https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhR7vgb0m0zFWx6BRxbKu3Lh0OW4c64niQZhZdD760G9-w_EzT7Jvwzg4CSFx2IeKouOmViPIqKNMWAFdf71t7RaThCn9z6h3DQL4gEWufwg98kX_waY3u8xmILHJkS23971WJPF_601DPh/s320/Datuk+Ramli+Yusuf.jpgBekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Datuk Ramli Yusuff akan menyertai PAS dalam masa terdekat, kata naib presiden parti itu Salahuddin Ayub.

Menurutnya, beberapa perbincangan telah berlangsung antara PAS dan Ramli berhubung perkara itu dan perkembangan terbarunya juga "sangat positif".

"Dalam masa terdekat pengumuman akan dibuat pimpinan tertinggi parti atau beliau (Ramli) sendiri," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Salahuddin berkata, PAS amat mengalu-alukan kemasukan Ramli yang dilihat mempunyai dorongan kuat untuk memperjuangkan kebenaran.

"Bukan mudah untuk seorang bekas pegawai polis berprofil tinggi seperti beliau membuat keputusan menyertai PAS," katanya.

Sebelum ini, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut menyertai PAS, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti Islam itu merekrut ahli daripada pelbagai latar.

Pengumuman dijangka Ogos atau September

PAS juga dilihat sedang aktif menerima kemasukan kumpulan selebriti seperti pelakon Abby Abadi, Hairie Othman dan penyanyi Aishah yang jarang-jarang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim sewaktu dihubungi Malaysiakini turut
membayangkan seorang lagi bekas penjawat awam tertinggi berasal dari Kelantan akan menyertai parti itu.

"Saya yakin dalam tempoh antara Ramadan dan Syawal, banyak lagi yang akan menyertai PAS dari kalangan bekas penjawat awam.

"Saya rasa sebelum Ogos (berakhir) atau September akan ada pengumuman dibuat berkenaan perkara ini," katanya.

Ramli sebelum ini mencuri perhatian apabila terdapat dakwaan beliau dianiaya ekoran konspirasi melibatkan peguam negara dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan untuk melindungi tokoh kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau Tengku Goh pada 2007.

Musa bagaimanapun menafikannya manakala perdana menteri pula menolak penubuhan tribunal untuk menyiasat perkara itu kerana berpendapat ia hanya dakwaan dan "Dakwaan perlu disahkan".Malaysiakini