Wednesday, August 18, 2010

3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang terima bonus raya



GEOGRETOWN, 18 Ogos : Semua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang akan menikmati bonus istimewa RM400 bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri, geran kewangan istimewa yang membabitkan perbelanjaan RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini.

Pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

“Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang.

“Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik,” kata ketua menterinya, Lim Guan Eng.

Menurut Lim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia.


Katanya, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.

Tindakan populis ini bukan yang pertama diambil oleh Lim sejak DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut menghadiahkan RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri itu. Selain itu, bayaran RM100 juga dibuat kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri itu.

Read more ...

Exco Pemuda MIC ditembak













KUALA LUMPUR, 18 Ogos : Exco Pemuda MIC Pusat A. Kalaiarasu cedera ditembak di perut dan tangan kiri ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun, Kajang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Kalaiarasu, 49, ditembak dengan sepucuk pistol automatik oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dengan penutup muka penuh dan jaket hitam.

“Dua tembakan dilepaskan ke arah mangsa dan mengenai badannya. Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejurus kejadian itu, beliau berkata mangsa melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan di Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200m dari tempat kejadian.

“Mangsa membuat aduan pada anggota di balai polis itu sebelum anggota saya menghantar mangsa ke Hospital Kajang.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek berumur lingkungan 20an dan melarikan diri menaiki motosikal kapcai. Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motor itu,” katanya.

Sakaruddin berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.Bernama

Read more ...

Harussani didesak dedah ‘perlembagaan baru’






















KUALA LUMPUR, 18 Ogos: PAS mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan kandungan ‘perlembagaan baru’ dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihaknya terkejut dengan kenyataan Harussani ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Beliau menegaskan, PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan, jelasnya Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Di samping itu, melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153.

Selain itu, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

“Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya PAS berpandangan sekiranya Harussani tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini.

Beliau menambah, sebagai seorang tokoh agama, Harussani mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.

“PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis,” ujarnya lagi.hrkh

Read more ...

Satu keluarga seorang hafiz

KOTA BHARU, 19 Ogos: Kerajaan Kelantan berharap semoga dalam satu keluarga akan lahir seorang hafiz al-Quran dan dalam masa yang sama tokoh dalam bidang pentafsiran al-Quran juga dapat dilahirkan dalam masyarakat negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata, sehubungan itu kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayai pengurusan pendidikan dan pembelajaran sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

(Gambar: Ahmad, Takiyuddin bersama pemenanga tilawah.)

Beliau mengharapkan generasi kini yang masih berada di sekolah Yik termasuk di Maahad Tahfiz Sains akan lahir sebagai golongan generasi yang hafiz Al-Quran.

Katanya, dengan anak-anak yang kini sedang belajar di sekolah YIK diharap akan mampu lahir sebagai generasi berilmu terutama dalam bidang hafazan al-Quran dan pentafsirannya.

“Sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran bagi satu keluarga akan dapat dilahirkan di samping melahirkan tokoh dalam bidang pentafsiran Al-Quran termasuk mengenai keilmuan berkaitan ‘mineral’ yang digali dari Al-Quran.

“Apatah lagi pengalaman dan keilmuan yang ada pada anak-anak kita yang menduduki Maahad Tahfiz Sains,” katanya pada Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan di Qaryah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, kelmarin.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula 14 hingga 17 Ogos itu sempena Ihya’ Ramadhan Di Serambi Mekah 1431 Hijriah.

Menurutnya, adalah menjadi cita-cita kerajaan negeri agar rakyat di negeri ini dapat merasai kehidupan bukan seperti rakyat di negeri lain.

“Sebahagian masyarakat di negara ini tidak memahami ajaran al-Quran serta tidak mengamalkannya. Ini menyebabkan mereka berani melakukan perbuatan maksiat, bahkan sewenang-wenangnya melanggar perintah Allah SWT tanpa merasakan apa-apa kesalahan.

“Kita merasa sangat bertuah apabila memerintah Kelantan dengan menggubal dasar termasuk mengenai pendidikan Islam bagi membolehkan generasi kini melanjutkan pelajaran menerusi sekolah di bawah Yik terutama apabila wajudnya Maahad Tahfiz Sains, justeru lebih banyak lagi ‘khazanah Allah’ dalam al-Quran dapat dikuasai para pelajar,” katanya.

