Monday, August 23, 2010

PAS baiki rumah penduduk

CIMG4534.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 24 Ogos :
Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar dengan kerjasama PAS Cawangan Kedai Empat berjaya memperbaiki rumah seorang penduduk yang rosak.

Ajk Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar Noraidi Muhammad Isa berkata, Lujnah Kebajikan dan PAS Cawangan mengambil inisiatif membantu kerana prihatin terhadap keadaan rumah Roslan Basri yang uzur.

" Kami telah mengantikan zink dan memasang lantai simen rumah yang sudah lama berlantaikan tanah.

Kos untuk mengantikan bumbung dan lantai rumah ini telah disumbangkan oleh Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar dan PAS Cawangan Kedai Empat" Katanya

Noraidi ditemui semasa mengadakan ziarah ke rumah penduduk berkenaan bersama Yang Dipertua PAS Parit Buntar Haji Harun Hashim, Hamdan Fadel Ahmad Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar dan Zulkifli Asmawi AJK PAS Cawangan Kedai Empat.Noraidi berkata, rumah yang dibaiki itu mempunyai dinding banyak yang sudah reput manakala zinknya banyak yang bocor.

“ Kami membaiki rumah bawah bagi membolehkan Roslan dapat duduk lebih selesa terutama bagi menyambut Syawal yang akan datang. Sebelum ini, sekiranya hujan lebat keseluruhan rumahnya basah kerana zink bocor.

“ Sekurang-kurangnya beliau boleh duduk di rumah bawah yang sudah digantik zink dan simen baru apabila berlaku hujan lebat" katanya

Sementara itu, AJK PAS Cawangan Kedai Empat Zulkifli Asmawi berharap pihak berwajib seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberi bantuan membina rumah atas Roslan yang terlalu uzur.

“ Lujnah Kebajikan dan PAS Cawangan hanya mampu membaiki rumah bawah kerana tiada peruntukan yang besar.

" Saya harap kerajaan yang ada peruntukan besar membantu rumah orang miskin dapat memberi bantuan membina rumah Roslan “ katanya

Roslan semasa ditemui mengucapkan terima kasih kepada PAS Parit Buntar dan PAS Cawangan Kedai Empat yang membaiki rumah beliau.

Read more ...

PAS terus bantu rakyat


KAMPAR , 24 Ogos : Penduduk Kampung Tualang Sekah terutama golongan fakir miskin teruja menerima kedatangan rombongan PAS yang menziarahi kesemua 45 penduduk terpilih dari rumah ke rumah bagi mengetahui keadaan sebenar kehidupan mereka.

Naib Ketua Cawangan PAS Tualang Sekah, Abdul Manaf Ismail berkata, pihaknya melakukan ziarah itu bertujuan mendekati penduduk miskin di sekitar daerah berkenaan.


Menurutnya, program itu adalah salah satu cara yang digunakan PAS untuk menyelami sendiri kesusahan penduduk miskin.

“Kita mengambil kesempatan turun padang bersama ahli rombongan PAS agar dapat memahami situasi sebenar mereka di samping melihat sendiri sejauh mana kesusahan yang dialami.

“Kadang-kala umum tidak mengetahui tentang status kehidupan penduduk miskin, apabila ziarah ke rumah barulah kita tahu rupanya-rupanya ada penduduk yang terlantar sakit, tidak boleh bergerak dan sebagainya,” katanya ketika menziarahi 45 penduduk, di sini.

Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Kampar, Ridzuan Rashid.

Abdul Manaf berkata, rombongan juga mengambil kesempatan menyampaikan bungkusan cenderahati kepada 45 buah rumah di Tualang Sekah yang terlebih dahulu dikumpulkan melalui sumbangan ikhlas ahli PAS termasuk individu tertentu.

“Bungkusan cenderahati beranggaran RM50 setiap satu mengandungi barangan keperluan harian berupa beras, gula, tepung gandum, minyak masak dan barangan lain,” katanya.

Penduduk, Saadiah Abd Rahman, 61, dari Kampung Kota, Tualang Sekah berkata, kehadiran rombongan itu membawa rahmat kepada dirinya dan keluarga selain bersyukur apabila terpilih antara 45 penduduk yang telah dikenal pasti sebagai penduduk bertuah.

