Tuesday, June 1, 2010

PAS serah memo ke Kedutaan Amerika, bantah Israel



KUALA LUMPUR, 1 Jun : PAS hari ini meyerahkan satu memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi mendesak negara itu menghentikan bantuan askar mereka kepada Israel untuk mencabul hak dan menzalimi rakyat Palestin.

Penyerahan memorandum tersebut diketuai Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa bagi mewakili Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut serta pada penyerahan itu termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr. Dzulkifli Ahmad serta Dr. Lo' Lo' Ghazali.

Memorandum serupa turut diserahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, R.Sivarasa Rasiah dan disertai Pengarah Strategik Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Manakala memorandum dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) diserahkan oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Lebih 200 warga perihatin turut berhimpun menyatakan bantahan di hadapan bangunan kedutaan tersebut dengan membawa sepanduk bantahan dan poster mengecam tindakan biadab rejim Zionis Israel.

Penyerahan hari ini ekoran serangan berdarah tentera rejim Zionis Israel terhadap kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang sukarelawan yang menyertainya.

Memorandum itu juga turut mendesak Amerika supaya memaksa sekutu kuat mereka Israel meletakkan senjata dari terus meratah nyawa dan darah umat Islam Palestin.

Nasharuddin sewaktu bercakap kepada media mengecam sikap Amerika yang dilihat merestui tindakan Israel apabila hanya diam membisu biarpun askar-askar sekutu mereka itu melakukan pembunuhan kejam terhadap peserta konvoi tersebut.

Selain itu Israel dan Amerika, kerajaan Mesir juga ujar Nasharuddin, perlu dikutuk oleh seluruh negara di dunia ini kerana menjadi penyebab bantuan terpaksa diserah melalui jalan laut setelah negara itu menutup laluan darat di sempadan Rafah.

Sebagai tanda bantahan, Malaysia digesa memutuskan hubungan dengan Mesir serta-merta demi nyawa dan darah rakyat Palestin serta aktivis yang menjadi mangsa serangan tentera Israel.

"Kita mahu kerajaan Malaysia menyatakan sikap dan pendirian dan memberikan tekanan kepada kerajaan Mesir yang merupakan penyebab utama kegagalan masuknya barang-barang bantuan ke Gasa setelah sempadan Rafah ditutup oleh Mesir," katanya.

Selain itu juga kerajaan Malaysia perlu proaktif menggesa Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera bersidang.

Sementara itu lebih 50 ahli Pemuda Barisan Nasional berkumpul di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Jalan Dungun, Kuala Lumpur menyatakan kemarahan mereka.

Mereka juga memijak sebelum membakar bendera Israel sebelum menyerahkan memorandum yang mengecam tindakan Yahudi itu kepada penyelaras PBB di Malaysia, Kamal Malholtra.

Pada serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa 12 rakyat Malaysia pagi semalam, sekurang-kurangnya 20 aktivitis pro Palestin dibunuh manakala puluhan lagi cedera.

Kapal itu dan penumpangnya yang ditawan itu kemudiannya dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan.

Sementara itu AFP yang memetik laporan radio awam Israel hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 480 aktivis pro-palestin ditawan dan dihumban ke penjara Ashdod di selatan Israel.

Read more ...

Senarai 12 rakyat Malaysia dalam tawanan Israel


GAZA, 1 Jun : Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.

Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifekine4Gaza.
  • Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
  • Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
  • Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
  • Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
  • Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
  • Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  • Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  • Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  • Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  • Mustafa Mansur, Mapim
  • Ashwad Ismail, wartawan Astro
  • Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro
Nasib mereka masih belum diketahui. Marilah mendoakan keselamatan mereka.

Read more ...

48 jam untuk Najib Apco

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberi tempoh 48 jam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincang isu serangan pengganas-pengganas Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dalam tempoh 48 jam itu juga, kerajaan juga hendak membentang pelan menyelamatkan rakyat Malaysia yang sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada sidang khas Parlimen tersebut.

"(Selain itu), dalam tempoh tidak lebih dari 48 jam kerajaan hendaklah menamatkan kontrak dengan syarikat perunding antarabangsa yang merupakan proksi kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat," katanya.

Mahfuz juga menuntut kerajaan menghentikan dengan segera sebarang urusan perdagangan yang rasmi atau tidak rasmi dengan negara haram Israel.

Beliau juga sangat kecewa terhadap Perdana Menteri yang hanya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan itu Israel hanya pada tengah malam semalam.

