Thursday, July 29, 2010

Ali Rustam dicabar berdebat bukan berani dari jauh












BUKIT KATIL, 29 Julai : Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab mencabar Ketua Menteri untuk berdebat dengan wakil PAS atas apa juga isu dan masalah yang berlaku di Negari ini.

Cabaran ini merupakan cabaran kedua yang ditawarkan oleh PAS Kawasan Bukit Katil kepada Ketua Menteri sejak tercetusnya insiden Umno mengacau ceramah PAS sejak kebelakangan ini.

“Saya mencabar Ketua Menteri atau sesiapa juga wakil Umno Bahagian untuk berdebat atas apa juga tajuk yang dikirakan sesuai oleh Umno”.

“PAS Kawasan bersedia untuk mencari tempat dan masa yang sesuai bagi Ketua Menteri dan wakilnya” kata Yusof yang juga merupakan Penyelia DUN Bukit Baru.

Yusof berkata tidak ada gunanya Umno menjawab isu yang dibangkitkan oleh PAS dan PR dari jauh lebih baik kita berdebat di atas satu pentas supaya rakyat tidak kira penyokong PAS atau Umno dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Katanya, oleh kerana Ali Rustam dan pemimpin Umno tidak mendengar isu yang dibangkitkan oleh penceramah PAS mereka tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Jadi adalah lebih baik kita duduk sepentas supaya kedua-dua pihak dapat menumpukan perhatian kepada hujah masing-masing bagi memudahkan kedua-dua pihak menangkis hujah masing-masing.

Menurutnya antara isu yang boleh dijadikan tajuk perdebatan ialah Melaka Maju 2010, isu maksiat, isu anak luar nikah, isu sekolah mengandung, isu banjir, isu pembaziran, isu rasuah di kalangan pemimpin negeri dan sebagainya.

“Insya Allah kita akan hantar surat rasmi kepada Ketua Menteri dan Umno Bahagian Bukit Katil untuk mencabar mereka berdebat”

“Kita boleh gunakan format debat yang digunakan sebelum ini dengan seorang moderator, dan 2 orang wakil pendebat untuk bertanya soalan, malah kita boleh juga membuka soalan kepada hadirin-hadirat yang hadir” ujar Yusof.

Sementara itu Yusof juga melahirkan kekesalan kerana Umno Bahagian Bukit Katil terus menganggu program ceramah penerangan PAS di mana malam tadi Umno secara sengaja mengadakan ceramah kurang dari 100 meter jaraknya dari ceramah PAS di Paya Dalam, Ayer Molek.

Menurut Yusof, ini kali ketiga Umno menjatuhkan imejnya sendiri dengan mengadakan ceramah bersebelahan dengan ceramah PAS di mana sebelum ini pada 29 Jun di Bukit Baru dan 10 Julai lalu di Bukit Pulau.

Beliau berkata sekiranya Umno tidak mahu berdebat mereka dipelawa untuk berceramah di atas pentas PAS di mana 2 ceramah terdekat akan dijalankan iaitu pada 30 Julai di Bukit Baru dan 3 Ogos di Bukit Beruang. Ceramah pada 30 Julai akan menampilkan AJK PAS Pusat, Haji Mohd Sabu sementara ceramah pada 3 Ogos akan disampaikan oleh Bendahari PAS Pusat, YB Dr Hatta Ramli.Mutaligat

Read more ...

PAS fokus semua DUN di Terengganu

http://buletinonline.net/images/stories/berita30/IMG_7205.JPGKUALA TERENGGANU – PAS akan memberikan fokus kepada semua kawasan walaupon hanya perlu menggempur sekurang-kurangnya 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan parti itu berjaya menawan negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, walau bagaimana pun ada DUN yang menjadi sasaran termasuk lapan kawasan yang sudah dimenangi dalam PRU lalu, manakala DUN-DUN lain semuanya mempunyai potensi.

“Bagi mentadbir negeri ini, kita fokus menang 17 DUN. Kita lihat mana-mana DUN sama ada kubu kuat PAS, UMNO atau yang kelabu (atas pagar),” katanya ketika ditemui Buletinonline.

Mengulas laporan sebuah akhbar tempatan, beliau berkata, masalah dalaman yang melanda parti UMNO hanya faktor yang menyokong dalam menentukan kemenangan PAS, yang memberi peluang lebih terbuka kepada PAS.

