Friday, February 25, 2011

1500 pemuda Libya dikubur hidup-hidup berjaya lepaskan diri

TRIPOLI (Arrahmah.com) - Sebuah laman yang berisi laporan langsung journalism tempatan dari Libya memuat sebuah laporan yang menyatakan bahwa lebih kurang 1.500 pemuda Libya dikubur hidup-hidup di Benghazi.

Laporan yang dimuat pada Selasa (22/2/2011) dan berasal dari salah seorang warga Libya yang dirahsiakan identitinya menyatakan bahawa regim Moamar Ghaddafi membuat sebuah ruangan bawah tanah yang dipakai untuk menahan para demonstran yang tertangkap di Benghazi.

Sejak aksi protes dimulakan pada tanggal 15 Februari lalu hingga laporan ini ditulis, para pemuda yang ditahan di dalam ruangan yang berisi 1.500 orang tersebut tidak memperoleh makanan dan minuman.

Namun pada tanggal 22 Februari, akhirnya mereka berhasil dibebaskan oleh para demonstran lainnya dalam keadaan hidup, setelah mendengar suara bising yang berasal dari sebuah barak.

Laporan yang dimuat di situs Alive in Libya ini pun mengungkapkan kecaman terhadap diktator Ghaddafi yang harus segera dijatuhkan dari kekuasaan.

"1.500 pemuda dikubur hidup-hidup. Moamar harus dilenyapkan. Kami tidak akan pernah menyerah. Kematian kami akan bermuara di surga, sedangkan dia di neraka. Allah menyaksikan bahawa saya telah menyampaikan pesan ini," menurut laporan tersebut. (althaf/arrahmah.com)

Read more ...

Nama Pakatan Rakyat tak boleh , Barisan Nasional boleh pula

Sudah terang lagi bersuluh, pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai gabungan parti politik tersekat lama oleh ROS kerana ada 'tangan-tangan' yang menghalangnya.

ROS begitu mudah memberi kelulusan pendaftaran parti politik lain seperti parti KITA tetapi sehingga sekarang tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat.

Jika kita nak tahu sebabnya, bacalah kenyataan Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan yang takut dengan pengunaan nama Pakatan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat tidak boleh sebab ada perkataan Rakyat, Barisan Nasional pun tak boleh sebab ada perkataan Nasional.Baca berita di bawah;

http://umno-online.com/wp-content/uploads/2010/05/ahmad_maslan_suit.jpg
JENGKA 23 – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menggesa supaya menghentikan penggunaan istilah Pakatan Rakyat (PR) yang digunakan pihak pembangkang selama ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata istilah itu tidak menggambarkan maksud yang positif kerana rakyat sekalipun tidak pernah berpakat menyokong mereka (pembangkang).

“Malah penggunaan istilah PR ini tidak pernah didaftarkan dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Jadi saya meminta semua pihak jangan iktiraf pembangkang dengan menggunakan istilah PR,” katanya pada sidang media sempena kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke Kerdau, Ahad ini.:

Seramai 10,000 peneroka Felda dari Wilayah Jengka dijangka bersama PM di Padang Awam Jengka 23 selain menyempurnakan majlis pecah tanah secara virtual (alam maya) kilang biomas bersama Felda dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan dibina di Jengka 9.

Kilang Biomass dengan kapasiti 12 megawatt tersebut merupakan projek usaha sama yang julung kali membabitkan kedua-dua pihak dan bakal menyaksikan penggunaan jana kuasa elektrik daripada sisa buangan kelapa sawit bagi menampung penggunaan di kilang tersebut.

Selain itu, Najib juga dijangka merasmikan Dewan Serba Guna dan Gelanggang Futsal selain Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Jengka 23 selain pecah tanah bagi pembinaan dewan serba guna dan gelanggang futsal di Jengka 22 dan 25 pada hari sama.SH

Read more ...

Melayu tidak berubah kerana media tidak bebas

Undi Melayu beralih pada Pakatan jika media bebas

TEMERLOH, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, perubahan undi Melayu kepada Pakatan Rakyat khasnya PAS hanya akan berlaku apabila orang Melayu mendapat maklumat yang tepat daripada media yang bebas.

Beliau berkata, malangnya hari ini media berbahasa Melayu tidak mendidik masyarakat Melayu mendapat maklumat yang seimbang dan bebas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian semasa ditemui wartawan di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, di sini sebentar tadi.

Presiden PAS itu seterusnya menambah, media arus perdana berbahasa Melayu terus menjadi alat kepada Umno BN untuk memperbodohkan masyarakat Melayu agar terus menyokong Umno BN.