Mengulas Tilawah Al-Quran Peringkat PBT Negeri Kelantan, beliau mengharapkan akan datang program itu diperluaskan penyertaannya bagi membolehkan penyertaan kalangan kakitangan jabatan negeri dan persekutuan, agensi negeri dan badan berkanun di samping kakitangan bank dan swasta.hrkh

Read more ...

Selangor akan lancar kempen anti zina


SHAH ALAM , 19 Ogos : Selangor akan melancarkan Kempen antizina dalam usaha membanteras fenomena pembuangan bayi yang semakin berleluasa serentak dengan Program Bersepadu di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial dan Generasi Idaman Selangor (Gems) pada malam ambang Merdeka, 30 Ogos nanti.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, kira-kira 3,000 belia akan menyertai program berkenaan bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada semua pihak berhubung masalah gejala sosial.


Menurutnya, kerjasama daripada semua pihak diperlukan termasuk daripada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan seperti jabatan kebajikan, jabatan pelajaran, jabatan kesihatan, ketua-ketua Kampung dan masyarakat setempat.

“Kita minta remaja yang 'termengandung' ini dapat perhatian sewajarnya. Kita mahu mereka diberi perlindungan daripada segi penjagaan antenatal. Kita mahu anak (dalam kandungan) dan ibu dijaga dengan sempurna sehingga dapat melahirkan dengan selamat.

“J:abatan kebajikan umpamanya boleh membantu dari segi anak yang dilahirkan itu diambil dan dijadikan sebagai anak angkat. Kita tidak mahu anak-anak terlanjur ini mengambil tindakan terdesak dengan membuang bayi,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Beliau berkata, projek perintis kepada kempen tersebut sudah dimulakan di Flet Seri Perantau, dekat sini baru-baru ini di bawah kelolaan pegawai daerah.

“Semua jabatan akan membantu kita supaya pendekatan pencegahan secara menyeluruh dapat dilakukan.

“Kita mahu mereka yang terjebak diberi peluang kedua untuk menikmati kehidupan sempurna dan memperkasakan diri supaya dapat masuk ke dalam masyarakat secara positif dan menjadi insan produktif,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut bakal berlangsung di i-City, Seksyen 7 dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk turut sama menantikan detik tanggal 31 Ogos.SH

Read more ...

DUN Sarawak dijangka bubar selepas raya


KUALA LUMPUR , 19 Ogos : PAS menjangka pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas Hari Raya Aidilfitri bulan September ini.


Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi berkata, PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan sekitar bulan Oktober atau November depan.


"Kami sudah diberitahu supaya membuat persiapan menghadapi pilihan raya ini termasuk persediaan sekitar April dan Julai tahun depan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak.

“Pada 1 hingga 3 Oktober depan kami akan mengadakan program ‘Ijtima Tarbawi’ (perkampungan tarbiah) Pemuda di perkarangan Masjid Rusila, Marang Terengganu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS di sini semalam.

Menurutnya, seramai lapan ribu orang bakal hadir dalam program tersebut yang turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh ulama Islam lain.

“Selain itu, pertemuan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 23 Ogos ini turut diadakan untuk membincangkan kewajaran pelajar terlibat dalam politik.

“Kita akan menyatakan pandangan kewajaran siswa terlibat dalam politik berdasarkan pengetahuan dan kematangan fikiran pelajar ini dan sebahagiannya adalah pemilih dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, pelancaran kempen pengumpulan tandatangan bantah saman ekor akan diadakan di Bazar Ramadan Keramat pada 23 Ogos ini.

“Kita akan kumpul sekurang-kurangnya sebanyak satu juta tandatangan sehingga selepas Aidilfitri depan sebelum diserahkan kepada kerajaan.

“Pelaksanaan kempen ini turut dilancarkan ke seluruh negara bagi membantah saman ekor yang dirasai kebanyakan masyarakat kita ekoran perkara ini,” katanya.SH

Read more ...