Monday, January 3, 2011

Kembalikan kuasa Sultan : Perkasa lebih mahu kembalikan kuasa Umno di Selangor

Krisis Perlembagaan : PKR sokong penuh kembalikan kepada Sultan dan MB


PETALING JAYA, 4 Jan: PKR menyokong penuh langkah kerajaan negeri Selangor yang mahu mengembalikan kuasa raja dan menteri besar yang dirampas Umno pada tahun 1993 untuk melantik tiga pegawai kanan kerajaan negeri.

Ketua Penerangannya, Dr. Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya yakin bahawa usaha mengembalikan
semula kuasa perlantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan dan Menteri Besar adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi Raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan, kerajaan negeri telah berbincang dengan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chan Khim agar satu sidang Dun diadakan segera untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai kanan kerajaan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Khalid memaklum, baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak perlantikan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara terhadap Datuk Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri kerana kuasa itu telah diambil dari baginda melalui krisis Perlembagaan pada tahun 1993.

Tiga pegawai kanan itu adalah Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang.
Begitupun, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakamkan kesyukuran kepada Ilahi dan menjunjung kasih setingginya kepada Sultan Selangor yang telah memberikan perkenan menyerahkan kembali urusan perlantikan SUK kepada kebijaksanaan Menteri Besar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Baginda memberikan perkenan ini selepas menyatakan pandangan bahawa Baginda tidak lagi mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana kuasa tersebut ditarik daripada baginda oleh Umno ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993,” kata Dr Muhammad Nur (gambar).

PKR juga, tegasnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada tindakan pihak Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim Khalid yang akan memanggil sidang tergempar Dun yang bertujuan untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Beliau berkeyakinan bahawa usaha mengembalikan semula kuasa perlantikan tiga pegawai eksekutif di atas kepada Sultan dan Menteri Besar adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi Raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, jelas beliau kuasa perlantikan para pegawai yang dinyatakan di atas telahpun dihapuskan oleh Umno di dalam pindaan perlembagaan yang dilakukan secara paksa pada tahun 1983 dan 1993 meskipun telah ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada ketika tersebut.

“Sesungguhnya, kemelut yang baru sahaja dilalui adalah gambaran jelas kegelojohan pihak Umno dan para konconya untuk menggugat kedudukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan percubaan mengulangi semula tragedi rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2008 yang lalu,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Krisis itu juga, katanya membuktikan bahawa sesungguhnya, demi meraih kuasa politik Umno bersedia untuk melakukan apa sahaja meskipun dengan mengorbankan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

“Adalah jelas kepada kita bahawa Umno kini sedang di dalam keadaan terhimpit dan menyedari hakikat bahawa mereka semakin hilang kepercayaan dari rakyat Malaysia seluruhnya,” ujarnya.

Sesungguhnya, kata beliau Umno sudah lama hilang keyakinan kepada amalan dan proses demokrasi yang sebenarnya.

Lantaran itu, ujarnya lagi demi mengekalkan kuasa mereka sedia mempergunakan apa jua slogan ‘1Malaysia’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Kedaulatan Raja-Raja’ dan sebagainya.

Menurutnya, malah lebih buruk, Umno bersedia mencemar dan memperalatkan apa jua institusi negara demi mengekalkan kuasa dan melindungi amalan rasuah dan pelbagai pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakyat dan negara selama ini.

“Sesungguhnya, Keadilan ingin menjelaskan kembali komitmen kita untuk terus menegakkan keadilan berasaskan keluhuran perlembagaaan dan undang-undang negara yang ada dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia umumnya,” ujarnya.

Read more ...

PRK Tenang : Umno mula kecut perut

PRK Tenang: Kerjasama PR Makin Utuh

LABIS 4 Jan. : PKR Johor yakin dengan kerjasama Pakatan Rakyat khususnya di kawasan pengundi keturunan Tionghua dalam menempuh Pilihan Raya Kecil DUN Tenang akhir bulan ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negerinya, Datuk Chua Jui Meng menyatakan bahawa PKR Johor khususnya Cabang Labis telahpun bermesyuarat bersama PAS dan DAP bagi menentukan gerak kerja jentera bagi pilihan raya kecil ini.

"Bagi masyarakat Tionghua, saya memang menyakini. Bagi pengundi India ia boleh meningkat dari dulu. PAS akan berusaha dalam menarik pengundi Melayu. PKR akan jaga kawasan kaum bercampur. DAP lebih bertumpu masyarakat Cina," katanya.

PRK Tenang akan diadakan 30 Januari ini manakala penamaan calon pada 22 Januari akibat kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-Barisan Nasional.

Chua menyifatkan antara keutamaan kempen kali ini ialah untuk mengurangkan pengaruh Umno di kawasan FELDA yang selama ini menjadi simpanan tetap bagi menyambung hayat parti itu.

"2004 majoriti kita kalah 5000 lebih, pilihan Raya lepas turun 2500 lebih. Keutamaan kedua kita adalah bagi mendekatkan majoriti di FELDA," jelasnya kepada Tv Selangor.

Read more ...

Dewan boleh dipanggil bersidang dalam masa 24 jam

Dewan Boleh Bersidang Bila-Bila Masa, Speaker Selangor



SHAH ALAM 4 Jan. : Sidang Dewan Negeri Selangor boleh diadakan pada bila-bila masa, kata Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau dalam sidang medianya tengahari tadi berkata ia bergantung kepada notis yang akan dihantar oleh representasi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Menurut Peraturan Mesyuarat 10(3), jika dalam masa Dewan sedang ditangguhkan, Menteri Besar mengemukakan kepada Speaker, bagi kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat diadakan lebih awal maka Speaker boleh memberitahu lebih awal daripada masa Dewan ditangguhkan.

