KUALA LUMPUR - Tindakan perwakilan menghantar sehingga 12 nama calon untuk jawatan naib presiden seharusnya dilihat secara positif memandangkan ramai pihak yang diberi penghormatan untuk berkhidmat kepada parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu membuktikan Pas tidak ketandusan calon bagi menjawat jawatan ketiga tertinggi dalam parti.

“Itu terpulang kepada perwakilan, tiada masalah kepada penyandang apa jua jawatan sekalipun untuk berdepan dengan orang lain yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

“Penting bagi saya, adalah untuk berkhidmat kepada parti dan bukannya mencari apa jua kedudukan dalam parti kerana ia bukan ada apa-apa yang boleh mengenyangkan dan memenuhkan poket,” katanya.