Beliau turut percaya bahawa kawasan Besut yang dianggap sebagai kubu kuat UMNO juga tidak mustahil akan jatuh ke tangan Pas.dan tidak menolak perkembangan terkini memperlihatkan peratus kemenangan adalah 50-50.

Menurutnya, kekuatan UMNO di Besut bergantung pada ketua bahagiannya, Datuk Seri Idris Jusoh, namun yakin pemimpin tersebut tidak akan dicalonkan di peringkat DUN dalam pilihan raya akan datang.

"sekiranya perkara itu berlaku ia bakal memberi ruang lebih besar kepada PAS untuk menang di kawasan tersebut,"ujarnya

Ariffin berkata, bagaimanapun PAS tidak menganggap Besut atau mana-mana kawasan parlimen sebagai kubu kuat UMNO kerana PAS pernah menang disemua lapan kawasan Parlimen pada tahun 1999.

“Besut bukan kubu kuat UMNO, tetapi ia berlaku demikian kerana Idris menggunakan kedudukannya ketika menjadi Menteri Besar memperkuatkan kawasan tersebut. Dari segi sejarahnya, kita pernah menang kesemua empat kerusi DUN dan Parlimen Besut pada 1999,” katanya.

Justeru, beliau berkata semua kawasan termasuk dalam gerakkerja gempur PAS.Buletin Online

Read more ...

PR Selangor bawa perubahan inovatif


SHAH ALAM, 29 Julai : Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan sokongan terhadap perubahan yang di bawa oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor terutamanya yang melibatkan Enakmen Kebebasan Maklumat, pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan penyertaan rakyat dalam pentadbiran kerajan negeri yang disifatkan sebagai inovatif serta progresif.

Presiden Gabungan NGO dan Ahli Majlis Profesional (CONPAC), Tan Jo Hann berkata satu-satunya cara untuk mmemastikan perlantikan ahli majlis tempatan adalah berdasarkan proses yang telus dan adil adalan dengan mengadakan pilihan raya majlis tempatan.

"Ini bukan sesuatu yang baru, kita pernah mengadakan pilihan raya ahli majlis tempatan sehingga tahun 1960an sebelum dimansuhkan, dan saya merasakan kesemua negeri di Malaysia patut mengambil langkah yang sama," kata beliau pada sidang media selepas perjumpaan badan bukan kerajaan Ahad lalu di Dewan MBPJ.

Pengerusi Gabungan untuk Kerajaan Bagus (CGG), Jeffrey Phang pula menyatakan usaha kerajaan negeri Pakatan Selangor memberikan maklumbalas dalam jangkamasa yang singkat merupakan sesuatu yang patut dipuji.

"Kita kini mempunyai kerajaan yang bagus di Selangor, maka saya meminta kesemua ahli masyarakat untuk aktif dalam mewujudkan dan memajukan perhubungan dua hala dengan kerajaan negeri.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga amat menggalakkan maklumbalas daripada NGO kemasyarakatan dan telah memperuntukkan beberapa saluran untuk pihak NGo tetapi malangnya masih banyak lagi saluran yang perlu diisi oleh NGo," kata Jeffrey lagi.

Pengarah Pusat Hak Asasi Manusia Popular Malaysia (KOMAS), Jerald Joseph menyatakan dalam masa 52 tahun kerajaan Umno-BN memerintah Selangor, tidak pernah sekalipun Umno-BN membawa pembaharuan dan pendekatan seperti kerajaan Pakatan Selangor.

"Tidak pernah saya mendengar Umno-BN mahu menggalakkan kebebasan maklumat seperti yanng diusahakan oleh kerajaan Pakatan Selangor. Langkah kerajaan Pakatan Selangor patut dicontohi oleh kesemua kerajaan negeri lain, terutamanya yang di bawah kawalan Umno-BN," kata Gerald.

Beliau dan wakil daripada kira-kira 40 NGO yang hadir menyuarakan sokongan terhadap usaha kerajaan Pakatan Selangor yang telahpun mengumumkan pendirian kerajaan berkenaan tiga isu penting yang jika diaturkan dengan baik dapat membawa manfaat yang besar kepada rakyat Selangor.