"Kita boleh memanggil Dewan bersidang dalam masa 24 jam dan paling cepat sejam selepas notis dihantar," ujar beliau.

Sidang itu diadakan bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Chang Khim walaubagaimana pun enggan mengulas lanjut berhubung perkara yang bakal dibahas sehingga beliau menerima notis daripada wakil Menteri Besar.

Semalam dalam pertemuan Menteri Besar dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam(SPA).

Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

Sultan Selangor turut bertitah mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, Khalid berkata maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau juga mengumumkan tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

Read more ...

Tuan Guru Nik Aziz beri penjelasan berkaitan pertemuan dengan Najib

Yang di-Pertuan Agong perintah mengadap - Nik Aziz

KOTA BHARU, 4 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, beliau dan pemimpin kanan PAS telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis santapan malam di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, titah Tuanku Mizan itu telah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau mengunjunginya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di kediaman rasmi MB, JKR 10 hari ini.(gambar)

Bagaimanapun, katanya, "Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap."

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana," katanya.

Jangan kaitkan istana dengan politik

Sementara itu dalam sidang medianya, Nik Abdul Aziz menyeru semua pihak sama ada media atau invidu supaya tidak mengaitkan istana dengan pergolakan politik negara.

Pada masa yang sama juga beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung pertemuannya dengan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini.

Ini kerana, katanya pertemuan itu hanyalah jemputan untuk majlis santapan malam bersama baginda sahaja.

Menurutnya, sebarang kenyataan tidak tepat itu perlu dihentikan segera demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak Istana.

“Jangan sekali-kali mengaitkan istana dalam pertemuan baru-baru ini,”ujarnya ketika membaca kenyataan media sebentar tadi di JKR 10.

Hadir sama pada sidang media itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong, Datuk Mustapha Ali.

Menurutnya lagi, sewaktu beliau menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa titah dari Yang Dipertuan Agong.

“Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama pemimpin termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, iaitu istana baginda di Kuala Lumpur.

“Atas dasar menghormati dan menjunjung titah tuanku, saya telah menghadiri majlis tersebut,”ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pula berkata tidak timbul soal perbincangan kerajaan perpaduan atau sebagainya dalam pertemuan itu.

Menjawab soalan media beliau seterusnya berkata, majlis itu adalah undangan Yang Dipertuan Agong, tidak timbul langsung soal perbincangan dengan pemimpin Umno.

“Majlis tu adalah majlis Yang Dipertuan Agong, nak bincang dengan Perdana Menteri macamana?,”soalnya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pelbagai spekulasi ekoran pertemuan pemimpin tertinggi dua parti iaitu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan dua pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan penuh MB Kelantan itu.


Kenyataan Media

Tuan Guru Dato Bentara Setia Menteri Besar Kelantan

Merangkap al-Mursyidul Am PAS


Ekoran beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan seperti mana berikut :


Sewaktu saya berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.


Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.


Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.


Terima kasih. Wassalam.


“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”


TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP AL-MURSYIDUL AM PAS.

Read more ...

Desak PAS ambil tindakan terhadap Mujahid : Ambil tindakan ke atas individu bermasalah macam Hafiz Nordin dulu

Hafiz boleh jumpa saya: Mujahid

http://media1.malaysiakini.com/230/ddcec10ad4d3c7f34d8115ee843b1b83.jpgGEORGETOWN, 4 Jan. : Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa minta bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin berjumpa dengannya jika keliru dengan fakta dalam buku tulisannya, ‘Menuju Pas Baru’.

Dr Mujahid berkata, Mohamed Hafiz sepatutnya menilai secara objektif dan akademik memandangkan penulisannya itu berbentuk separa akademik, bukannya secara emosional.

“Saya mencadangkan jika dia (Mohamed Hafiz) ada dengar mana-mana wacana berkaitan buku itu akan dibuat nanti, saya minta dia hadir sebagai peserta dan menjadikannya platform untuk bertanya apa yang dia tidak faham dan mengelirukannya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi komentar yang sedemikian terhadap penulisan saya dan berhubung dengan gesaannya supaya pemimpin Pas Pusat menasihati saya, saya rasa Mohamed Hafiz masih tidak tahu prosedur rasmi parti.

“Jika ada aduan rasmi, Mohamed Hafiz sepatutnya membuat aduan mengikut prosedur rasmi parti, bukannya secara begini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sebelum ini, Mohamed Hafiz adalah antara individu bermasalah dengan parti itu yang mana kenyataannya tidak banyak membantu Pakatan Rakyat (PR) negeri dan menganggap kenyataan Mohamed Hafiz sebagai kenyataan tidak bijak.

“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak, apabila pimpinan ada alasan yang kukuh, baru mereka boleh memanggil saya dan setakat minta pimpinan menasihati saya, saya rasa itu permintaan yang tidak bijak kerana tidak menggunakan prosedur rasmi parti,” katanya.

Dr Mujahid turut membidas Mohamed Hafiz yang mengatakan beliau menulis buku ‘Menuju Pas Baru’ kerana mempunyai agenda tersendiri dan menggunakan pandangan peribadi.

“Itu andaian simplistik dan berniat tidak elok. Saya tidak tahu apa motif dia membuat kenyataan sebegitu dan bagi saya, kenyataannya itu lebih ‘membunuh’ daripada apa yang ditulis dalam buku saya. Saya menulis buku itu sebagai usaha untuk memberi sumbangan kepada Pas demi masa depan parti dan tidak ada kena mengena dengan agenda sendiri.

