertanya soalan, "Apakah Encik Ghani akan buat sekiranya Encik Ghani berada di tempat saya?"

Apa yang mengejutkan Maziah adalah "jawapan yang perlahan daripada Ghani, yang menyatakan "BUKAN SAYA... ORANG SAYA". Maziah menyusul dengan pertanyaan "ORANG?", namun Ghani terus mendiamkan diri dan Jariyana bt Yusof terus mengajak Ghani keluar kerana ada operasi.

Demikianlah repot polis yang dibuat oleh Maziah pada 2 Mei 2011, didedahkan oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang dalam satu ceramah di Tualang Seka pada malam 20 Mei 2011.

Serah dokumen peribadi

Menurut repot polis tersebut, sepasukan anggota SPRM telah datang ke pejabat Maziah Manap di Shah Alam pada 27 April 2011. Bagaimanapun, Maziah tidak berada di pejabat ketika itu, dan anggota keselamatan syarikat itu diberitahu bahawa tujuan lawatan SPRM adalah untuk menyerah dokumen peribadi Allahyarham Ahmad Sarbani kepadanya.

Temujanji diaturkan pada 28 April, setelah Maziah menghubungi Tuan Hj Sarip, Penolong Kanan Pegawai Kastam di bahagian pengurusan. Pada 10.30 pagi 28 April, Maziah bersama dua orang anaknya Sabtiyah dan Syahirah sampai di pejabat Kastam Subang Jln LTS ASS Subang. 11 dokumen diserahkan oleh Jariyana bt Yusof dari SPRM, sambil disaksikan oleh Sarip, dan pegawai penyiasat kes suaminya, Ghani. Maziah pula ditemani dua orang anaknya dalam bilik di mana dokumen diserahkan.

Kejadian "terlepas cakap" berlaku selepas penyerahan dokumen, menurut repot polis. Malah, seorang lelaki Melayu yang memperkenalkan diri sebagai "Ghani dari SPRM" menelefon anak Maziah pada 29 April, untuk meminta nombor telefon Maziah.

Kejadian ini telah mencungkil keraguan Maziah Manap tentang punca kematian suaminya, Ahmad Sarbani. Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani, 56, dijumpai mati di gelanggang badminton selepas jatuh daripada tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011.

Sarbani antara 62 pegawai kastam yang ditahan dalam "Operasi 3b" yang dijalankan SPRM pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain. Kematian Ahmad Sarbani adalah kes kematian kedua dalam tahanan SPRM, selepas kes Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009. 73 pertubuhan sivil mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian ini.

Bagaimanapun, pada 21 April, Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkifli Abdullah berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian Ahmad Sarbani adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Zuklifli Abdullah menambah, laporan kematian mengejut (Sudden Death Report) Ahmad Sarbani (gambar kanan) akan dihantar kepada Peguam Negara dalam masa satu minggu. Dengan kata lain, laporan tersebut telah dihantar sebelum Maziah membuat laporan polis pada 2 Mei 2011.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Ghazali Ramli, iaitu peguam Maziah Manap berkata polis pernah menghubungi Maziah untuk mengambil keterangan. Namun demikian, sebagaimana yang diketahuinya, polis tidak berbuat demikian setakat ini.

"Laporan media seolah-olah suami saya kaki rasuah"

MerdekaReview juga menghubungi Maziah Manap, dan beliau meluahkan perasaannya bahawa laporan media arus perdana tidak adil untuk dirinya. Misalnya, media melaporkan bahawa dirinya memiliki empat buah kereta, tanpa menyatakan apa jenis kereta itu. "Saya pandu (kereta) kancil salah ke?" tanya Maziah Manap, yang bekerja sebagai seorang supervisor.

Jelas, Maziah kelihatan agak berhati-hati dengan media, sepanjang temuramah dijalankan. Beliau akan merenung sebelum berkata sesuatu kepada wartawan.

"Reaksi masyarakat terbahagi kepada dua, yang kenal I,percaya I, sebab mereka tahu cara hidup saya. Yang tak kenal I, kutuk I. Laporan media itu seolah-olah suami saya kaki rasuah. Saya pasti suami saya tidak makan rasuah dan tidak membunuh diri," kata Maziah Manap.

