Timbalan Presiden Perkasa Zulkifli Nordin sekarang diusung ke hulu ke hilir oleh Umno kononnya untuk membawa gagasan perpaduan Melayu. Ceramah Perkasa hanya bertumpu di kalangan orang Melayu.
Ramai yang teruja dengan sentimen perpaduan akan berpusu-pusu menghadiri ceramah tersebut. Tetapi bukan gagasan perpaduan yang dihidangkan sebaliknya penuh dengan fitnah dan pembohongan terhadap PAS dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar diaibkan semahu-mahunya. Zul Nordin seorang peguam, justeru butiran ucapannya meskipun bohong, mudah untuk ditelan oleh golongan yang tidak menggunakan akal untuk berfikir.
Dan sememangnya golongan seperti itulah yang diharapkan oleh Umno untuk terus bercambah di bumi Malaysia ini bagi mereka terus melahap khazanah kekayaan negara melalui kuasa yang dipanjangkan oleh rakyat. Selagi ramai orang jahil, selagi itu Umno boleh terus berkuasa.
Setiap ungkapan perkataan Perkasa tiada kena mengena dengan usaha memperkasakan Melayu. Orang yang mahu memperkasakan Melayu tidak akan memaki hamun, memfitnah dan memburukkan bangsa sendiri.
Pihak yang mahu menjana kekuatan Melayu tidak akan menyemai kebencian dan permusuhan terhadap saudara sebangsa dan seagama. Ceramah yang mereka anjurkan seolah-olah mahu memecahbelah perpaduan Melayu Islam.
Di peringkat awal kewujudan Perkasa, ia menggambarkan pertubuhan bukan kerajaan itu semacam ikhlas mahu menggantikan Umno yang dilihat gagal memperjuangkan Melayu.
Selepas separuh abad Umno berkuasa sebahagian besar tanah simpanan Melayu tergadai, separuh saham Bumiputera yang bernilai berbillion ringgit hilang dan Melayu terus melukut di tepi gantang di bidang ekonomi.
Ekuiti milikan Bumiputera tidak sampai 19 peratus dalam negara yang tuannya adalah orang Melayu. Jadi bagus juga kalau ada pihak seperti Perkasa yang menjadi kumpulan pendesak terhadap parti Melayu yang terbesar dalam kerajaan (Umno) yang gagal berperanan memperkasakan Melayu.
Perkasa diharap menyatupadukan umat Melayu/Islam yang berpecah sambil membina semula kekuatan dalam semua bidang di mana prang Melayu tertinggal di belakang.
Namun hari demi hari rupanya perjuangan Perkasa tidak seperti yang diharapkan. Mereka lebih tertonjol sebagai kumpulan ‘kepala angin’ yang lebih ghairah bermusuh dengan DAP dan pihak tertentu yang kononnya mencabar ketuanan Melayu dari membangunkan bangsa sendiri yang ketinggalan.
Kalau setakat nak menganjur program membakar semangat Melayu di jalanan, tidak perlu wujud badan sekuat Perkasa. Swastakan saja kerja itu kepada Mat Rempit dengan memberi upah nasi bungkus dan air kotak. Tapi kerja ala samseng jalanan itu yang sering dilakukan Perkasa.
Sebahagian besar isu yang diperjuangkan Perkasa adalah isu-isu yang menguntungkan Umno. Keahlian Perkasa juga adalah dari kalangan orang-orang Umno.
Mereka bercakap bahasa Umno dan bermusuh dengan pihak yang Umno musuhi. Apa yang lebih melucukan apabila Perkasa bukan berhasrat mahu mengambilalih kerja Umno yang dilihat 'lembik' dalam memperjuangkan Melayu tetapi tiba-tiba ada hati mahu menggantikan PAS.
Presiden Perkasa mengisytiharkan mahu mengambilalih kerja PAS. Perkasa menjadi bertambah celaru apabila melantik Zulkifli Nordin sebagai Timbalan Presiden.
Ironinya Presiden dan Timbalan Presiden Perkasa yang hari ini adalah pembelasah sepenuh masa terhadap PAS dan Pakatan rakyat, mendapat gelaran ‘YB’ hasil sokongan dan kerja keras PAS dan PR dalam PRU12 lalu.
Seantero dunia tahu bahawa PAS adalah parti yang berusaha memperjuangkan hukum Allah dari yang kecil hinggalah sebesar-besarnya.
Hukum hudud semacam sudah disinonimkan oleh Umno terhadap PAS. Tetapi Timbalan Presiden Perkasa membelasah hukum hudud yang terkandung dalam kanun jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu kononnya hudud PAS.
Pelbagai fitnah jahat yang dihamburkan sehingga ke tahap tidak terfikir oleh akal yang waras, termasuk kononnya PAS menghalalkan meliwat isteri.
Lidah syaitan terkutuk saja yang sanggup memfitnah begitu rupa dan kerja syaitan itulah pula yang dilakukan oleh pemimpin Perkasa yang mendakwa mahu mengambilalih peranan PAS.
Sekalipun Perkasa didokong oleh orang Umno tetapi ia tidaklah diterima oleh semua anggota Umno, khususnya Umno bandar. Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sangat takut jika dibabitkan dengan Perkasa.
Beliau dilaporkan menyekat program anjuran Perkasa yang cuba dibuat dalam kawasan DUN Bakar Bata. Ia menimbulkan perbalahan antara beliau dan pemimpin Perkasa tertentu.
Beberapa pemimpin Umno bahagian Alor Setar adalah orang kuat Perkasa, justeru Bashah tidak mahu dilihat bersama Perkasa. Ini memandangkan kawasan DUN yang diwakilinya mengandungi hampir 30 peratus pengundi Cina.
Bagi masyarakat Cina, Perkasa adalah kumpulan rasis yang tidak disenangi oleh mereka. Mana-mana pemimpin Umno yang terbabit dengan Perkasa akan disenaraihitamkan.
Perkasa tidak hanya dibenci oleh DAP tetapi juga parti komponen BN dari kalangan bukan Melayu. MCA dan Gerakan sedia untuk mengundi calon Umno tetapi tidak pada anggota Perkasa sekalipun mereka ahli Umno.
Di peringkat Pusat, Perkasa dipersalahkan oleh Datuk Nazri Aziz kononnya pertubuhan itulah yang telah menjauhkan Umno dari sokongan bukan Melayu. Di medan siber, kenyataan Nazri dikecam hebat oleh anggota Umno dari kumpulan pro Perkasa.
Datuk Muhkhriz Mahathir adalah antara pemimpin Umno yang dilibatkan dengan Perkasa. Bukan setakat dalam masyarakat umum Melayu, dalam Umno sendiri mereka berpecah angkara Perkasa.
UMNO dan PAS walaupun menjadi musuh tradisi tetapi di Kedah mereka boleh hidup harmoni dalam masyarakat. Tiada lagi kes solat dua imam, tidak makan sembelihan atau pulau memulau.
Kini Perkasa masuk ke kampung-kampung memukul gendang kebencian terhadap Tok Guru Nik Aziz, Anwar Ibrahim, PAS dan KeADILan kerana kononnya menjadi alat DAP.
Bila ada tindakan akan wujud tindakbalas. Tunggulah perpaduan orang Melayu akan terburai lagi angkara Perkasa yang bertindak sebagai batu api.
Nampaknya kewujudan Perkasa pasca penyertaan Zulkifli Nordin bukannya untuk memperkasakan Melayu dan memartabat Islam sebaliknya bertindak memperkosa perpaduan Melayu. Elok ditukar nama Perkasa kepada Perkosa.