“Saya minta Mohamed Hafiz tidak terlalu umum dalam membuat pandangan mengenai tulisan saya dan perlu lebih spesifik bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan. Saya juga bersyukur selama tiga penggal dalam parti, saya sudah memberi sumbangan yang terbaik,” katanya.

Dr Mujahid berkata, sesiapa yang tidak faham atau keliru mengenai penulisannya itu, boleh berjumpanya untuk merungkai kemusykilan mereka.SH

Read more ...

2000 hadir ceramah PR di Felda Cempelak, Labis

Umno-BN Semakin Angkuh, Bongkak, Gila Kuasa, Membelakangkan Perlembagaan

IMG_4522LABIS 4 Jan. : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Umno dan Barisan Nasional sudah sampai ke tahap terlalu bongkak, takbur dan angkuh sehingga sanggup membelakangkan perundangan negara demi menjayakan agenda politik jijik pimpinan mereka.

Menyentuh berkaitan isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru, Ketua Pembangkang berkata belum pernah dalam sejarah lantikan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar.

"Umno dan BN sudah terlalu bongkak, sombong dan takbur. Saya nasihatkan mereka supaya jangan khianat (kepada rakyat Selangor), zalim dan fitnah.

"Pagi tadi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan dan Tan Sri Khalid (Ibrahim) diberitahu baginda tidak masuk campur dalam perlantikan ini. Jadi sekarang mudah bagi Menteri Besar untuk terus berunding dengan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk selesaikan masalah ini," kata Anwar dihadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat dan peneroka pada Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dataran Niaga, Felda Cempelak di Labis malam tadi.IMG_4525

Majlis tersebut merupakan ceramah pertama Pakatan Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang selepas pelancaran jentera pilihan raya kecil PAS di di sini Sabtu lalu.

Walaupun tiga trak Unit Simpanan Persekutuan, puluhan anggota polis serta lebih lima sekatan jalanraya dilakukan bagi menghalang kejayaan program Pakatan Rakyat namun golongan peneroka Felda Cempelak yang dianggap 'jantung Umno' tidak mengendahkan segala bentuk ugutan pihak keselamatan untuk mendengar amanat Anwar.

Anwar sempat menyentuh mengenai penubuhan Felda oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang menjanjikan tanah untuk golongan Melayu miskin.

"Tun Razak berjanji untuk beri tanah kepada orang Melayu miskin dan berkata tidak akan rampas tanah mereka. Beliau janji dan beliau laksana janjinya.

"Anaknya, Datuk Seri Najib janji macam-macam, ETP, NKRA, KPI tapi satu pun tak jadi dan satu pun tidak ditunaikan," tegas Anwar.

Beliau berkata PRK Tenang adalah penting kepada Pakatan Rakyat kerana kemenangan di negeri yang dianggap kubu kuat Umno bermakna isu serta perjuangan menegakkan keadilan untuk negeri Johor akan lebih berjaya.

"Kemenangan di Tenang tidak mudah, ini kami akui tetapi apa yang penting ialah istiqomah dan yakin serta terus berjuang. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Umno-BN kerana mereka bercakap tiga bahasa - di depan orang Melayu mereka menakutkan-nakutkan dengan isu Cina, di depan orang Cina dan India pula cakap lain.

"Pakatan Rakyat mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang masa hak kaum lain juga dipertahankan. Inilah pendekatan kita.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi amaran kepada Umno-BN suoaya jangan terlalu yakin kerana mungkin Tenang akan menjadi 'ribut' bagi mereka.IMG_4517

"PRK Tenang penting kerana ia akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan di bahagian selatan Semenanjung. Jadi pilihan raya kecil ini adalah peluang kepada rakyat Tenang khususnya dan Johor untuk membuat perubahan penting," kata Shamsul.

IMG_4512ADUN Batu Caves Amirudin Sahri pula mengatakan pengundi di DUN Tenang akan membuat keputusan penting 30 Januari nanti yang bakal merubah landskap politik Johor dan seterusnya di seluruh kawasan Felda yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Sebelum itu di Kampung Air Panas yang terletak kira-kira 10 km dari Labis, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Abdul Rahman Yusof berkata perubahan amat perlu pada PRK Tenang dan Pilihan Raya Umum ke 13 kerana kerajaan Umno-BN kini lebih mementingkan golongan kroni dan kaum keluarga serta membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Keadaan ekonomi Malaysia ama berbeza ketika Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan di mana
beliau pernah terpilih Di pilih sebagai Menteri Kewangan terbaik oleh akhbar Financial Times dan negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi terbaik semasa beliau dipertanggungjawab mengurus kewangan negara.

"Sekarang ekonomi dan sumber kekayaan negara semuanya dibolot secara rakus oleh pemimpin Umno-BN dengan rakus sekali, Kata Abdul Rahman.IMG_4499

PRK Tenang diadakan berikutan kematian ADUN Tenang Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 22 Januari dan hari pembuangan undi pada 30 Januari.SK

Read more ...

PAS umum calon 16 Januari di Pekan Labis

PAS umum calon 16 Januari

http://www.selangorkini.com.my/my/wp-content/uploads/2010/12/johor-tenang.jpgSENAI, 4 Jan. : Pas akan mengisytiharkan nama-nama calon yang akan bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 16 Januari ini dan pengumuman itu akan diadakan di Pekan Labis, jam 9 malam.