"Kenyataan itu hanya dibuat selepas didesak oleh pelbagai pihak yang mengangap kerajaan terlalu lembab dan takut untuk membuat kenyataan mengecam perbuatan lanun laut rejim Israel," katanya.

Kelembapan Perdana Menteri itu, katanya, dilihat seperti menunggu apa nasihat dari APCO Worlwide untuk kerajaan bertindak tanpa menjejas kerja firma Yahudi zionis itu yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memulihkan kepercayaan Amarika terhadap kerajaan Malaysia kini.

"Tindakan rejim Israel tersebut adalah berpunca dari sikap lunak dan pak turut dasar luar kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia yang menyumbang kepada tindakan kejam Israel.

"Perbuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib yang begitu mesra Amerika dan zionis mesti dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas beliau.

Read more ...

Perak perlu contohi kerajaan PR


PARIT BUNTAR, 1 Jun : PAS Parit Buntar mengalu-alukan tindakan Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor mencontohi Kerajaan Kelantan tidak membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri itu untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil langkah tegas sedemikian kerana menimbangkan keburukan akibat daripada kegiatan itu terhadap masyarakat.

“Saya dimaklumkan kerajaan Kedah juga akan mengikuti langkah yang diambil oleh Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

“Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti itu daripada beroperasi di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Fakhrurrazi berkata, Kerajaan Negeri bawah pimpinan BN juga sepatutnya memberi arahan kepada semua PBT supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Sungguh memalukan umat Islam, apabila Kerajaan Negeri yang diterajui umat Islam masih membenarkan operasi judi bola yang sudah jelas haram hukumnya.

“Sepatutnya, pemimpin UMNO yang memimpin negeri merasa malu dengan Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui bukan Islam,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang tahu hukum haram judi perlu mengarahkan semua PBT supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Tindakan kerajaan BN mengeluarkan lesen perjudian bola sepak adalah langkah yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

“Tiada jaminan bahawa pemberian lesen perjudian itu akan menghapuskan perjudian haram,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan BN itu akan memburukkan lagi penyakit sosial apabila semakin ramai orang yang mahu cepat kaya terutama golongan miskin yang sanggup menggunakan wang gaji atau simpanan untuk membuat pertaruhan.SH

Read more ...

ADUN Kuala Nerang mula serang Umno Kedah


ALOR SETAR, 1 Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim membidas kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Kedah yang didakwa mengamalkan budaya menjaga kepentingan ‘kaki bodek’ dan mengabaikan kebajikan sebahagian besar wakil rakyat yang bukan berjawatan Ketua UMNO Bahagian.

Naib Ketua Bahagian UMNO Padang Terap itu berkata, penerapan budaya itu dalam kalangan pemimpin parti di peringkat negeri adalah faktor utama menyebabkan ramai ADUN BN gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kerana kekurangan peruntukan projek pembangunan selain masalah ketika berurusan dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Menurutnya, ada dalam kalangan ADUN UMNO yang mengalami kesukaran bekerjasama dengan Ketua UMNO Bahagian kerana sikap segelintir mereka yang menyalahgunakan peruntukan JPP di kawasan masing-masing untuk kepentingan diri dan menyebabkan ADUN terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membantu rakyat.

“Elaun yang diterima ADUN bukan banyak tetapi tanggungjawab kami berat kerana berada di barisan hadapan untuk berdepan dengan masyarakat dan membawa bersama imej parti.

“Sekiranya kami tidak menerima bantuan kewangan secukupnya daripada parti dan ketua bahagian, bagaimana kami hendak memberikan khidmat terbaik kepada rakyat? Seharusnya Badan Perhubungan UMNO Kedah memberi sokongan kepada ADUN BN dan bukannya menganaktirikan kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Syed Sobri berkata, daripada 12 kerusi DUN diduduki UMNO, lima bukan daripada kalangan ketua bahagian dan seharusnya mereka diberikan peluang menyertai Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai masalah rakyat.

Beliau akur dengan tradisi UMNO melantik Ketua UMNO Bahagian untuk menjadi ahli jawatankuasa itu tetapi berpendapat, perubahan drastik perlu dilakukan untuk menjadikan khidmat wakil rakyat yang mewakili parti lebih berkesan.

“Saya bukan gila jawatan tetapi ingin menegaskan bahawa ADUN UMNO menang pilihan raya sebelum ini kerana mendapat sokongan rakyat. Itulah sebabnya kita perlu mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian untuk mereka,” katanya.