Tiga isu tersebut adalah perlaksanaan Akta Kebebasan Maklumat, perlantikan ahli majlis tempatan untuk diputuskan oleh masyarakat melalui pilihan raya dan galakkan penglibatan masyarakat dengan pihak kerajaan negeri dalam perjalanan pertadbiran kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM), Ho Yock Lin berkata setakat ini hanya dua kerajaan negeri yang mengambil inisiatif iaitu kerajaan Pakatan Selangor dan Pulau Pinang, manakala kerajan negeri lain seolah-olah 'mati'.

"Saya ingin meminta kesemua negeri lain, ambil langkah yang perlu agar tidak nampak sangat ketinggalan jauh ke belakang," tegas beliau.

Yock Lin juga berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dahulu yang menyatakan kerajaan dan masyarakat tidak perlu membuang masa memberi keutamaan kepada pemilihan ahli majlis kerana pada pendapat Najib, ahli majlis hanya menguruskan pengumpulan sampah dan pembaikan tiang lampu.

"Saya amat terkilan dengan Najib kerana beliau telah menghina jawatan ahli majlis yang diwujudkan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ahli majlis tempatan bbukan sahaja menguruskan apa yang diberitahu Najib, tetapi merekalah yang menggubal undang-undang sesebuah negeri.

"Adakah itu tidak cukup penting untuk masyarakat yang menetap dalan sesebuah negeri?" kata beliau.

Wakil NGO yang hadir mendesak kerajaan pusat Umno-BN untuk memberikan respon terhadap tiga perkara yang dibangkitkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Selangor, memandangkan piliha raya umum semakin dekat dan keadaan semasa tidak begitu mmemihak kepada Umno-BN.

Read more ...

BN jangan takut berhadapan dengan rakyat

IPOH, 29 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) masih menunggu maklumbalas kebenaran mengikuti Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 3 Ogos 2010 ini daripada Bahagian Majlis DUN Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak yang telah dihantar pada 6 Julai 2010 lalu yang sehingga kini belum menerima sebarang jawapan rasmi.

DPPN Pk meyakini bahawa rakyat sepatutnya dibenarkan mengikuti Sidang DUN tersebut supaya mereka boleh menilai sendiri perkara yang dibincangkan di dalam Sidang DUN tersebut.


DPPN Pk amat sedih sekiranya ada pihak tertentu yang cuba untuk menutup ruang demokrasi ini yang secara jelas dibenarkan di dalam Perlembagaan Negara demi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu.

DPPN Pk percaya ruang demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara bukan sahaja perlu dipelihara dengan telus, malah mesti dilihat sebagai telus dengan dijauhkan dari sebarang penyalahgunaan yang hanya akan mengundang pandangan serong masyarakat.


Sudah tentu kesedihan rakyat Negeri Perak terutamanya akan bertambah jika usaha menegakkan demokrasi tulen ini masih tidak tercapai.

Bagi DPPN Pk, Umno / Barisan Nasional (BN) mesti bersedia berdepan dengan rakyat secara telus dan berani setelah mereka berjaya mendapatkan kuasa pemerintahan melalui "pintu belakang" dan bukannya melalui saluran rakyat.


Kenapa perlu takut berdepan dengan rakyat jika mereka yakin rakyat yang memberi mandat kepada PR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008 dahulu sudah boleh menerima mereka walaupun dengan cara pengalihan kuasa yang tidak demokratik itu.

Read more ...

Pesara lombong pasir haram

SHAH ALAM, 29 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali menyokong tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melabelkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai "pesara lombong pasir haram".

Beliau melalui twitternya hari ini mengucapkan tahniah di atas keberanian Khalid menyerang Khir yang juga bekas Menteri Besar itu.

Azmin juga turut menggesa Khalid agar tidak melayan serangan Khir tersebut.

"Tahniah Tan Sri Khalid. Persetankan dan jangan layan Khir yang merupakan retired illegal sand miner,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Khalid dalam sidang medianya semalam melabelkan Khir Toyo yang kini Ketua Pembangkang Negeri, sebagai "pesara lombong pasir haram".

Ianya ekoran kenyataan Khir mendakwa anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) membayar royalti kurang berbanding semasa beliau memerintah.

KSSB dakwanya, hanya membayar RM12,000 kepada kerajaan negeri di sebalik memungut hasil RM734,000 tahun lalu.

Khalid dalam responsnya semalam bagaimanapun berkata, "Khir Toyo tahu semua butirannya. Saya fikir dia mesti terbabit dalam perniagaan melombong pasir sebelum ini - kemungkinan besar yang beroperasi secara haram. Saya tidak mahu komen pelombong pasir haram yang sudah bersara itu".

