Perpindahan undi Melayu ke Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Kajang bulan lalu adalah sebagai sambungan kencenderungan pengundi
sejak pilihan raya 2008 dan ia boleh menjadi masalah besar kepada Umno
dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.
Penganalisis berkata kepada The Malaysian Insider, walaupun PRK Kajang
diadakan selepas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberikan tetapi ia
tidak menghalang orang Melayu untuk menyokong Pakatan, walaupun isu
ekonomi menjadi punca sokongan ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mendapat 16,779 undi
daripada 28,314 undi yang dibuat semasa PRK itu, menjadikan beliau
mendapat majoriti 5,483 mengatasi calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun
yang menerima 11,296 undi.
Walaupun peratusan keluar mengundi hanya 72% berbanding 88% dalam
pilihan raya umum 5 Mei 2013, Pakatan berjaya mendapat peningkatan undi
kepada 59.9% berbanding 57% dalam pilihan raya umum.
Umno perlu risau dengan perpindahan undi Melayu kerana cara kempen Umno
dan Perkasa tidak meningkatkan undi kepada mereka, kata penganalisis,
"Kos sara hidup menjadi isu di Kajang. Persepsi sangat kuat menyatakan
BN tidak cukup berusaha untuk mengekang ketirisan dan rasuah," kata Ahli
Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC).
Pemberian BR1M sebanyak RM650 menjelang PRK, yang kebanyakannya
diberikan kepada Melayu berpendapatan rendah juga gagal meningkatkan
sokongan, kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.
Pemuda Umno yang turun berkempen secara bersunguh-sungguh di Kajang juga
mengenal pasti isu seperti kenaikan kos sara hidup, ekonomi dan
perumahan menjadi punca golongan muda menjauhi BN.