Saturday, March 31, 2012

MAUT SEMASA GANTUNG BENDERA BN!!!! 2 Petugas UMNO maut terkena renjatan elektrik


"Gara-gara bersemangat untuk memasang bendera sebuah parti politik, dua rakan maut terkena renjatan elektrik apabila sebatang buluh yang diguna untuk menggantung bendera itu terkena kabel elektrik bervoltan tinggi di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam Jumaat.

Rosli Hussin, 47, dan rakannya Mohd Daisan Ibarahim, 37, yang terjatuh dan pengsan selepas terkena renjatan elektrik itu, disahkan mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanah Merah.


Abang ipar seorang daripada mangsa, Che Musa Mamat berkata adik iparnya, Rosli bersama empat rakannya ke kawasan itu untuk mendirikan buluh setingga kira-kira 12 meter untuk menaikkan bendera itu pada pukul 12 tengah malam.


Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu awal pagi Sabtu.


Beliau menasihatkan orang ramai, khasnya penyokong parti politik supaya jangan terlalu ghairah bertindak memasang bendera politik sehingga mengabaikan keselamatan diri. Bernama


P/S: No komen! Al Fatihah sahaja yang mampu diucapkan. Tempat berlaku ini hanya 500 meter sahaja dari rumah saya. Dah riuh rendah satu bandar Tanah Merah. Malam tadi keluar berita TV3 dua rakan maut sebab pasang sebuah bendera parti politik. Kenapa tak terus terang cakap pasang bendera dacing. Wallahuaklam.

JALAN PULANG

Read more ...

TAK TIDUR LENA!!! Najib takut berlaku kejutan bila bubar parlimen

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)


Ramalan bahawa pilihanraya umum ke 13 akan berlaku pada bulan November 2011 sudah berlalu. Ramalan bahawa PRU13 akan berlaku pada Mac 2012 pun berlalu juga nampaknya.


Ramalan terbaru yang sangat popular ketika ini ialah awal bulan Jun tahun ini. Hampir kesemua PRU di negara ini diadakan ketika cuti penggal sekolah kerana sebahagian besar tempat mengundi dan mengira undi adalah di sekolah, jadi rutin persekolahan tidak terganggu sewaktu cuti.


Faktor terpenting untuk berlakunya PRU di Malaysia ialah waktu di mana parti pemerintah (BN) dijangka mampu menang. Hari ini sudah tidak banyak negara dalam dunia yang menjadikan tarikh pilihanraya sebagai bahan spekulasi. Segelintir negara, yang termasuklah Malaysia itu, kebanyakannya adalah negara yang sangat primitif amalan demokrasi dan diperintah oleh kerajaan separa diktator.


Adakah jika PRU diadakan bulan Jun maka BN akan menang besar atau sekurang-kurang mereka terus berkuasa di Pusat? Ia bergantung kepada kajian professional yang mereka lakukan.


Sejak pembentangan Bajet 2012 tahun lalu, hingga ke saat ini BN telah berhabis-habisan menabur umpan untuk mendapat sokongan rakyat. Berbillion wang rakyat telah digunakan untuk 'membeli' sokongan rakyat.


Bekas Menteri BN, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir mendedahkan bahawa BN menang selama ini dengan membeli sokongan. Maka sejarah bakal tercatat bahawa pembelian sokongan rakyat untuk PRU13 ini adalah yang termahal dalam sejarah Malaysia.


Selepas BN menghamburkan wang yang banyak kepada rakyat maka, tahap sokongan akan dinilai sebelum Parlimen dibubarkan atau tidak. PRU12 lalu juga Parlimen dibubarkan selepas Datuk Abdullah Badawi mendapat isyarat bahawa BN akan menang dua pertiga. Tapi keputusan PRU12 lalu tidak menunjukkan seputusan seperti kajian yang dilakukan. Kononnya peralihan sokongan dari BN ke PR sebanyak lima peratus berlaku selepas Parlimen dibubarkan. Pengalaman ini sangat menakutkan BN untuk menghadapi PRU kali ini kerana pergerakan sokongan rakyat Malaysia hari ini tidak seperti dua dekad lalu. Ia berubah-ubah dengan pantas macam pergerakan di bursa saham. Sebabnya dalam dunia tanpa sempadan hari ini, maklumat juga boleh sampai kepada rakyat dengan pantas.


