Saturday, November 13, 2010

Umno jangan buat hal jika kalah PRU 13
























































SHAH ALAM, 13 Nov. :
Sambil menyifatkan pemimpin-pemimpin Umno tidak patuh terhadap undang-undang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendesak parti Melayu terbesar itu berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Hadi berkata Umno yang merupakan teras kepada Barisan Nasional (BN) sepatutnya perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

“Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

“Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan program PAS Sedia Ganti Umno di sini hari ini.

Perak merupakan antara lima negeri dimenangi Pakatan Rakyat tetapi jatuh ke tangan BN awal tahun lalu.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2010 berkata Putrajaya — merujuk kepada nadi pentadbiran kerajaan persekutusan — “mesti dipertahankan walau apa pun terjadi.”

Pakatan Rakyat pula secara menggerakan tema kempen “Bergerak Menuju Putrajaya”.

Hadi (gambar) yang juga Ahli Parlimen Marang juga menggesa jentera parti itu supaya memperkuatkan parti Islam itu dalam menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Kita kena rancang strategi, kita perlu tingkatkan kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya.

“Kita nak capai kemenangan dengan kekuatan sendiri bukan kerana kelemahan lawan.
“Justeru, program yang kita anjurkan hari ini amat penting supaya jentera memahami polisi dan strategi parti,” katanya.

Terlebih dahulu dalam ketika merasmikan program tersebut, Hadi berkata PAS perlu mempunyai kekuatan dan strategi yang baik untuk menghadapi Umno-BN dalam pilihan raya.

“Kita berlawan dengan Umno macam berlawan dengan orang bodoh, orang gila. Tiada undang-undang.

“Kalau nak lawan kita kena ada kekuatan sendiri, kena ada strategi sendiri, kena ada cara untuk berlawan denga musuh dan kita kena gerakkannya di peringkat akar umbi.

“Umno tidak boleh memerintah selama-lamanya, siapa yang boleh ambil alih negara? Sebab itu kita tawarkan diri, biar Umno berehat,” katanya.

Beliau yang juga bekas menteri besar Terengganu meminta supaya jentera parti itu mendapatkan sokongan daripada semua pengundi termasuk orang bukan Melayu dan juga ahli Umno.

“Kita tidak boleh menang dengan hanya undi dari ahli PAS, tetapi undi daripada bukan ahli juga (diperlukan). Kita juga perlu undi daripada ahli Umno juga.

“Sebab itu kita kena rancang strategi dan gunakan pendekatan untuk membawa mereka kepada kita. Kita harus bersikap terbuka dalam perkara ini,” katanya.

Progam sehari itu disertai kira-kira 1,200 ahli PAS termasuk pimpinan PAS peringkat negeri.

Read more ...