“Terima kasih atas rombongan yang sanggup menziarahi saya di rumah sempena bulan puasa sambil bertanya khabar untuk mengetahui keadaan isi rumah,” katanya.

Saadiah bagaimanapun, turut menerima sumbangan sekampit beras, sekilo gula serta barangan keperluan lain termasuk minyak masak, tepung, dan barangan lain dalam kunjungan itu.

Sebelum ini, rombongan yang sama terlebih dahulu melakukan kunjungan serupa di Kampung Gunung Panjang kepada 17 keluarga miskin yang telah dikenal pasti dan dikategorikan dalam golongan miskin tegar.

Penganjuran yang diketuai oleh Pemuda PAS Cawangan Tualang Sekah, itu disertai 20 sukarelawan yang terdiri daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kampar, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar dan Pimpinan PAS Kawasan Kampar.SH

Read more ...

Pemilik rumah rakyat ditipu kontraktor


PARIT BUNTAR, 24 Ogos : Sudah dua kali Ramadan dan Aidilfitri berlalu namun aduan penduduk terhadap pembinaan yang tidak sempurna terhadap rumah mesra rakyat milik mereka masih menemui jalan buntu.

Pemilik rumah di Kampung Raja Bashah, Zuratun Sharwana Saidin berkata, dia ingin menarik perhatian pihak berkenaan terhadap kerja pembinaan yang terbengkalai sejak 2008.


Menurutnya, dia melawat ke rumah yang baru siap dibina itu dan terkejut apabila melihat pembinaan lantai di bahagian anjung dan sisi longkang tidak sekata.

“Bertambah terkejut apabila mendapati dinding rumah retak di bahagian luar dan dalam, rekahan terdapat di dalam bilik ketiga,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pemasangan paip juga dilakukan sambil lewa dan tidak sempurna kerana jika mengikut garis panduan pembinaan sebenar paip untuk laluan utama air perlu menggunakan paip poly bukannya UPVC.

“Paip ini pula dipasang di sisi yang sepatutnya di dalam di dinding supaya ia selamat dan bertahan lama,” katanya.

Zuratun berkata, selain itu, UPVC untuk pembumian elektrik juga dipasang sedemikian di bahagian hadapan rumah.

“Sementara paip pembuangan najis dari bilik air di bilik utama pula menggunakan UPVC yang dipasang di atas paras lantai dan tidak di bawah lantai,” katanya.

Sementara itu ayahnya, Saidin Ismail, 75, berkata, dia mendakwa kontraktor berkenaan melarikan bayaran sebanyak RM1,350 yang dikatakan untuk penyambungan bekalan elektrik dan air.

Menurutnya, anaknya sendiri pergi ke pejabat Lembaga Air Perak dan Tenaga Nasional Berhad di Pekan Bagan Serai untuk mendapatkan penjelasan dan pegawai bertugas memberi tahu jumlah yang diperlukan tidak sebanyak yang diambil pihak kontraktor terbabit.

“Saya rasa kami tertipu dan sedih diperlakukan sedemikian yang mana bantuan yang dihulurkan kerajaan diselewengkan kontraktor tidak bertanggungjawab itu.

“Saya amat berharap pihak berkenaan dapat bertindak lebih tegas serta mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan anak saya tinggal di rumah miliknya sendiri,” katanya.

Katanya, hampir tiga tahun rumah ini terbengkalai tambahan pula tunggakan mencecah RM1, 800 dan berharap pihak berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.SH

Read more ...

Masih ramai rakyat miskin


BATU GAJAH , 24 Ogos : Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan meneruskan usaha membantu golongan kurang berkemampuan yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi memperbaiki taraf hidup dan sosioekonomi mereka.

Walaupun PR sudah tidak lagi mentadbir Kerajaan Negeri namun usaha untuk membantu rakyat tetap diteruskan demi merealisasikan apa yang telah dirancang sebelum ini iaitu dapat mengurangkan jumlah golongan miskin.


Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng, Ir Radzi Zainon berkata, PR akan terus berusaha mencari jalan terbaik bagi membantu golongan miskin untuk mereka memperbaiki kehidupan mereka.

Menurutnya, ada setengah golongan kurang berkemampuan tidak dibela nasibnya dan sebagai pemimpin pihaknya cuba memberi bantuan sedaya yang mungkin kepada mereka.

"Ianya juga adalah tanggungjawab kita untuk membantu mereka tanpa mengira agama, perbezaan warna kulit dan bangsa malah berlainan parti politik kita akan cuba selesaikan demi kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan dalam program Ziarah Ramadan di Kampung Seri Jaya dan Kampung Pisang.

Radzi berkata, beliau berasa sedih di dalam suasana negara sudah merdeka 52 tahun tetapi masih ada rakyat yang hidup seolah-olah tidak mendapat pembelaan.

“Kita tidak perlu pergi jauh ke pedalaman jika kita mahu lihat orang susah kerana di tempat kami ini pun masih ramai keluarga yang miskin dan perlu dibantu.

“Kami di pihak PAS melihat kebajikan rakyat adalah perkara pokok yang perlu diberikan perhatian dan walaupun tidak mentadbir kerajaan, kami tetap terus berbakti dengan cara kami, tetapi apa yang paling penting kebajikan rakyat mesti diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, program terbabit juga adalah salah satu daripada program ziarah di mana pihaknya mengunjungi penduduk dari rumah ke rumah untuk menyampaikan bantuan itu.

“Kita galakkan ahli agar terapkan semangat ziarah-menziarahi agar masyarakat lebih dekat dengan kita dan kemesraan yang terjalin dapat meyakinkan mereka apa yang diperjuangkan oleh PAS dan rakan dalam PR itu sendiri.

“Insya-Allah walaupun kini PR tidak lagi mentadbir namun, aktiviti kebajikan akan berterusan untuk membantu rakyat akar umbi yang memerlukan pertolongan,” katanya.SH

Read more ...

hudud hanya untuk orang Islam



SHAH ALAM , 24 Ogos : DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud kerana ia adalah perkara yang tidak disenangi oleh orang bukan Islam dan Barisan Nasional (BN) diminta tidak mengeruhkan perhubungan DAP dan PAS berhubung perkara ini.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giew berkata, orang Islam boleh menggunakan dan melaksanakan hukuman ini, manakala orang bukan Islam mempraktikkan hukuman yang ditetapkan kepada mereka mengikut undang-undang yang dipersetujui bersama.

“Orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana hukuman berkenaan hanya dijatuhkan kepada pesalah yang beragama Islam setelah melakukan penyiasatan dengan teliti.

“Hukum hudud adalah isu yang sangat sensitif dan memerlukan perbincangan yang teliti oleh semua pihak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa dekad ini, hukum hudud disarankan oleh sebahagian individu yang terdapat di dalam parti BN.

Seng Giew berkata, dahulu BN menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan DAP dan Pas. Dan sekarang keadaan kedua-dua parti semakin tenang, kami sudah berjaya mengatasinya.

“Dalam Pakatan Rakyat (PR) isu-isu sensitif dan menyentuh agama dielakkan, umum mengetahui bahawa PR terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan hukum hudud bagi menggantikan undang-undang sivil adalah cara terbaik untuk menangani masalah jenayah dan sosial yang semakin berleluasa.SH

Read more ...

Mahasiswa akan ajar BN dalam PRU 13


SHAH ALAM 24 Ogos - Ketua Pemuda Sosialis DAP(Dapsy), Anthony Loke berkata keputusan Kabinet 11 Ogos lalu melarang pelajar universiti daripada bergiat dan menyertai sebarang parti politik hanya akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik pada pilihan raya umum yang ke-13 kelak.

Anthony memberi amaran Umno dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda daripada apa yang dialami semasa PRU-12 pada 2008 lalu.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata langkah itu merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mengecewakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

"Keputusan Kabinet menunjukkan Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, keputusan itu juga membuktikan Pemuda Barisan Nasional khasnya Pergerakan Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taring kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malah katanya, suara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan berhubung dasar Auku juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

"Dapsy akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan. Dapsy yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tegas beliau.

