Saturday, June 5, 2010

Rachel Corrie sah dirampas

KUALA LUMPUR, 5 Jun : MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Menurut jurucakap Wisma Putra, kapal itu sedang diiring ke pelabuhan Ashdod di Israel.

Sembilan belas aktivis di kapal itu dilaporkan tidak diapa-apakan, kata jurucakap itu.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Anifah berkata Malaysia mendesak Israel agar menentukan keselamatan kesemua sukarelawan di kapal berkenaan.

"Malaysia juga menuntut Israel tidak mengambil sebarang tindakan tentera yang drastik dan ganas terhadap penumpang Rachel Corrie yang tidak bersenjata itu," katanya.

Anifah berkata kesemua aktivis di kapal Rachel Corrie perlu diberi bantuan bagi menjamin keselamatan mereka.

Anifah berkata Wisma Putra memantau secara dekat perkembangan oleh kerana adanya enam rakyat Malaysia di kapal berkenaan.

Misi bantuan Gaza itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia.

Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena serang wanita Amerika yang terbunuh oleh sebuah jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika memprotes tindakan meroboh sebuah rumah.

Anifah berkata Malaysia turut menggesa Israel menentukan laluan selamat kapal itu ke Gaza untuk menyerahkan kargo bantuan kemanusiaan itu.

Dalam hubungan ini, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar turut meminta Israel memberi jaminan demikian.
-- Bernama

Read more ...

Batal lesen judi sukan, kuat kuasa undang-undang ketat





















KUALA LUMPUR, 5 Jun :
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini mendesak Kabinet menarik balik lesen judi sukan, sebaliknya menguatkuasakan undang-undang judi kerana gejala sosial itu akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

Pengerusinya, Azmi Abdul Hamid berkata tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan itu akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi, sosial dan juga keselamatan.

“Secara jelas judi ini akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat, malah meruntuhkan mutu sukan negara, mendorong rakyat bergantung kepada nasib, menurunkan produktiviti negara dan meruntuhkan institusi keluarga.

“Selain itu, ia juga akan meningkatkan gejala sosial, meningkatkan kadar jenayah, meningkatkan beban hutang rakyat, meruntuhkan ekonomi negara dan juga menyalahi semua agama.

“Justeru, hari ini kita menuntut kerajaan supaya menarik balik lesen judi sukan serta menguatkuasakan undang-undang judi dan pada masa yang sama mendidik masyarakat supaya membenci judi,” kata beliau ketika pelancaran Kempen Membantah Judi di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo dekat sini.

Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bergabung tenaga untuk membantah tindakan kerajaan itu.

NGO yang terlibat termasuk Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Teras Perpaduan Melayu (Teras), Dewan Pemuda Masjid, Angkatan Belia Islam Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Satu Nama, Jemaah Islah Malaysia dan Jamaiy.

Turut sertai ialah Pengerak Belia Tempatan MPK, Budayawan Bertindak, Seniman Paksi Rakyat, Persatuan Anak-anak Peneroka Felda, Nisa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia, Persatuan Dharma Sakyamuni, Relawan, Pusat Aduan Rakyat Kempas, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Dewan Pemuda Pusat dan juga Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan.

Selain itu Pemuda DAP (DAPSY) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyertai gerakan tersebut.

Turut menyertai pelancaran kempen tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat.
“Melalui kempen ini mesej akan dapat disalurkan dengan jelas kepada masyarakat mengenai kesan judi.
“Justeru semua pihak perlu sedar akan keburukan judi kepada masyarakat terutamanya generasi muda,” kata Azmi yang juga Pengerusi Teras.

Azmi berkata satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada semua ahli Parlimen pada 15 Jun ini.

“Tujuan khusus kita serahkan memorandum itu untuk meminta semua ahli Parlimen menyokong bantahan terhadap judi sukan.

“Kemuncak kempen ini pada 3 Julai di mana kita akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

GMJ dibentuk bagi menggerakkan rakyat untuk turut sama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung bulan ini.
Selepas pelancaran itu, semua pemimpin pembangkang dan NGO mengedarkan risalah kepada orang ramai.

Read more ...

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam









MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.

“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.hrkh

Read more ...

Kerajaan Umno/BN tak iktiraf pengorbanan sukarelawan










KUALA LUMPUR, 5 Jun : Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub kesal dengan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang tidak mengiktiraf pengorbanan sukarelawan yang terselamat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza Isnin lepas.

"Faktor alasan kewangan tidak dapat diterima sama sekali sedangkan komitmen kerajaan Turki lebih tinggi berbanding negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia.