Pada 12 April, peguam Maziah Manap, Ghazali Ramli mengisytiharkan harta Ahmad Sarbani secara terperinci, iaitu tiga buah kereta (Kancil, Honda CRV second hand, Proton Persona); sebuah motorsikal Modenas Kriss; satu unit apartment di Klang bernilai RM65,872; satu unit apartment di Puncak Alam bernilai RM68,988; satu unit rumah semi-D di Saujana Impian, Sungai Buluh bernilai RM230,000 (dibeli dengan pinjaman kerajaan dan wang simpanan KWSP isterinya), dan simpanan Amanah Saham Bumiputera yang bernilai RM35,000.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disunting dan diterjemah dari teks asal.

Read more ...

Demi untung kroni, bil elektrik akan naik tapi pemegang kad UMNO dapat diskaun bil elektrik

Kontrak TNB-IPP Memaksa Harga Elektrik Naik


PETALING JAYA 23 MEI : Kontrak yang dipaksakan ke atas Tenaga Nasional demi memberi keuntungan lumayan kepada syarikat penjana bebas (IPP) menyebabkan rakyat menanggung kadar elektrik yang tinggi berbanding negara jiran, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas ura-ura bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional akan menaikan kadar elektrik bulan depan selepas dinaikan pada Mac 2009.

Anwar mendedahkan rakyat Malaysia sekarang terpaksa membayar kadar elektrik yang jauh lebih mahal berbanding negara jiran seperti Thailand sungguhpun bahan api seperti gas asli di negara ini menikmati kemudahan subsidi.

Beliau berkata TNB mengalami pendarahan kewangan kerana terpaksa membayar harga yang amat tinggi untuk membeli elektrik daripada IPP.

Selain mengaut keuntungan berlipat ganda dari TNB, syarikat IPP juga menikmati subsidi gas berjumlah RM22 bilion ringgit.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran, umpamanya, Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa,” kata Anwar.

“Pada masa ini harga semasa (yang dibayar Thailand) adalah tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia,” tambah beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Anwar berkata seorang pemilik rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna di Malaysia terpaksa membayar 22 sen atau 22 peratus lebih untuk kadar yang sama.

Tarif untuk pengguna runcit di bawah kategori “tarif komersial untuk penggunaan voltan rendah” di Malaysia pula adalah 37 sen per kWh atau 48peratus lebih tinggi dari kadar di Thailand iaitu 25 sen per kWh.

Anwar berkata usaha segera harus dilakukan untuk merunding semula kontrak IPP bagi memastikan tarif elektrik tidak membebankan pengguna negara ini.

" Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga yang terlalu mahal yang dikenakan oleh Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta ke atas TNB.

"Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour). Harga elektrik yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah lebih mahal dari harga tenaga yang dihasilkan oleh TNB sendiri,"katanya.

"Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya. Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekaligus membolehkan Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) mengaut keuntungan yang besarlebih awal,"tambah Anwar lagi.

Menurut Anwar, perjanjian yang diikat dengan IPP hanyalah untuk melindungi syarikat IPP daripada sebarang risiko kenaikan harga bahan api namun meletakkan beban ke atas TNB dan rakyat sekiranya harga bahan bakar itu melonjak tinggi.

" Akibat dari perjanjian ini, Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya pula pada kadar harga subsidi yang tetap. Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22billion setahun,” kata Anwar.

" Justeru akibat perjanjian yang rumit dan berat sebelah ini, rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi,’ tambah Anwar.

Ini berlaku apabila TNB terpaksa membayar kos yang tinggi kepada IPP dan tindakan syarikat swasta itu menuntut keuntungan pada kadar masa yang cepat sehingga membebankan rakyat, tambah Anwar.

Justeru mantan Menteri Kewangan itu menggesa Putrajaya menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas TNB, termasuk menggugurkan elemen yang menjamin keuntungan lumayan untuk syarikat berkenaan dalam setiap keadaan.

Read more ...

Kalau UMNO, GAPS, PERKASA buat demo kat mana pun tak apa, kalau Pakatan tak buat lagi dah kata huru hara

NONESeorang penyokong 'Berjalan untuk Demokrasi' 9 Julai depan, membidas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mencadangkan demonstrasi hanya dihadkan dalam stadium, atas alasan keselamatan awam dalam kepentingan keselamatan dan kesejahteraan awam.

Sebaliknya, pemimpin popular PAS, Mohamad Sabu berkata kerajaan yang mengganggu protes yang diadakan secara aman, sambil menyangkal dakwaan Hishammuddin bahawa pihak penganjur tidak menghormati undang-undang dan ketenteraman awam.

“Inilah minda kerajaan yang menyamakan perhimpunan dengan huru-hara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hishammuddin dilaporkan dalam beberapa akhbar harian sebagai berkata beliau akan mencadangkan kepada kabinet supaya menyediakan satu mekanisme untuk membenarkan demonstrasi diadakan dalam stadium tanpa memerlukan permit polis.

Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, demonstrasi jalanan sudah lapuk dan hanya menjadi tempat untuk melemparkan tuduhan yang tidak memberi faedah kepada orang awam.

NONEHishammuddin juga menuduh penganjur 'Berjalan untuk Demokrasi' hanya mahu mencetuskan huru-hara dan untuk memberi gambaran bahawa Malaysia tidak stabil.

Bagaimanapun , Mohamad Sabu berkata sudah banyak perhimpunan yang dianjurkan oleh parti pembangkang dan NGO sejak bertahun-tahun lamanya yang berjalan secara aman.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaanlah yang memberi gambaran negatif terhadap peserta perhimpunan tersebut.

Read more ...

Polis ambil resiko besar jika tuduh Anwar pelaku video seks

Fitnah video seks,Anwar tak akan lepaskan Najib

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir meradang ketika diajukan soalan berhubung kontroveri melibatkan satu rakaman video lucah yang didedahkan oleh trio Datuk T pada Mac lalu.

Isu berhubung seutas jam tangan yang dikatakan telah diambil daripada lokasi rakaman video berkenaan merupakan antara perkara yang sering menjengkelkan Anwar terutama ketika ditanya wartawan.

Anwar bagaimanapun menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana sudah penat dan tidak tahan lagi dengan tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan ke atas dirinya sejak 13 tahun lalu.

Tegas Anwar, beliau tetap berpeluang menyerang balas dan bukannya bersikap defensif semata-mata.

Bagi Anwar, isu berhubung video lucah ini tetap melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan beliau tidak akan memberi laluan mudah kepada perdana menteri itu.

Anwar juga berkata, teka-teki mengenai identiti sebenar individu dalam video berkenaan juga tidak menggusarkannya, namun perkara itu tetap juga bersarang di fikirannya.

Anwar sekadar berkata, polis mengambil risiko besar sekiranya menamakan beliau sebagai individu berkenaan.

Selain itu, Anwar juga mengakui bahawa beliau pernah bertemu dengan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, lama sebelum ahli perniagaan itu bertindak mendedahkan video berkenaan pada Mac lalu.

Eskay disifatkan Anwar sebagai seorang individu dalam pasukan Tun Dr Mahathir manakala pertemuan berkenaan, pada 1998, telah diatur oleh seorang lagi orang kuat Mahathir – Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Pertemuan berkenaan adalah berhubung projek jambatan baru untuk menggantikan Tambak Johor yang kemudiannya menemui kegagalan di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembatalan projek berkenaan juga merupakan salah satu punca permusuhan di antara Mahathir dan Abdullah. Anwar bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada isu melibatkan projek berkenaan merupakan punca rakaman video berkenaan ditimbulkan.

Ikuti petikan daripada wawancara Malaysiakini dengan Anwar:

BN dan Pakatan Rakyat kini perlu meraih sokongan daripada sebanyak 5 hingga 7 peratus pengundi atas pagar. Sejauh mana isu video seks ini akan memberi kesan kepada sokongan pengundi. Isu ini juga ditimbulkan dalam ceramah Pakatan.

Saya merujuk kepada kes itu kerana ia ditimbulkan setiap hari, tetapi dalam perbincangan dengan pasukan saya, selain deripada mengedarkan risalah berhubung isu ini, saya tidak fikir kita patut fokus kepada bagaimana kita hendak tanganinya. Ia akan terbias daripada isu utama tentang tataselia dan perubahan.

Tentulah strategi (mereka) adalah menggunakan khalayak Melayu, tetapi mungkin juga akan wujud kesan negatif kerana ramai golongan ustaz dan guru agama yang diketahui tidak bersama Pakatan telah menyuarakan pandangan bahawa (tuduhan) itu keterlaluan.

Saya tidak tahu sejauh mana impaknya kerana saya tidak peduli sangat.

Tetapi PKR tetap lancarkan kempen anti fitnah, menunjukkan bahawa tuduhan itu ada impaknya?

Kempen anti fitnah itu bukan sahaja dijalankan oleh PKR tetapi juga DAP dan PAS. (Timbalan presiden PAS) Datuk Tuan Ibrahim (Tuan Man) mengetuainya.

