KUALA TERENGGANU, 27 Nov. : "Dewan Ulama PAS Terengganu insyaAllah akan menganjurkan Ijtimak Ulama & Ulama Pelapis pada hari Selasa 7 Disember 2010 (1 Muharram 1432H) di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai mulai 9 pagi hingga ke petang.
Program diisi dengan ucaptama, pembentangan kertaskerja dan dialog oleh pimpinan ulama peringkat pusat/negeri.
Saya mewakili Lajnah Ulama Pelapis DUPNT sangat-sangat mengharapkan agar ulama pelapis terutama di bawah 40 tahun dari kalangan lulusan agama luar dan dalam negeri untuk bersama-sama kami dalam Ijtimak ini, bahkan dalam perjuangan ini.
Saya teringat ketika Tuan Hj Muhamad bin Sabu merasmikan salah satu Mesyuarat Agung PAS Kemaman menyebut:
‘Kalau berjalan di pasar malam di Gombak, dicampak batu ke belakang, ia akan jatuh ke atas kepala ustaz.’ Ia kinayah dari ramainya para ustaz dan ulama sekitar Gombak barangkali.
Graduan saban tahun tamat pengajian dari pelbagai fakulti pengajian Islam pula bagaimana? Satu temuramah Tuan Hj Md Sabu juga pernah keluar dalam portal Malaysiakini tentang Ulama terutama Ulama Pelapis.
Walaupun ada beberapa perkara yang saya/kami ada pandangan berbeza, namun ia adalah cabaran buat para ‘agamawan’ agar ambil peduli dengan perjuangan dan jemaah ini.
Saya kemukakan ucapan di bawah sebagai ajakan kepada anta wahai yang bernama ustaz:
Alhamdulillah, Wassalatuwassalamu ala Rasulillah. Amma ba'd:
Allah berfirman:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi penolong-penolong agama Allah, sebagaimana Nabi Isa bin Maryam berkata kepada golongan Hawariyyin (pengikut setia Nabi Isa): “Siapakah yang mahu menolongku dalam menyampaikan agama Allah?” Golongan Hawariyyin berkata: “Kamilah penolong agama Allah. Lalu sebahagian dari Bani Israil beriman dan sebahagiannya kufur. Lalu Kami teguhkan orang-orang beriman melawan musuh mereka sehingga mereka mencapai kemenangan.” Al-Saff:14
Kita baru sahaja menyambut Eid al-Adha yang mengingatkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, bukan sahaja taatkan perintah Allah secara mutlak walaupun begitu sukar untuk diterima logik akal, bahkan bersedia memberikan apa sahaja yang diminta oleh Allah.
Inilah iktibar pengorbanan yang mesti kita ambil. Pengorbanan dalam konteks dakwah semasa, terutama di bawah Parti Islam ini ialah pengorbanan masa, idea, tenaga dan wang ringgit saudara-saudara.
Saudara-saudara mempunyai ilmu agama yang baik, dan insyaAllah kefahaman tentang jemaah PAS ini juga bahawa PAS mesti menjadi wadah perjuangan yang didokong bersama bagi menegakkan Islam di tanahair ini.
Dalam keadaan latarbelakang pengajian yang mungkin berbeza, dipengaruhi oleh suasana dan disiplin ilmu yang dilalui, namun titik persefahaman yang perlu difokus, bukan perselisihan yang dicanang. Dan jangan lupa bahawa di Malaysia ini, PAS menjadi tunggak perjuangan Islam yang mesti disokong dan didokong.
Ikhwah sekalian,
Dari ayat al-Quran di atas, kita mengambil iktibar bagaimana Nabi Isa as mencari penyokong-penyokong dan pengikut dari kalangan Bani Israil bagi membantunya menyebarkan agama Allah.
Nabi Isa bukan setakat mencari penyokong dan pengikut, tetapi sebenarnya mencari orang yang boleh menjadi penggerak kepada dakwah, sama-sama membantu Nabi Isa untuk menyebarkan agama Allah.
Begitu juga Nabi Muhammad SAW, Baginda juga mendidik sahabat-sahabatnya bagi menggerakkan dakwah dan menyampaikan Islam.
Tigabelas tahun di Mekah sudah cukup bagi kita memahami bagaimana Nabi SAW mentarbiah dan mendidik sahabat-sahabat Baginda untuk menjadi pembantu agama Allah.
Kalau ada orang berkata: “Islam adalah agama benar dari Allah. Tidak ada agama yang diredhai oleh Allah kecuali Islam. Dan Allah boleh mempertahankan agamaNya tanpa berhajat kepada makhlukNya. Bukankah Allah itu Maha Perkasa dan Maha Gagah yang mampu menjaga agamaNya tanpa bantuan sesiapa?”
Kita menjawab: “Memang benar Allah itu Maha Perkasa dan Allah boleh saja menjaga agamaNya ini tanpa bantuan sesiapa, tetapi tujuan Allah meminta kita membantu Islam ini ialah untuk menguji setakat mana ketaatan kita kepada Allah, siapakah yang bersungguh mentaati Allah dan seterusnya siapakah yang layak untuk menerima balasan pahala dan syurga dari Allah. Dan manfaat darinya akan kembali kepada kita juga.”