"Saya berasakan ini berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan kontrak yang dimeterai antara kerajaan Umno-BN dan Apco.

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya seperti terikat dan mengikut telunjuk untuk mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Menurut Mustaffa lagi, ini mungkin mempunyai kaitan dengan kezaliman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan Altantunya.

"Kita juga sangsi dengan respon Najib yang begitu lambat bertindak berhubung serangan komando rejim zionis Israel terhadap kapal Mavi Marmarra yang menyebabkan 9 aktivis dan berpuluh lagi cedera.

"Kontrak yang dimeterai Najib dengan syarikat Apco Worldwide menjadi satu sebab kerajaan Umno-BNl bersikap sederhana terhadap sukarelawan Malaysia yang terselamat," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.

Zahid memberi alasan penerbangan itu akan membabitkan kos yang tinggi dan setakat ini tiada permintaan daripada kerajaan Umno-BN untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera. -SK

Read more ...

Muslimat PAS Parit Buntar anjur program dekati masyarakat







PARIT BUNTAR , 5 Jun : Dewan Muslimat PAS Parit Buntar dengan Kerjasama PAS Cawangan Pekan Batu Lima telah menganjurkan program dekati masyarakat di Parit Haji Abdul Rahman.

Ketua Penerangannya, Norijan Omar berkata beberapa aktiviti bersama wanita setempat telah diadakan mengisi program ini.

“ Pada sebelah paginya, kami bersama muslimat cawangan telah menyediakan masakan kuih popular masyarakat Banjar iaitu wadai kiping.

“ Manakala pada petangnya diadakan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Setiausaha PAS Parit Buntar Azhari Hadi” katanya

Sementara itu, Azhari dalam ceramahnya meminta umat Islam terutama kaum hawa mempertingkatkan amal kebajikan dan mengeratkan ukhuwwah sesama muslim.

“ Umat Islam wajib melaksanakan kerja amar maaruf dan nahi mungkar seperti yang dituntut dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 104.

“ Muslimat perlu peka dalam situasi kini tentang peranan zionis yahudi yang menindas dan menzalimi umat Islam. Marilah kita bersama-sama Umat Islam lain memboikot barang keluaran Amerika dan sekutunya Israel-Yahudi” katanya

Akhirnya, beliau memberi peringatan tentang keadaan manusia di Padang Mashyar di mana segala perbuatan yang dilakukan manusia di atas dunia ini akan dihitung.

Program ini diakhiri dengan bacaan doa selamat dan jamuan wadai kiping.

Read more ...

Najib terhutang budi pada Kumpulan Berjaya











KUALA LUMPUR, 5 Jun : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merasa terhutang budi sehingga meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, besar kemungkinan Kumpulan Berjaya turut memberikan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membiayai perbelanjaan menghadapi 11 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

(Gambar: Khalid membahagi risalah GMJ kepada orang ramai.)

Tambahnya, Berjaya membayar sejumlah RM250 juta kepada kerajaan dalam tempoh setahun bagi lesen judi.

Baginya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak itu kerana terdesak untuk mendapatkan duit kerana negara menghadapi masalah kewangan sekarang.

Jelasnya, kelulusan tersebut tidak pernah dibincang atau dibahaskan di Parlimen.

“Keputusan itu dibuat mendadak oleh kerajaan yang lahir dari sikap desperado, terdesak BN dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan,” ujarnya pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, wakil Jemaah Muafakat Muslim Perak, Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Setiausaha Agung Abim, Rahimi Abdul Rahim dan wakil Dewan Pemuda Masjid, Mohd Takiyuddin Abdullah.

Khalid berkata, ekoran kelulusan judi itu yang dianggap sebagai membalas budi, kemungkinan Berjaya akan terus memberikan sumbangan kepada BN.

Menurutnya lagi, penentangan terhadap kelulusan lesen judi itu bukan sahaja melibatkan Pakatan Rakyat tetapi MCA dan Gerakan yang merupakan komponen utama BN.

“Hanya Umno yang menyokong,” ujarnya.

Mohd Azmi sewaktu menjawab pertanyaan media berhubung sikap membisu pemimpin Umno berhubung kelulusan lesen judi bola sepak itu berkata: “Itu kena tanya Umno”.

Majlis berakhir dengan penyebaran risalah GMJ bertajuk Judi Meruntuhkan Masyarakat & Negara oleh anggota gerakan itu yang turut memaklumkan mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi pada 3 Julai di Istana Negara sempena penyerahan memorandum bantahan judi itu kepada Yang di-Pertuan Agong.hrkh

Read more ...