(Pakatan) menggunakan (isu) ini bagi menunjukkan betapa terdesaknya Umno, betapa korup politik pornografi ini, seperti saya kata ‘pandi kutty’, yang saya tidak rujuk kepada sesiapa, tetapi menunjukkan betapa terdesak mereka ini. Ini yang saya maksudkan dengan pentadbiran yang teruk.

Saya tidak rasa garis tindakan ini defensif. Garis tindakannya ‘kami akan tunjukkan betapa teruknya mereka,’ itu ofensif.

Hanya sebab kita sebut mengenai video seks atau perbicaraan kes liwat (menunjukkan) kami defensif? Tidak semestinya begitu. Cara ianya diulas… Bagaimana mereka menggunakan agama untuk mengangkat sumpah bagi mempertahankan seorang pembunuh, seorang perogol, sesiapa saja boleh pergi angkat sumpah.

Dan ianya kembali kepada isu pentadbiran, rasuah, subsidi, kenaikan harga barang, maka ia sangat penting untuk kami gunakan, malah ianya isu yang bagus kerana ia menyemarakkan perasaan orang ramai, mereka akan berasa marah terhadap betapa buruknya isu ini.

Polis berkata mereka tidak akan dedahkan identiti individu dalam video seks ini, bagaimana reaksi Datuk Seri?

Saya tidak pernah beri reaksi, Saya tidak pernah risau kerana saya telah pergi kepada polis, saya telah pergi ke makamah Syariah, jadi sama mahu lihat apa yang mereka akan lakukan?

Kemudian barulah kita akan tangani (isu identiti individu) pada masa yang sesuai. Kami tidak akan dipaksa oleh (polis) kerana apa yang mereka lakukan ialah memberi kenyataan politik, bukannya tindakan, macamlah siasatannya begitu kompleks seperti kes pembunuhan Altantuya (Shaariibuu).

Dalam kes video ini, sehingga kini tidak ada tindakan. Ianya mudah, sesiapa saja yang pergi ke hotel dan umumkan ‘saya akan tayang satu filem’ tentu ditahan dan didakwa. Tapi bukan dalam kes ini.

Kalau polis kata individu itu ialah Datuk Seri?

Kita akan tangani bila tiba masanya., Saya fikir (polis) mengambil risiko besar jika mereka bertindak begitu.

Apa risikonya?

Saya tidak boleh beritahu. Peguam saya akan tanganinya.

Cara Datuk Seri beri reaksi kepada wartawan apabila ditanya mengenai jam Omega, sumpah laknat, sampel DNA, nampaknya Datuk Seri sangat…

Marah?

Nampaknya…

Bukan, bukan, dengar sini. Jika saya tuduh anda buat hubungan seks setiap malam, adakah anda berasa gembira atau marah?

Tapi Datuk Seri sudah biasa menghadapi tuduhan seperti ini?

Anda juga tahu saya juga seorang manusia, saya ada keluarga. Jangan layan saya seperti seorang perogol. Itu satu perkara, dan sesiapa saja yang tanya saya soalan ini dengan cara biadap, daripada TV3 dan Utusan.

Bukan untuk salahkan mereka semata-mata, tapi mereka boleh kata, ‘Datuk Seri, saya minta maaf, boleh saya tanya…’ tapi tidak. Omega. Omega Omega. Ianya (ditanya) dengan sangat biadap. Jagi bagaimana saya hendak hadapinya? Saya beri sedikit pengajaran. Mereka kata saya buat budak (wartawan) itu menangis, tapi itu bukan masalah saya.

Jika anda bersedia untuk menggadai jiwa untuk duit, jangan cakap dengan saya soal moral. Isu Omega ini, pada saya, bukan satu isu. Adakah saya betul? Sekarang anda boleh lihat bahawa saya betul.

Anda perlu ada kesabaran selama beberapa minggu. Jika saya beri respon, (saya) akan terperangkap. Anda akan tanya, ‘Omega mana?’. Anda akan memperpanjangkannya… Anda akan beri kredibiliti.

Mungkin lebih baik jika Datuk Seri kata ‘saya tidak mahu komen’ dan biarkan saja.

OK, terima kasih atas nasihat anda tentang kesabaran. Azizah ada pandangan begitu. Dia kata, ‘tak apalah, sabar.’ Dia penyabar. Tapi jika akan perlu laluinya selama 13 tahun… Jadi saya mahu beri mereka satu pengajaran dengan memberikan respon.

Datuk Seri nampak panas…

[Ketawa] Tidak, ia sangat tidak adil. Saya faham bahawa anda mahu dilihat sebagai media independen tapi anda peli ingat bahawa anda berdepan dengan kehidupan orang, keluarga orang.

