Sunday, December 26, 2010

MB tidak dimaklumkan perlantikan SUK, hantar tiga nama lain kepada Sultan

Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Belum Muktamad


SHAH ALAM 27 Dis. : Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya belum muktamad,demikian satu kenyataan media dari Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor.

Ini kerana cadangan perlantikan Datuk Khusrin Munawi oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan (practice notes). Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010.

Bernama hari ini melaporkan tentang perlantikan Mohd Khusrin, 54, sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatanya pada 31 Disember 2010.

Read more ...

Pengundi muda sasaran DHPP

Jentera DHPP siap sedia turun ke Tenang

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah mengatur perancangan untuk mendekati pengundi khususnya pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang.

Ketuanya, Balendran Balasubramaniam berkata, pihaknya bersama lajnah perpaduan nasional PAS juga sedang merangka isu-isu yang akan diketengahkan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang.

Menurut beliau yang juga ketua DHPP Pahang, jentera pemuda DHPP peringkat negeri Pahang telah pun dikumpulkan dan diberikan taklimat khas mengenai PRK Tenang.
"Dua hari lepas saya kumpulkan pemuda-pemuda DHPP di Pahang untuk kita bergerak ke Tenang.

"Saya bersama lajnah perpaduan nasional pemuda pemuda sudah bagi penerangan kepada mereka bagaimana kita nak pergi jumpa pengundi," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Balendran memberitahu, antara isu yang akan dijelaskan kepada pengundi termasuk isu saman ekor yang ingin diswastakan kerajaan dan juga isu-isu setempat di Dun berkenaan seperti isu peneroka Felda.

"Kita akan mulakan dengan isu saman ekor yang nak diswastakan sekarang ini dan juga isu-isu setempat. Isu-isu begini mereka akan lebih mudah faham dan kita akan jelaskan kenapa mereka perlu memilih Pakatan Rakyat," katanya.

DHPP juga ujarnya akan membantu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberikan penerangan kepada pengundi-pengudi di Felda dalam Dun berkenaan.
"Untuk golongan Felda, memang kita peka isu mereka dan Mazlan Aliman pun dah bawa isu Felda jadi kita akan bantu beri penerangan dan isu berkaitan Felda akan kita tekankan.

"Saya yakin bila DHPP dapat masuk ke kawasan Felda dan dapat berkempen di sana, mesti boleh bagi kefahaman kepada mereka kenapa bukan Islam boleh sokong PAS, kenapa mereka tidak? Anak muda Felda pun sudah cenderung kepada Pakatan," katanya lagi.

Edar risalah

Sementara itu, Balendran berkata, edaran risalah juga amat penting sebagai bahan kempen kerana ia lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh pengundi berbanding ceramah.

"Kami juga akan menyediakan risalah untuk diedarkan kerana sebelum ini dari pemerhatian kita, kalau kita bentangkan isu-isu dalam ceramah, keberkesanannya kurang kerana kadang-kadang orang yang sama datang dengar ceramah.

"kadang-kadang orang balik kerja penat, tak sempat pergi dengar ceramah malamnya jadi boleh tengok bahan edaran yang diedar ke rumah mereka," katanya.
Bagaimanapun katanya, ceramah tetap perlu diteruskan sebagai aktiviti wajib khususnya kepada penyokong-penyokong PAS dan Pakatan yang sudah sebati dengan program sedemikian.

Sehubungan itu, DHPP akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Penyokong PAS Pusat dalam masa terdekat bagi membincangkan rangka risalah untuk dijadikan bahan edaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kerusi dun berkenaan yang terletak di Parlimen Labis, Johor pada 22 Januari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Januari.

Read more ...

Ketuanan Melayu agenda politik Umno kekalkan kuasa

Polemik 'ketuanan Melayu' hanya agenda politik

KAJANG, 27 Dis: Keempat-empat panel forum 'Polemik Ketuanan Melayu' yang diadakan malam tadi sependapat bahawa istilah 'ketuanan Melayu' hanya agenda politik pihak tertentu yang sebenarnya tiada isu.

Mereka iaitu Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Ahmad Sabky Yusof, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd Rahman dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu & Bumiputra (MPM), Dr Hasan Mad juga sependapat istilah tersebut kabur dan dan tidak perlu diperdebatkan.

Berhujah pada forum yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kajang malam tadi, Dr. Asri berkata, meletakkan kemuliaan bangsa adalah salah dari segi Islam kerana ianya sama seperti kefahaman bangsa terpilih (Chosen Race) yang difahami Yahudi.