Ketiga-tiga Majlis Presiden iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dijadual hadir pada hari tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini nama-nama bagi calon DUN Tenang masih dirahsiakan dan calon yang diumumkan itu adalah mereka yang paling layak.

Menurutnya, isu sama ada calon di kawasan berkenaan seharusnya layak bagi wanita atau lelaki tidak timbul kerana hanya 53 peratus penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada golongan wanita.

“Kita juga tidak akan menyerang mana-mana pihak sebaliknya akan menerangkan keadaan sebenar kepada rakyat dengan fakta yang sebenar dan bukan fitnah.

“Arahan etika kempen akan kita keluarkan yang mana membuat fitnah itu bukan cara kita. Kita akan menunjukkan akhlak yang baik dan disenangi pengundi dan jika ada unsur provokasi ia bukan datang dari kita.

“Kita akan menerangkan kepada rakyat bersandarkan hujah dan fakta yang kita ada. Saya merayu agar rakyat diberi peluang untuk mendapat akses maklumat daripada semua sumber sama ada dari pakatan pembangkang, UMNO dan BN atau apa saja supaya mereka boleh nilai sendiri khususnya di kawasan Felda,” katanya.

Manakala soal calon wanita adalah sesuai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang kerana faktor populasi golongan berkenaan di kawasan itu lebih tinggi berbanding lelaki tidak menjadi isu bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram dari Barisan Nasional (BN), Datuk Maulizan Bujang.

Menurutnya, perbezaan itu tidak begitu ketara dan soal meletakkan calon itu terletak pada kepimpinan parti yang lebih arif membuat keputusan.

“Sama ada lelaki atau wanita yang layak bertanding itu tidak kira, asalkan mereka ini di kalangan yang boleh diterima rakyat.

“Perbezaan populasi penduduk lelaki dan wanita di kawasan berkenaan tidak begitu ketara jadi siapa-siapa juga sesuai menjadi calon.

“Kita menaruh harapan agar PRK DUN Tenang ini berlangsung dengan tenang dan tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau yang sebelum ini telah dua kali meninjau Bilik Gerakan BN dan UMNO di kawasan berkenaan akan turun berkempen selepas hari penamaan calon bagi membantu memberi kefahaman dasar-dasar kerajaan kepada rakyat terhadap apa yang telah kerajaan lakukan sebelum ini.

“Saya juga akan jelaskan beberapa isu yang diputar belitkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk tingkatkan sokongan dengan cara yang tidak sepatut.

“Pembangkang akan cuba mencari peluang dan ruang untuk menyalahkan pihak kerajaan dan ini memang strategi mereka. Mereka akan guna apa sahaja alasan untuk mempengaruhi pengundi dengan apa jua cara termasuklah isu-isu yang tidak relevan dengan kawasan terbabit,” katanya.SH

Read more ...

Umno merosakkan hiburan

PAS tidak tolak hiburan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEikbQY-PTXS8av1FAoKw23tFArcwSI6ct9YK4GzoFpv_5y4fpL0wGBwuIkVRydkpOcbEnOB9S30nYXNHpTWSianujlGdm9slzttIk-3c4OYM2X346Uj2kVNr6GYdzuc_o7zR32zLRWEWeE/s400/NasruddinTantawi.jpgSHAH ALAM, 4 Jan. : Pas tidak menolak sebarang bentuk hiburan, namun tidak: mempersetujui hiburan yang tidak terkawal dan menampilkan muzik serta aksi mencemarkan budaya Melayu.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, parti itu memperjuangkan Islam dan menghormati garis panduan yang ditetapkan dalam agama berkenaan.

Menurutnya, sebelum mengadakan persembahan kumpulan popular Indonesia, Wali Band di Stadium Sultan Muhammad IV, penganjur telah berbincang dengan Kerajaan Negeri mengenai langkah-langkah diambil ketika berlangsungnya konsert itu.

“Termasuk untuk mengasingkan tempat duduk antara lelaki dan perempuan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Masalah timbul disebabkan penganjur tidak mematuhi peraturan dalam perbincangan itu,” katanya ketika :dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Nasruddin berkata, Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan kerana penganjur tidak menyediakan prasarana yang ditetapkan.

“Konsert itu bukanlah penganjuran penuh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri menggunakan garis panduan yang terdapat dalam Enakmen Kawalan Hiburan 1998,” katanya.

Menurutnya, tidak perlu membangkitkan isu Pas Kelantan tidak konsisten dengan dasar yang ditetapkan kerana dalam penganjuran konsert Mawi, tidak berlaku sebarang masalah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, pendekatan hiburan yang digunakan oleh Pas berbeza dengan UMNO.

“UMNO yang merosakkan hiburan dengan cara mereka sedangkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada mencari hiburan.

“Islam bukan agama yang jumud, sebaliknya ia bersifat sempurna,” katanya lagi.

Menurutnya, UMNO yang bersikap hangat-hangat tahi ayam dalam hal berkaitan agama.

Idris berkata, isu yang melibatkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berpakaian ketat ketika melakukan senamrobik di perkarangan sebuah masjid sengaja dikontroversikan.

“Sedangkan terdapat segelintir isteri pemimpin UMNO beragama Islam tidak menutup aurat dengan selengkapnya berada di dalam masjid tetapi senyap begitu sahaja.

“Isu Nie Ching sengaja diperbesarkan dan dipolitikkan, sepatutnya orang bukan Islam dididik dan bukannya diperlakukan seperti itu,” katanya lagi.

