Wednesday, June 16, 2010

Borang hanya 6 ribu , belum daftar 2 juta



KUALA LUMPUR, 16 Jun : Keenganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membekalkan borang pendaftaran pengundi baru yang mencukupi kepada parti-parti politik mungkin bertujuan mengehadkan pengundi muda, dakwa ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Sebagai contoh katanya, hanya 6,000 borang diperuntukkan kepada SPR Selangor bagi memenuhi tuntutan kira-kira 2 juta pengundi yang masih belum mendaftar di negeri itu.

"Kami diberitahu oleh pihak SPR Selangor bahawa awal bulan ini, mereka kekurangan borang, SPR Pusat hanya membekalkan 6,000 borang kepada Selangor dan hanya 1,000 borang sahaja diperuntukkan kepada parti-parti politik untuk diedarkan kepada kepada penolong pendaftar parti-parti politik," kata Pua di lobi parlimen, hari ini.

Memburukkan lagi keadaan, SPR hanya membenarkan satu penolong pendaftar bagi setiap parti di setiap kerusi parlimen dan mereka pula dihadkan mengambil tidak lebih 50 borang pada setiap kali lawatan ke pejabat SPR.

"Kita rasa jumlah borang yang disediakan ini amat-amat kurang kerana dalam setiap kempen, pendaftaran pengundi baru yang kita adakan di Selangor yang besar, kita dapat sekurang-kurangnya 300-500 pengudi baru

“Kalau seribu borang sahaja yang diperuntukkan kepada bulan Jun kepada semua parti politik termasuk parti politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, ini merupakan jumlah yang jelas tidak mencukupi," kata Pua.

Katanya, ada juga penolong pendaftar yang mengadu, langsung tidak mendapat apa-apa borang kerana dikatakan borang telah habis.

Read more ...

Beri imbuhan khas kepada anggota bomba sukarela

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib (gambar) menyarankan kerajaan menyediakan imbuhan khusus kepada anggota bomba sukarela memandangkan tugas mereka semakin bertambah, bukan sekadar memadamkan kebakaran sahaja.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, pihak bomba sukarela wajar diberikan imbuhan khusus terutamanya apabila melakukan operasi bulanan di kawasan masing-masing.

"Umum mengetahui tugas bomba semakin banyak sekarang ini. Bukan setakat memadamkan kebakaran sahaja. Ular masuk rumah pun panggil bomba, pokok tumbang tepi jalan panggil bomba. Jadi apakah kerajaan boleh fikirkan imbuhan khusus kepada pihak bomba terutama apabila melakukan operasi bulanan," katanya.

Taib juga berkata, pihak bomba yang sering berhadapan dengan risiko membabitkan keselamatan diri sewaktu bertugas harus difikirkan untuk diberikan skim imbuhan sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecelakaan.

"Malang memang tidak berbau dan boleh jadi juga bomba menerima malang ketika menjalankan tugas. Adakah kerajaan memikirkan untuk memberikan skim imbuhan kepada mereka?" soalnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pihak bomba diberikan kad kuasa untuk menjalankan tugas kerana ada ketikanya mereka tidak memakai uniform dalam tugas-tugas tertentu.

"Saya juga cadangkan pihak bomba perlukan kad kuasa kerana dalam keadaan tertentu mereka tidak memakai uniform. Jadi mereka perlukan kad kuasa untuk masuk ke tempat-tempat tertentu," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau turut menegur keadaan bangunan dan kenderaan yang digunakan pihak bomba yang disifatkan sebagai daif.

"Saya lihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan luar bandar, kedudukan bangunan dan kenderaan yang digunakan agak daif. Kenapa kerajaan tidak boleh peruntukan kepada mereka banguan dan kenderaan yang baik? Insentif sebegini akan memberi makna penghargaan kepada pihak bomba yang menjaga keselamatan rakyat selain daripada pihak polis," katanya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi insentif galakan kepada bomba sukarela di seluruh negara dengan peralatan-peralatan uatama bagi menampung khidmat mereka dengan bertambahnya kawasan perumahan dan penduduk sekarang ini.

Read more ...

DAP akan saman dua Adun lompat



KUALA LUMPUR, 16 Jun : DAP mungkin mengambil tindakan undang-undang ke atas dua ADUN dari parti itu yang berpaling tadah dan mengumumkan diri mereka sebagai ahli Bebas.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham (kiri, bertali leher biru) berkata pihaknya akan bertindak jika kedua-dua mereka tidak membayar bayaran pampasan RM5 juta setiap seorang seperti yang termaktub dalam perjanjian yang mereka tandatangani selepas memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya umum 2008.