"Menolong kaum bukan perinsip perjuangan, ia salah satu kerja amal yang lain, perjuangan kita untuk Islam.

"Boleh menolong kaum dengan syarat tidak menimbulkan permusuhan dengan kaum lain," katanya.

Selain boleh menimbulkan perasaan permusuhan dengan kaum lain, apa yang lebih membimbangkan ujarnya, kefahaman tersebut akan memberi tafsiran salah terhadap agama Islam itu sendiri.

Katanya, oleh kerana Melayu di negara ini disinonimkan dengan Islam, maka dibimbangi kaum lain akan menganggap Islam mendiskriminasi kaum lain sekaligus menghalang proses dakwah berlaku.

"Mungkin mereka (bukan Islam) mengatakan ini pegangan Islam yang mengamalkan diskriminasi kaum," jelasnya lagi.

Istilah 'ketuanan' juga jelasnya berbeza dengan 'keistimewaan', di mana orang yang diberi layanan istimewa tidak semestinya tuan kepada sesuatu.

Sehubungan itu jelasnya, perdebatan isu 'ketuanan Melayu' yang kini makin meruncing sejak 50 tahun pemerintahan Umno, perlu dihentikan segera.

Hanya pertikai polisi

Bagi Ahmad Sabky, apa yang dipertikai oleh pihak tertentu terhadap dasar pemerintah, tidak boleh dianggap 'mencabar ketuanan Melayu'.

Menurutnya, pertikaian itu hanya menyentuh soal polisi yang perlu disesuaikan mengikut masa dan ketika.

"Keistimewaan yang ada dalam perlembagaan itu diterima semua orang, tidak ada yang mempertikai.

"Yang ada pertikaian hanya soal polisi contohnya soal pemilikan kuota Melayu, saham Melayu yang perlu disesuaikan dengan keadaan semasa," katanya.

Menyifatkan polemik tersebut sebenarnya bukan isu, beliau mendakwa ianya hanya ditimbulkan Umno selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu bagi mengembalikan sokongan Melayu kepada mereka.

Umno selepas PRU lalu katanya telah tersepit apabila pengundi bukan Melayu dan sebahagian Melayu telah memilih Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP.

"Ketuanan Melayu sebenarnya non-issue dan hanya propaganda pihak tertentu," ujarnya.

Bukan 'Malay Supermacy'

Dr Hassan Mad juga sependapat bahawa isu ketuanan Melayu timbul disebabkan 'gegaran politik' selepas PRU-12.

Malah katanya, bukan Melayu tidak pernah mempersoalkan ketuanan Melayu, namun ianya dibangkitkan orang Melayu sendiri.

Selain itu, ketuanan Melayu menurutnya tidak boleh diterjemahkan sebagai 'Malay Supermacy'.

Malay Supermacy katanya lebih menjerumus kepada konsep 'Melayu sebagai tuan, dan yang lain adalah hamba', sedangkan maksud sebenar ketuanan Melayu bukan begitu.

Menurutnya, ketuanan Melayu pada asalnya adalah digunakan merujuk kepada 'kepimpinan Melayu' (Malay Leadership) ekoran Melayu antara pemula menggerakkan inisiatif menuntut kemerdekaan.

Sambil mengakui istilah 'ketuanan Melayu' tiada dalam perlembagaan, beliau menggesa semua pihak berhenti mengelirukan masyarakat dengan istilah itu.

"Kita wajar hentikan kekeliruan ini.

"Orang politik kena berhenti bercakap soal ini dan cendikiawan pun kena berhenti menulis atau membuat analisis yang mengelirukan ini," katanya.

Forum malam tadi diadakan dihadapan lebih 150 hadirin yang hadir dan dikendalikan oleh Ketua Penerangan DPP, Suhaizan Kaiat yang bertindak sebagai perantara.

Read more ...

Cerita sinaran laser pula

Sinaran Laser Lemah Tidak Jejaskan Pandangan Mata-Pakar Optometris


KUALA LUMPUR 27 Dis. : Sinaran laser yang lemah tidak akan menjejaskan pandangan mata manusia jika dipancarkan dari jarak jauh contohnya ketika satu perlawanan bola sepak, menurut seorang pakar optometris.