Faktor perubahan segera selepas Parlimen dibubarkan juga berlaku kerana penyerlahan semasa kekuatan pembangkang di akar umbi yang mengubah mood rakyat. Dalam situasi yang ada sekarang, dalam suasana demokrasi primitif, mood rakyat seolah-olah ditentukan sepenuhnya oleh parti yang memerintah. Dengan penguasaan terhadap jentera kerajaan dan media, sekarang BN dilihat mendapat sokongan besar dan pembangkang dipamerkan sudah hampir berkubur. Pembangkang yang ketinggalan jauh dalam aspek logistik buat masa ini hanya mampu melihat dengan mata putih akan kelebihan BN itu.


Sebaik Parlimen dibubarkan, kekuatan akar umbi pembangkang atau PR pula akan terserlah secara mendadak. Seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS akan menghurung markaz macam kelkatu. Tenaga sukarelawan ini akan muncul dengan banyaknya bermula dari profesional di menara gading hinggalah ke petani kampung di pedalaman. Kumpulan senyap yang selama ini menyorok sokongan di atas faktor kepentingan tertentu pada masa itu tidak akan menyorok lagi. Sekalipun masih tidak setanding dengan kekuatan logistik BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan tetapi situasi itu mampu mengubah mood rakyat. Maknanya situasi selepas Parlimen dibubarkan akan berbeza dari suasana semasa ketika ini.


Lagi faktor yang menakutkan BN selepas Parlimen dibubarkan ialah penentuan calon. Sekarang, jika kajian dilakukan maka semua ahli parti komponen BN akan menyokong BN dan menolak PR. Selepas calon diumumkan, ahli parti komponen BN itu mungkin akan terus menyokong BN cuma undi untuk calon BN saja yang tidak diberi, sebab calon bukan dari kroni mereka. Apa erti sokongan tanpa undi? Sabotaj terhadap calon BN oleh ahli parti sendiri dijangka meningkat sekali ganda dalam PRU13 berbanding PRU lalu. Ia bakal jadi penyebab utama berkuburnya BN untuk PRU kali ini.





Macam biasa setiap PRU akan ada pemimpin yang tersingkir dari parti apabila tidak terpilih sebagai calon. Situasi kali ini lebih mencabar BN kerana bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 Tengku Razaleigh Hamzah bertekad akan terus jadi calon, walaupun ada ura-ura bahawa UMNO akan menyingkirkannya kerana beliau sudah jadi 'duri dalam daging' dalam UMNO. Himpunan golongan yang tersingkir akan membentuk kekuatan baru untuk menyanggah UMNO. Ku Li dan Kadir Sheikh Fadzir berganding dalam NGO bernama AMANAH yang bakal menjadi ancaman kepada BN. Mereka akan berkempen habis-habisan menjatuhkan BN.


BN sudah mengalami tahap perpecahan yang sangat kompleks kerana usia tuanya. Di samping konfik dalaman parti tidak terurus, konflik antara parti komponen juga dijangka tidak terbendung dalam PRU13 nanti.


BN pernah melalui pengalaman ditipu PBS apabila umum keluar BN selepas hari penamaan calon. Ketika itu BN sangat stabil, cuma PBS yang buat hal. Di zaman Najib ini MCA dan Gerakan semakin hilang kepercayaan terhadap BN. Sudah ada khabar angin bahawa sedang berlaku rundingan sulit antara DAP dan Gerakan. Parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak pun tidaklah sesetia mana sekarang, lebih-lebih lagi setelah melihat keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang menunjukkan BN sudah hilang kekuatan. Parti-parti yang hilang kesetiaan terhadap BN ini akan keluar menyertai Pakatan Rakyat atau sekurang-kurangnya menjadi bebas (bebas dari BN atau PR). Tidak perlu semua parti komponen BN yang buat hal.. 4,5 parti dari Sabah dan Sarawak serta satu, dua parti dari Semenanjung sudah cukup menggugat BN. Siapa kata Najib tidak cemas menghadapi situasi ini?