Keputusan itu diambil berikutan pengumuman mengejutkan semalam apabila Keshvinder Singh (Malim Nawar) mengumum meninggalkan parti itu.

Beliau adalah ADUN kedua DAP yang berbuat demikian selepas Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian pada Februari tahun lalu sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak tumbang.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, hari ini, Ngeh menjelaskan semua perwakilan DAP di negeri itu diwajibkan menandatagani perjanjian yang hampir sama selepas pilihan raya Mac 2008.

"Mereka telah bersetuju bahawa jika mereka meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai ahli Bebas, mereka terpaksa membayar RM5 juta kepada parti,” kata Ngeh yang juga ahli parlimen Beruas.

Ngeh berkata keputusan muktamad berhubung tindakan undang-undang itu akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat DAP yang dijadualkan bermesyuarat akhir bulan ini.Malaysiakini

Read more ...

Pebicaraan kes 'Bini Puaka'



KUALA LUMPUR, 16 Jun : Perbicaraan kes lima pelajar Universiti Malaya yang didakwa cuba melakukan vandalisme dan menconteng dinding Dewan Utama Akademi Pengajian Melayu dengan perkataan berunsurkan politik bermulakan semalam di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Mahkamah Kuala Lumpur dengan pendengaran bukti daripada wakil Jabatan Kimia Malaysia.

Kelima mahasiswa terbabit adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa menceroboh, cuba membakar Dewan Utama dan menconteng dinding dewan dengan perkataan 'Altantuya', 'C4', dan 'Bini Puaka' di merata tempat di dalam dewan.

Ketiga-tiga pertuduhan ini membawa hukuman minima enam bulan ke 10 tahun penjara dan boleh didenda sehingga maksima RM3,000. Mereka diwakili oleh satu panel peguam yang terdiri daripada empat peguambela, Mohd Radzlan Jalaludin, Zulhazmi Shariff, Surya Putra Taulan dan Arfizi Ramli.

Peguambela bagi Shazni, Mohd Radzlan telah menyerahkan alibi baru pada 10 Jun lalu dengan menyenaraikan empat saksi baru, dan meminta penangguhan kes bagi memberikan masa untuk pihak pendakwaraya meneliti dan merekodkan keterangan saksi tetapi ditolak oleh hakim, Rozana Ali Yusuff kerana pihak pendakwaraya berkeras untuk meneruskan perbicaraan atas alasan keterangan boleh diambil kemudian jika didapati relevan.

Pihak pendakwaraya yang diwakili Timbalan Pandakwaraya Anselm Fernandis dan Aidatul Azura Zainal Abidin telah mengemukakan 19 bahan bukti dan 17 saksi bagi membantu pendakwaan hari ini.

Keterangan daripada saksi pertama, ahli kimia di Jabatan Kimia Negara, Muhammad Fauzi Ghazali mengesahkan kepada mahkamah bahawa tiada bahan hidrokarbon meruap dijumpai pada mana-mana 19 bahan bukti yang diambil dari Dewan Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 24 Jun, 2009.

Ini bermaksud tiada petrol atau bahan mudah terbakar dijumpai pada mana-mana bahan bukti tersebut.

Beliau juga mengesahkan kepada mahkamah bahawa kesan hitam yang terdapat pada T-shirt kuning kepunyaan salah satu pelajar bukan kesan cat atau serbuk hitam yang dijumpai di tempat kejadian.

Soal balas oleh peguambela pula telah mengesahkan keterangan saksi pertama pendakwaraya bahawa tiada hidrokarbon meruap atau secara spesifik, petrol, dijumpai pada mana-mana bekas atau kapas bukti, jelas membuktikan bahan bukti tidak mencukupi bagi membuktikan wujudnya petrol dalam pertuduhan cubaan membakar dewan.

Sesi soal jawab berterusan ke saksi ke tujuh hari ini dengan sesi mahkamah di'hibur'kan oleh jawapan tidak berasas daripada saksi tetapi masih cuba dipertahankan oleh pihak pendakwaraya.

Saksi kedua, Lans Korporal Syed Mastri Syed Ishak, 40 tahun yang bertugas di Ibupejabat Daerah Brickfields terketar-ketar menjawab soalan Aidatul Azura apabila ditanyakan di mana tempat kejadian, yang mana beliau menjawab, 'Universiti Islam Malaysia' menyebabkan para peguam sendiri tergelak.