Serangan balas Khalid terhadap Khir itu dilihat bertepatan dengan keputusan pemukiman anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR di Port Dickson hujung minggu lalu yang mahu Khalid tidak hanya defensif malah perlu menyerang Umno BN.

Menurut laporan penyelidikan KSSB, pada tahun 2008 mereka membayar RM1.5 juta royalti dan RM1 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada 2009, mereka membayar RM5.7 juta royalti dan RM9 juta keuntungan sebelum cukai manakala pada 2010, sehingga Jun lalu mereka telah membayar RM5 juta royalti dan RM10 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri.

Ianya jauh lebih tinggi berbanding zaman kerajaan negeri di bawah BN.

Pada zaman BN, kerajaan negeri hanya mendapat bayaran royalti sebanyak RM3.54 juta pada tahun 2005, RM4.37 juta (2006) dan RM4.29 juta (2007) hrkh

Read more ...

Soi Lek tak layak komen


SHAH ALAM, 29 Julai : Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek tidak layak untuk membuat sebarang komen terhadap pengurusan kewangan Kerajaan Selangor, terutamanya melibatkan isu perlombongan pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, kritikan Presiden MCA itu membuktikan beliau ketinggalan dan tidak mengetahui fakta sebenar.


“Sebelum kritik, beliau sepatutnya meneliti rekod kutipan hasil dan pembayaran royalti hasil perlombongan pasir di Selangor serta membuat perbandingan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Angka ini jelas membuktikan di bawah Kerajaan PR, keuntungan dan royalti di Selangor melonjak berbanding di bawah pentadbiran BN. Soi Lek hanya menutup mata dan membuat komen tidak berasas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Katanya, kritikan itu hanya untuk meraih perhatian dan mendapat sokongan semula masyarakat Cina yang semakin hilang keyakinan terhadap MCA.

“Sikap terburu-buru Soi Lek untuk mengejar populariti dalam kalangan masyarakat Cina menyebabkan bekas Menteri Kesihatan ini mengenepikan fakta sebenar.

“Perbuatan beliau yang tidak membuat kajian terlebih dahulu membuktikan beliau seorang pemimpin yang cetek ilmu pengetahuan mengenai isu perlombongan pasir di negeri ini,” katanya.

Menurut Teresa, Soi Lek perlu menerima hakikat bahawa penubuhan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjaya meningkatkan kutipan hasil dan pembayaran royalti.

“Penubuhan KSSB ini juga bukan sahaja bertujuan mengaut keuntungan hasil perlombongan pasir, malah berjaya mengawal industri ini. Menerusi tender terbuka, KSSB berjaya mengurangkan kes kecurian pasir secara berleluasa sebelum ini.

“Walaupun aktiviti kecurian pasir masih dan tidak berjaya dibanteras sepenuhnya ketika ini, tetapi aktiviti curi pasir tidak serancak berbanding pemerintahan BN,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat Cina dan rakyat Malaysia akan terus menjauhi parti itu jika pemimpinnya berterusan mencari kesilapan orang lain serta membuat kenyataan tanpa mengkaji fakta.SH

Read more ...

Umno sebar kepercayaan tahyul





































GEORGETOWN, 29 Julai :
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) menyifatkan pendapat yang mengatakan jika Umno kalah, maka Melayu juga kalah atau mundur adalah tahyul dan merupakan satu tafsiran mengarut.

Katanya, kepimpinan Umno lazimnya membuat kenyataan tahyul itu bahawa sekiranya Umno kalah dalam pilihan raya nanti, masyarakat Melayu akan hidup dalam suasana kelam kabut atau tertekan sebagaimana zaman Jepun.

Padahal, jelasnya jika Umno kalah, maka PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang seagama dengan kepimpinan Umno pula akan memegang tampuk pemerintahan serta meneruskan kelangsungan perjuangan tetapi berlainan pendekatan untuk membela rakyat.

"Bila Umno kalah, PAS dan PKR pula yang akan teruskan perjuangan tapi kali ini bukan macam Umno yang berkepentingan dan kroni, kita akan urus tadbir negara dengan baik," tambahnya semasa berucap dalam program ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti malam tadi.

Katanya, pemimpin Umno sanggup menggertak supaya orang Melayu jangan mengundi PAS atau PKR yang digambarkan sebagai petualang bangsa kerana kononnya menggadai maruah kepada kaum lain.