Secara tidak langsung, walaupun anda mendakwa bahawa anda buat kerja secara professional, anda juga menjadi suruhan kepada pemimpin korup itu. Mahu atau tidak, anda perlu jual (berita), jadi anda perlu lapor. Maka anda juga sebenarnya mengikut tindak tanduk mereka.

Anda tidak bercakap tentang (manifesti Pakatan Rakyat) Buku Jingga, anda tidak bercakap tentang rasuah, anda tidak bercakap tentang reformasi ekonimi, sebab anda kena ikut tindak tanduk siapa? Tindak tanduk Umno dan Utusan.

Bagaimana pula Datuk Seri berjumpa Eskay. Sejauh mana hubungan Datuk Seri dengan beliau?

Saya jumpa semua orang. Semuanya kata mereka kawan baik saya… Semua yang lompat parti adalah kawan saya yang paling baik. Sesetengahnya saya tidak tahupun nama keluarga mereka, atau nama penuh mereka. Anda boleh bayangkan? Saya tidak tahu nama penuh (Eskay) sehinggalah dia failkan kes (saman berhubung jambatan bengkok).

Tentulah saya kenal dia, ya, rapat. Anda juga percaya saya ada kawan baik yang namanya saya tidak tahu? Pada masa itu saya tidak tahu sama ada dia (memeluk) Buddha atau Islam, saya tidak tahu.

bersambung…

Read more ...

Pemimpin BN punya hal, rakyat dalam ketakutan diusir pemaju

http://tranungkite.net/v11/gambar/umno_perompak.jpg

KLANG 23 MEI : Wakil penduduk Jalan Bukit Kerayong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran ekoran ancaman pengusiran mereka dari kediaman oleh syarikat pemaju kawasan terbabit, Melati Ehsan Development Sdn Bhd.

Malah ada di antara penduduk di kawasan berkenaan yang berkali-kali didatangi oleh wakil dari syarikat pemaju yang meminta mereka meninggalkan kawasan penempatan itu kerana kerja-kerja pembinaan akan dijalankan tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, kes Jalan Bukit Kerayong ini masih dibicarakan di mahkamah dan pihak pemaju tiada hak untuk mengusir atau pun menceroboh kawasan tersebut.

Dua tahun lalu, pemilik tanah iaitu Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) Sdn Bhd menjualkan tanah tersebut kepada Melati Ehsan dengan harga RM32 juta dan Melati Ehsan akan mendapat keuntungan sebanyak RM150 juta daripada projek pembangunan ini.

Perkara ini jelas bercanggah dengan objektif penubuhan TPPT Sdn Bhd iaitu meningkatkan kemampuan rakyat memiliki rumah dengan membekalkan rumah kepada golongan pendapatan rendah.

Segelintir penduduk Bukit Kerayong tinggal di kawasan itu sejak 70 tahun lalu.

Mereka digelar peneroka bandar atas usaha dan titik peluh mereka meneroka hutan menggunakan wang dan tenaga sendiri untuk mendirikan rumah.

Namun tahun demi tahun, kawasan ini mula mendapat "perhatian" mantan Menteri Besar Selangor Muhammad Muhammad Taib dan ADUN Pandamaran ketika itu,Teh Chang Eng yang memulakan episod masalah dan penipuan di Jalan Bukit Kerayong.

Sehingga kini, masalah Jalan Bukit Kerayong masih belum selesai.

Menurut ahli parlimen Klang, Charles Santiago yang menemani penduduk, laporan polis yang dibuat pada hari adalah untuk meminta perlindungan daripada pihak yang berwajib supaya penduduk tidak diusir.

"(Kami) meminta polis memberi keselamatan kepada keluarga Jalan Bukit Kerayong kerana kemungkinan besar pihak Melati Ehsan akan mula merobohkan rumah-rumah mereka,"kata Charles.

Menurut Charles lagi, pemaju menggunakan helah kononnya mahu membersihkan kawasan tersebut bagi menyimpan barang-barang pembinaan.

Walau pun demikian, ia jelas melanggar undang-undang apabila belum ada keputusan muktamad dari pihak mahkamah mengenainya.

"Isu ini masih lagi berada dalam kes mahkamah, oleh kerana itu apa yang dilakukan Melati Ehsan bercanggah dengan undang-undang sebab isu ini belum diputuskan
oleh mahkamah,"tegas Charles.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Bandar Jalan Bukit Kerayong, Dominic See Chee Yong, pihaknya telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Melati Ehsan namun sehingga kini tidak menerima jawapan yang memuaskan.