Mengenai konsert Wali Band, Idris berkata, disebabkan berlaku sedikit pelanggaran yang tidak disengajakan dalam konsert itu. UMNO terus menyifatkan Pas tidak konsisten dengan apa yang diperjuangkan selama ini.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dalam kenyataannya berkata, das:ar yang dijalankan oleh Pas Kelantan sudah tidak selaras dengan apa yang diperjuangkan.

“Termasuklah isu berkenaan hiburan. Dulu Pas Kelantan mengharamkan penganjuran mana-mana konsert namun ia semakin longgar,” katanya.

Read more ...

Umno kerjanya menipu rakyat di Pulau Pinang

Kerajaan negeri bantu penduduk Jelutong

http://pemudapenang.files.wordpress.com/2010/10/pokokassam.jpg?w=400&h=246JELUTONG, 4 Jan: Kerajaan Negeri Pulau Pinang banyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di Jelutong khususnya dalam isu penduduk Kampung Pokok Asam yang didakwa tidak dibela.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jelutong, Mohd Naser Ismail dalam pertemuan dengan beliau, semalam.

Menurutnya, janji kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) tidak akan membiarkan penduduk kampung ini melarat atau tidak dibela nasib mereka.

"Semua pemilik rumah asal di Kampung Jalan Pokok Asam, pada peringkat awalnya tidak memperolehi sebarang bayaran pampasan.

“Ekoran itu kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju dan berjaya memperolehi pampasan bagi kos perpindahan dan memasuki semula rumah yang akan digantikan di kawasan yang sama.

"Sewaan selama tiga tahun akan ditanggung oleh pihak pemaju. Manakala semua penduduk yang terlibat akan menerima rumah gantian yang mana kosnya adalah sebanyak RM75,000 dalam kawasan Jelutong juga," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Jelutong berkata, penduduk yang belum menerima sebarang pampasan sehingga ke hari ini diharap bersabar kerana usaha kearah itu sedang dijalankan bersama-sama dengan Ahli Parlimen Jelutong, PAS kawasan Jelutong, JKKK dan kerajaan negeri dengan pemaju yang terlibat.

Sebelum ini, katanya pemimpin Umno dan Barisan Nasional melemparkan dakwaan kepada kerajaan negeri dengan pelbagai tuduhan negatif.

Menurutnya, mereka juga mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin terhadap masalah penduduk kampung tersebut yang terlibat dalam perpindahan kerana pembangunan projek yang dilaksanakan oleh pemaju.

"Sebenarnya ini bukan masalah baru, ia telah wujud semenjak Umno dan BN menerajui negeri ini lagi. Mereka juga sedar mengenai hakikat ini, tetapi sengaja digembar-gemburkan demi kepentingan politik sempit sesetengah pihak yang berkepentingan," katanya lagi.

Read more ...

PAS bantu pelajar susah

Pemuda PAS Melaka anjur Anak Harapan

MELAKA, 4 Jan: Apabila musim persekolahan tiba, ibu bapa merupakan golongan paling sibuk apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan mendepani isu itu dengan menganjurkan program “Anak Harapan”.

Menurut Exco lujnah berkenaan, Ustaz Adnan Sulaiman, program berlangsung pada 30 Disember 2010 hingga 2 Januari lalu di beberapa tempat seluruh negeri.

Katanya, program itu bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, terutamanya kepada anak yatim.

(Gambar: Adnan Sulaiman menyampaikan bantuan kepada Noradila Zailan.)

“Program ini melibatkan 15 orang pelajar dari sekolah rendah di beberapa tempat di Melaka seperti di Tangga Batu, Durian Tunggal, Bukit Baru, Telok Mas dan Serkam,” katanya.

Ibu kepada seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serkam menerima sumbangan sebanyak RM150 bagi membiaya yuran persekolahan.

Ibu berkenaan yang kematian suami sejak lima tahun yang lalu kini terpaksa menyara anaknya yang masing-masing masih lagi bersekolah.

Keadaan suami yang mengidap penyakit mental memaksa ibu kepada Mohd Hidayat di Bukit Baru untuk bekerja keras sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Ayer Keroh.

Ibu kepada empat orang anak itu mengakui tidak mampu menanggung kos perbelanjaan isi rumah dengan gaji hanya RM500 sebulan sahaja.

Beliau mengucapkan syukur dan berterima kasih atas keperihatinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dalam mendepani isu-isu kebajikan.

Seorang ibu tunggal di Telok Mas terpaksa menyara tiga orang anaknya selepas kematian suaminya pada Mac 2010.

Noriahty Bahari berkata, dengan gaji sebanyak RM430 sebulan, beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengakui agak sukar menyara tiga orang anaknya yang bersekolah, apatah lagi kos hidup kini semakin meningkat.

Sementara itu, di Tangga Batu, Dewan Pemuda PAS negeri juga berkesempatan melawat pelajar cemerlang Noradila Zailan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Sungai Udang yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Beliau yang tinggal bersama keluarga di Pantai Kundur berkata, hidup dalam serba kekurangan membuatkannya tetap gigih dan tidak menjadikan miskin sebagai penghalang untuk berjaya.

Read more ...

Memo kepada KSN

Khusrin: 'Hadiah istimewa' buat Sidek Hassan

http://uniprof.files.wordpress.com/2010/10/sidek-hasan.jpgPUTRAJAYA, 4 Jan: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini diserahkan senaskhah buku Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai 'hadiah istimewa' kepada beliau.

Hadiah itu diserahkan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor beserta memo sebagai membantah perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang didakwa mereka dibuat dengan proses yang mencabul kuasa kerajaan negeri.