Di pihak PR, dua bulan adalah masa yang terlalu singkat. Pembahagian kerusi dan penentuan calon sepatutnya sudah selesai. Bilik gerakan, jentera dan logistik sepatutnya sudah tersedia sepenuhnya. Semua tenaga seharusnya berada di medan perang sekarang.


Alhamdulillah nampaknya PAS mendahului rakan PR yang lain dari semua aspek untuk menghadapi PRU13. Rakan-rakan PR yang lain pun kena begitu juga. PRU13 adalah 'perang terbesar' di Malaysia sejak 10 dekad. Jadi persiapan pun kena paling besar kali ini.

Read more ...

PRU 13!!! SPRM kata parti politik tak boleh guna kemudahan kerajaan, bagaimana SPR kata UMNO boleh?


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri kelmarin menyatakan adalah tidak dibenarkan sesebuah parti menggunakan kemudahan kerajaan selepas pembubaran Parlimen mahupun Dewan Negeri.

"Penggunaan kemudahan kerajaan termasuklah kenderaan selepas pembubaran adalah memang tidak boleh.


"Malah ia bukan sahaja melibatkan sebuah parti tetapi semua parti," jelasnya menjawab pertanyaan hadirin Wacana Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di Shah Alam, yang mempersoalkan tentang penggunaan kenderaan kerajaan oleh Umno Barisan Nasional selepas pembubaran Parlimen.



Menurutnya lagi, sepatutnya apabila selepas pembubaran akan ada sebuah kerajaan sementara yang akan mengambil alih kerajaan sedia ada membuat pemantauan tentang penggunaan kemudahan kerajaan.

"Kita secara jelas mengatakan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan tetapi sehingga kini tidak ada garis panduan yang betul-betul langkah untuk kerajaan sementara dalam menghalang tindakan tersebut.

"Kita berharap perkara ini perlu disediakan agar wujud garis panduan yang jelas dalam soal penggunaan kemudahan kerajaan bila berlakunya pembubaran parlimen," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Mohd Shukri yang merupakan panel pada Wacana Sinar Harian bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti" bagi membincangkan peranan SPRM dalam usaha membanteras rasuah termasuk penglibatan mereka yang berprofil tinggi.

Turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahmad Dahlan, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli serta penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar.

Manakala moderator adalah Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

- Harakahdaily

Read more ...

SELEWENG RM 110 JUTA!!! Noh guna mahkamah untuk tutup pendedahan

KOMENTAR 31 MAC: Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman terhadap akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangorkini sebanyak RM10 juta.

Turut disaman Adun Skinchan, Ng Suee Lim yang didakwa menfitnah beliau berhubung isu penyelewengan RM110 juta oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani sebagaimana di dedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negera.


Menurut Ng ketika ditemui semasa berlangsung sidang Dun Selangor minggu lalu berkata, beliau gembira dengan saman RM10 juta terhadapnya kerana beliau berpeluang mendedahkan penyelewengan sebenar yang dilakukan Noh.


Noh mengambil tindakan mahkamah tersebut berikutan laporan Selangorkini berhubung Akhbar tersebut menyiarkan demontrasi petani di Sekinchan dan Tanjong Karang.

Petani mendakwa Noh telah melenyapkan RM110 juta wang peruntukan kerajaan untuk subsidi peningkatan hasil padi.

Banner yang digunakan oleh petani tersebut juga mengecam Noh sebagai seorang menteri yang dianggap mengkhianati amanah petani berikutan penyelewengan tersebut yang sepatutnya di terima sejak dua tahun lalu.

Lima hari susulan demontrasi tersebut Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan serta merta sebanyak RM117 juta bagi melunaskan bayaran kepada pesawah diseluruh negara.

Namun lesapnya RM110 juta dari kementerian Noh masih tidak terjawab hingga ke hari ini.

Noh Tiada Fakta

Berdasarkan penilaian fakta, Noh tidak mempunyai isu untuk mengambil sebarang tindakan berhubung laporan yang di siarkan oleh Selangorkini.

Ini disebabkan foto atau gambar yang di siarkan jelas menunjukkan petani tersebut sememangnya mengadakan demontrasi bersama banner yang jelas pada muka belakang Selangorkini keluaran 25 November – 2 Disember 2011.