Bukankah Allah telah berfirman:
Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapakah yang lebih baik amalannya dan Dia Amat Berkuasa Lagi Amat Pengampun.” Al-Mulk: 2
Allah berfirman lagi:
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan diri kamu. Demikian itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui, (nescaya) Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat tinggal yang indah di dalam syurga Adn. Demikian itulah kejayaan yang besar. Dan pemberian lain yang amat kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman.” Al-Saf: 13
Di dalam ayat ini, Allah menyifatkan mereka yang beriman dan menolong agama Allah sebagai peniaga yang mencari keuntungan. Bukankah orang yang berniaga inginkan keuntungan? Tidak pernah kita mendengar adanya orang berniaga yang mahukan kerugian kecuali orang yang bodoh.
Maka Allah telah menawarkan keuntungan kepada mereka yang bersedia membantu agama Allah, bukan sahaja keuntungan Akhirat dengan dimasukkan ke dalam syurga dan merasai nikmatnya yang menjadi idaman kepada semua orang beriman, bahkan keuntungan segera yang boleh dicapai di dunia dengan diberi pertolongan dan kemenangan.
Allah menyebut lagi:
Maksudnya: “Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kaki (pendirian) kamu.”
Ayat ini menyebut ‘menolong Allah’ yang bermaksud menolong agama Allah kerana Allah sendiri tidak perlu ditolong. Jaminan dari Allah ialah Ia akan menolongmu-menolong ketika kamu kesempitan hidup, menolong kamu ketika kamu menghadapi masalah, menolong kamu ketika kamu memerlukan bantuan dan lain-lain pertolongan.
Bantuan dan pertolongan yang sangat diharapkan ialah di alam barzakh dan di Padang Mahsyar nanti ketika berhadapan dengan situasi gawat yang tak pernah kita hadapi. Dan apabila Allah yang menolong, maka cukuplah bagi kita.
Membantu agama Allah mempunyai bidang yang amat luas. Kita mempunyai ilmu, lalu dengan ilmu itu kita menolong agama Allah-menyampaikan syarahan, kuliah, mengajar, menulis dan menyumbang ilmu melalui Lajnah Ulama Pelapis ini.
Kalau kita tiada ilmu, kita mempunyai harta. Dengan harta itu, kita infaqkan dan belanjakan untuk agama Allah. Lihatlah kepada Saidina Umar dan Abu Bakar ketika Nabi saw meminta derma dari para sahabat untuk Perang Tabuk.
Saidina Umar membawa separuh hartanya dan ia merasakan bahawa hari inilah ia akan dapat mengatasi Abu Bakar. Lalu apabila Abu Bakar tiba membawa seluruh hartanya, ditanya oleh Nabi SAW: “Apakah yang engkau tinggalkan untuk kaum keluargamu?” Jawab Abu Bakar: “Aku tinggalkan Allah dan RasulNya.” Lalu kata Umar: “Tidaklah ada peluang untukku mengatasi Abu Bakar lagi selepas ini.”
Kita mungkin tidak sampai kepada peringkat Abu Bakar atau Umar, tetapi memadailah kita membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah berikan kepada kita itu untuk jalan Allah. Kalau kita tiada harta, kita mempunyai tulang empat kerat yang kita boleh gunakan untuk agama Allah.
Pendek kata, ruang untuk membantu agama Allah terlalu luas dan masing-masing boleh berperanan untuk membantu dan menegakkan agama Allah ini.
Orang mukmin menjadi penolong agama Allah, sementara orang kafir menjadi penolong kepada syaitan.
Kalau ada orang yang boleh berhempas-pulas menyuburkan agama dan ideologi sesat, yang hanya mendapat kemurkaan Allah, kenapa kita tidak berusaha membantu agama Allah yang jelas mendapat pahala dan keuntungan besar dunia Akhirat?
Kehidupan kita di atas mukabumi ini hanya sementara. Hidup 70 tahun atau 80 tahun, jika dibandingkan dengan kehidupan di alam barzakh adalah terlalu singkat.
Nenek-moyang kita yang telah meninggal dunia telah hidup lebih lama di alam barzakh sekarang berbanding dengan hidup mereka di dunia. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan Akhirat.
Justeru, umur dan masa yang diberikan oleh Allah Taala ini mestilah dimanfaatkan sungguh-sungguh untuk kebaikan, dan antara kebaikan itu ialah dengan kita menolong dan membantu agama Allah ini.
Dalam konteks saudara yang punya ilmu agama yang baik, di samping tugasan rasmi di pelbagai agensi kerajaan/swasta, jangan lupa menjenguk kami terutama melalui Lajnah Ulama Pelapis ini.
Marilah kita menjadikan hidup kita ini membawa erti, bukan hidup yang hanya mahu mencari makan sahaja, atau setakat ada kerja sahaja.
Allah tidak bertanya adakah saudara mempunyai BA, Ma atau PhD dalam bidang agama, tetapi yang ditanya apa yang saudara buat dengan semua itu.
Sekali lagi saya sangat mengharapkan bahawa orang seperti saudara-saudaralah yang mampu membantu kami terutamanya di dalam Dewan Ulama PAS ini dan PAS secara umumnya bagi menegakkan Islam dalam bentuk yang pernah ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu negara yang mendapat rahmat dan berkat dari Allah. Atau saudara mahu biarkan negara dan dunia ini dibentuk oleh si fasiq yang berkeliaran? - Ustnik