Wednesday, August 25, 2010

Laporan media tidak tepat: Nik Nazmi


SHAH ALAM, 26 Ogos : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataannya yang menyebut pelaksanaan hukuman hudud di Malaysia adalah tidak sesuai seperti dilaporkan media sebagai tidak tepat.

Katanya, beliau tidak berniat menentang hukum syariah kerana ia sebahagian daripada agama Islam, tetapi dalam 17 Perkara Dasar Keadilan, telah termaktub pendirian Keadilan dalam hal agama.


“Mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan sambil menjamin hak bukan Islam untuk beragama dan berfikir, serta memperkembangkan peranan agama dan nilai-nilai sejagat demi menegakkan kebenaran, keadilan, tatacara berakhlak, kemanusiaan dan kemuliaan insan.

:“Pendirian dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai Keadilan, Pas dan DAP Pakatan memartabatkan peruntukan Perlembagaan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama di Malaysia,” katanya dipetik blognya, semalam.

Nik Nazmi berkata, Pakatan Rakyat komited untuk menubuhkan mekanisme menyeluruh bagi memberi penyelesaian yang adil dalam kes melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk Suruhanjaya Diraja.SH

Read more ...

Mahathir sengaja buat tidak faham




















KUALA LUMPUR, 26 Ogos: PAS berpandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja membuat tidak faham dengan senario politik di negara ini.

“Berkali-kali PAS tegaskan kepada rakyat, kalau Umno kalah yang menangnya ialah PAS,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Sehubungan itu, katanya PAS kesal dengan kenyataan Dr Mahathir yang mengugut Melayu supaya bersatu atau hilang kuasa politik kepada bukan Melayu jika terus berpecah.

Jelasnya, Umno akan berhadapan dengan PAS di kawasan kerusi Melayu, yang tukarnya parti sahaja yang membawa dasar yang lebih jauh baik daripada Umno.

Baginya, sememangnya Mahathir jenis manusia yang buat-buat tidak faham.

Menurutnya, Mahathir masih menganggap bahawa Melayu wajib bersatu di bawah payung Umno sahaja, seolah-olah selain daripada Umno, Melayu tidak boleh bersatu.

“Inilah khurafat Umno yang terpahat dalam pemikiran pemimpin Umno seperti Dr Mahathir dan inilah juga kefahaman yang diterap kepada pegawai kerajaan melalui kursus-kursus Biro Tata Negara,” ujarnya.

Dulu, katanya pemimpin Umno sering mendakwa bahawa selain daripada Umno memerintah tidak akan maju.

Beliau menambah, hujah itu sudah lapuk di mana rakyat boleh menilai kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat memerintah di negeri mereka, walaupun usia muda tetapi membuat pembaharuaan yang begitu pantas.

Rakyat, katanya telah melihat dari segi ketelusan dan merakyatkan kekayaan negeri untuk dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Menurutnya lagi, selama 22 tahun negara di bawah Dr Mahathir banyak dasar-dasar yang dilakukan merugikan orang Melayu, antaranya ialah berapa banyak tanah rezab Melayu bertukar dan tidak berganti, melaksanakan dasar pengajaran Metematik dan Sains dalam bahasa Inggeris walaupun merugikan orang Melayu di pedalaman.

“Beliau sendiri pernah mencadangkan supaya orang Melayu kena buang budaya subsidi, mencadangkan dasar meritokrasi, menarik royalti minyak di Terengganu, mewujudkan pegawai persekutuan di negeri Kelantan dan Terengganu, menarik bantuan perkapita sekolah agama rakyat.

“Banyak sangat kalau kita hendak tulis pengkhianatan beliau kepada Melayu semasa beliau berkuasa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mempesoalkan kenapa sekarang Mahathir begitu lantang seolah-olah mengugut orang Melayu mesti bersatu dengan Umno untuk meneruskan lagi penindasan kepada rakyat dan membiarkan rakyat menderita dan memudahkan suku sakatnya mengaut kekayaan negara.