Bekas Pakar Pandangan Mata Hospital Pulau Pinang Dr Zahimi Chik berkata sinaran laser akan berbahaya kepada mata sekiranya ia mempunyai daya kekuatan yang tinggi seperti yang digunakan untuk pembedahan.

"Sinaran ini akan merosakkan retina jika ia terkena pada titik pandangan visual mata iaitu mekula walaupun dalam jangka masa singkat.

"Bagaimanapun, jika sinaran itu hanya daripada penunjuk laser seperti "laser pointer" yang digunakan orang ramai sekarang, ia tidak berbahaya kecuali dalam jarak dekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dr Zahimi mengulas dakwaan pasukan bola sepak Indonesia tentang gangguan pada mata mereka ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang skuad negara semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini akibat pancaran sinaran laser oleh penyokong Malaysia.

Beliau berkata sinaran laser yang mampu dibeli kini hanya mempunyai daya kekuatan yang lemah kerana ia dihasilkan dengan tujuan tidak membahayakan pengguna.

"Jika anda ingin memiliki sinaran laser yang kuat, ia menelan belanja jutaan ringgit untuk dimiliki.

"Mustahil untuk para penonton bola sepak membawa masuk alat pemancar laser yang boleh menjejaskan pandangan mata ke dalam stadium," katanya.

Menurut Dr Zahimi, sinaran laser itu mungkin mengakibatkan kesan penglihatan sementara jika disasarkan secara tetap selama beberapa minit di hadapan mata seseorang.

"Ketika perlawanan Malaysia dan Indonesia semalam, agak sukar untuk mensasarkan mata pemain dalam perlawanan kerana mereka sentiasa bergerak pantas sepanjang perlawanan," katanya.

Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan itu sekaligus membawa bekalan selesa sebelum bertandang untuk perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia Rabu depan.

BERNAMA

Read more ...

Sudah nampak bayangan Menteri rogol amah

Siapakah menteri rogol amahnya?


KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Sementara itu, Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex kepada Harakahdaily.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah.

"Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjarnegara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan.

"Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada Harakahdaily.

(Gambar perpustakaan: Alex (tengah) bersama Che Ishak (kanan) dan Taufek ketika berbincang bagi membawa pulang Azreen dari Lombok, Indonesia)

Sebelum ini, Migrant Care pernah membantu Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani untuk membawa pulang Azreen Che Ishak dari Kampung Hulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa lari pemuda Indonesia ke Lombok, Indonesia.

Husam membantu keluarga Che Ishak yang berasal dari Kelantan itu melalui NGO yang dipimpinnya ketika itu, Kijang Care.

P/s: Kenyataan media Migrant Care turut menyatakan tentang menteri yang berasal dari Kedah turut didakwa merogol amahnya sekitar tahun 2005. Siapa menteri itu?DuniaCacaMarba

Read more ...

Kerajaan Umno tarik bantuan SAR, Kerajaan PAS belanja RM 80 juta untuk SAR

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

http://www.malaysia-trulyasia.com/state_kelantan_files/Kelantan_coats_of_arms.jpgSHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah.

Read more ...

PAS Melaka tak cakap kosong

PRU 13: PAS Melaka mampu buat kejutan

ALOR GAJAH, 27 Dis: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yakin PAS negeri berupaya membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) akan datang berdasarkan beberapa perkembangan terbaru yang berlaku di negeri ini.

Abdul Ghani berkata, kesedaran rakyat semakin meningkat tentang kegagalan kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia lebih dari 50 tahun.

"Rakyat semakin terhimpit dengan masalah kenaikan harga minyak, barangan keperluan dan juga masalah jenayah yang semakin meningkat.

"Masalah maksiat, gejala buang zina, buang bayi, dadah, rasuah serta kronisme juga semakin menyedarkan rakyat betapa pentingnya menolak BN pada Pilihan Raya Umum akan datang," katanya ketika merasmikan program Jom Turun Padang Dun Asahan dekat sini, semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga semakin terpikat dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) yang digariskan dalam Buku Jingga jika berkuasa dalam 100 hari pertama pemerintahannya.

"Rakyat Malaysia sebenarnya sudah mula membuka mata kerana mereka semakin terdedah dengan maklumat alternatif melalui media terkini laman web, blog, facebook dan lain-lain.

"Oleh kerana ituah walaupun BN menyerang PR tanpa henti dalam media arus perdana, TV dan surat khabar mereka, namun rakyat tetap berfikir dua kali untuk menyokong mereka," tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Apa yang penting, kata beliau, ahli dan penyokong PAS mesti bekerja keras untuk menyedarkan rakyat supaya mereka berani membuat perubahan pada pilihanraya akan datang.

