Tuesday, November 9, 2010

Kelantan taja 100 pasangan kahwin


















KOTA BHARU, 9 Nov:
Kelantan sekali lagi mencetus idea baru apabila menaja 100 pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan sempena program Kahwin Perdana 2010, 25 Disember ini.

Program itu akan diadakan di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu belia-beliawanis kurang berkemampuan mendirikan rumahtangga.

”Selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 lagi untuk majlis kenduri selepas majlis akad nikah diadakan,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Wan Ubaidah berkata, program itu diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran bagi mempercepatkan perkahwinan.

Oleh itu beliau berharap program Kahwin Perdana akan menjadi dorongan kepada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi kurang berkemampuan.

Mereka yang berminat boleh hubungi Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di talian 09 7476568 atau 013-9846913 atau 013 – 6946911 dan tarikh tutup 15 November ini.

Read more ...

Kelantan bentang ‘Belanjawan Penyayang

KOTA BHARU, 9 Nov: Kerajaan Kelantan membentang Belanjawan Penyayang 2011 dengan memberi keutamaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Langkah yang diambil kerajaan mendahulukan apa yang patut didahulukan dan mengimbangi antara kesempitan pendapatan dan maslahah orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, tiga paksi utama bajet tersebut iaitu penjanaan ekonomi untuk rakyat, pembinaan insan berteras Islam dan pembelaan golongan daif dan miskin.

Selain itu pembelaan orang kurang upaya, anak yatim, armalah, warga emas dan wanita.
“Berasaskan tema tersebut Bajet 2011 akan mempastikan hasil dan tunggakan hasil kerajaan negeri dapat dipungut untuk pembangunan negeri bagi kesejahteraan rakyat.

“Tumpuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup rakyat terutamanya bagi mempastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar menjadi kenyataan,” katanya ketika membentang bajet Kelantan 2011 pada persidangan Dun hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar membentangkan bajet tersebut. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V serta rombongan akan bertolak menunaikan ibadat haji ke Makkah esok.

Husam berkata, dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan dibuat mengikut keutamaan bagi mempastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Bajet 2011 dijangka mengalami defisit sejumlah RM53.24 juta. Perolehan hasil dianggarkan sebanyak RM410.89 juta, manakala perbelanjaan mengurus RM464.13 juta.

Husam berkata, kerajaan negeri akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang penyayang terhadap semua rakyat.

Bajet Kelantan buat julung kalinya menyediakan peruntukan khas bagi menganjurkan program Gerbang Azziwaaj untuk membantu rakyat miskin berkahwin.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk bagi tujuan itu dan ia diharap dapat mengurangkan gejala sosial atau kes khalwat di kalangan penduduk miskin.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan skim bantuan beras kepada penduduk miskin di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri mulai tahun depan.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan bagi mengendalikan skim Al-It’am dengan memberi bantuan beras secara bulanan kepada rakyat termiskin.

Skim tersebut mengambil contoh program bantuan besar percuma yang dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu sejak enam bulan lalu.

Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu menerima bantuan beras percuma sebanyak 10 kg setiap seorang secara bulanan yang disumbangkan wakil rakyat Dun terbabit, Che Abdullah Mat Nawi.

Read more ...

Hampir semua syor Zaid sudah dipenuhi



















PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail meminta Datuk Mohd Zaid Ibrahim supaya tidak menjadikan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) atau Sekretariat sebagai "kambing hitam" apabila mendakwa berlakunya penyelewengan dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat.

Ini kerana katanya, hampir kesemua syor yang dikemukakan oleh Zaid ekoran ketidakpuasan hatinya berhubung tatacara pemilihan pusat telah pun dipenuhi dan dilaksanakan oleh pihak sekretariat.

Beliau berpendapat, adalah mustahil Datuk Zaid boleh menang di kesemua cabang setelah 87 cabang habis menjalankan pemilihan masing-masing sehingga hari ini.

"Apatah lagi atas permintaan Datuk Zaid sendiri, ada polling atau counting agent dibenarkan bertugas.

"Jangan jadikan JPP atau Sekretariat sebagai scapegoat (kambing hitam). Salahkan jentera sendiri. Sekiranya kita gagal memobilisasikan jentera kita dan melantik wakil-wakil tersebut bagi menjaga kepentingan calon yang bertanding.