Read more ...

Umno tabur fitnah tak kira Ramadhan


SHAH ALAM, 24 Ogos : Jentera propaganda Umno-Barisan Nasional bekerja lebih masa setiap hari menghambur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat namun malangnya segala taktik kotor mereka telah lama dihidu dan disedari rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Umno-BN tidak ada lagi pilihan melainkan menabur fitnah secara berterusan hatta dalam bulan Ramadhan yang mulia sekali pun.

Ini terbukti apabila pihak tertentu menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan akan menghadiri majlis bagi mengedar bir percuma di sebuah kafe selepas solat Tarawikh Sabtu lalu.

Beliau berkata ini menunjukkan betapa Umno-BN amat terdesak untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor, walaupun pada bulan Ramadhan.

"Saya cukup terkejut apabila mendapat panggilan daripada wartawan Sinar Harian petang Sabtu bertanyakan samada saya akan hadir ke Asia Cafe untuk membuat kunjungan muhibbah dan seterusnyamengedarkan bir kepada tetamu. Malah Hannah Yeoh (Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya) menalipon saya memberitahu SB (anggota polis Cawangan Khas) menghubungi beliau bertanya samada saya akan hadir ke majlis itu.

"Ini jelas satu fitnah telah disebarkan oleh pihak tertentu terhadap saya, malahan saya tidak tahu pun di mana Asia Cafe ini," tegas Khalid.

Kata beliau, tindakan ini adalah satu petanda Umno-BN telah kehilangan idea untuk menentang Pakatan Rakyat di Selangor secara intelektual dan terpaksa menggunakan taktik jijik seperti ini.

"Umno-BN sedar rakyat semakin menolak mereka kerana salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan rasuah. Jadi mereka tidak berani untuk mengatakan mereka lebih baik daripda Pakatan Rakyat tetapi cuba nak pengaruhi rakyat dengan memfitnah Pakatan Rakyat pun sama teruk seperti mereka.

"Masyarakat sudah sedar bahawa Umno-BN sakit dengan isu rasuah dan sebagainya, maka tindakan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan bagi mereka di mata rakyat," ujar beliau.

Menyentuh mengenai kerjasama erat PAS-DAP, Khalid berkata satu ketika dahulu Umno-BN mengutuk dan mengatakan tidak mungkin kedua parti itu dapat bekerjasama tetapi sangkaan mereka terbukti salah apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditubuhkan atas gabungan KEADILAN, PAS dan DAP.

"Umno-BN sudah keliru dengan matlamat mereka di Selangor. Ada ketikanya mereka mengutuk DAP kerana mahukan undi Melayu tetapi pada masa yang sama mengutuk PAS kerana mahukan undi kaum Cina. Tindakan bercelaru begini jelas petanda Umno-BN akan terpaksa menghadapi tentangan yang jauh lebih hebat pada pilihan raya umum ke-13 nanti," kata beliau lagi.

Read more ...

Umno, MCA main wayang perkauman


SHAH ALAM, 24 Ogos : Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin mengingatkan rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan strategi dan tindak tanduk pihak tertentu yang menggunakan isu perkauman untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Taktik yang sama katanya digunakan kerajaan Perikatan semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan penangkapan puluhan pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pertama sekali pada 1969 kenapa sentimen kaum dibakar? Kerana pada masa itu parti pemerintah telah hilang sokongan. Pada 1987 Umno hilang tumpuan apabila berpecah dengan Semangat 46. Sandiwara ditunjukkan pemimpin Umno seperti Najib Razak dan pemimpin MCA Lee Kim Sai yang cuba membakar api perkauman. Pembangkang pada masa itu telah memberikan respon secara tidak tersusun yang akhirnya mengakibatkan pemimpin progresif (pembangkang) ditangkap," katanya kepada Suara Keadilan.

Badrul aka CheGuBard demikian ketika diminta mengulas insiden surau Taman Pulai Impian, Temiang di Seremban yang disimbah dengan cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab Ahad lalu.