Katanya, semua petugas PAS dan PR mesti memastikan maklumat sampai kepada semua rakyat sama ada melalui internet, risalah, buletin mahu pun secara lisan.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa syukur di atas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Konvensyen PR kedua minggu lalu, yang mencadangkan supaya pimpinan tertinggi PR segera mengadakan perbincangan tentang isu Negara Islam.

"Kenyataan Karpal itu jelas menunjukkan bahawa beliau semakin faham dengan prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, kalau dulu beliau dilihat menentang keras terhadap negara Islam kini beliau boleh diajak berunding.

"Kita sangat gembira dengan perkembangan ini dan ianya membuktikan bahawa dakwah kita semakin diterima oleh orang bukan Islam," ujar Ustaz Abdul Ghani.

(Gambar: Pengerusi MTD Asahan, Jaafar Abdullah menyerah barangan keperluan dapur kepada seorang ibu tunggal.)

Pada program tersebut, kira-kira 100 pimpinan dan ahli PAS negeri Melaka berganding menziarahi pengundi-pengundi Dun Asahan di mana sekitar 70 buah rumah telah dilawati meliputi 5 unit peti undi.

Selain menziarahi penduduk setempat, pihak Majlis Tindakan Dun (MTD) juga menyampaikan buah tangan berupa barangan keperluan dapur kepada beberapa orang ibu tunggal di kawasan tersebut.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Adly Zahari, Jasme Tompang dan Khamis Saat serta Pengerusi MTD Asahan, Jaafar Abdullah beberapa orang pimpinan kawasan.

Read more ...

Keadilan Islam lebih baik dari ketuanan Melayu ala Umno

Asri : Masa Depan Melayu Bukan Pada Konsep 'Ketuanan Melayu'


KAJANG 27 Dis. : Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan masa depan orang Melayu tidak akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan terus kepada 'Ketuanan Melayu'.

Sebaliknya, beliau menganjurkan agar prinsip Islam yang tidak mengagungkan bangsa dipegang agar memberi keadilan kepada semua.

"Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

Beliau menyatakan demikian ketika berhujah dalam Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.

Forum yang anjuran PAS itu adalah bagi membincangkan polemik dan penggunaan politik ketuanan Melayu turut disertai Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Menurut Asri seseorang perlu menjawab apabila dikatakan berjuang dengan istilah Ketuanan Melayu tanpa deifinisi sebenar.

Malah beliau menganjurkan agar istilah 'Ketuanan Melayu' ditukar bagi mengelak salah faham dan timbul rasa mulia di kalangan orang berbangsa Melayu sendiri.

"Jika seseorang itu kata dia berjuang kerana Ketuanan Melayu, dia kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?."

Istilah Ketuanan Melayu dipercayai mula timbul setelah UMNO mula menggunakannya untuk meraih sokongan orang melayu pada pilihan raya umum yang lalu setelah kehilangan majoriti dua pertiga.

Ketiga-tiga ahli panel lain turut bersetuju bahawa istilah ini sebenarnya kabur dan hanya timbul kerana gegaran politik dan bukannnya wujud pada zaman kemerdekaan.Dr Hassan bagaimanapun menjelaskan betapa tidak tepat definisi ketuanan Melayu sebagai Malay Supremacy kerana ia membawa maksud berlainan.

"Ketuanan Melayu bukan isu, ia bukan sesuatu yang harus diperdebatkan, ia cuma gegaran politik...Ketuanan Melayu ini hanya propaganda yang berlaku selepas pilihan raya 2008 yang mana pola pengundian ketika itu bersifat perkauman.

Sementara itu, Ezaruddin juga berpendapat polemik Ketuanan Melayu juga sekadar 'gegaran politik' yang dimainkan untuk meraih sokongan.

"Ini satu gegaran politik sahaja, ia dimainkan golongan tertentu untuk meraih sokongan..Tiada maksud Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan tetapi ia diguna pakai oleh ahli politik, jadi saya harap tafsiran ini perlu diperjelaskan supaya tiada mazhab yang berbeza-beza," katanya.

Read more ...

Naik pangkat : Hadiah banyak berbakti

Khusrin SUK Selangor Baru


KUALA LUMPUR 27 Dis. : Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Menurut laporan Bernama Mohd Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Dis, demikian diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sidek, Mohd Khusrin, berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kajang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat.