"Sekarang ini biarlah Umno dan Barisan Nasional (BN) nak gelarkan apa pun, kita jangan peduli. Kita patut pandang ke depan dengan satu matlamat mendaki Putrajaya kerana jalan tersebut boleh menyelamatkan maruah negara yang sudah tercalar di mata dunia," tegasnya.

Rakyat, ujarnya wajar menilai kepimpinan PAS di Kelantan, Terengganu sebelum tewas pada pilihan raya ke-11 lalu dan terkini di Kedah, adakah gagal melaksanakan tanggungjawab mentadbir dengan baik.

Jawapannya, kata beliau pasti lebih cemerlang berbanding Umno dan BN kerana pentadbiran mereka penuh dengan penyelewengan, pembohongan fakta dan penipuan.

"Sebagai kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat, saya lihat sudah ada kemahiran dan pemimpin tidak melatah seperti sebelum pilihan raya 2004 yang mana DAP lari keluar yang akhirnya kita kalah sebagai pakatan pembangkang," katanya.

Namun, katanya kini Umno memainkan rentak yang sama iaitu isu Melayu untuk bersatu dengan PAS.

Menurutnya, mereka menggunakan mufti untuk kepentingan politik sempit padahal peranan mufti menasihati tingkah laku kepimpinan Umno yang terlalu banyak penyelewengan sehinggakan rakyat terpaksa menolak kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Mufti pun jadi kalut sekarang ini nak satukan PAS dan Umno. Saya dengar 'geli' bila sebut tentang kerjasama PAS dan Umno. Nak kerjasama macam mana, depan ajak elok dengan senyuman sampai ke telingga tapi di belakang mereka panah kita dengan anak panah berbisa.

“Lupakanlah kerjasama tu kerana yang penting biar Umno karam manakala kita daki Putrajaya bersama parti dalam Pakatan Rakyat yang lain," tegas beliau.hrkh

Read more ...

Orang Melayu diharap tidak tertipu dengan Umno























GEORGETOWN, 29 Julai :
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Umno mengemukakan nama individu Melayu yang pernah dihalau oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mendiami perkampungan sekitar Jelutong.

Jelasnya, apa yang berlaku sepertimana Kampung Pokok Asam di Jelutong atau Kampung Binjai di Bayan Lepas bukan masalah kerajaan negeri sebaliknya adalah arahan mahkamah kerana tanah yang mereka duduki telah dibeli atau dimiliki oleh pemaju.

Itupun katanya, kerajaan negeri masuk campur untuk mencari penyelesaian seperti mendesak pemaju di Pokok Asam agar menghentikan pelaksanaan projeknya selama tiga bulan untuk mengadakan perbincangan bagi manfaat penduduk.

"Mana ada individu yang Kerajaan Pakatan Rakyat halau. Kalau ada berikan saya satu nama, melainkan ia adalah arahan mahkamah kerana pemaju telah membeli tanah yang mereka diami dari pemilik asal. Macam tu kita tak boleh buat apa sebab tanah swasta," jelasnya ketika menyampaikan pidato di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti, malam tadi.

Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Di Kampung Binjai pula, katanya belum pun berlaku apa-apa lagi tetapi Umno sudah tunjuk 'hero' hendak membela orang Melayu walhal pelan perancangan belum dibuat lagi.

Begitupun, melalui media kepimpinan Umno Balik Pulau mengapi-apikan penduduk kononnya tanah yang mereka duduki sejak sekian lama akan diambil oleh kerajaan dan akan berlaku kejadian menghalau bangsa Melayu.

Katanya lagi, Umno sengaja membangkitkan isu tersebut untuk melahirkan penentangan di kalangan orang Melayu agar jangan tertipu dengan kerajaan berjiwa rakyat pimpinannya yang telah berjaya membawa perubahan ketara berbanding di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Umno bangkitkan isu perkauman untuk kepentingan senario politik sempit mereka selain untuk melagakan PAS, PKR dan DAP. Bila berpecah BN dan Umno akan bersorak tetapi masalahnya setakat ini semua perancangan yang dibuat makan diri," tegas beliau dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.

Tambahnya, tindakan yang dilakukan Umno terhadap kerajaan negeri bermatlamat memberi gambaran jahat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bertindak zalim terhadap orang Melayu jika diberi mandat memerintah negara.
DAP pula, katanya ditohmah parti anti Melayu apabila mengambil langkah menghalau orang Melayu dari perkampungan yang diduduki sejak puluhan tahun.

