Amat malang sekali, mutakhir ini, (sejak Mac
2008) keadaan Melayu di negeri ini digambarkan seolah – olah lebih parah
terutamanya oleh media kawalan pembangkang di negeri ini iaitu, Umno
dan Barisan Nasional.
Mengikut statistik Jabatan
Perangakaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang
adalah 1, 609, 000 orang dan mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah
mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini; 676, 900 (42.06%) orang
Melayu dan 658, 700 (40.93%) orang Cina dan selebihnya 155, 600 orang
India dan 118, 700 etnik lain – lain.
Maka, label bahawa Pulau Pinang
adalah negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai.
Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir seimbang tetapi secara
geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.
Mac
2008 menyaksikan antara tsunami politik terbesar berlaku di Pulau
Pinang. Jika pada Pilihan Raya Umum 2004, Barisan Nasional dengan selesa
memenangi 38 kerusi DUN, tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi 19 kerusi,
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN) sembilan kerusi dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) satu
kerusi manakala Barisan Nasional melalui UMNO sekadar memenangi 11
kerusi.
Keputusan ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang
memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri
ini pernah menolak Perikatan pad Pilihan Raya Umum 1969 dengan memilih
Parti Gerakan.
Saat Pakatan Rakyat
menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa
politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti
cauvinis Cina diapi – apikan di kalangan orang Melayu.
Secara tiba –
tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu,
isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan
pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.
Walhal,
kita semua sedia maklum, UMNO pernah menerajui kerajaan negeri bukan
hanya selepas merdeka bahkan selepas 1969 pun, UMNO berada di tampuk
kuasa.
Maka dimanakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan
pimpinan UMNO ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan
pembelaan dan idea – idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari
segi politik mahupun sosioekonomi?
Mengapa pengkhianatan yang dibalas
atas kepercayaan setiap rakyat kepada mereka dahulu?
Amat
malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang
Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah - olah ianya bermula hanya
selepas Pakatan Rakyat memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi
daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional.
Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang
menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu (terutamanya di Tanjung)
tergadai lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup.
Umno bukan saja
gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih
untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas
agenda ketuanan Melayu.
Namun, sejak 2008, Pakatan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng,
telah melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini. Antaranya
menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama
Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairiat
kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan
RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi
projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.
Hakikat
yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya
lebih terjamin semenjak Pakatan Rakyat memerintah. Program - program
ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan
Pakatan Rakyat di negeri ini bukan lagi rahsia atau retorik kosong
semata - mata.
Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing
menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak
Pakatan Rakyat memerintah.
Menjelang
Pilihan Raya Umum 13 yang semakin hampir, parti komponen Barisan
Nasional, MCA dan Gerakan, masih lagi gagal untuk mengembalikan
sokongan bukan Melayu di negeri ini.
Krisis kepimpinan yang dihadapi
komponen Barisan Nasional nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka
untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini.
Umno
tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen,
MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri
ini.
Kenyataan Dato' Zainal Abidin (pengerusi perhubungan Umno negeri)
bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal
membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengekalkan kuasa pada pilihan
raya depan.
Maka, realiti politik orang
Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan adalah untuk tidak
lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat
Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Sudah
tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada Keadilan dan PAS.
Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili
orang Melayu.
Orang Melayu harus
sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang
mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama.
Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan
ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura - pura.
Pemimpin Melayu yang
progresif,, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin
yang kita perlukan di saat ini. Moga sosok pemimpin ini mampu membawa
pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau
Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak - anak negeri ini.
oleh Dr Afif Bahrdin