Ramli, yang sebelum ini menjadi Datuk Bandar Shah Alam dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun.

Tempat Mohd Khusrin di Jabatan Agama Islam Selangor akan diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, juga mulai 1 Januari.

Pelantikan Mohd Khusrin dan Marzuki telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Mohd Sidek.

Read more ...

Isa Samad harapan Umno berhadapan Mazlan Aliman

Isa Samad Dilantik Pengerusi FELDA

http://img15.imageshack.us/img15/2886/isasamad.jpgKUALA LUMPUR 27 Dis. : Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif lapor Bernama.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusof di atas perkhidmatan beliau menerajui FELDA bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Dis 2010.

Di bawah kepimpinan Mohd Yusof, FELDA telah mengalami transformasi membanggakan serta menempa pelbagai kejayaan, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi negara, menurut kenyataan itu.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno.

Beliau merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang Negeri Sembilan. Beliau menang besar dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Okt 2009 mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Read more ...

Siapa Menteri Besar jika PAS memerintah Terengganu ?

PAS TERENGGANU PERLU BERSTRATEGI UNTUK MENANG PRU 13


Terengganu Darul Iman bukan kubu UMNO mahupun Pas,tetapi kekuatan kedua-dua belah pihak sebenarnya berimbang,di mana Pas menguasai kawasan bandar manakala UMNO dilihat mengumpul kekuatannya di kawasan luar bandar.

Persoalannya,jika benar kekuatan tersebut berimbang,mengapa UMNO masih menguasai Terengganu?Di sinilah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.


Kunci utama kemenangan oleh mana-mana pihak terletak kepada sokongan sejumlah besar pengundi atas pagar yang bersikap non-partisan.

Untuk menang,sokongan atas pagar ini perlu ditarik dan semestinya untuk menarik itu, di sana perlu ada faktor-faktor penarik yang perlu digunakan selain mengelakkan seberapa banyak faktor penolak pengundi terhadap Pas.

Sekadar untuk mengimbas kembali,berikut disenaraikan kedudukan kerusi Umno dan Pas semenjak Pilihanraya Umum 1959-2008:


Jika dilihat kepada kedudukan kerusi-kerusi Pas dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu tersebut,kerusi Pas Terengganu pada masa sekarang adalah hampir serupa dengan jumlah kerusi Pas pada tahun 1995, sepenggal sebelum Pas berjaya menguasai Terengganu.

Persoalannya,adakah kejayaan Pas di Terengganu pada tahun 1999 itu bakal berulang ataupun Pas sekadar berpuas hati dengan kedudukan lapan buah kerusi ataupun mungkin Pas akan kembali hilang lebih banyak kerusi selepas ini?Semuanya memerlukan strategi.

Persoalannya,apakah strategi yang perlu dilakukan untuk menang?

Pertamanya,Pas Terengganu perlu menawarkan seorang calon Menteri Besar yang mampu diterima oleh rakyat.Sebolehnya,seorang pemimpin yang berkaliber dan dikenali oleh semua orang.

Secara peribadinya, penulis merasakan bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang mungkin tidak perlu diangkat kembali sebagai Menteri Besar Terengganu.

Katakanlah Pakatan Rakyat berjaya menguasai Parlimen dan membentuk kerajaan Persekutuan,tempat Presiden Pas itu mestilah di peringkat Persekutuan,bukan lagi di peringkat negeri.

Oleh itu,strategi Pas yang pertama adalah mengangkat seorang calon Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Ahmad bin Said yang kurang berkepimpinan dalam mentadbir negeri.

Malah,di pihak Umno Terengganu sendiri,terdapat usaha untuk mengangkat Nasir Ibrahim Fikri sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru selain nama Adun Seberang Takir,Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai calon di kerusi tersebut.

Jika Umno dijangka memberi yang terbaik buat parti mereka dalam Pilihanraya Umum ke 13,bagaimana pula dengan Pas?Siapakah yang bakal diangkat menjadi calon Menteri Besar Terengganu daripada Pas?

Di sini Pas Terengganu perlu bijak memilih beberapa nama pemimpin Pas Terengganu terutamanya mereka yang telahpun menjadi Adun dalam Dewan Negeri Terengganu.