Disebabkan tiada maklumat yang tepat, katanya masyarakat Melayu masih terus menyokong Umno BN.

“Berbeza dengan media berbahasa Cina, mereka mendidik rakyatnya untuk bijak menilai. Media berbahasa Melayu pula masih tertutup, tidak bebas dan diperalat Umno BN untuk kekal berkuasa,” katanya.

Dalam masa yang sama, sokongan bukan Melayu kepada PAS terutamanya kaum Cina hari ini semakin meningkat, ujarnya lagi.

Beliau menuntut agar media di negara ini khasnya berbahasa Melayu bebas dan tidak lagi diperalatkan untuk kepentingan politik Umno BN.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut Umno BN tidak terus memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengekalkan kuasa.

SPR seharusnya menjadi sebuah badan yang bebas yang melayan pelanggannya (parti-parti politik yang menyertai pilihan raya) dengan telus dan adil, katanya.

Beliau menambah, jika SPR sendiri berpihak, dan media pula menjadi semakin tidak bebas, proses demokrasi di negara ini akan semakin tempang.

Turut bersama semasa menunggu proses penyerahan borang pencalonan tadi ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Balasubramaniam.

Read more ...

Keputusan Mahkamah Rayuan mengecewakan



KUALA LUMPUR 25 FEB : Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dianggap bertentangan dengan tata kelola atau pentadbiran baik 'good governance' yang mengutamakan ketelusan dan integriti.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Syed Shahir Syed Mohamud meluahkan rasa kecewa dengan keputusan ini, yang nyata merampas hak rakyat dari mendapat maklumat yang memberi implikasi dalam hidup mereka.

"Rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku sebab sekarang ini kita bercakap pasal ketelusan dan tranparensi serta integriti yang sebagainya. Kalau kita bercakap pasal ini, mesti telus. Perjanjian ini melibatkan orang ramai, beri implikasi pada kehidupan orang ramai,"katanya.

Panel rayuan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaleha Zahari. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Dokumen berkenaan melibatkan perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan juga satu laporan audit yang menjustifikasi kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

Syed Shahir menegaskan alasan perjanjian ini di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak boleh digunapakai kerana ia tidak melibatkan keselamatan negara.

Beliau turut memuji usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor dalam membentuk Enakmen Hak Kebebasan Maklumat kerana ia mampu menjadikan kerajaan lebih telus.

"Kalau dilihat di Pulau Pinang dan Selangor sudah ada insiatif untuk bida enakmen dapatkan maklumat. Sebenarnya ini usaha yang baik. Di India pun sudah ada hak mendapat maklumat selagi bukan rahsia yang mengancam keselamatan negara. Perjanjian konsesi ini perjanjian perniagaan. Sepatutnya kita tahu sebab kita terlibat," jelasnya.

Keputusan itu dibuat ke atas rayuan oleh menteri dan kerajaan Malaysia ke atas satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2008 lalu membenarkan MTUC dan 13 individu lain mengakses dokumen berkenaan.

Walaupun begitu, Syed Shahir berharap agar MTUC di bawah presiden baru, Khalid Atan dapat terus memperjuangkan kes ini di Mahkamah Persekutuan dan memberi penerangan kepada rakyat terlibat agar keadilan dan hak rakyat dapat ditegakkan.

"Saya fikir lebih wajar pihak berkenaan ini buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan agar kes ini tidak dibiarkan begitu sahaja dan kena usahakan pengguna air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijelaskan apa yang berlaku di Mahkamah Rayuan supaya mereka boleh turut serta dalam Mahkamah Persekutuan nanti,"tambahnya lagi.

Read more ...

PRK DUN Merlimau,Kerdau : Hanya Calon PAS dan BN serah borang pencalonan


JASIN 26 FEB : Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau dijangka hanya akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. Setakat ini hanya calon PAS dan BN sahaja yang mengemukakan borang pencalonan.

Di Merlimau, Roslan Ahmad dari BN dengan calon PAS Yuhaizat Abdullah mengemukakan borang penamaan calon masing-masing.

Setakat 10 pagi tadi, hanya mereka yang mengemukakan borang penamaan calon.

Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin terlebih dahulu tiba di pusat penamaan calon kira-kira pukul 8.46 pagi tadi dengan diiringi 1,000 penyokong Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu di Kerdau, PAS diwakili oleh Ketua Penerangan parti peringkat Pahang Hassanuddin Salim manakala BN pula Naib Ketua Umno Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sesi bantahan penamaan calon berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga 11 pagi.

Di Merlimau, calon PAS diiringi oleh Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Setiuasaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Roslan, ahli jawatankuasa Umno Jasin pula tiba pada pukul 8.55 pagi dengan diiringi lebih 1,000 penyokong BN.

