Monday, May 10, 2010

Saiful sahkan Najib terlibat

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersyukur ekoran Mohd Saiful Bukhari Azlan mengaku bertemu Datuk Seri Najib sebelum membuat laporan polis.

"Hari ini saya bersyukur kerana kita dapat sahkan penglibatan Najib yang diakui Saiful bertemu beliau empat hari sebelum laporan polis dibuat," katanya di luar mahkamah hari ini.

Dalam perbicaraan kes liwat ll Anwar hari ini, Saiful berkata dia berjumpa Perdana Menteri pada 24 Jun 2008 di kediaman Najib di Jalan Duta untuk mengadu masalahnya.

Saiful juga memberitahu dia kemudiannya berjumpa ASP Rodhwan di Hotel Mulia pada malam 24 Jun.

"Pegawai kanan polis panggil di satu hotel terkemuka untuk adakan perbincangan sebelum laporan dibuat.

"Itu yang Karpal tekankan penglibatan dan konspirasi melibatkan Najib," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut melahirkan rasa tidak puas hati ekoran kegagalan pihak pendakwa yang begitu takut untuk menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.

"Pertama kali dalam sejarah kes jenayah, nama saksi tidak diberikan, sampai sekarang pendakwa gagal mengemukakan nama saksi.

"Ini seperti mana yang kita sebut satu kelainan. Bila masuk kes Anwar memang ada kelainan," katanya lagi.

Ketika prosiding bermula pagi tadi, peguam bela utama, Karpal Singh, memohon mendapatkan senarai nama saksi daripada pihak pendakwaan tetapi ini tidak dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selepas Karpal menyoal Saiful selama 45 minit, beliau membuat satu lagi permohonan iaitu bagi mendapatkan semua keterangan bertulis daripada polis.

Hakim menangguhkan perbicaraan jam 12.30 tengahari tadi dan akan disambung jam 9 pagi esok.

Penangguhan itu dipohon Karpal Singh untuk membuat penghujahan penuh bagi mendapatkan kenyataan beramaran Saiful.Harakah

Read more ...

Jangan berselindung di sebalik kuasa istana


KUALA LUMPUR, 10 Mei : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mendakwa Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mempersenda titah Sultan Selangor agar tidak berselindung di sebalik kuasa istana.

Anwar sebaliknya berkata, pihak yang lantang menentang Zahid seharusnya tampil menyatakan hujah dengan cara yang baik.

"Kalau tidak bersetuju dengan dia (Zaid), kita harus bahas dengan baiklah. Jangan cuba berselindung di sebalik istana untuk menyerang musuh politik.

"Bagi saya orang yang bagi pandangan itu harus bagi pandangan hujah balas. Jangan guna media mereka untuk menyerang orang," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan ke liwat Anwar II hari ini.

Khamis lepas, seramai 20 ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR di Damansara bagi membantah kenyataan Zaid berhubung titah Sultan Selangor.

Tindakan itu ekoran tulisan Zahid di blognya www.myzaidibrahim.com yang menyifatkan titah Sultan Selangor supaya rakyat tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik sebagai pandangan peribadi, bukan satu perintah.

Anwar turut berkata, sebagai seorang peguam yang memahami undang-undang dan perlembagaan, Zaid hanya menyatakan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

"Datuk Zaid ini peguam terkemuka terutama dari sudut undang-undang dan perlembagaan. Dia hanya mengesahkan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan oleh kerajaan Umno (BN) pada masa itu yang menetapkan bidang kuasa Sultan.

Katanya juga, Umno BN sebenarnya yang sering melakukan tindakan menghina institusi istana sejak pindaan perlembagaan 1983.

"Yang menghina Sultan itu sejak pindaan perlembagaan 1983, adalah Umno BN. Baca hansard parlimen, baca ucapan-ucapan pemimpin Umno di Terengganu dan Kelantan dulu. Jadi saya kira bagi ruang kepada Datuk Zaid untuk mengemukakan pandangan. Kalau tidak bersetuju bagi ruang kepada orang lain yang tidak bersetuju kemukakan pendapat," katanya.

Zaid dalam tulisannya dipetik sebagai berkata, dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Katanya, menurut perlembagaan, segala kehandak sultan mesti disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya.

Ujarnya juga, pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi yang sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Tulisan itu terbit sebagai mempertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melanggar arahan Sultan Selangor apabila mengadakan ceramah di masjid di sekitar Selangor.

Sehubungan itu, beliau telah diberi amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui sepucuk surat yang ditulis oleh pengerusi Mais, Mohamad Adzib Mohd Isa.Harakah

Read more ...

PAS jelaskan persepsi negatif Islam cara Umno/BN


SIBU, 10 Mei: Kempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu yang masuk hari ketiga hari ini memperlihatkan jentera PAS terus memainkan peranan aktif menjelaskan segala persepsi negatif terhadap Islam yang ditanam Umno BN.

Semua saluran yang ada diguna sebaiknya termasuk ziarah rumah ke rumah yang dilihat paling berkesan mencapai matlamat itu.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar berkata selain ziarah, PAS juga membuat edaran risalah, kuliah selepas solat, ceramah dan jamuan bagi bertemu masyarakat setempat.

"Pemuda PAS termasuk ahli-ahli parlimen kita, mengikut jadual yang diatur oleh DAP.

"Kita tumpu kepada memberi penjelasan kepada masyarakat bukan Islam di sini berhubung Islam dan perjuangan yang dibawa Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Mengulas kempen pihak lawan Firdaus berkata, Umno BN masih mengekalkan teknik kempen cara lama iaitu menanam sikap perkauman kepada masyarakat.

Poster dan billboard BN katanya sering membawa mesej provokasi perkauman.

"Walaupun Umno BN guna cara macam tu, tapi saya rasa orang di sini sudah faham politik.

"Kehadiran PAS saya lihat seperti ditunggu-tunggu, dan mereka layan kita seperti sudah bersedia membuat perubahan," katanya lagi.

Mengulas penerimaan rakyat kepada kedua dua calon, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian, namun meletakkan aras 50-50 untuk Pakatan Rakyat menang pada PRK itu.

Sehingga kini lebih 700 jentera PAS dari semenanjung telah berkampung di sana sejak sebelum penamaan calon lagi.

Dan dijangka PAS kan menghatar lebih ramai jentera mereka bagi membantu calon kempen DAP.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.Harakah

Read more ...