Ditanya sama ada kenyataannya itu dicetuskan atas kekecewaan kerana terasa semakin dipinggirkan kepimpinan parti, Syed Sobri tidak menafikannya tetapi menegaskan, pendedahan dibuat untuk kebaikan ADUN UMNO yang bukan dalam ketua bahagian.

“Ada antara mereka yang kecewa kerana ‘dianaktirikan’ parti, tetapi hanya berdiam diri kerana tidak mahu bergaduh dengan kepimpinan UMNO negeri. Tindakan saya ini adalah untuk membela mereka yang bekerja untuk rakyat,” katanya.SH

Read more ...

Kompleks PAS persediaan ke Putrajaya


DENGKIL, 1 Jun : Penduduk menyambut baik usaha PAS membina sebuah kompleks berhampiran pusat rekreasi Paya Indah Wetland, di sini.

Difahamkan, kompleks bernilai RM27 juta berkenaan bakal dilengkapi sebuah dewan persidangan, pusat latihan, balai Islam, lot perniagaan dan kawasan perumahan.

Dewan persidangan di kompleks berkenaan mampu memuatkan 8000 orang dalam sesuatu masa, manakala pusat latihan yang dibina serba moden dengan kelengkapan terkini, di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Difahamkan, pelan asal Kompleks PAS telah dikenal pasti berlokasi di Sungai Merab Dalam di sini, bagaimanapun lokasi asal telah ditukar disebabkan faktor geografi tanah yang kurang sesuai.

Seorang penduduk, Osman Kamal berkata, kedudukan Kompleks PAS yang akan dibina adalah strategik kerana hanya kira-kira 15 minit perjalanan ke Putrajaya.

“Dengan pembinaan kompleks tersebut, menjadi persediaan PAS untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian Pecah Tanah Projek Kompleks PAS Pusat disempurnakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka yang berhasrat untuk menderma dan menyalurkan sumbangan bagi membiayai kos pembinaan Kompleks PAS boleh dibuat melalui Bank Islam Sdn Bhd (BIMB) no akaun, 14023010039098 atas penama Parti Islam SeMalaysia Markas Tarbiah PAS.SH

Read more ...

Pendekatan PAS Pahang tiada diskriminasi kaum


BANDAR JERANTUT , 1 Jun : Aktiviti gotong-royong pembersihan tanah perkuburan kaum India di bandar ini adalah kaedah dan pendekatan tersendiri PAS dalam usaha meningkatkan hubungan, menjaga kebajikan dan menunjukkan tiada diskriminasi kaum berlaku.

Yang Di Pertua PAS Jerantut, Dr Hamzah Jaafar berkata, Dewan Himpunan Penyokong PAS melihat usaha pembersihan kubur kaum India itu satu pendekatan baik membantu dari sudut kebajikan mereka.

Menurutnya, aktiviti itu juga menunjukkan PAS sedia bekerjasama dengan pelbagai kaum lain tanpa ada perbezaan, dengan kaedah itu sendiri adalah tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan.

“Dewan Penyokong PAS dimaklumkan permohonan kepada parti politik mewakili kaum India untuk diberi sedikit peruntukan bagi aktiviti gotong-royong itu tidak diendahkan dan ditolak.

“Apabila masalah itu diajukan kepada PAS kami merasakan tiada alasan mengapa permohonan untuk aktiviti kebajikan yang menjadi usaha murni itu ditolak, lantas mengambil pendekatan untuk turut serta bergotong-royong bersama membersihkan persekitaran kubu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Hamzah berkata, dengan hubungan erat, kerjasama dan aktiviti gotong-royong dijalankan bukan sahaja meringankan beban mereka namun lebih utama ia meyakinkan lagi kaum India bahawa Islam yang dibawa PAS amat mengambil berat hal ehwal kebajikan dan kemanusiaan.

Menurutnya, keprihatinan itu adalah tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan memandangkan ia juga menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam agama untuk saling bantu membantu dan hormat menghormati.

“Dengan usaha dilakukan diharapkan hubungan baik antara PAS dengan kaum India akan dapat ditingkatkan dan hal ehwal kebajikan kaum itu akan dapat dijaga bersama,” katanya.

Turut hadir menjayakan aktiviti gotong-royong itu adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India, N Balasubramaniam dan Pengerusi Kuil, Ramakrishnan.SH

Read more ...