Secara peribadi,penulis melihat empat orang Adun Pas yang sesuai untuk diangkat menjadi Menteri Besar Pas Terengganu adalah Ustaz Harun bin Taib(Manir),Haji Abdul Wahid bin Endut(Wakaf Mempelam),Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi(Batu Buruk) dan Tengku Hassan bin Tengku Omar (Ladang).


Di sini,penulis merasakan bahawa calon terbaik bagi Pas negeri Terengganu bagi diangkat untuk menjadi Menteri Besar adalah Haji Abdul Wahid bin Endut,memandang kebolehan dan kepimpinan beliau yang baik sebagai Yang Dipertua Pas bagi kawasan Kuala Terengganu.

Haji Abdul Wahid juga adalah seorang pemimpin yang dianggap sebagai giant-killer setelah berjaya merampas semula Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Ketika itu,penulis sempat memerhatikan bahawa Abdul Wahid menjadi satu figur penting dalam arus gelombang rakyat Terengganu menolak Umno dalam PRK Kuala Terengganu.

Oleh itu,jika beliau diangkat sebagai calon Menteri Besar,beliau mungkin boleh menjadi Nizar versi Terengganu memandangkan beliau sendiri dikenali sebagai pemimpin yang mudah mesra dan berjiwa rakyat.

Maka tidak hairanlah jika beliau berjaya kekal menjadi Adun dalam Dewan Undangan Negeri selama hampir lima penggal semenjak tahun 1990 di kawasan Dun Wakaf Mempelam.

Selain itu,kepimpinan Abdul Wahid di Kuala Terengganu dianggap baik sehingga Pas mampu mempertahankan kerusi Pas di Kuala Terengganu dalam tahun 2004 dan merampas kembali Dun Ladang dan Parlimen Kuala Terengganu pada masa ini.

Selain Abdul Wahid,Pesuruhjaya Pas Terengganu Ustaz Harun Taib sebenarnya dilihat sebagai calon Menteri Besar di Terengganu memandangkan kekananannya dalam Pas negeri selain menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Ustaz Harun Taib,68 juga memiliki ijazah dalam politik Islam dan menyiapkan PhD dalam bidang politik antarabangsa.Ketika Pas memerintah Terengganu selama sepenggal pada tahun 1999,Ustaz Harun adalah exco kanan negeri yang bertanggungjawab memegang portfolio Pendidikan,Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Negeri, antara orang yang bertanggungjawab dalam menggubal Enakmen Fasal IIIA Terengganu yang meletakkan Al-quran, Al-Sunnah,Ijmak dan Qias sebagai rujukan tertinggi negeri.

Walaubagaimanapun,enakmen ini yang telah diwartakan dipinggirkan oleh kerajaan Umno Terengganu dengan mewujudkan pula konsep Islam Hadhari.

Justeru,jika Ustaz Datuk Harun bin Taib diangkat menjadi Menteri Besar,maka usaha melihat undang-undang Islam di Terengganu akan berlaku.

Selain Ustaz Harun,Syed Azman juga adalah calon yang sesuai untuk jawatan Menteri Besar Terengganu ataupun setidak-tidaknya seorang exco negeri memandangkan kebolehan beliau dalam bidang politik.

Syed Azman mempunyai Ijazah Sains Politik daripada Amerika Syarikat dan seringkali mewakili Pas di peringkat antarabangsa.

Walaubagaimanapun,belum diketahui sama ada beliau akan kekal di kerusi Dun ataupun dibawa semula untuk bertanding bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu memandangkan beliau adalah seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang layak untuk diangkat menjadi Menteri Luar dan setaraf dengannya.

Seterusnya,Adun Ladang Tengku Hassan Tengku Omar adalah bekas Pegawai Kewangan Negeri Terengganu dan kebolehannya itu mungkin boleh dimanfaatkan bagi mengisi portfolio ekonomi di negeri Terengganu.

Sesungguhnya,Pas Terengganu mampu memberi yang terbaik kepada rakyat di negeri ini memandangkan ramai sekali pemimpin Pas mempunyai kelayakan akademik dalam bidang sains politik, ekonomi,pengajian Islam dan profesional yang lain.

Persoalannya,mengapa penulis membangkitkan soal nama mereka yang layak menjadi Menteri Besar?

Penulis rasakan akan ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa Pas Terengganu terlalu bercita-cita tinggi dan belum menang sudah fikirkan jawatan.