“Apakah beliau takut dan wujudnya mimpi ngeri, kalau Pakatan Rakyat menang beliau sendiri tidak selamat?” tanya beliau. hrkh

Read more ...

Khatib beri tempoh dua hari sebelum saman


IPOH, 26 Ogos : Khatib, Zakaria Ahmad memberi tempoh dua hari kepada beberapa individu, akhbar arus perdana dan sebuah stesen televisyen membuat permohonan maaf secara terbuka atau berhadapan tindakan saman berhubung kontroversi doa khutbah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Zakaria mendakwa, pihak :berkenaan telah memutar belitkan fakta berkaitan doa khutbah ke dua solat Jumaat yang dibacakannya di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang.


“Terdapat sebilangan pihak cuba menjatuhkan reputasi saya seolah-olah saya jahil di dalam agama Islam. Ini soal maruah. Mereka mengeluarkan kenyataan dan berita yang boleh menimbulkan salah faham orang ramai


“Saya mengambil keputusan saman untuk menyedarkan pihak terlibat supaya tidak mengulangi kejadian sama (putar belit isu) kepada orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita berada dalam bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Zakaria berkata, beliau dan peguam sudah mengenal pasti dua akhbar arus perdana (bukan: Sinar Harian:), sebuah stesen televisyen dan beberapa individu berpotensi dikenakan tindakan undang-undang berhubung perkara itu.


“Kalau dalam sehari dua ini mereka tidak meminta maaf, saya akan bertindak,” katanya.


Zakaria sebelum ini mengaku menggunakan nama Guan Eng dalam bacaan doa itu sejak dua tahun lalu namun berpendapat ia baru sahaja diperbesarkan pihak tertentu dan dipolitikkan sehingga menjadi serius.


Pada 19 Ogos lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memprotes penggunaan nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Protes disokong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim yang menyatakan kesediaan untuk menampilkan saksi khatib yang membacakan doa tersebut.


Zakaria kemudian tampil mengaku ada menyebut nama Guang Eng dalam doa khutbah Jumaat dan beliau dipanggil memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), kelmarin.
SH

Read more ...

Usaha keras punca daftar pemilih tertinggi


















KUALA LUMPUR, 25 Ogos: PAS Kelantan antara paling tinggi berjaya menarik pengundi baru di negeri itu mendaftar sebagai pemilih berbanding di negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Dalam rekod senarai pemilih didaftar Penolong Pendaftar dari Januari hingga Jun 2010, bagi parti-parti utama di Semenanjung, PAS Kelantan merekodkan sejumlah 15,853 pendaftaran pemilih baru yang majoritinya adalah Melayu.

Berbanding di Terengganu, PAS negeri itu berjaya mendaftarkan 4,291 pengundi baru manakala di Kedah (6,583) dan di Selangor (4,516).

Jika dilihat dari sudut keberjayaan dan kesungguhan menarik pengundi baru mendaftar sebagai pemilih, maka tidak hairanlah kenapa PAS Kelantan mampu mengekalkan kuasa mereka lebih dari 20 tahun.

Untuk parti politik pula, DAP paling ramai mendaftar pemilih baru iaitu 55,321, diikuti Umno (54, 872 dan PAS (38,631)

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Harun (gambar bawah), PAS negeri itu mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik pengundi baru mendaftar.

"Daftar pemilih satu kerja yang orang yang kata kalau tak gigih tak boleh buat, kalau tak bersemangat betul tak boleh buat dan kita ada strategi sendiri yang tak boleh didedahkan," katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan tersebut juga didorong kesungguhan setiap ahli PAS negeri itu yang bergerak mencari pemilih baru boleh dikatakan hampir setiap hari.

"Daftar pemilih ini memang kita buat dari semasa ke semasa, setiap hari.

"Semua terlibat, setiap ahli terlibat dengan daftar pemilih ini sebab kalau mak ayah dia kuat PAS sekalipun, tapi anak tak mendaftar sebagai pemilih, tak guna juga," tambahnya lagi.

