GEOGRETOWN, 1 Okt. : Seramai 11 ADUN Umno di Pulau Pinang dicabar memulangkan wang gaji mereka kerana kemungkinan wang berkenaan datangnya dari sumber judi.
Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang membuat cabaran itu juga menggesa Umno mengarahkan semua staf dan kakitangan akhbar Utusan Malaysia milik parti itu untuk memulangkan semua gaji mereka.
“(Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat juga) mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah pengaruh mereka supaya memulangkan semua pendapatan gaji semula kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih daripada percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak,” kata mereka ketika membacakan kenyataan media.
“(Justeru) cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada Umno membuktikan diri mereka adalah 'pembela Melayu yang sebenar', seperti yang selalu mereka war-warkan.
“Kami juga menyeru agar Umno benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di televisyen dan di dada-dada akhbar,” kata Syed Mikael pada persidangan akhbar di Prai, semalam.
Dua hari lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang diberikan itu selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.
Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kumpulan warga emas berkenaan telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga setiausaha perhubungan Umno Pulau Pinang.
“Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul.
“Kesian mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi jelas, Umno cuba merampas apa yang sepatutnya mereka dapat," katanya.
"Itu majlis yang diaturkan Umno. Tak adalah, mana boleh warga emas yang minta majlis macam itu. Ini memang didalangi mereka. Siapa yang membangkitkan isu ini terlebih dahulu? Umnolah,” katanya lagi.