Akta murtad,Pas tidak boleh berdiam diri
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sokongan dan kerjasama daripada parti itu penting demi melindungi akidah umat Islam seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.
Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin Pas seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu tanpa mengambil kira perbezaan ideologi dan pegangan politik.
“Sebagai parti yang berlandaskan prinsip perjuangan Islam, Pas harus ke depan dalam hal ini untuk bersama-sama menangani masalah itu secara berhemah.
“Sokongan yang diberi harus dibuat tanpa memihak kepada kepentingan politik parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Meloya di sini, hari ini.PKB
Betul Pas berdiam diri atau Umno yang jadi penghalang Akta Murtad?
Bila masa pulak umno ubah pendirian dari ‘beriman’ pada kitab lord reid kepada beriman pada al quran?
mukhriz pun nak masuk pertandingan ‘Raja lawak Mega’ ke?…hahahaha
Akta Murtad: Mujurnya kalau Umno SOKONG
Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang khusus menangani gejala murtad.
Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad.
Ahli Parlimen PAS dari Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS telah memohon membawa usul yang dinamakan Rang Undang-Undang Persendirian (Murtad) di Dewan Rakyat. Malangnya, usaha sebegitu baik gagal disempurnakan. Ia ditolak sedari awal dan tidak diberi laluan untuk dibahaskan.
Punca utama ialah apabila ia tidak mendapat sokongan daripada walau seorang pun menteri, khususnya menteri dari Umno yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Sedangkan menurut aturan dan peraturan diterimapakai Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak diterima untuk dibahaskan mestilah dikemukakan oleh seorang menteri dan disokong oleh seorang menteri lain.
Kes itu membuktikan betapa Umno sanggup mengenepikan kepentingan agama semata-mata demi menjaga imej dan maruah politiknya. Ia tidak bersedia untuk menerimapakai sebarang idea dan cadangan pihak pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya ia datang daripada PAS yang disifatkan sebagai ‘musuh tradisi’nya dalam meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam.
Keegoan politik itu telah menyebabkan Umno buta mata hati dan gagal membuat pertimbangan yang sewajarnya, walau pun apa yang dikemukakan PAS itu membabitkan soal menjaga kesucian aqidah dan kepercayaan umat Islam.
Sebab itu jika ada pemimpin Umno mendakwa mereka memperjuangkan kedaulatan Islam, rakyat jangan sesekali percaya. Malah jika dalam keadaan tertentu apabila dilihat mampu meraih markah politik, kerap juga pemimpin Umno mengatakan mereka tidak mementingkan soal fahaman politik.
Lebih-lebih lagi apabila keadaan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, Umno akan cuba melupakan rakyat tentang sikap dan pendiriannya selama ini yang amat berpilih kasih dalam melayan pihak yang tidak sealiran dengannya.
Seruan agar tidak mengutamakan sentimen atau fahaman politik hanya dikumandangkan Umno sebagai usaha mewujudkan persepsi kononnya parti lawan yang berperangai sedemikian. Sedangkan yang sebenarnya paling kuat beramal dengan sikap dan pendirian tidak demokratik itu adalah tidak lain daripada Umno sendiri.
Hari ini wajah dan suara hipokrasi itu menjelma semula di celah-celah kehangatan perbahasan mengenai isu murtad. Kesedaran masyarakat umum mengenai bahaya gejala kemurtadan umat Islam diulangsuara pelbagai pihak.
Media-media arus perdana yang diketahui menjadi talibarut Umno juga tidak melepaskan peluang. Ia bukan setakat menyuarakan sokongan terhadap harapan dan desakan khalayak yang cintakan kesucian agama Islam, malah secara terancang cuba menggambarkan betapa kerajaan dipimpin Umno juga mendukung hasrat serupa.
Justeru, suara-suara agar umat Islam bersatu mempertahankan kesucian aqidah dan mendepani pihak-pihak yang cuba menceroboh kepercayaan mereka kembali berkumandang. Sepertimana lazimnya, ia turut diiringi desakan dan cabaran keras kepada para pemimpin politik agar mengenepikan sentimen kepartian dan mengutamakan kepentingan agama.
Bahawa dalam menangani isu sebesar dan sepenting gejala murtad ini, para pemimpin Islam tidak sepatutnya terus bertelagah. Sebaliknya, mereka diseru meninggalkan perbalahan politik buat seketika untuk sama-sama mendukung agenda menyelamatkan agama.
Oleh kerana suara itu datang daripada pihak-pihak yang ada kecenderungan sangat jelas kepada parti pemerintah, walau atas apa jua nama pertubuhan yang mereka wakili, maka ia turut diiringi persepsi bahawa pihak yang paling dimaksudkan dalam seruan itu ialah para pemimpin politik beragama Islam dari pihak pembangkang.
Kononnya yang paling kuat berpegang kepada sentimen parti ialah pemimpin dan pengikut pembangkang. Sedangkan yang terbukti tidak simpatetik terhadap perjuangan pihak ketiga mempertahankan Islam selama ini ialah parti yang menunjangi pemerintahan negara ini sendiri.