Syed Mastri membuat kesilapan lagi apabila beliau memberikan dua jawapan bercanggah mengenai permaidani yang dibawa sebagai bukti, di mana beliau mengaku mendapat permaidani dalam keadaan tergulung tetapi mendakwa melihat garis kesan simbahan petrol di atasnya.

Perbicaraan ditangguhkan selepas mendengar kenyataan saksi ke tujuh, Mohd Zubir Abdullah, anggota polis Bahagian D4, Balai polis Brickfields berkenaan butiran semasa beliau menahan Aizat di cafetaria API, UM.

Mohd Radzlan yang ditemui diluar mahkamah memberitahu Shazni tidak perlu menghadirkan diri untuk perbicaraan ini kerana Shazni didakwa atas kes lain dan bukan yang dibicarakan hari ini.

"Saya sendiri tidak faham mengapa mahkamah mahukan kelima mereka berada di kandang pesalah sedangkan Shazni tiada kaitan langsung dengan perbicaraan hari ini, tetapi saya berharap kita dapat melihat apa kaitannya dalam perbicaraan esok selepas pendakwaraya memberikan hujah mereka," kata beliau sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.

Read more ...

SPR jahil adat resam Iban


big_Spr  Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia01















KUCHING, 16 Jun :
Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) menyelar Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Sarawak Takun Sunggah kerana kejahilannya tentang adat resam masyarakat Iban.

Presiden Sadia, Sidi Munan berkata adalah salah bagi Sunggah menyatakan bahawa ketua-ketua rumah panjang mempunyai hak untuk menerima atau menolak pelawat termasuk para peraih yang meraih undi ketika kempen pilihan raya.

Menyifatkan adat Iban sebagai penuh dengan kemesraan beliau berkata, "kenyataan Sunggah boleh dianggap sebagai mencampuri adat resam masyarakat Iban, yang membenarkan atau tidak membenarkan para pelawat datang ke rumah panjang ketika kempen pilihan raya.

"Dalam adat resam masyarakat Iban, tidak ada perkara seperti itu. dalam adat istiadat orang-orang Iban, pelawat atau orang luar dialu-alukan kedatangan mereka penuh rasa mesra.

Menurut beliau, Sunggah telah menghantar isyarat yang salah kepada rumah panjang apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Kenyataan rasmi

"Apabila kenyataan itu terbit daripada pegawai suruhanjaya, ianya dianggap kenyataan rasmi daripada kerajaan," kata Munan, secara tidak langsung merujuk kepada komen Sunggah dalam akhbar harian tempatan berikutan pilihan raya kecil Sibu.

SPR diselubungi dengan kontroversi cara ia menangani isu undi pos dan arahan yang kurang diplomasi kepada rumah panjang dalam kawasan parlimen tersebut.

Para peraih undi pilihan raya daripada gagasan Pakatan Rakyat (PR) terperanjat dan terkejut apabila beberapa rumah panjang tidak membenarkan mereka masuk tetapi membenarkan masuk kenderaan dan peraih undi dari Barisan Nasional (BN).

Satu kes yang spesifik ialah ketika hari mengundi di Tanjung Penusu apabila kenderaan BN dibenarkan masuk sedangkan kenderaan daripada PR dihalang.

"Tidak semua orang di rumah panjang menyokong BN. Saya yakin terdapat juga orang lain yang menyokong pembangkang," kata Munan.

Sementara itu, sebuah blog yang popular, "Sarawak Indigenious News Community" juga menyanggah kenyataan Sunggah tentang arahan itu.

Mengaju beliau dengan soalan, blog itu berkata, "adakah beliau tahu bahawa Iban adalah satu-satunya bangsa di dunia yang berkata, "duduk dan makan dahulu" apabila bertemu seseorang buat pertama kali? Anjing anda juga akan diberi makan.

"Begitulah hormatnya mereka terhadap para tetamu. Tidak terlintas langsung dalam pemikiran mereka yang waras akan menolak para tetamu."

Penulis itu berkata, "mesej Sunggah yang tidak diduga itu memberi gambaran jelas bahawa BN bersedia untuk mentadbir orang-orang Iban dengan cara "pecah dan perintah".