Mereka diiringi hampir 100 penyokong, berarak dari perkarangan Masjid Putrajaya menuju ke pajabat KSN di Kompleks Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 10.30 pagi dengan dikawal oleh lebih 50 anggota polis.

Hanya tiga dibenar pihak polis masuk membuat penyerahan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainudin dan Adun DAP Teratai, Janice Lee Ying Ha yang juga ketua DAPSY Selangor.

Pada sidang media selepas itu mereka memaklumkan hadiah dan memo tersebut berjaya diserahkan kepada pembantu peribadi kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN.

Dalam memo tersebut antara lain menggesa Mohd Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin.

Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat KSN bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

"Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini.

"Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor," kata Khairul Anuar.

Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

"Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak.

"MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam," gesanya.

Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu.

"Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau.

"Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut.

Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Read more ...

Umno dah mula buat kerja busuknya

Risalah Label DAP Anti Islam Di Tenang


LABIS 4 Jan. : Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Datuk Chua Jui Meng mendedahkan taktik kotor pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan risalah fitnah terhadap Pakatan Rakyat kepada penduduk Felda di Tenang dan kawasan sekitar.

Risalah berbentuk buku kecil bertajuk DAP anti Islam dan 'Khawarij dan Politik PAS' dalam PAS itu dianggap satu pembohongan besar oleh Chua yang juga tidak menolak sebagai taktik kotor Umno untuk pilihan raya kecil akan datang di Tenang.

"Ini satu pembohongan besar. Kalau nak kata DAP anti Islam. Saya dah lama kenal DAP. Mereka tak bodoh. DAP hormat orang Melayu Lim Guan Eng sendiri telah banyak membantu orang Melayu di Pulau Pinang," katanya kepada Tv Selangor.

Risalah DAP anti Islam mengandungi nota yang bertulis DAP akan mengharamkan Azan, majlis maulidur rasul dan sebagainya jika Pakatan Rakyat memerintah.

Chua memaklumkan kepada media akan membongkar perkara itu semasa kempen pilihan raya ini dan akan mendedahkan ini kerja kotor Umno.

Beliau juga menyatakan kebimbangan mengenai taktik Umno yang cuba menghalang PR dari bertemu rakyat.

Semalam ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenang sekali lagi diganggu polisi.

"Mungkin selepas ini pemimpin Cina tidak dibenarkan masuk ke kawasan Felda," katanya.

Read more ...

Perang Umno Kedah

Perang puak Umno Kedah makin menjadi-jadi

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash2/hs088.ash2/37721_1492835128125_1451449142_1261353_6763368_n.jpgBlog Pria Malaya memetik pendedahan 'Kedahleaks' oleh blogger Kedah Times (sebuah blog pro BN) perihal skandal oleh bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut Kedahleaks semasa menjawat jawatan pemangku Menteri Besar Kedah selama enam bulan, Mahdzir Khalid telah melakukan urusniaga balak dengan pemberian tender secara tertutup membolehkan beliau mengutip hasil peribadi yang dimasukkan kedalam beberapa akaun proksi bernilai RM10juta.

Dedah blog itu, seorang kerani kewangan di Pejabat Menteri Besar semenjak era Tan Sri Sanusi Junid, kini bertugas di bahagian pembelian dan kewangan SADA, mengesahkan perkara ini kerana beliau antara salah seorang yang ditugaskan untuk memasukkan wang kutipan berkenaan kedalam akaun peribadi orang tertentu.

Mahdzir Khalid, menurut Kedahleaks, menggunakan jet TUDM dan jet pihak swasta yang disewa dari seorang Kapten untuk semua urusan rasmi dan peribadi meskipun pekeliling dan arahan pentadbiran tidak melayakkan beliau berbuat demikian.

Arahan perbendaharan mewajibkan MB mesti menaiki pesawat komersial Malaysia Airlines. Hutang tertunggak sewa jet berkenaan kini mencecah RM1.2 juta.

Dakwa blog itu lagi, mengikut rekod bendahari Negeri menunjukkan sejumlah RM4.4 juta dibelanjakan untuk lebih 23 kali lawatan keluar negeri sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

Satu pendedahan yang mengejutkan (jika benar) ialah kononnya semasa menjadi Pemangku Menteri Besar, beliau telah mengupah wartawan TV3 dan Jeffery jurukamera dengan bayaran RM450,000 termasuk hadiah sebuah kereta BMW3series dan Honda CRV dengan tujuan mendedahkan satu persatu apa yang dikatakan kepincangan pentadbiran Syed Razak (MB Kedah yang sedang sakit diserang mild stroke ketika itu).

Mahdzir Khalid, dakwa Kedahleaks lagi, dengan kuasanya sebagai Menteri Besar telah menjadikan para pegawai khasnya kaya raya dan jutawan segera.

Saya tidak tertarik untuk mengetahui benar atau salah dakwaan yang disenaraikan itu kerana ia bersumberkan blog oleh penulis hantu. Ia boleh jadi semuanya bohong. Atau semuanya benar. Dan mungkin juga bercampur antara yang benar dan bohong.

Hari ini blog tidak boleh dijadikan sumber rujukan yang kuat atau muktabar, kerana jika ada pihak diserang oleh blog yang selama ini menyerang pihak lawannya, maka terpaksalah pihak tersebut membuat dua piawaian yang berbeza. Bukankah hipokrit namanya?

Macam media pro BN yang beriya-iya mensahihkan dakwaan (kononnya) Anwar benar-benar peliwat berdasarkan sumber Wikileaks. Apabila tiba-tiba Wikileaks mendedahkan pula seorang menteri BN adalah perogol maka tercungap-cungap mereka mencari dalih.