Kejadian terhadap rumah ibadat ini merupakan pertama kali berlaku selepas isu penggunaan kalimah Allah yang dimainkan Umno sejak awal tahun ini yang menyebabkan beberapa rumah ibadah, termasuk gereja dan surau dibakar.

Bagaimanapun CheGuBard berkata berbanding 1987 rakyat kini lebih bijak menilai taktik dan strategi yang digunakan Umno-BN untuk menimbulkan keresahan dikalangan rakyat negara ini.

"Rakyat telah cerdik dan matang untuk menilai peristiwa ini. Dalam kes bakar rumah ibadat sebelum ini, Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti alternatif menyatakan pendirian yang tegas dan kita telah berjaya tangani isu ini dengan sempurna. Kita kutuk kejadian seperti ini, jangankan kata bakar surau, malah bakar kuil pun tidak boleh terima kerana ini adalah rumah ibadat.

"Siapa yang untung daripada kejadian tersebut, sudah tentulah parti yang bersifat perkauman seperti Umno-BN dan bukan parti politik yang merentasi sempadan ras perkauman dan agama seperti Pakatan Rakyat," ujar beliau.

Beliau berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak melayani sebarang provokasi bagi mengelakkan mereka masuk dalam perangkap Umno-BN.

"Kita minta supaya pemimpin Pakatan Rakyat jangan layan. Kita mahu polis ambil tanggungjawab penuh siasat kejadian ini. Isu yang lebih penting pada masa ini ialah kesusahan hidup rakyat, kos hidup yang meningkat dan sebagainya," tegas CheGuBard.

Kes simbah cat di surau tersebut mengesahkan pandangan sesetengah pihak terdapat usaha ke arah 'menjayakan' semula Operasi Lalang dengan membangkitkan api perkauman di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ini jelas dilihat daripada isu dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di negeri itu bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan tujuan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Islam dan Melayu.

Ini ditambah dengan tindakan dua pengetua di sekolah menengah di Kulai, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India.

Umno juga mempermainkan isu kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera selepas memutar belitkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai diskaun pemilikan rumah mewah yang dinikmati golongan kaya Bumiputera.

MCA pula menuntut Majlis Perundingan Melayu diheret ke mahkamah kerana membuat hasutan untuk membubarkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Read more ...

Umno fitnah sembrono, gagal tunjuk bukti


GEORGETOWN, 24 Ogos : Umno Pulau Pinang yang melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri berhubung dakwaan nama Ketua Menteri digunakan bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dalam khutbah solat Jumaat di masjid negeri itu sehingga kini gagal membuktikan tohmahan mereka.

Justeru, kerajaan negeri menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan berhubung fitnah yang disebarkan Umno itu dalam bulan Ramadhan yang mulia demi menjaga imej dan mempertahankan maruah imam dan khatib di Pulau Pinang.

"Sehingga sekarang Umno tidak dapat menunjukkan bukti JAIPP sediakan teks khutbah yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong ataupun menunjukkan di mana kerajaan negeri, JAIPP atau Ketua Menteri sendiri mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada masjid atau surau untuk menggunakan nama Ketua Menteri.

"Adalah tidak adil dan patut masjid dan imam serta khatib diheret dalam kancah permainan jahat Umno semata-mata untuk memenuhi keghairahan politik Umno untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat," kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dalam kenyataan beliau semalam.

Mansor menegaskan sekali lagi teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong.

Malah kerajaan negeri, JAIPP atau Ketua Menteri sendiri tidak pernah menerima atau mengeluarkan sebarang arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Lim Guan Eng.

"Oleh itu sekiranya ada mana-mana imam atau khatib yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong, ini adalah salah dan tindakan keras haruslah diambil.

"Sehingga sekarang tidak ada seorang imam atau khatib mengaku ada menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong sepertimana yang didakwa oleh Umno," jelas Mansor.

Mansor berkata seorang khatib, Zakaria Ahmad, menafikan tuduhan Umno yang membabitkan beliau dan menganggap tuduhan itu sebagai satu fitnah.

Zakaria kata Mansor, hanya mendoakan Guan Eng diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam, di mana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mendoakan agar orang bukan Islam diberi petunjuk dan hidayah Allah untuk memeluk Islam.