"Siapa peduli sama ada orang-orang Iban tetap tinggal bersatu padu dalam rumah panjang mereka. Apa yang penting BN mesti menang walaupun masyarakat Iban berpecah belah," ujar penulis itu dengan nada sinis.

Read more ...

SPRM kena siasat Felda Holdings


KUALA LUMPUR ,16 Jun : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan wujudnya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan individu tertentu di dalam syarikat berkaitan kerajaan, Felda Holdings Berhad.

Charles dalam sidang medianya di Parlimen semalam memetik kandungan surat terbuka yang ditulis oleh bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang secara terbuka menganggap bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghancurkan Felda.

"Beliau (Tan) juga memaklumkan bahawa Felda telah membayar 40 peratus atau RM230 juta kepada pemaju untuk pembinaan sebuah pejabat bertaraf lima bintang. Apa yang menimbulkan persoalan adalah mengenai bayaran deposit yang tinggi dikenakan kepada projek tersebut dan ada kebarangkalian yang ianya akan terbengkalai," kata beliau lagi.

Pembinaan pejabat bertaraf lima bintang di tengah Kuala Lumpur itu bernilai RM600 juta dan dikendalikan oleh syarikat pembinaan, Naza-TTDI.

Charles turut mempersoalkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Mohd Bakke Salleh sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby Bhd yang baru.

Menurut beliau Tabung Haji pernah digegarkan dengan satu skandal kewangan membabitkan RM169 juta pada 2002 ketika Mohd Bakke masih menerajui badan itu.

Charles berkata Mohd Bakke didakwa menyalahi peraturan Tabung Haji yang diterajuinya apabila menyerahkan dana milik Tabung Haji kepada sebuah syarikat pengurusan pelaburan swasta sehingga menyebabkan kehilangan sekurang-kurangnya RM65 juta dalam satu pelaburan berisiko tinggi.

Mohd Bakke yang dianggap 'orang' Najib kini menjadi Presiden Kumpulan/Ketua Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (Felda Global).

Beliau kini dilantik untuk menerajui Sime Darby yang kini menghadapi masalah kewangan selepas merekodkan kerugian sebanyak RM308 juta dan ditugaskan untuk memulihkan syarikat tersebut dengan memberikan fokus kepada industri perladangan kelapa sawit dan perniagaan berkaitan.

"Jumlah tersebut adalah besar, dan selepas skandal kewangan Sime Darby, ianya akan menjadi lebih rumit lagi.

"Tujuan penubuhan Felda pada asalnya adalah untuk menyusun semula masyarakat, terutamanya mereka yang tinggal di kampung-kampung untuk di bawa ke sebuah kawasan dengan program untuk membasmi kemiskinan. Kita tidak mahu ianya berubah menjadi sebuah tempat bagi kelompok elit dan pemerintah untuk 'membuat wang'," kata Charles lagi.

Beliau akan membuat laporan berkenaan perkara tersebut di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada pukul 11.30 pagi hari ini.

Read more ...

Najib dicabar bubar parlimen


KOTA BHARU , 16 Jun : PAS Kelantan mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bubarkan Parlimen sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan segera sekiranya beliau yakin untuk memperoleh kemenangan dalam pilihan raya itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri, Abdul Fatah Harun berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa sokongan Perdana Menteri kini terus kukuh tidak melambangkan realiti suasana politik negara sekarang.

“Kenyataan Tun tidak berpijak kepada realiti politik semasa. Beliau menggunakan analisis Merdeka Center untuk buat kesimpulan, sedangkan Pakatan Rakyat (PR) juga mempunyai analisis sendiri.

“Oleh itu jika Perdana Menteri berani, sila bubar Parlimen sekarang dan kita beri peluang kepada rakyat memilih kerajaan baru untuk mentadbir Putrajaya. Kita boleh tengok kebenaran analisis itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir berkata, PRU-13 boleh diadakan dalam masa terdekat memandangkan keyakinan dan kepuasan hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri sudah meningkat kepada 72 peratus.

Pada PRU-12 lalu, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi Parlimen, manakala BN mendapat 140 dari 222 kerusi yang dipertandingkan. Untuk mendapatkan majoriti dua pertiga BN perlu sekurang-kurangnya 148 kerusi Parlimen.

Ditanya adakah PR mempunyai data mengenai analis semasa mengenai trend mengundi dalam negara ini, Fatah. berkata, pihaknya mempunyai banyak sumber yang kuat dan lebih meyakinkan dari apa yang dilakukan oleh BN.