Bagi penulis,ini semua berkaitan dengan strategi.Penduduk Terengganu perlu didedahkan dengan kemampuan dan kelayakan akademik calon-calon Pas memandangkan selama ini terdapat usaha mewujudkan perspektif bahawa Pas itu tidak mampu mentadbir negeri dengan mengatakan bahawa pemimpin Pas lebih sesuai menjadi ustaz-ustaz di masjid dan pondok.

Perlu diingatkan ini semua adalah satu strategi.Jika Pas mengumumkan kelayakan calon-calon mereka, maka tidak mustahil Umno akan terikut-ikut rentak yang sama dan mengumumkan kelayakan calon mereka.

Dan ketika itulah kita mungkin boleh tahu apakah kelayakan akademik Datuk Seri Ahmad bin Said Menteri Besar sekarang.Adakah beliau ini lulusan agama,ekonomi atau sains politik?

Ini juga perlu diketahui untuk melihat siapakah yang lebih layak mentadbir negeri berdasarkan ilmu siasahnya.

Ng Chai Hin 2 dari kiri di
majlis penamaan calon Pas Galas

Strategi lain yang mungkin relevan dengan Pas pada masa kini adalah dengan meletakkan seorang calon bukan Islam mewakili Pas di Dun Bandar.

Perlu diingatkan bahawa Dun Bandar adalah satu-satunya kerusi Barisan Nasional dalam Parlimen Kuala Terengganu.Oleh itu,Pas Terengganu perlu berstrategi dengan meletakkan calon non-muslim terutamanya calon berbangsa Cina di Dun Bandar sekaligus mampu menarik undi kaum tersebut di kawasan tersebut.

Calon yang sesuai untuk mewakili Pas tersebut salah seorangnya adalah Ng Chai Hin yang pernah mewakili DAP di kerusi Dun Bandar pada tahun 1990.Ng yang merupakan seorang aktivis politik Cina di Terengganu adalah seorang yang dekat dengan kepimpinan Pas Negeri.

Strategi meletakkan Ng ataupun calon bukan Islam lain adalah strategi serampang dua mata - pertama menarik undi kaum Cina dan kedua merealisasikan impian Pas meletakkan calon non-muslim sebagai calon yang mewakili Pas.

SEMINAR PAS GANTI UMNO

Pada 24 Disember yang lalu,Pas Terengganu telah menganjurkan "Seminar Pas Ganti Umno" di Markaz Tarbiah Pas Kuala Terengganu di Kuala Ibai.


Kehadiran beribu pemimpin dan penyokong Pas di seluruh Terengganu menunjukkan isyarat bahawa mereka telah bersedia dengan momentum merampas kembali Terengganu yang sudah dua penggal menguasai Terengganu.Rentetan daripada seminar ini,satu himpunan besar-besaran akan diadakan pada 15 Januari ini di Chukai Kemaman.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu,Ustaz Abu Bakar Chik meminta para bloggers menulis artikel-artikel mengenai Pas Ganti Umno untuk menguasai Terengganu.

Penulis telah lama menulis pasal Terengganu dan memberi pelbagai saranan kepada penambahbaikan kepada Pas Terengganu.Malah hampir kesemua tulisan penulis mengenai Pas di negeri penulis ini disiarkan di Tranungkite.net.

Penulis pasti ada antara pemimpin Pas sendiri membaca tulisan-tulisan tersebut,tetapi persoalannya adakah kita telah bertindak?kamisokongpas

Read more ...

Teknokrat, profesional anggotai Majlis Perwakilan PAS Luar Negara

Presiden lancar Majlis Perwakilan PAS Luar Negara

MANCHESTER, 26 Dis: PAS mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) di Manchester Conference Center, Manchester, United Kingdom (UK) oleh Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PAS Representative Council of UK & Eire, Jupri Bade dan rakyat Malaysia di United Kingdom.

Majlis Perwakilan ini dianggotai oleh para teknokrat dan profesional Malaysia di UK dan Ireland bagi meneruskan dakwah Islam buat semua rakyat Malaysia di seluruh dunia amnya dan di bumi United Kingdom dan Ireland umumnya.

“Sebagaimana kita mengamalkan demokrasi di Malaysia, kita juga mengamalkan demokrasi di UK. Malah rakyat Malaysia di UK dan Ireland boleh belajar daripada keterbukaan demokrasi di UK yang sebenarnya dipelajari dan dikaji daripada sistem Islam itu sendiri.