Apa yang mahu saya dedahkan ialah sikap puak-puak di dalam Umno negeri ini sedang bertungkus lumus bekerja keras untuk menjatuhkan musuh politik mereka sesama parti. Serangan melalui medan maya adalah antara langkah yang digunakan secara meluas dan terbuka.

Apa yang sedang dihadapi oleh Mahdzir sekarang ialah usaha nekad untuk menyahkan beliau dari persada kepimpinan Umno Kedah. Mahdzir diangkat sebagai ketua pembangkang kerana beliau bekas Menteri Besar.

Jika berjaya BN merampas Kedah maka ketua pembangkanglah adatnya menjadi Menteri Besar. Namun untuk Mahdzir, jawatan ketua pembangkang itu juga mahu dinyahkan darinya selepas beliau dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Terkini Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ialah ADUN Bakar Bata yang menang pilihanraya dengan 358 undi, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pelantikan yang dibuat oleh Presiden Umno itu begitu mengecewakan penyokong Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Mukhriz hanya diberi jawatan Timbalan Pengerusi sebagai ‘gula-gula’ untuk meredakan kemarahan penyokongnya.

Bagi penyokong Mukhriz, Ahmad Bashah tidak mampu menarik sokongan golongan muda, memandangkan beliau adalah ADUN warisan zaman Tan Sri Osman Aroff lagi.

Zamannya sudah berlalu. 11 ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian yang dipimpinnya meletak jawatan kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan bahagian yang diterajuinya. “Bahagian sendiri pun kelam kabut, nak mampu nak satukan, macam mana nak satukan Umno Kedah?” ujar pengkritiknya.

Sementara penyokong Ahmad Bashah membalas kritikan tersebut dengan menonjolkan kelemahan Mukhriz. “Nak tarik golongan muda konon, piiraahh, nak tarik Pemuda Umno sokong dia pun tak mampu sampai kalah di tangan Khairy, macam mana nak tarik golongan muda yang bukan ahli Umno…” balas pengkritiknya.

Perang puak dalam Umno Kedah menjadi sangat menarik. Jika mahu dibuat catatan, boleh buat kitab setebal hikayat seribu satu malam.

Beberapa hari selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno, Mukhriz melancarkan Gelombang Merah Tawan Kedah di Kuala Nerang.

Masyarakat dapat menilai apa rasionalnya program tersebut dibuat tanpa kehadiran Pengerusi Perhubungan serta lain-lain pemimpin utama Umno negeri.

Takkanlah nak gerakkan gelombang tawan negeri setaraf dengan program mesyuarat agung cawangan? Jangankan gelombang, riak pun tak nampak.

Program tersebut tidak mendapat sambutan ahli-ahli Umno tempatan sendiri. Kredibiliti politik Mukhriz jatuh tersepuk. Kebetulan di sebelah malamnya, seluruh rakyat Malaysia meraikan kejayaan meranapkan gelombang merah di Stadium Bung Karno.

Hakikatnya siapa pun yang naik memimpin Umno Kedah maka nasib yang dialami sama saja, iaitu tidak akan mendapat sokongan padu ahli-ahli serta kepimpinan bawahan mereka.

Tiada lagi tokoh penyatupadu Umno di Kedah macam di zaman Tun Mahathir, Osman Aroff, Sanusi Junid dan Syed Razak Syed Zain. Umno Kedah sedang bergelut di hujung nyawa, sementara menunggu kuasa mereka di Pusat runtuh menyembah bumi. ZULKIFLI YAHAYA

Read more ...

'Umno dahulukan rakyat ' slogan pilihanraya Umno

Slogan Umno Dahulukan Rakyat, Halwa Telinga Pilihanraya


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0fylR3n8Fg9A8KZw2RzRR1NCr3rtEBvQ49aTuSvoMaj32xnNtqHksGspERWrWG7loq_rpJgo4KeGUILPtzHyD4iO3qegeNXhbTVzUOZizM9KsQXRR6zUN1NdXZuX1_JoboOs1luyhZIXa/s400/UMNO+juara+tipu+rakyat.JPG
Slogan “Umno Dahulukan Rakyat” akan diperkasakan pada 2011 bagi memberi mesej jelas bahawa Umno sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam hal pembangunan rakyat dan negara, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Pas berpandangan Slogan umno dahulukan rakyat hanyalah halwa telinga sahaja untuk melalikan rakyat di negara ini. Ia tidak lebih daripada modal pilihanraya yang sudah hampir, bukan sebagai satu tanggungjawab yang berterusan daripada seorang pemimpin.

Ketika slogan ini berkumandang di dada akhbar dan kaca televisyen, rakyat bawahan mengeluh dan sesak dada ketika membawa anak-anak daftar sekolah di awal tahun.

Cuba bayangkan anak yang belajar di darjah enam terpaksa berbelanja hampir RM200, manakala sekolah menengah yang berasrama penuh pula ada yang mencecah sampai RM1000.00.

Apa erti dengan slogan yang indah, hakikatnya rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang, semua gara-gara pemimpin yang rakus dan boros.

Apakah rakyat kenyang dengan slogan yang indah, apabila kenaikan harga barang barang mendadak naik, seperti bawang merah daripada RM3.50 sen sudah mencecah kepada RM12.50 sekilo.

Semua peniaga makanan sudah menaikkan harga 10 peratus kerana kos bahan mentah yang naik mendadak . Persatuan kedai kopi Selangor/Wilayah Persekutuan menaikkan teh dan kopi susu 20 sen segelas mulai 1 Januari 2011.