Begitu juga dengan muka 15 keluran yang sama turut memaparkan temubual penduduk serta banner yang tertera tulisan “Noh Omar Khianati Petani, Lesap RM110 juta Bantuan Untuk Petani? ……..

Begitu juga dengan isu lesapnya peruntukan kerajaan kepada kementerian dibawah Noh sebanyak RM110 juta. Fakta ini bukan dari kenyataan pihak pembangkang atau musuh politik Noh tetapi didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Berdasarkan kenyataan media Noh, beliau menyatakan tindakan saman beliau terhadap Selangorkini dan Ng kerana menyiarkan tajuk di muka belakangnya bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar Letak Jawatan’.

Andai berdasarkan cubaan Noh menyaman Selangorkini dan Ng disebabkan tidak ada bukti yang menunjukkan para petani yang berdemo pada 22 November 2011 dan menggesa beliau meletak jawatan mungkin ada sedikit asas.

Namun begitu, memang betul tidak terdapat banner yang tertera gambaran menggesa beliau meletak jawatan. Namun pada para keempat, muka 16, Selangorkini menjelaskan hal tersebut.

Pada para ke empat tersebut tercatat…. Bertempat di Site B Sekinchan, petani yang berkumpul memegang kain rentang sambil melaung slogan ‘Hidup Petani’,naik subsidi RM50 seratus kilo’ dan ‘Noh Omar letak jawatan’.

Tindakan Noh membawa isu ini kemahkamah bertujuan untuk menutup isu tersebut dari pengetahuan rakyat.

Menurut Ng Suee Lim, Noh terdesak dan terpaksa menggunakan mahkamah bertujuan supaya segala penyelewengan yang lakukan tidak boleh disiarkan dalam mana-mana penerbitan kerana dianggap kes yang sedang dalam pembicaraan.

Kata Ng, Noh amat bimbang kerana PRU 13 semakin hampir serta takut Pakatan Rakyat akan menggunakan isu penyelewengan beliau dalam kempen-kempen pilihanraya nanti.

Menurut Ng lagi, kes NFC yang melibatkan pemberian projek kepada kroni bernilai RM250 juta yang juga melibatkan kes di bawah kementerian juga digunakan taktik yang sama.

Selain itu kata Ng, Noh juga tidak mahu tembelang penyelewengan beliau diketahui oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk perdana Menteri kerana takut tidak terpilih menjadi calon dalam PRU 13 nanti.

Noh tertekan

Noh amat tertekan setelah dilantik sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor. Ini berikutan kesungguhan usaha Umno-BN untuk merampas kembali Selangor.

Bukan setakat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Najib juga pernah membuat kenyataan media bahawa Umno akan merampas Selangor walau dengan apa cara sekali pun.

Kenyataan Najib tersebut merupakan suatu bebanan berat dan besar yang terpaksa ditanggung Noh. Hidup dan mati kerjaya Noh dalam politik bergantung kepada PRU 13 ini.

Andai Selangor gagal ditawan, Noh dan Najib akan dihukum oleh Umno-BN Selangor. Dikalangan Umno Selangor pula, Noh bukan seorang yang disukai.

Kenyataan Noh hari ini yang mendakwa BN yakin memenangi 36 Dun dari 56 Dun Selangor tidak ubah sebagai mana laporan yang di terima Najib dari ketua-ketua Bahagian Umno seluruh negara.

Noh yang mendakwa Umno akan memenangi 30 kerusi Dun dari 35 kerusi yang dipertandingkan boleh dianggap sebagai usaha untuk memujuk diri sendiri.

Sebelum ini bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memberikan gambaran bahawa Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal ditangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada sebarang asas yang dijadikan rujukan oleh Noh untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Bancian PKR pada November 2011 lalu mendapati Pakatan Rakyat mendapat sokongan 816,000 undi dari sasaran 809,000 undi untuk memperoleh kemenangan mudah.

Noh di pilih menerajui Umno Selangor setelah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo gagal mempertahankan Selangor dalam PRU 12 lalu. Khir akhirnya dikaitkan dengan skandal pembelian harta yang akhirnya di denda penjara setahun oleh mahkamah.