Malah katanya Melati Ehsan telah beberapa kali melakukan pencerobohan sebegini dan mencari pelbagai alasan untuk memasuki penempatan tersebut.

"Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku dan kami ingin satu jawapan yang pasti melalui hitam putih tetapi sampai sekarang masih belum menerima apa-apa jawapan lagi,"katanya.

Read more ...

Cakap je terus terang RTM untuk UMNO/BN sahaja

Rais : RTM Bukan Untuk Pembangkang

KUALA LUMPUR 23 MEI : Kerajaan Umno-Barisan Nasional hari ini membayangkan ia tidak akan mencontohi Singapura dalam memberi ruang televisyen untuk membolehkan pembangkang mengemukakan pendirian bersabit isu-isu nasional menjelang pilihanraya umum akan datang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata RTM adalah “stesen penyiar rasmi kerajaan” dan hanya berita-berita yang disifatkan boleh membantu ke arah “pembangunan masyarakat” akan diberikan liputan.

Rais ditanya sama ada kerajaan akan mengikut jejak pemerintah Singapura yang mencatat sejarah apabila membenarkan pembangkang mengemukakan pelan tindakan mereka bagi rakyat negara itu semasa pilihanraya umum awal bulan ini.

Langkah itu membantu rakyat Singapura membuat pertimbangan yang lebih seimbang mengenai manifesto kerajaan pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pembangkang.

Walaupun PAP mengekalkan kuasa, pembangkang yang diterajui oleh Parti Pekerja menang enam kerusi dan meraih 40 peratus daripada dua juta undi - pencapaian terbaik bagi pembangkang dalam sejarah republik itu.

Rais berkata beliau tidak akan terpengaruh dengan gesaan pihak tertentu mahukan pembangkang diberi ruang telivisyen bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bijak semasa pilihanraya umum.

" Barang siapa pun boleh beri pandangan tetapi jangan lupa bahawa RTM adalah stesen kerajaan dan bina negara tetap menjadi penghulunya,” kata Rais.

" Jadi sekarang ini bahagian berita dan hal ehwal semasa (RTM) perlu melihat secara objektif tetapi tidak lari daripada RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan,” tambah beliau.

Setakat ini rakyat Malaysia hanya sekali berpeluang menonton perbahasan antara kerajaan dan parti pembangkang yang disiarkan secara langsung TV9, Astro dan Bernama TV.

Debat itu menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas dengan Menteri Penerangan ketika itu Shabery Chik mengenai isu-isu ekonomi dan pengurusan kewangan negara.

Perbahasan itu direstui oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi dan dilihat sebagai permulaan siri forum untuk mematangkan demokrasi di negara ini.

Namun pengganti Abdullah, Najib dilihat menutup ruang itu apabila menggantikan Abdullah kira-kira setahun selepas perbahasan itu.

Najib juga enggan menyahut cabaran Anwar untuk berbahas mengenai Buku Jingga iaitu Pelan Tindakan Pakatan Rakyat sekiranya ia diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Di Malaysia, media arus perdana termasuk RTM, TV3 dan Utusan Malaysia adalah milik penuh atau pun di kawal oleh kerajaan Umno-BN.

Perlantikan-perlantikan kanan seperti Ketua Pengarang Utusan dan Tv3 adalah tertakluk kepada persetujuan pejabat Perdana Menteri.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari berkata kerajaan harus mempunyai kematangan untuk melonggarkan kawalannya ke atas media negara ini.

" Di Singapura kita lihat media yang dikawal kerajaan mula memberikan ruang kepada kerajaan dan kita lihat ini sesuatu yang positif,” kata Hatta.

“Malangnya di Malaysia media masih dikawal oleh kerajaan. Mereka tidak mengikut trend dunia yang menyaksikan semakin banyak kerajaan-kerajaan bebas memberikan ruang kepada semua pihak,” tambah beliau.

Hatta yang dipecat oleh Utusan kerana dilihat sebagai lantang memperjuangkan kebebasan media, menegaskan keengganan kerajaan mengubah dasar-dasar medianya adalah “janggal dan ketinggalan zaman”.

“Rakyat sudah lama bosan dengan sikap “double standard” kerajaan dan menyimpan rasa tidak puas hati termasuk golongan wartawan sendiri. Kerajaan BN enggan mendengar luahan rakyat dan jika sikap ini diteruskan maka akan mengundang reaksi negatif terhadap kerajaan,” kata beliau.

Read more ...