Selain itu menurutnya, ianya juga sebagai bukti kesungguhan PAS Kelantan merealisasikan harapan menuju Putrajaya seperti yang disasarkan Pakatan Rakyat.

Harapan tanpa perancangan dan gerak kerja dari akr umbi katanya hanya akan menjadi angan-angan kosong.

"Kalau kita buat kerja untuk menuju Putrajaya, insya Allah ia akan berjaya.

"Tapi kalau setakat bercakap sahaja, tapi tinggalkan kerja-kerja lain, maka harapan untuk melangkah ke Putrajaya itu hanya angan-angan sahaja.

"Syarat-syarat untuk menawan Putrajaya itu semua orang sudah tahu cuma tinggal fasa gerak kerja sahaja," katanya.

PAS Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada 2004 lalu, pernah memerintah negeri itu dengan lebihan hanya satu kerusi.

Bagaimanapun pada PRU ke-12 Mac 2008 lalu, tsunami politik yang melanda negara telah mengukuhkan kembali penguasaan PAS negeri itu dengan memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding hanya enam kerusi diperolehi Barisan Nasional.

Pada pilihan raya itu juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi Dun.

Manakala di Terengganu pula, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Arifin Deraman mensasarkan jumlah 15 ribu pemilih baru akan didaftarkan.

"Dalam masa enam bulan ini kita daftar seramai 4200 lebih dan kita jangka hingga hujung tahun antara Julai hingga Disember kita jangka seramai 10 ribu. Maksudnya kita nak sampai 15 ribu dalam tempoh setahun," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, antara masalah yang dihadapi mereka dalam enam bulan pertama ini adalah terpaksa berdepan dengan Umno negeri itu.

Ramai anak muda negeri itu jelasnya, memilih untuk mendaftar pemilih dengan Umno kerana diberi habuan berupa wang ringgit.

"Cuma saya tak nafikan satu halangan yang mungkin tak berlaku di negeri-negeri lain, yang berdaftar dengan Umno diberi duit. Sebab itu ramai anak orang PAS berdaftar dengan Umno dan itu yang menyebabkan peratus jadi rendah," jelasnya lagi.

Dalam Pada itu DAP pula mencatatkan rekod paling tinggi sehingga Jun tahun ini apabila berjaya mendaftar 20,274 pemilih baru di negeri Pulau Pinang yang dikuasai mereka.hrkh

Read more ...

MB Kelantan iringi peguam kemuka writ saman Petronas pada 30 Ogos


KOTA BHARU , 26 Ogos : Kerajaan PAS Kelantan semalam, mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi minyak negara, Petronas berhubung dengan tuntutan royalti minyak yang didakwa sepatutnya diberikan kepada Kerajaan Negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, writ saman tersebut akan dikemukakan di bahagian Perdagangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Isnin ini.


“Hari ini (semalam) kita membincangkan writ saman kepada Petronas dan mengambil keputusan untuk memfailkan di Mahkamah Tinggi (Dagang) Jalan Duta Isnin ini, hadir menyokong tuntutan itu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, semalam.

Terdahulu, kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk Nik Abdul Aziz mendengar taklimat lebih sejam dari peguam yang mewakili Kerajaan Negeri yang diketuai Tommy Thomas.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mac lalu sebulat suara meluluskan usul memberi mandat kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Kerajaan Pas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian wang ihsan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan menuntut lebih RM 1 bilion royalti yang dikatakan hak mutlak milik Kerajaan Negeri.

Husam berkata, selepas dari memfailkan writ tersebut, Menteri Besar akan mengadakan solat hajat di Masjid wilayah supaya Kerajaan Pusat membuka jalan mengembalikan hak kerajaan Kelantan.

Dalam perkembangan yang sama, seramai 40 ulama di negeri ini akan mengetuai Munajat Royalti bagi memohon tuntutan hak royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan dikembalikan Kerajaan Pusat.

