SHAH ALAM 10 Jun - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan
Mohamed Ali dikatakan akan menyertai semula parti itu selepas dipecat
keahliannya pada Januari 2012.
Menurut sumber parti itu, kemasukan semula Hasan mungkin boleh
berlaku apabila dikatakan wujud usaha dalaman yang digerakkan beberapa
kepimpinan Pas termasuk anak-anak kepada pengasas serta golongan veteran
bagi 'memperbetulkan' semula Pas supaya tidak tersasar jauh daripada
matlamat dan perjuangan asalnya sebelum ini.
Katanya, usaha dalaman itu difahamkan dibuat atas perkiraan
perkembangan politik semasa ketika ini termasuk kesan-kesan lain yang
terpaksa dihadapi Pas ekoran kerjasama parti tersebut dengan DAP dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sesuatu isu yang ada kalanya tidak
selari dengan matlamat asal parti berkenaan.
"Memang tidak dapat dinafikan Pas ketika ini dilihat sedikit demi
sedikit telah lari daripada matlamat perjuangannya seperti yang
termaktub dalam perlembagaan parti apabila mengadakan kerjasama politik
dengan DAP dan PKR.
"Malah ada pemimpin daripada parti sekutu Pas secara terang-terangan
menolak pelaksanaan hudud yang merupakan antara agenda perjuangan Pas
selain isu-isu yang melibatkan soal agama dan perpaduan umat Islam. Atas
sebab itulah dikatakan wujudnya usaha dalaman bagi memperbetulkan
semula Pas agar tidak terpesong daripada landasan asal perjuangannya.
"Usaha dalaman ini juga mungkin akan melibatkan usaha menarik semula
Hasan ke dalam Pas bagi bersama-sama memperbetulkan semula parti,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber itu, usaha dalaman tersebut juga adalah untuk menyokong
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika ini dilihat
berseorangan dalam memastikan Pas terus mengikut perjuangan asalnya
sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti tersebut.
Menurut sumber itu, usaha Abdul Hadi difahamkan tidak disambut begitu baik oleh sebilangan kepimpinan Pas ketika ini.
Sementara itu, Hasan ketika dihubungi menyatakan beliau tidak
menerima sebarang maklumat mengenai wujudnya usaha dalaman tersebut
sebagaimana yang didakwa.
"Saya tidak ada dengar mengenai perkara ini (usaha untuk menarik
beliau ke dalam Pas semula). Perkara ini tidak sampai ke pengetahuan
saya.
"Jika ada pelawaan, saya akan fikirkan. Banyak perkiraan perlu dibuat sebelum memutuskan perkara itu," ujarnya.