Gadis berhadapan hukuman denda Rm100
KUALA TERENGGANU, 29 Mei — Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM100.
Laporan Bernama Online menyebut, Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan itu kira-kira 1 tengah hari semalam di hadapan LTSM.
Dia dituduh mengeluarkan perkataan “polis bodoh” terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak, yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abd Ghani mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahn-kesalahan Kecil 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.
Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu dan bertudung hitam mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Seksyen/Masjistret Rusilah Chik.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Jun ini sebagai tarikh jatuh hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.
Ketika kejadian itu, tertuduh yang bekerja di sebuah butik di LTSM dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya.
Dia kemudian terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan dan dia diarah berhenti untuk tujuan pemeriksaan.
Tertuduh bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati apabila ditegur tentang kesalahannya itu dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dengan menggelar bodoh terhadap anggota polis tersebut.
tmi
Read more ...