Ketua kumpulan, Md Zulaimi Kazin berkata, ulama dari beberapa buah pondok, terutama dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh akan bermunajat di dalam negara serta di Makkah bagi menyokong tuntutan itu.

“Pemilihan ulama tersebut dibuat dari kalangan ulama di pondok, ulama kawasan dari Dewan Ulama Pas dan ulama dalam kalangan ahli akademik. Paling penting misi ini akan menyampaikan mesej yang jelas kepada Kerajaan Pusat dan Petronas bahawa rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak mereka,” katanya.SH

Read more ...

Keputusan Mahkamah Rayuan bakal cetus kontrovesi















PUTRAJAYA, 25 Ogos :
Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan peguam Datuk VK Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara untuk membuat semakan kehakiman atas hasil siasatan Suruhanjaya DiRaja mengenai skandal klip video Lingam akan menyebabkan implikasi buruk terhadap badan kehakiman pada masa akan datang.


Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menjelaskan bahawa kebenaran mahkamah kepada Lingam, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin akan menimbulkan preceden negatif di mana mahkamah mempunyai ruang dan boleh mencelah terhadap keputusan mana-mana Suruhanjaya DiRaja sama ada yang ditubuhkan sebelum ini atau yang akan ditubuhkan pada masa akan datang.


"Ia adalah satu keputusan yang luar biasa, kerana penemuan daripada siasatan Suruhanjaya DiRaja adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Suruhanjaya DiRaja bukanlah sebuah mahkamah tetapi adalah sebuah badan penyiasatan. Keputusan ini boleh dianggap sebagai mencipta undang-undang yang baru," kata beliau kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Keputusan membenarkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan semalam dibuat oleh Datuk Tengku Baharudin Shah yang mengetuai panel tiga hakim dan Datuk Zaharah Ibrahim manakala Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi pada 12 Disember 2008 menolak permohonan Lingam, Ahmad Fairuz dan Eusoff bagi membuat semakan kehakiman terhadap hasil siasatan Suruhanjaya DiRaja itu.

Sivarasa berkata sebagai sebuah Suruhanjaya DiRaja yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong dengan syor daripada Jemaah Menteri, Perdana Menteri seharusnya mengambil tindakan segera selepas suruhanjaya itu mengumumkan hasil siasatannya.

Beliau menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan akan mengelirukan orang ramai terutamanya berhubung persepsi yang bakal timbul akibat daripada keputusan yang dianggap pincang ini.

Sivarasa menjelaskan permohonan yang boleh dipohon bagi mengenepikan satu-satu keputusan kes adalah di Mahkamah Rendah atau pun mana-mana Tribunal.

"Selain itu, laporan yang diterima hasil siasatan daripada mana-mana Suruhanjaya DiRaja tidak semestinya didedahkan kepada umum.

"Persoalan pokok adalah, apakah yang dilakukan oleh Perdana Menteri selepas menerima hasil dari siasatan Suruhanjaya Diraja Siasatan tersebut?" soal beliau.

Setelah menjalankan siasatan selama 17 hari Suruhanjaya DiRaja tersebut mendapati klip video 14 minit itu adalah tulen. -SK

Read more ...

Rakyat diajak bersama bangunkan Selangor


SHAH ALAM, 26 Ogos : Majlis dialog Pelan Selangor Blueprint 2011-2013 anjuran kerajaan negeri untuk memperolehi maklumbalas berhubung permasalahan yang dihadapi dan cadangan memperbaiki mutu kehidupan warga Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat.

Majlis dialog yang berkonsepkan 'townhall meeting' atau perjumpaan majlis tempatan akan diadakan di seluruh negeri Selangor bagi tujuan tersebut.

"Jika kita inginkan satu 'blueprint' yang baik dan mantap, ianya haruslah mengambil kira kepentingan dan pendapat daripada semua golongan berkepentingan dan pelbagai lapisan masyarakat," kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Mohd Noor.