Dasar BN merosak akhlak


KOTA BHARU, 1 Jun : Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalahkan dasar yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) tidak selaras dengan prinsip Islam menyebabkan gejala sosial yang melanda negara kini meningkat.

Dalam masa yang sama, Mursyidul Am PAS itu berkata, sikap sesetengah pemimpin UMNO yang sentiasa mengeluarkan kenyataan yang tidak membawa imej baik kepada Islam sekali gus menyebabkan golongan remaja tidak berminat mendekati agama.

“Semua ini berlaku kerana pemimpin UMNO kata Islam itu pecah belah, Islam itu mundur dan membawa kekacauan, ini menyebabkan anak-anak muda lari, ini kecelakaan yang menimpa Malaysia hasil pemimpin yang tidak beragama dan tidak bermanah,” katanya ketika berucap di Majlis Merasmikan Kursus Bahasa Arab kepada pelajar Kolej Universiti Insaniah di sini, semalam.

Sebelum ini, isu mengenai gejala sosial menjadi perhatian umum apabila sering kali kes pembuangan bayi serta peningkatan kadar jenayah dilaporkan oleh media tempatan.

Sementara itu dalam ucapan itu, Nik Aziz turut menyentuh mengenai hubungan PAS dan rakan Pakatan Rakyat (PR) DAP, yang sebelum ditentang hebat oleh BN.

Menurutnya, kerjasama dengan DAP membuahkan hasil yang baik apabila pemimpin DAP kini dilihat mula memahami perjuangan Islam setelah beberapa tahun bersama dengan Pas.

“Kita juga pernah bekerjasama dengan BN, tetapi amat malang, ibarat melepaskan anjing tersepit. Bila BN kurus dia jemput PAS, tetapi bila dan gemuk dia tendang kita, ini pengajaran berguna.

“DAP bukan Islam, MCA pun bukan Islam kenapa dia tentang sangat kita berkawan dengan DAP, kita berkawan kerana nak ajar Islam tetapi BN macam mana nak ajar MCA kerana parti itu sendiri tolak Islam,” katanya.SH

Read more ...

Kerajaan BN tak rujuk majlis fatwa



KUALA LUMPUR, 1 Jun : PAS mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya menarik balik lesen judi bola sepak atau sekurang-kurangnya merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kewajaran tindakan kerajaan meluluskan lesen ini.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata, dalam hukum agama Islam. Allah SWT telah mengharamkan judi melalui firman-Nya di dalam Surah Al Maidah, Ayat 90.

Menurutnya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, wajib baginya beriman dengan haramnya judi walau apa pun bentuk dan namanya. Begitu juga, tidak ada mana-mana agama di dalam dunia ini yang menghalal dan menggalakkan amalan berjudi yang sentiasa menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan sosial umat manusia.

“Saya percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, langkah kerajaan Malaysia yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek yang memberi lesen perjudian bolasepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita.

“Oleh itu saya ingin memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia supaya dapat menarik balik lesen perjudian bolasepak tersebut dengan serta merta.

“Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita,” katanya.

Beliau berkata, bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, saya percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan.

“Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian.

“Kita juga akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara,” katanya.SH

Read more ...

Berdengkur dalam dakapan Apco

KOTA BHARU, 1 Jun : Serangan Israel ke atas flotila kapal yang membawa bantuan kemanusian kepada rakyat Gaza yang dikepung terus dikecam pelbagai pihak.

Lewat malam semalam, exco Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kekejaman Zionis itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 sukarelawan kemanusiaan yang menuju Gaza terbunuh manakala puluhan lagi cedera.


Bagaimanapun, menurut Husan apa yang paling dikesalinya ialah sehingga jam sembilan malam semalam, semakan menerusi laman web Bernama, menunjukkan tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan Israel itu.

“Menteri Luar masuk tidur begitu awal? Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

“Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka? “ katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Husam, pemimpin dunia lain termasuk tindakan Perdana Menteri Turki, Erdogan bertindak mengarahkan duta Israel di Ankara supaya berundur manakala tiga latihan ketenteraan dengan negara itu dibatalkan.

“Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat. Malaysia?

“Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini,” kata Husam.

Sehubung
an itu, katanya Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - Apco - sebeberapa segera.

“Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

“Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu. Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat,” katanya.

Menurut Husam, dalam respon segera, DAP, Pemuda Umno, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

“Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco,” katanya.

Read more ...