“Sumber dan data kini menunjukkan kita mampu untuk menawan Putrajaya sekiranya pilihan raya diadakan sekarang,” katanya.SH

Read more ...

Keshvinder diramal bakal Exco Perak















SHAH ALAM, 16 Jun : Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Kashmir Singh dari DAP yang mengisytiharkan keluar parti seterusnya menjadi calon Bebas dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai mengkhianati pengundi dan parti.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tindakan tersebut juga merupakan taktik kotor BN yang berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan undi masyarakat India di Perak.

Menurutnya, BN mengalami trauma dan keperitan sehingga terdesak bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai calon India atau Sikh dalam barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Saya meramalkan beliau (Keshvinder) akan menjadi exco dalam barisan kepimpinan BN di Perak kerana BN tiada wakil daripada kaum India atau Sikh dan beliau menjadi anak emas BN kelak.

“Walau bagaimanapun, saya yakin mata pengundi sudah arif dan tidak akan memberi sokongan kepada pengkhianat parti seperti beliau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Suee Lim berkata, pihaknya melalui saluran politik akan mendesak ADUN Malim Nawar itu supaya meletakkan jawatan kerana kemenangan beliau atas tiket DAP.

“Namun kita percaya mereka yang sudah keluar parti ini tidak akan meletakkan jawatan dan mereka ini akan menggunakan ‘keistimewaan’ mereka itu untuk mendapatkan jawatan dan imbuhan daripada pihak lain.

“Tidak cukup peruntukan untuk menyelesaikan masalah rakyat hanya alasan untuk beliau keluar parti secara sah sahaja. Pada saya, tiada peruntukan bukan halangan dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat tinggal kepada Keshvinder, Suee Lim me�nyatakan ia adalah keputusan terbaik daripada DAP terus mengalami masalah dalaman dan menjadi barah dalam perjuangan parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan keluar parti Keshvinder sekaligus menunjukkan cara BN yang mengamalkan rasuah dengan membeli Adun daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Pada saya, alasan tiada peruntukan sehingga mendorong beliau keluar parti menunjukkan beliau mempunyai prinsip yang salah dan ia adalah alasan semata-mata,” katanya.

Katanya, rakyat akan memahami masalah peruntukan itu sekiranya mereka diberitahu seterusnya memperlihatkan BN sebagai tidak adil, tidak telus dan tidak mengamalkan demokrasi.

“Saya tidak akan bertindak seperti itu (keluar parti) atas alasan tiada peruntukan. Rakyat akan faham jika mereka diberi penjelasan dan kita perlu tahu cara menggunakan wang supaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Kadangkala cara kita gunakan wang lebih manfaat berbanding BN, tidak perlu program besar dan banyak bersederhana kerana rakyat akan lihat kita lebih ikhlas membantu mereka,” katanya.

Read more ...

PAS tak buang PKR


JUNJUNG , 16 Jun :
Tindakan PAS mengumumkan meletakkan calon bukan beragama Islam dan menggunakan lambang PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bukan bertujuan membelakang atau mengetepikan PKR.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah satu tindakan wajar kerana Malaysia mempunyai masyarakat dan rakyat berbilang kaum.

“Dengan adanya sistem sedemikian, Pakatan Rakyat (PR) pastinya akan mendapat lebih ramai sokongan daripada mereka yang bukan beragama Islam.

“Apa dilakukan PAS adalah satu petanda baik untuk memastikan kemenangan PR dalam PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak merasakan tindakan PAS memberi laluan kepada ahli kelab penyokongnya menggunakan lambang PAS bertujuan mengetepikan PKR.

Beliau berkata, PKR, PAS dan DAP adalah satu pakatan yang kuat. Sekiranya dahulu PR hanya jadi pembangkang, hari ini PR menjadi kerajaan.

Beliau juga yakin jika semua ahli dan pengundi terus memberikan kepercayaan kepada PR, insya-Allah PR akan berjaya menawan Kerajaan Pusat.

Beliau yang hadir pada Majlis Makan Durian anjuran PKR Ranting Junjung turut di iringi Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee dan Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Mansor Othman menyatakan PR akan terus bersatu untuk meraih kepercayaan rakyat dan memastikan kemenangan PRU ke-13.

Menurutnya, PKR akan mengadakan rundingan terlebih dahulu bersama PAS dan tidak timbul isu PAS cuba mengetepikan PKR pada masa akan datang.SH

Read more ...