“Masyarakat Eropah sebelum kedatangan Islam, tidak mengenali sistem demokrasi seperti yang ada pada hari ini, dan hanya mengenalinya selepas mengenali keadilan Islam kepada semua,” kata Tuan Guru Abdul Hadi pada majlis itu.

Di dalam kenyataannya pada majlis pelancaran tersebut, Jupri Bade yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan yang pertama menyebutkan bahawa keanggotaan majlis hanya dilantik secara terus oleh PAS, bagi mewakili dan meneruskan visi dan misi PAS dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam.











Read more ...

Muafakat PR mampu tumbangkan BN

Konvensyen Kedua PR menghasilkan kemantapan muafakat menuju PRU-13

Hanya sehari sahaja tempoh bagi Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat diadakan pada 19 Disember lalu di Dewan Millenium Kepala Batas berbekalkan dengan 'buku jingga' yang mengandungi dasar bersama.

Hanya sehari jugalah segala kemelut dan kepincangan yang dicanang media Umno/BN kononnya berlaku dalam Pakatan Rakyat, berjaya diselesaikan dengan kebijaksanaan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Dengan tema "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia", keseluruhan perwakilan membangkitkan pelan bertindak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 secara bersama.


Sambil ada sesetengah yang melaungkan ucapan ke arah muhasabah, Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat seperti kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaf Ali banyak membawa pembaharuan dan kelebihan terutama ke arah kemantapan muafakat.

Benar tahaluf siyasi yang disepakati ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan kini berjaya menemui sentuhan ajaib setelah sebelum ini masing-masing menjamah kelainan dasar dengan sedikit ketegangan.

Penggulungan perbahasan yang dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim 'berjaya menjernihkan' ketegangan sebelum ini.

Nada insaf yang dilahirkan Anwar mengakui kesilapan memilih calon mewakili KeADILan dalam pilihan raya umum yang lalu menampakkan keterbukaan, setelah kesilapan itu ditegur Karpal dalam penggulungannya dan sebelum ini oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lantang Presiden PAS membahaskan penggulungan dengan nada Islami dan disusun dengan ayat-ayat Quran menyokong pandangannya amat disanjung seluruh 2000 perwakilan yang hadir.

Susunan kata yang mantap, dengan ilmunya diakui seluruh perwakilan membuatkan hujah penggulungan Ustaz Hadi menjiwai hasrat ke Putrajaya dengan berbekalkan amilin yang bertaqwa dan mencintai keadilan.

Tawaran negara berkebajikan yang diwar-warkan PAS pada pilihan raya umum lalu menjadi 'buah mulut' perwakilan yang memuji langkah itu sebagai langkah yang sangat bijak.

Kekuatan pemimpin (Ustaz Hadi) yang diakui bersih oleh Setiausaha Agung Keadilan, saifuddin Nasution itu terletak kepada mantik politiknya, dan beliau berjaya membawa sidang bermuhasabah sebelum mempersiapkan jentera menentang penzaliman Umno/BN.

Anak kunci kejayaan yang disandarkan kepada beberapa petua dicernakan dalam ucapannya penuh yakin menampakkan beliau (Ustaz Hadi) 'kepimpinan' yang memimpin.

Sementara sentuhan Karpal yang meletakkan ketegasan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, malah mengangkat perjuangan PAS dan sedia menjadikan DAP benteng mempertahankan hak Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Ucapan Karpal mendominasi suasana diakhir fasa konvensyen.Sebelum melangkah ke pentas untuk berucap, kehebatan beliau diangkat dalam ucapan aluan moderator, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan bekas Speaker Kelantan itu memuji ketegasan Karpal dalam beberapa isu.

Naik sahaja Karpal ke pentas, susunan kata-katanya walaupun 'pelat' dan 'kurang fasih', namun 'screw' nya mampu membenam hasrat media arus perdana untuk memainkan isu Negara Islam sekali lagi.

Tidak kurang juga hujah pembentang kertas kerja antaranya Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang membincangkan soal Federalisme; sementara Saifuddin menjengah permasalahan imej polis dan Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke yang membincangkan tawaran sempena 100 hari jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Di hujung konvesnyen tercerna satu muafakat yang jelas dan pastinya suntingan semangat dari seluruh pimpinan Pakatan Rakyat akan memberi azimat kepada pendukung gabungan ini bekerja keras dan mengetepikan soal perbezaan untuk mencapai tujuan menjatuhkan kerajaan Umno/BN.
WAN NORDIN WAN YAACOB

Read more ...