Berucap di majlis dialog yang diadakan di Shah Alam Ahad lalu, beliau menjelaskan golongan berkepentingan ini termasuklah golongan pendokong industri (industry players), peniaga, pemimpin masyarakat setempat, pegawai kerajaan, kelompok muda serta golongan usia emas.

Pelan Selangor Blueprint (Pelan Hala Tuju) bagi tempoh 2011-2013 merupakan satu usaha kerajaan Pakatan selangor untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dengan pendekatan mesra rakyat.

Buat julung kali dalam sejarah negeri Selangor, pembentukan Selangor Blueprint ini melibatkan siri pembentangan awam di setiap 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun (NGO) tempatan, pemimpin industri, badan keagamaan, Ahli Majlis serta individu berpengaruh telah dijemput untuk menghadiri sesi dialog bagi membincangkan tiga teras utama.

Ini termasuk pembangunan, infrastruktur dan dasar ekonomi sebagai teras pertama, urus tadbir baik dan ketelusan dalam teras kedua dan yang ketiga isu sosial dan pembangunan masyarakat.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir pada sesi dialog mereka boleh menyalurkan pendapat dan pandangan melalui e-mel kepada selangor.blueprint@gmail.com atau memberi cadangan terus di laman web Facebook pada profil “Selangor Blueprint 2011-2013 Consultation Process”.
Kerajaan negeri juga telah menyediakan semua maklumat berkenaan Pelan Selangor Blueprint di dalam laman web rasmi, www.selangor.gov.my.

Dalam satu kenyataan media, kerajaan negeri berkata urus tadbir yang baik dibina daripada prinsip dan juga tindakan.

Pelan Selangor Blueprint 2011-2013 memberi peluang untuk menegaskan komitmen Pakatan Rakyat kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

Melalui dasar dan program strategik, ia mampu membantu kerajaan negeri mengenalpasti kaedah cepat untuk menangani isu yang berbangkit.

Kerajaan negeri berharap idea dan maklumbalas berkenaan isu yang dihadapi di setiap lokasi akan dapat dimaklumkan supaya tindakan segera dapat diambil bersama cadangan untuk isu mikro dan pada peringkat negeri.

Read more ...

Kerajaan PR Selangor buktikan ketelusan



















SHAH ALAM, 25 Ogos :
Kerajaan Selangor akan mengedarkan Surat Pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pengeluaran surat sokongan oleh wakil rakyat dan ahli majlis.


Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata surat pekeliling itu bertujuan mengarahkan PBT supaya tidak mengambil kira surat sokongan dalam pemberian kontrak atau tender kepada sesebuah syarikat kontraktor.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor juga telah meminta Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri untuk menghasilkan rangka garis panduan membabitkan pengeluaran surat sokongan.

“Garis panduan ini akan memberi definisi yang jelas apa yang dimaksudkan hubungan kekeluargaan, saudara mara, adik beradik antara pihak yang mengeluarkan surat sokongan dengan pemilik atau pekerja syarikat yang disyorkan.

“Garis panduan ini juga akan membolehkan Ahli Majlis mempertahankan diri jika didakwa melakukan kesalahan salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.

Menteri Besar sekali lagi menegaskan Ahli Majlis tidak digalak mengeluarkan surat sokongan berunsur perniagaan kecuali surat sokongan untuk bantuan kebajikan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan Jabatan Audit Negeri mengenai surat-surat sokongan yang telah dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya selepas laporan penuh diperoleh yang dijangka dalam waktu terdekat ini.

Menteri Besar berkata, pengeluaran surat sokongan adalah budaya yang diwarisi dari pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan sukar untuk dihapuskan dalam sekelip mata. Malah, surat sokongan masih diperlukan untuk bantuan kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan surat sokongan tidak disalah guna untuk kepentingan kroni.

Read more ...