Masakan tidak jika pengalaman lepas diambil kira. Usah disebut soal kelemahan pentadbiran agama yang acapkali dipertuturkan masyarakat. Tidak payah diperkatakan soal kegagalan kerajaan mengurustadbir wang zakat yang sebegitu banyak untuk menjamin kebajikan golongan kurang berkemampuan sebagai usaha membentengi mereka daripada dakyah agama lain.
Keadaan yang berlaku malah jauh lebih mendukacitakan. Umno bukan sahaja tidak bersedia mengakui kelemahan dan ketidakupayaannya menjaga kedaulatan Islam menerusi kuasa dimilikinya dalam pemerintahan, ia malah tidak bersedia memberi laluan kepada penambahbaikan pentadbiran agama. Ambil saja contoh bagaimana Umno menolak mentah-mentah sebarang usaha menggubal undang-undang berkaitan murtad tadi, hanya semata-mata kerana ia dikemukakan pemimpin pembangkang.
Usaha serupa bukan sekali, bukan dua kali dilakukan PAS. Tuan Guru Abdul Hadi mengulangi cubaan serupa pada penghujung 1999 setelah gagal lebih enam tahun sebelumnya. Malangnya cubaan beliau kali kedua itu juga tidak diberikan layanan lebih baik.
Ia kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pada 2006. Ketika itu perbahasan isu murtad sangat hangat, terutama apabila ia dikaitkan dengan kebebasan beragama diperuntukkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
Usaha-usaha pihak tertentu mewujudkan justifikasi tindakan mereka mengembangkan agama mereka di kalangan umat Islam, beserta beberapa kes melibatkan wanita Islam menukar agama secara terbuka kepada agama lain, meletakkan negara dalam polemik agama agak panas ketika itu.
Ada konvensyen dianjurkan pihak berkuasa agama negara khusus membincangkan tajuk kebebasan beragama dan isu murtad. Para ilmuan Islam dan ahli akademik masing-masing membentangkan kebimbangan mengenai isu diperbahaskan. Para mufti turut bersuara agar diwujudkan undang-undang menangani gejala merosakkan aqidah umat Islam itu.
Pada tahun itu juga Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) ditubuhkan. Di tahun sama, Himpunan Sejuta Umat Islam Mempertahankan Aqidah dan Kesucian Islam dilangsungkan. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi himpunan itu menyaksikan kehadiran amat membanggakan.
Suasana sebegitu tegang dengan kemarahan umat Islam berada di kemuncak ketika itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk negara kita menghasilkan suatu undang-undang menjamin aqidah umat Islam. Sepatutnya segala desakan para ulama, mufti, pertubuhan bukan kerajaan berkepentingan Islam dan khalayak umum agar kerajaan berbuat sesuatu bagi membendung gejala itu berterusan sudah memadai untuk kita melihat wujudnya kini undang-undang dimaksudkan itu.
Namun segala harapan itu bagikan fatamorgana. Dari jauh ia dilihat amat meyakinkan, tetapi apabila tiba semakin hampir kepada realiti, ia sebenarnya hanyalah khayalan.
Kini isu murtad kembali mendapat perhatian umum. Himpunan Sejuta Umat Islam juga bakal diadakan buat kali kedua. Sepertimana siri pertama, ia juga dilaungkan sebagai himpunan tanpa sentimen politik. Ia untuk semua jiwa dan insan beragama Islam. Ia semata-mata di atas agenda mempertahankan aqidah dan melawan pencerobohan kepercayaan umat Islam.
Betul, ia tidak perlu melibatkan politik untuk memaut sokongan dan kehadiran semua pihak. Namun apakah kita hanya mahu kehadiran yang ramai sebagai penghujung agenda perjuangan? Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu, bahawa sebarang usaha sebegitu keras tidak akan mencapai hasil maksud tanpa campurtangan politik?
Di atas permis ia perhimpunan tanpa sentimen politik, himpunan itu nanti mungkin boleh memaut kehadiran yang besar. Tetapi tempik sorak, laungan takbir menyerakkan anak tekak dan gulungan resolusi menyendatkan fail tidak membuahkan hasil maksud apabila ia sewenang-wenangnya ditolak atau disepikan begitu sahaja oleh penguasa politik.
Pengalaman lalu sepatutnya mengajar umat Islam negara ini bahawa hanya dengan dokongan politik sesuatu usaha itu mudah direalisasikan. Untuk itu rakyat yang cintakan kesucian aqidah dan sayangkan kedaulatan Islam perlu tahu kepada siapa wajar mereka serahkan sokongan dan kuasa pemerintahan.
Begitu juga, setiap jiwa yang lantang memperjuangkan wujudnya undnag-undang berkaitan murtad ini, terutama dari kalangan penyokong tegar Umno seharusnya berhenti daripada terus memberikan kepercayaan kepada parti itu. Akuilah hakikat bahawa Umno bukannya pihak terbaik untuk diharap menyelesaikan permasalahan dihadapi umat Islam.
Bahkan, mengambilkira pengalaman lalu, rasanya para pemimpin Umno pun tersangat malu untuk menyokong sebarang usaha mewujudkan akta berkenaan. Jika tidak kerana keegoan politiknya yang terlampau mengutamakan sentiment kepartian, sudah lama akta tersebut menjadi realiti.
Justeru, mujur benarlah jika kali ini pemimpin Umno menyokong wujudnya undang-undang murtad!
Nasir Awang