Turut mengiringi beliau Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden PPP Datuk M. Kayveas, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk G Palanivel dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.

Proses penamaan calon yang diadakan setakat ini berjalan lancar dengan kawalan ketat oleh pihak polis. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku melibatkan penyokong kedua-dua calon.

Sementara itu, Bernama melaporkan cuaca cerah di pusat penamaan melancarkan proses penamaan calon pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama kira-kira 5,000 penyokong turut mengiringi calon BN ke pusat penamaan berkenaan.

Calon PAS diiringi Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang bersama kira-kira 2,000 penyokong.

Pegawai pengurus pilihan raya kecil itu Datuk Tarif Abdul Rahman berkata tempoh bantahan ditetapkan selama satu jam berakhir 11 pagi ini.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Barisan Nasional pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh pengundian.

Read more ...

PRK Kerdau : Pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN



KERDAU 26 FEB : Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS dan Barisan Nasional (BN). BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim.

Pegawai pengurus pilihan raya kecil itu Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu kira-kira 11.30 pagi selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini.

Menurut Tarif, terdapat satu bantahan diterima tetapi ia telah ditolak.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, 15 daripadanya pengundi pos.

"Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran/tempat mengundi," kata Tarif.

Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini.

Pusat Pusat penjumlahan undi rasmi/pengiraan semula undi akan turut diadakan di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh. "Kaum Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan berkenaan iaitu 88.77 peratus (7,988 pengundi), Cina 5.05 peratus (454), India 3.31 peratus (298 orang), Orang Asli 2.62 peratus (236 orang), lain-lain 0.24 peratus (22) dan seorang wakil bumiputera Sarawak," katanya.

Jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus. "Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang)," katanya.

Sementara itu ,penamaan calon Pilihan Raya Kecil N 28 Dun Kerdau yang berlangsung di Dewan Tun Razak Temerloh berjalan lancar tanpa provokasi sebaliknya menyaksikan penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS memenuhi perkarangan luar dewan.

Walaupun berlangsungnya PRK serentak di Merlimau Melaka, namun sokongan dari penyokong tidak pudar walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas.

Adun Taman Medan, Haniza Talha untuk turut hadir memberi sokongan kepada calon PAS di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor ketika ditemui Tv Selangor di luar perkarangan dewan menyifatkan PRK ini adalah satu medium pendedahan awal menghadapi pilihanraya sebenar di PRU nanti.

"Walaupun kita menghadapi dua PRK serentak, tetapi sokongan yang dapat dilihat begitu hebat, dan PRK ini bagi saya adalah satu medium untuk calon mendapat pendedahan awal untuk menghadapi PRU sebenar," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun DUN Kerdau ini kubu kuat BN, namun Pakatan Rakyat tetap akan memberi tentangan.

"Kita tahu Kerdau ini tempat BN, namun kehadiran PAS dari Pakatan Rakyat adalah satu cabaran buat BN dan kami akan tetap memberi tentangan kepada parti lawan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Temerloh, Woo Chee Wan ketika ditemui Tv Selangor berkata DAP di Temerloh memberi sokongan penuh kepada parti komponennya untuk berjuang untuk menundukkan Umno BN di Temerloh.

"DAP Temerloh memberi sokongan penuh kepada PAS untuk berjuang menentang BN, dan PRK ini adalah satu 'warm-up' kepada kami untuk bersiap sedia menghadapai PRU sebenar nanti," katanya.

Woo yang juga bendahari DAP Pahang turut terharu dengan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang mewarnai hari penamaan calon di sini.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

Read more ...

Tuduhan melampau Najib buka pekung Umno konon mempertahankan Islam

Qardawi penjenayah: Presiden PAS gesa Najib bertaubat

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera bertaubat ekoran melabel Ikhwanul Muslimin dan Sheikh Dr Yusof al Qardhawi sebagai pengganas.

Presiden PAS itu dalam satu kenyataan berkata, beliau berasa sangat terkejut, kecewa dan teramat jengkel dengan tuduhan ekstrem yang diberikan Najib terhadap gerakan Islam antarabangsa itu.

"Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya masih ada iman sebesar zarah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Najib sewaktu berucap pada satu program di Istanbul beberapa hari yang lalu.

Tambahnya, tuduhan yang dibuat Najib itu juga merupakan satu fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan menentang penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan barat yang memekakkan telinga kepada kebenaran.

Beliau menegaskan, tindakan mengambil sikap dan pandangan setiausaha negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan orang yang tidak mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan sangat memalukan orang Islam itu
sendiri.