"Tujuan mereka hanya satu iaitu nak menakutkan orang Melayu di negeri lain jika biarkan Pakatan Rakyat memerintah, bencana akan terjadi. DAP akan melakukan sesuatu di luar dugaan dan negara akan jadi huru hara," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru itu, beliau mengingatkan masyarakat Pulau Pinang sama ada Melayu, Cina mahupun India supaya jangan terpengaruh dengan dakyah Umno dan BN sebaliknya memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat secara mendalam.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan membela rakyat selaras dengan dasar dan matlamat menjadikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera, aman, makmur dan ada integeriti.

Ini, ujarnya berbeza dengan BN yang asyik menyuruh rakyat mendahulukan sesuatu termasuk menghadiahkan rakyat dengan beberapa kenaikan harga barangan dan petroleum, baru-baru ini.hrkh

Read more ...

Bayar kroni dibayar RM222.58 juta, subsidi rakyat dikerat












KUALA LUMPUR, 29 Julai : Tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat pembayaran RM222.58 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membuktikan lagi bahawa kepentingan kroni lebih diutamakan berbanding rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Bernama melaporkan, semasa membuat keputusan itu, kerajaan melalui kenyataan Kementerian Pengangkutan mendakwa telah mengambil kira semua faktor berkaitan termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang bon, serta tanggungjawab LPK di bawah perjanjian yang telah ditandatangani.

Salahuddin mempersoalkan, adakah ia merupakan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau tanggungjawab KDSB.

Beliau merujuk kepada laporan mengenai jaminan KDSB bahawa sebarang kekurangan dalam pembayaran semula bon adalah tanggungjawab syarikat tujuan khas itu dan wang rakyat tidak akan digunakan untuk membayarnya.

"Kerajaan perlu menjelaskan, tanggungjawab siapa untuk menanggung bebanan ini? Tanggungjawab rakyat atau KDSB?

"Kalau untuk rakyat, subsidi direntap, dikerat. Kalau untuk kroni, adakah kerajaan senang-senang belanjakan RM222.58 juta walaupun ahli lembaga LPK memutuskan tidak mahu membuat pembayaran tersebut," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tindakan kerajaan itu menguatkan lagi ingatan rakyat kepada dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker bahawa ramai tokoh Umno dan MCA yang menerima wang dari Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong juga adalah Ahli Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

"Sebelum ini beria-ia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Idris Jala kata subsidi berterusan akan menyebabkan negara ini bankrap sembilan tahun lagi, tetapi pada masa yang sama kerajaan semakin kelihatan membelanjakan wang rakyat dengan sesuka hati," kata Salahuddin lagi.hrkh

Read more ...

Harusani 'orang kecil' tak perlu layan



KUALA LUMPUR, 29 Julai : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebagai “orang kecil” yang mahu “mengusik” parti Islam itu supaya menerima idea kerjasama perpaduan dengan Umno.

“Biarlah (Harussani) hendak cakap apa pun, beliau hanya nak usik PAS sahaja.
“Lagipun beliau hanya orang kecil, saya tidak mahu layan beliau,” kata Hadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang membayangkan PAS tetap dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat, sebagaimana telah pun diputuskan pada muktmar-muktamar lalu.
“PAS tetap tiada apa-apa, jadi biarkan sahaja.

“Saya tidak mahu komen lagi pasal perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas pendedahan terbaru Harussani bahawa adanya pemimpin-pemimpin PAS selain Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menemuinya bagi membincangkan soal perpaduan orang Melayu dan Islam.

Harussani bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemimpin tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menegaskan PAS tetap tidak akan bekerjasama dengan Umno sampai bila-bila masa.

“Kita tetap tidak akan mengadakan sebarang perbincangan mengenai kerjasama dengan Umno. Jadi Umno perlu faham, tidak perlu nak terus ajak PAS.

“Selain itu, kita juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa pun untuk bincang soal kerjasama itu dengan Harussani.

“Mungkin pemimpin PAS yang dikatakan Harussani berjumpa dengannya atas tiket diri sendiri bukan parti,” tegas Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Pendirian Nik Aziz itu turut ditekankan menerusi satu kenyataan semalam.

Selain itu, dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Read more ...