Tarif letrik sudah diersetujui oleh kabinet untuk naik, hanya menunggu keputusan BN menang PRU 13. Sekarang tidak berani naik kerana takut rakyat hukum dalam pilihanraya. Alasan kenaikan kerana kos operasi meningkat.

Ini semua gara-gara Tenaga Nasional ( TNB) yang terpaksa membayar tenaga kepada pembekal kroni walaupun TNB tidak pakai sebanyak yang dijanjikan di bawah perjanjian ini yang tidak memberi unsur ekonomi langsung, TNB dikehendakai membeli tenaga daripada IPP (penjana tenaga bebas) pada harga yang lebih tinggi berbading dengan kos penjanaan sendiri.

Apabila ini terjadi maka rakyat menjadi mangsa walaupun perjanjian yang yang merugikan wang rakyat. Bagi pemimpin mereka tidak kisah kerana bil letrik mereka rakyat yang membayar.

Pas ingin mengingatkan kepada rakyat undi BN bererti menempah lubang maut, yang akan membawa kesengsaraan dalam hidup.

Ust. Idris Ahmad-Ketua Penerangan PAS Pusat

Read more ...

Kerajaan BN tarik kuasa raja-raja Melayu, Kerajaan Pakatan akan kembalikan

Secara peribadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang telah mengambil keputusan untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik 3 Ex-offico dalam barisan Exco Kerajaan Negeri kepada Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor dengan nasihat Menteri Besar. Ketiga-tiga jawatan yang dimaksudkan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Dalam peruntukkan sekarang Kebawah Duli Tuanku telah dilucutkan kuasa melantik ini semasa krisis perlembagaan 1993 yang dicetuskan oleh UMNO pimpinan Dr Mahathir. Saya telah menulis isu ini acapkali didalam blog ini beberapa ketika dahulu untuk membayangkan kekesalan diri saya sendiri diatas tindakkan pemimpin UMNO semasa itu yang beriya-iya benar untuk menghakis kuasa Raja-Raja Melayu termasuklah kuasa Raja-Raja Melayu untuk melantik 3 jawatan Ex-Officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri-Negeri diseluruh Negara.


Tuanku Sultan telah bertitah yang Baginda tidak ada kuasa untuk menerima dan menolak nama sesiapa yang dicadangkan oleh PSC kepada Baginda kerana kuasa itu telah ditarik balek hasil dari krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu. Semasa itu UMNO bertindak tanpa sebarang ‘mercy’ kepada Raja-Raja Melayu dan kata-kata pemimpin kita semasa itu sangat mengguris hati orang Melayu seperti saya yang tahu tidak ada Melayunya seseorang itu tanpa Raja yang berdaulat.


Saya sedang tercari-cari potongan-potongan akhbar yang boleh membuktikan perlakuan pemimpin-pemimpin kita semasa itu tetapi sampai sekarang saya belum terjumpa lagi. Saya pernah berucap dimerata-rata diseluruh negara membidas tindakkan UMNO ‘menderhaka’ kepada Raja-Raja Melayu tetapi seperti biasa saya menjadi mangsa kutukkan pihak pimpinan UMNO kerana kononnya saya dan ramai yang lain telah menderhaka kepada UMNO.


Sekarang UMNO baru merasakan betapa lemahnya mereka dan dimana-mana pimpinan mereka sedang berlindung dicelah ketiak Raja-Raja Melayu. Sekarang Najib baru merasakan betapa pentingnya Raja-Raja Melayu dan pernah berkata didalam perhimpunan agung UMNO yang lalu yang Raja-Raja masih ada kuasa untuk melantik pimpinan Kerajaan jika ada pihak yang akan cuba untuk mengambil alihnya. Tetapi beliau selaku Ketua Pemuda semasa itu bersama-sama berlegar keseluruh negara untuk mendapat sokongan untuk melakukan kepada pindaan perlembagaan itu.


Sekarang UMNO pula yang menuduh pihak pembangkang yang menderhaka sedangkan kuasa Raja telah menjadi tirus seperti tali gasing yang dilakukan oleh pindaan perlembagaan dicetusan oleh UMNO semasa itu. Kepada semua yang membidas saya tidak berapa lama dahulu elok berfikir; siapa yang durhaka kepada Raja-Raja Melayu….UMNO kah atau pembangkang?


Saya bergembira kerana Negeri Selangor akan memanggil sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Kebawah Duli Tuanku dengan nasihat Menteri Besar seperti sebelum pindaan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu.


Rupa-rupanya Pakatan Rakyat (PR) yang membuktikan mereka adalah pihak yang mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika UMNO jujur dengan apa yang mereka katakan sekarang Negeri-Negeri yang ditadbirnya mengembalikan peruntukan itu kepada peruntukkan asal semasa perjanjian persekutuan ditanda tangani dahulu. Ikutlah contoh Kerajaan Negeri Selangor jika benar UMNO mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Jangan bercakap manis dimulut sahaja ibarat menanam tebu dihujung bibir.


Setelah dululuskan oleh DUN Selangor pindaan ini nanti maka Negeri Selangor akan menjadi Negeri yang pertama yang telah sedar dan bertindak membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu. Didalam sidang khas itu wakil-wakil UMNO wajar memberikan sokongan kepada usul pindaan itu jika UMNO benar-benar telah berubah dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu seperti sebelum pindaan pada tahun 1993 itu.


Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Negeri Selangor diatas kejayaan saudara-saudari sekelian.
Oleh : Aspan Alias

Read more ...