"Kenapa tak boleh adakan jumlah yang mencukupi bagi mengawasi setiap peti undi?" katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Saifuddin juga berkata, daripada 87 cabang yang telah pun selesai membuah pemilihan, Datuk Zaid menang 38 cabang. Azmin menang di 37 cabang dan Mustaffa, 11 cabang.

Katanya, satu cabang mencapai keputusan seri untuk kedua-dua calon itu.

"Ini adalah fakta apabila kita mensegmentasikan keputusan mengikut cabang. Lalu kenapakah kemenangan itu, Azmin masih mendahului. Alasannya mudah.

"Ini kerana mobilisasi yang dilakukan oleh jentera beliau adalah lebih baik berbanding dengan jentera calon-calon lain. Perkara ini adalah di luar kawalan Sekretariat dan JPP," jelas Saifuddin.

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu, Sekretariat JPP telah menerima pakai enam daripada tujuh cadangan penambahbaikan proses pengundian yang dikemukakan oleh Zaid sempena pemilihan parti itu berlangsung.

Katanya, soal manipulasi undi itu tidak timbul langsung kerana JPP telah mempraktikkan cadangan-cadangan Zaid kepada sekretariat dalam surat bertarikh 5 Oktober lalu.

Antaranya, calon dibenarkan melantik wakil calon dan melantik polling (dan counting agent ) bagi setiap pusat mengundi; kedua, kertas undi mesti bernombor siri bagi mengelakkannya diguna pakai berulang kali selain supaya pengeluaran kertas undi itu dapat dikawal.

Lain-lain termasuk ahli parti yang sah dan diterima sehingga 27 Jun adalah layak untuk mengundi, ruang membuang undi hendaklah diasingkan serta masa mengundi mestilah dipatuhi kecuali kes terpencil dan ahli yang telah membayar yuran sepatutnya ada dalam senarai dan berhak mengundi.

Saifuddin memberitahu, satu-satunya cadangan Zaid yang tidak dapat dipenuhi ialah peti undi haruslah lut cahaya kerana masalah kewangan.

Read more ...

PKR diresapi ejen Umno

SHAH ALAM, 10 Nov. : Sebagai membuktikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telus dalam menjalankan proses pemilihan langsung parti berkenaan, semua media dijemput untuk membuat liputan proses pemilihan peringkat pusat parti itu.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman melalui email yang dihantar kepada media tempatan kira-kira jam 7 malam tadi memaklumkan hal itu.


" Sila pilih dari 81 Cabang yang bakal mengadakan pengundian minggu ini," tulis Sharifah dalam email yang turut diterima Tv Selangor.


Difahamkan keputusan yang diambil Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) itu bertitik tolak daripada gesaan yang dibuat oleh calon Timbalan Presiden PKR,Mustaffa Kamil Ayub.



Tengahari tadi, Tv Selangor turut menerima satu kenyataan media dari Mustaffa yang memberi amaran kepada Presiden PKR dan pengerusi JPP supaya segera bertindak.

Memorandum berkenaan bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010.

Mustaffa dalam kenyataannya turut menyebut lebih 162 aduan telah diterima di samping tindakan JPP yang berat sebelah, namun ia dipertikai oleh JPP yang mendakwa hanya 6 aduan diterima.

Sabtu ini, 13 November, 41 cabang akan mengadakan proses pemilihan antaranya di Pulau Pinang [Nibong Tebal, Bukit Bendera, Bukit Gelugor, Bayan Baru, Balik Pulau], Wilayah Persekutuan [Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Johor [Segamat, Ledang, Bakri, Muar], Selangor [Sepang].

Manakala Terengganu [Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang, Kuala Terengganu], Sabah [Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Labuan], di Perak pula [Gopeng, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datok, Teluk Intan, Tanjung Malim], Melaka [Kota Melaka, Jasin] manakala di Sarawak [Mas Gading, Petra Jaya, Stampin].

Sementara pada Ahad, 14 November pula, Wilayah Persekutuan [Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak], Johor [Parit Sulong, Sri Gading, Batu Pahat, Simpang Renggam, Kluang, Sembrong].

Cabang di Sarawak yang mengadakan pemilihan pada Ahad pula ialah [Sri Aman, Betong, Julau, Lanang, Bintulu, Miri], Wilayah Persekutuan Putjaya [Putrajaya],

Selangor [Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan].

Di Pulau Pinang pula cabang yang akan mengadakan pemilihan ialah cabang Tanjong dan Jelutong.

Read more ...