Ikhwan katanya, ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan tajdid berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangannya secara
jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap kezaliman musuh sehingga ke hari ini.

Mereka menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan dan
pemimpinnya dizalimi.

Manakala Al Qardhawi pula adalah tokoh ulama berwibawa yang dilahirkan oleh Ikhwan.

"Dia berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda Islam yang tidak sabar dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka kembali ke pangkal jalan berjuang mengikut ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Malah Malaysia sendiri katanya pernah memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada beliau.

"Saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal hijrah yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu," cabarnya.

Read more ...

Lima pemimpin Cabang PKR di Pahang dipujuk sertai Umno

Lima pemimpin PKR dipujuk lompat parti

http://media1.malaysiakini.com/138/98153a8ca4f7b0bf3a6c9a71dccca65b.jpgPETALING JAYA – PKR mendakwa lima pemimpin cabang parti itu di Pahang dipujuk untuk 'lompat' menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, selain diri mereka, pemimpin berkenaan turut dipujuk untuk membawa bersama kira-kira 500 penyokong.

"Selain wang, mereka turut dijanjikan projek jika membuat pengisytiharan seperti yang dikehendaki," katanya.

Sehubungan itu, kata Saifuddin, pihaknya memberi amaran kepada pemimpin cabang di seluruh negara supaya jangan ambil rasuah yang didakwanya berleluasa pada setiap PRK.

“Jika gejala ini tidak dibendung, dikhuatiri ia akan menjadi asam garam politik Malaysia dan lebih menyedihkan, akan diterima rakyat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada sidang media di sini, kelmarin.

Saifuddin berkata, pimpinan PKR tidak akan teragak-agak menggantung keahlian mana-mana ahli yang terbukti menerima rasuah sebegini, serta-merta.

“PKR sedang mengumpul bukti dan akan mendedahkannya dengan dokumen lengkap,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, pihak tidak bertanggungjawab mengubah taktik dengan memberi rasuah kepada pimpinan bawahan PKR kerana mereka tidak lagi berjaya memujuk pemimpin atasan.

Menurutnya, sebelum ini, memang terdapat banyak insiden rasuah seperti ini sehingga ramai pemimpin PKR sanggup bertindak keluar parti, sekali gus memberi imej tidak baik dan memudahkan lagi lawan menyerang.

“Tindakan ini amat kotor. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk memberi rasuah, demi mencapai matlamat mereka,” katanya.

Ditanya siapa pemimpin PKR yang terlibat, beliau enggan menamakan mereka, tetapi berkata, selain lima kes di Pahang, terdapat satu kes di Melaka dan satu di Kuala Lumpur.

“Kita menolak sekeras-kerasnya cubaan jijik seperti ini. Kita akan dedahkan kepada umum siapa dalang di sebaliknya,” katanya.SH

Read more ...

Najib lebih hebat dari Yusuf Qaradawi?

Najib perlu mohon maaf kepada Yusuf Qaradawi – Anwar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera memohon maaf terhadap ulama terkemuka, Sheikh Yusuf al Qaradawi dan pertubuhan Islam, Ikhwanul Muslimin.

“Sekiranya terbukti benar Najib melemparkan fitnah terhadap Sheikh Yusuf al Qaradawi, saya menuntut Perdana Menteri agar segera memohon maaf dari ulama tersebut,” kata Anwar dalam blognya.

Ketua Umum KEADILAN itu turut menegur Najib kerana pandangan sebegini dianggap terpencil dan mewakili pandangan dasar luar ektrem kanan di Amerika Syarikat.

“Adakah ini sebahagian dari agenda syarikat penasihat demi membaiki imej Najib di Amerika Syarikat?” soal Anwar lagi.

Beliau menyifatkan kenyataan terbaru Najib itu membuka pekung kecurigaaan pemimpin tersebut terhadap ulama dan gerakan Islam seluruh dunia yang kian giat menyertai proses demokratisasi.

Kata Anwar, jika Najib mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi, mengapa kerajaan menganugerahkan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2009/1431.

Beliau berkata, petikan ucapan Najib dalam National Review sarat dengan prasangka buruk terhadap Yusuf Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin lantaran menggesa Ikhwanul Muslimin disisih dari agenda perubahan di Mesir kerana terlibat dalam keganasan.

“Pendapat seperti ini dikritik pelbagai institusi dan intelektual. Dunia kini menggesa agar Amerika Syarikat dan Eropah untuk tuntas bekerjasama dengan Ikhwan,” katanya.

Read more ...

Polis nak siasatkah?