Pembahagian kerusi Pakatan di Sarawak : 90 peratus hampir selesai


SHAH ALAM, 25 Ogos : Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan berlangsung esok akan menumpukan kepada agenda persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mesyuarat itu akan menyentuh pelbagai perkara mengenai pembahagian kerusi antara empat rakan kongsi Pakatan Rakyat Sarawak - KEADILAN, DAP, PAS dan SNAP, persiapan logistik pilihan raya, manifesto pilihan raya, mengenalpasti calon berpotensi dan isu utama lain yang akan diketengahkan dalam pilihan raya negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi Suara Keadilan berkata, hampir 90 peratus pembahagian kerusi telah diselesaikan menerusi persetujuan dan persefahaman antara parti komponen Pakatan Rakyat.

"Perbincangan kita esok akan menjurus kepada pilihan raya negeri Sarawak seperti manifesto dan slogan pilihan raya, termasuk pengagihan kerusi. Setakat ini hampir 90 peratus kerusi telah diagihkan di kalangan komponen parti Pakatan Rakyat.

"Manakala dari segi pemilihan calon ia akan ditentukan oleh parti masing-masing. KEADILAN sendiri telah menyenarai pendek calon-calon yang akan diketengahkan dalam pilihan raya ini dan telah dikemukakan kepada Biro Politik dan Pengarah Pilihanraya Pusat," ujarnya.

Menurut beliau, antara isu utama yang akan diketengahkan dalam pilihan raya itu adalah mengenai tanah adat Sarawak, kemudahan infrastruktur di luar bandar seperti kemudahan perubatan, pendidikan, masalah kemiskinan dan isu berkaitan urus tadbir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Kegagalan urus tadbir oleh Ketua Menteri Sarawak akan menjadi antara isu utama dalam pilihan raya ini memandangkan beliau mempunyai harta yang berbilion sedangkan kawasan pendalaman masih serba kekurangan.

"Isu kemudahan kesihatan seperti klinik yang jauh dari kawasan pedalaman, isu seperti masalah kemudahan kuarter guru yang mengecewakan, isu pendidikan dan kemiskinan adalah antara isu utama di Sarawak.

"Kemudahan untuk fasiliti dan jalanraya umpamanya masih teruk dibandingkan dengan Semenanjung kerana kemudahan infrastrukturnya yang masih jauh ketinggalan. Sarawak adalah negeri terkaya tetapi antara yang keempat miskin di Malaysia.

"Saya yakin dengan isu-isu yang di bawa ini Pakatan Rakyat berjaya menawan Sarawak daripada Barisan Nasional. Sekiranya pilihan raya ini dijalankan dengan adil tanpa ugutan dan politik wang, saya yakin kita akan menang," tegas beliau.

Ditanya mengenai persiapan KEADILAN di peringkat akar umbi, beliau berkata gerak kerja telah diperkukuhkan diperingkat cabang dan ranting dalam menghadapi pilihan raya tersebut.
"Datuk Seri Anwar akan mengadakan lawatan di Limbang dan Lawas pada 31 Ogos ini. Pada bulan depan, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali antara pimpinan yang dijadualkan akan datang ke Sarawak," jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata secara umumnya parti berpuas hati dengan tahap persiapan jentera Keadilan Sarawak dalam menghadapi pilihan raya tersebut yang tempoh matangnya ialah pada Julai 2011.

"Kita berada dalam tahap siap siaga, kalau sekiranya wisel pilihan raya ditiupkan dalam tempoh terdekat ini pun, kita sudahpun bersedia untuk memasuki gelanggang.

"Kita punya keyakinan yang tinggi bahawa mesej perubahan yang kita bawa bersama dengan rakan komponen Pakatan Rakyat yang lain di negeri Sarawak kali ini boleh menangkap imaginasi rakyat yang akan mendorong kepada perubahan berlaku. Itu perkara yang kita bincangkan pada hari ini," katanya dalam sidang media ketika rangka lawatan selama dua hari di Sarawak bersama Pengarah Strategi, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Shaharin 20 Ogos lalu.

Read more ...