Samada ini selaras dengan hukum Islam ataupun tidak, ianya harus diputuskan oleh para ulama dan pakar agama.

"Isu “Guan Eng gantikan Agong” yang dibangkitkan oleh Umno perlu diputuskan kesahihannya samada benar atau tidak. Ini kerana beberapa masjid di Pulau Pinang berasa gelisah selepas dilanda fitnah Umno mengatakan mereka terlibat dalam isu menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan nama Ketua Menteri. Oleh yang demikian siasatan polis diharap dapat disiapkan dengan segera supaya perkara yang begitu sensitif ini boleh diselesaikan dalam bulan Ramadan yang mulia ini sekaligus boleh mempertahankan maruah imam dan khatib dan masjid seluruh Pulau Pinang," tegas Mansor lagi.

Kerajaan negeri, tambah beliau, merasa kesal kerana Umno telah mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia dengan tuduhan melulu dan melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri.

Mansor turut mengulangi usul bersama pada mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat Pulau Pinang Ahad lalu yang menyeru rakyat dan penyokong bertenang dan tidak masuk perangkap Umno.

"Ini adalah kerana Umno cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada beberapa kejayaan program kerajaan negeri seperti memberikan kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri; pemberian tahunan RM100 wang penghargaan warga emas; menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100 peratus kepada RM24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 ; sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar," ujar beliau.

Read more ...

Konsep 1 Malaysia gagal kerana Umno


SHAH ALAM 24 Ogos : Konsep 1Malaysia yang di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbukti gagal dihayati oleh kakitangan kerajaan apabila suara sumbang yang sarat dengan sentimen perkauman terus kedengaran walaupun jutaan ringgit dana awam telah dibelanjakan bagi kempen mempromosi gagasan tersebut

Bukti kegagalan 1Malaysia terserlah apabila seorang lagi pengetua sebuah sekolah menengah, kali ini di Bukit Selambau, Sungai Petani didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman minggu lalu ketika menegur perbuatan pelajar yang melakukan kesilapan dengan kenyataan "pindah ke negeri lain" dan "balik ke China".

Insiden ini berlaku selang beberapa hari setelah pengetua SMK Tunku Abdul Rahman di Kulai, Johor mengatakan pelajar Cina 'tidak diperlukan' dan perlu 'pulang ke China' manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka, selain mendakwa hanya anjing yang memakai tali seperti itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berasa kesal dengan tindakan pengetua sekolah terbabit sambil berkata konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib gagal dihayati oleh setiap kakitangan kerajaan.

"Kita kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pengetua, sepatutnya beliau sebagai seorang pendidik membentuk pelajar menjadi seorang yang berguna dan boleh bersatu dengan pelbagai kaum di negara ini tetapi ini tidak beliau dengan sendiri mengeluarkan kenyataan yang berbentuk rasis, jelas pengetua itu gagal menghayati konsep 1Malaysia Najib.

"Kita tidak mahu bincang apa yang telah diperkatakan oleh pengetua terbabit, jika pihak tertentu ingin menyiasat itu adalah yang terbaik untuk menggembalikan suasana kurang senang kaum lain. Setelah lebih 50 tahun kita merdeka nampaknya kerajaan masih gagal meletakkan situasi keharmonian antara kaum serta meruntuhkan benteng perkauman di negara ini.

"Ini terbukti dengan kenyataan rasis pengetua sekolah di Johor dan juga Kedah," jelas beliau.

Johari berkata kegagalan Umno-Barisan Nasional menyatukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini adalah disebabkan oleh program yang tidak mendatangkan faedah seperti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang secara jelas bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

"Isu ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana kegagalan menangani isu perpaduan menyebabkan kaum lain dinegara ini tidak yakin dengan pentadbiran yang ada. Kita perlu berusaha agar semua kaum di negara ini merasakan mereka juga adalah rakyat Malaysia," jelas beliau.

Tambah beliau, Kementerian Pelajaran perlu bertindak segera agar kejadian seperti ini tidak berulang dan mencegah ia menjadi tabiat buruk pengetua sekolah apabila menegur pelajar berbilang kaum.

Read more ...