Polis diminta siasat risalah berbaur hasutan

TEMERLOH, 25 Feb: Dewan Pemuda PAS Pahang membuat satu laporan di Balai Polis Temerloh, di sini petang tadi berhubung penyebaran risalah berbaur hasutan dan perkauman yang mahu memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Timbalan ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim membuat laporan itu yang turut disertai beberapa pemimpin dewan itu.

Katanya, laporan itu dibuat kerana risalah berkenaan disebarkan di dalam kawasan pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau.

Tambahnya, risalah yang bertajuk ‘Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan’ diterbit dan disebarkan oleh pihak tertentu untuk menghasut rakyat supaya membenci PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, risalah yang berbaur hasutan melampau itu boleh menimbulkan rasa keluh kesan di kalangan rakyat dan boleh menggugat ketenteraman awam.

Sehubungan itu, beliau memohon polis agar menyiasat risalah itu di bawah Akta Hasutan termasuk pihak yang menyebarkannya kerana menyelewengkan fakta Buku Jingga 100 Hari yang ditawarkan Pakatan Rakyat.

Read more ...

Umno ada di mana-mana termasuk universiti

Pentadbir universiti jangan jadi tali barut Umno

KUALA LUMPUR, 25 Feb: PAS mengharapkan pentadbir universiti jangan menambahkan lagi keahlian dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad meminta pentadbir universiti tidak menjadi tali barut Umno BN di negara ini.

Di luar kampus, katanya demokrasi berada di padang yang tidak sama kerana SPR yang menjadi budak suruhan Umno.

“Jangan cemarkan menara ilmu dengan bersikap seperti jawatankuasa kampung Umno yang melakukan diskriminasi kepada penyokong pembangkang ketika memberi subsidi beruk dan baja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembatalan keputusan 11 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putera Malaysia daripada Pro Mahasiswa merupakan sejarah hitam dan tindakan yang melampau.

PAS, katanya ingin mengingatkan kepada pihak universiti bahawa mahasiswa bukan manusia yang boleh dicucuk hidung kerana mereka ialah insan yang terpilih di kalangan 27 juta rakyat di negara ini.

“PAS hendak menasihatkan pihak pentadbir tumpulah kepada usaha untuk mengangkat darjat ilmu di menara gading.

“Universiti perlu fokus kepada tugas melahirkan generasi yang berilmu dan beramal untuk berbakti kepada agama dan negara,” ujarnya lagi.

Menurutnya, jika universiti tidak fokus kepada tugas hakiki, maka jadilah seperti polis yang sepatutnya menjaga keselamatan dan membanteras jenayah sebaliknya telah menumpu kepada aktiviti pembangkang.

Kesannya, kata beliau jenayah meningkat dan keselamatan sosial tidak selesa.

Tambahnya lagi, tindakan berani mahasiswa yang bertindak membantah ketidakadilan Hal Ehwal Pelajar patut disanjung dan disokong.

“Inilah bahasa yang boleh difahami oleh orang suruhan Umno di universiti,” katanya.

Read more ...

Kenyataan tengin Adnan Yaakob

Adnan tidak tahu Buku Jingga

TEMERLOH, 25 Feb: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak mengetahui apa sebenarnya Buku Jingga yang mengandungi program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini berdasarkan kepada kenyataan Adnan yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyatakan demikian dengan merujuk kepada laporan akhbar itu di muka surat P3 di bawah tajuk "BN tidak gentar siapa calon pembangkang"

Laporan itu memetik kenyataan Adnan yang mengatakan "saya amat mengalu-alukan pengeluaran Buku Jingga yang kononnya membongkar segala kelemahan pentadbiran Kerajaan Pahang dibawah pimpinan saya. Malah kepada rakyat Buku Jingga kedua akan saya keluarkan untuk menjawab segala tomahan tersebut termasuklah kelemahan pengurusan kewangan dan sebagainya".

“Saya fikir sebenarnya MB tidak tahu apa sebenarnya buku Jingga,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Kerdau di pekan Kerdau, dekat sini, pagi ini.

Katanya, berdasarkan kenyataan Adnan itu menggambarkan bahawa menteri besar itu tidak mengetahui apa sebenarnya kandungan Buku Jingga.

“Apa yang beliau (Adnan) anggap Buku Jingga adalah serangan daripada PAS kepada kerajaan negeri Pahang sedangkan Buku Jingga tiada kena mengena dengan kerajaan Pahang, dia (Buku Jingga) bersifat tawaran 100 hari Pakatan Rakyat.

“Saya fikir maklumat itu perlu menggambarkan Menteri Besar yang ada tidak tahu menahu Biku Jingga hingga mahu mengeluarkan pula ‘Buku Jingga kedua’ bagi menjawab ‘Buku Jingga pertama’,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Read more ...