Noh juga dikatakan tidak sebulu dengan Ketua Pembangkang Adun Selangor, Datuk Satim Diman. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid dalam sidang dun tahun lalu mendedahkan Satim didakwa terlibat dengan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat bukan bumiputra di Cyberjaya.

Menurut Abdul Khalid isu tersebut akan dibongkar setelah segala maklumat lengkap diperoleh dalam masa terdekat.

Lantaran itu Najib terpaksa bertindak mengetuai Umno Selangor kerana menyedari tidak terdapat anak negeri itu yang mampu memimpin Umno di negeri Jugra itu.

Manakala perpecahan Umno yang serius memaksa anak Pahang tersebut menerajui kepimpinan Umno Selangor.

Umno berpecah di Selangor

Noh tidak disenangi beliau dikelilingi oleh musuh-musuh politik dikalangan pemimpin Umno negeri sendiri.

Noh didakwa terlalu menjaga kroni-kroni politik beliau berbanding rakyat dan Umno bahagian lain.

Peruntukan dana rakyat sebanyak RM2,710,000,000 (RM2.71 bilion) kepada Umno Selangor sebagaimana diumumkan Najib pada 19 Disember tahun lalu juga menjadikan Umno Selangor semakin berpecah.

Noh didakwa lebih memihak memberikan projek-projek kepada kroni-kroni beliau berbanding Umno bahagian lain.

Ketika berlangsung Sidang Dun Selangor yang berakhir 27 Mac lalu, Adun Taman Templer, Datuk Subahah Kamal (BN) bertanya kepada Exco Pelaburan, Perindastrian dan Perdagangan, Teresa Kok berhubung peruntukan RM2.71 bilion yang diberikan kepada Selangor.

Soalan Subahah tersebut ternyata membuktikan adun BN tersebut tidak mengetahui bahawa RM2.71 telah diberikan untuk Umno Selangor dan bukan kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, kemanakah wang rakyat yang di kutip dari titik peluh rakyat jelata yang diberikan kepada Umno Selangor tersebut disalurkan Noh serta kroni-kroni beliau?.

Berapa ramaikah lagi Adun-Adun Umno-BN, ketua-ketua Bahahgian, ketua-ketua Cawangan atau ahli-ahli Umno seluruh Selangor yang tidak mengetahui aliran wang tersebut mengalir?.

Sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh adalah antara orang yang mengetahui ke poket siapa wang tersebut dipenuhkan.

Mungkin atas alasan tersebut Noh mengeluarkan kenyataan Umno akan memenangi 30 kerusi Dun. Atau kenyataan tersebut untuk menjadikan Najib gembira dan mampu tersenyum.

Noh juga mungkin telah berpuas hati dengan laba dari wang rakyat tersebut mampu digunakan untuk memastikan kroni-kroni beliau berpuas hati.

Ataupun, apakah dengan wang titik peluh rakyat tersebut dimanfaatkan bagi beliau mengambil tindakan mahkamah terhadap musuh-musuh beliau termasuk Ng Suee Lim dan Selangorkini?.

http://www.selangorku.com/?p=4723

Read more ...

PUNAH !!! Mahathir musnahkan angan-angan Najib

Oleh: Lim Kit Siang

Menjelang Pilihan raya Umum Ke-13 yang dijangka akan berlangsung pada bulan Jun, Najib dalam bayang kempen-kempen pilihan raya beliau semenjak tiga bulan ini telah menunjukkan keyakinan yang meningkat untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang, termasuklah untuk merampas kembali negeri Selangor dari pucuk pimpinan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Populariti Najib yang kelihatan meningkat 10 poin kepada 69 peratus berikutan peranan baru beliau sebagai “Santa Claus” dengan pemberian tunai RM500 Najib kepada golongan yang berpendapatan rendah dan deretan kontrak yang bernilai jutaan ringgit serta peruntukan-peruntukan yang telah diagihkan seiring dengan dasar falsafah beliau “I help you, you help me”. Namun demikian, kadar populariti Najib tidak dapat dibandingkan dengan parti-parti komponen Barisan Nasional.




Minggu lepas sahaja, Najib telah menyebut dengan bangga maklum balas rakyat yang sangat menggalakkan dan kononnya rakyat jelata telah memaklumkan kepada beliau bahawa sokongan rakyat telah dikembalikan kepada Barisan Nasional semenjak pilihan raya 2008.

Semuanya sudah kelihatan siap sedia untuk menghadapi Pilihan raya Umum Ke-13 pada bulan Jun.


Tetapi sesuatu yang aneh telah berlaku dalam beberapa hari yang lepas di mana momentum untuk pilihan raya diadakan pada bulan Jun tiba-tiba kelihatan goyah.


Adakah keyakinan Najib untuk meraih kemenangan besar dalam Pilihan raya Umum ke-13 dimusnahkan oleh ramalan muram Mahathir?


Kelmarin, dalam ucapan terbaru, sebagai amaran kepada Barisan Nasional, Mahathir telah menyatakan bahawa “Tiada kemenangan yang mudah”, dan supaya Barisan Nasional jangan terus yakin dan percaya yang mereka boleh menikmati kemenangan pilihan raya yang terjamin, terutama sekali kerana Pakatan Rakyat merupakan pihak pembangkang yang bukan dari zaman beliau sebagai Perdana Menteri.


Seperti yang dimaklumkan oleh Mahathir kepada Bernama Online:


“Apa yang pasti adalah, bukan mudah untuk BN meraih kemenangan dua pertiga majoriti untuk kali ini. Pihak pembangkang sekarang bukanlah seperti pembangkang dahulu dan situasi sekarang agak membimbangkan”.


Sehari sebelum itu, Umno telah digemparkan dengan kenyataan Mahathir untuk membedil keyakinannya apabila beliau membuat pengakuan yakni Umno tidak memiliki pemimpin yang bertauliah dan berkualiti untuk membentuk kerajaan yang berkemampuan sebagaimana yang diketahui “Sudah berdekad, Umno “tidak membenarkan” golongan yang bijak untuk mendaftar sebagai ahli parti”.


Kini Mahathir memberi sokongan kepada Umno bahawa parti tersebut perlu mencalonkan orang luar untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, mencalonkan “calon yang bermutu”, sama ada yang dicalonkan itu mempunyai keahlian dengan parti ataupun tidak dan meninggalkan kebiasaan mereka dalam pemilihan calon dari ketua bahagian untuk bertanding.


Dengan keyakinan awal Umno untuk meraih kemenangan besar dalam PRU ke-13 yang semakin terhakis dan peluang untuk merampas kembali pentadbiran negeri Selangor serta pengekalan negeri Perak di bawah jajahan mereka, mood pilihan raya nampaknya sudah ditetapkan bagi Najib, menjelang ulang tahun ketiga sebagai Perdana Menteri, untuk berdolak-dalik menundakan tarikh pilihan raya pada masa yang lebih lewat.


Lim Kit Siang ialah Penasihat DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Read more ...

Friday, March 30, 2012

RAKYAT MALAYSIA KENA SEMAK!!! Berapa ramai yang tak mati , SPR akan matikan kerana berpotensi sokong PR?

Seorang pengundi terkejut apabila mendapati beliau sudah mati mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia terbongkar apabila Ivan Ho Heng Thong, 54, melalui Setiausaha Ranting KEADILAN Taman Pekan Baru, Delren Douglas membuat semakan ke atas punca kehilangan nama Ivan dari daftar pemilih sebelum ini.


Kata Delren, Ivan cuba mendaftar namanya sebagai pemilih di pejabat pos Pudu pagi tadi tetapi tidak boleh kerana pernah mendaftar sebelum ini manakala laman web SPR juga tiada rekod.


"Saya kemudian ke pejabat SPR Putrajaya. Mengikut mereka, Ivan dikeluarkan daripada senarai pengundi kerana beliau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengisytihar mati oleh JPN," katanya kepada KeadilanDaily, hari ini.


Berita kehilangan nama Ivan Ho disiar Suara Keadilan edisi 58 sekitar dua minggu lalu.


Beliau membuat laporan di balai polis Kota Damansara 10 Mac lalu selepas menyedari namanya hilang dalam daftar pemilih walaupun pernah lima kali mengundi di Bukit Lanjan.


Beliau juga mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 2008.

Read more ...