PRN SARAWAK : BN MUNGKIN HILANG 8 KERUSI PARLIMEN PRU13,DAP HILANG SIBU
Pertamanya,syabas diucapkan kepada DAP yang berjaya memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi. Selain itu,selamat menjadi Yang Berhormat baru kepada tiga calon PKR yang menang di Krian,Ba Kelalan dan Batu Lintang.Buat Pas juga,walaupun gagal memenangi sebarang kerusi pada kali ini,sokongan yang sangat baik telahpun ditunjukkan oleh rakyat Sarawak sepanjang tempoh berkempen lalu.Untuk itu,penulis tertarik dengan status facebook Pas Sarawak yang membuat perumpamaan Pas di Sarawak dengan sepohon pokok.Tahun 2001 menyemai benih,2006 membaja pokok,2011 pokok mula berbunga dan insyaallah,lagi lima tahun berbuahlah pokok tersebut.Oleh itu,ingatlah bahawa Islam itu akan menang di tempat yang betul dan pada masa yang betul.
Walaupun turut sama gembira atas pencapaian di Sarawak kali ini,secara umumnya penulis berasa sedih kerana tiada wakil pembangkang yang beragama Islam akan mengangkat sumpah di Dun Sarawak.Malah, sebelum ini penulis telah mensasarkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima orang calon Muslim daripada Pas dan PKR akan menghangatkan sidang Dun Sarawak iaitu di Beting Maro,Saribas,Sadong Jaya,Sebuyau, Satok dan Lingga.Bagi penulis,kehadiran mereka dalam Dewan Undangan Negeri pastinya akan lebih mampu untuk membela umat Islam dan masyarakat Melayu Melanau,menjadi check and balance kepada ahli dewan Muslim lain daripada PBB.
Dalam entri penulis kali ini,penulis ingin membawa kita kepada kemungkinan beberapa kerusi yang bakal dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 untuk peringkat Parlimen di Sarawak.Jika diamati,Pakatan Rakyat mungkin akan memenangi sembilan kerusi Parlimen di Sarawak dengan mengekalkan kerusi Bandar Kuching,selain merampas Miri,Lanang,Stampin,Saratok,Sarikei,Bintulu dan Lawas.
Walaubagaimanapun,kerusi Sibu berada dalam keadaan yang agak berbahaya buat DAP.
Di Bandar Kuching misalnya,dalam Pilihanraya Umum ke 12 calon DAP Chong Chieng Jen menang dengan majoriti 9952 undi ke atas calon SUPP setelah mendapat undi sebanyak 22 901 undi.Bandar Kuching mempunyai dua kerusi Dun iaitu Padungan dan Pending.Undian terkumpul yang dimenangi oleh calon DAP di Kuching semalam adalah sebanyak 26 332 undi,peningkatan sebanyak 3431 undi berbanding PRU12.Jika SUPP memperoleh 12 949 undi pada tahun 2008,kali ini jumlah undi terkumpul mereka merudum kepada hanya 10 853 undi.
Di Sibu pula terdapat tiga kerusi Dun iaitu Bawang Assan,Pelawan dan Nangka.Dalam Pilihanraya Kecil Sibu,calon DAP Wong Ho Leng menang dengan majoriti tipis ke atas calon SUPP,Robert Lau Jr dengan majoriti 398 undi.Pada pilihanraya negeri kali ini,DAP hanya berjaya menawan kerusi Dun Pelawan manakala kerusi Dun Bawang Assan dan Nangka kekal di tangan SUPP dan PBB.Jika diamati jumlah keseluruhan undi di ketiga-tiga buah Dun,calon Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) memperoleh undi terkumpul sebanyak 21 234 undi manakala BN memperoleh undi terkumpul sebanyak 21 935.Perbezaan undi antara BN dan PR hanyalah sekitar 701 undi.Ini bermakna,DAP perlu bekerja dengan lebih giat untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu pada pilihanraya kecil yang lalu.
Selain Bandar Kuching dan Sibu,satu lagi kerusi yang cukup berpotensi untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat adalah Parlimen Miri.Dalam PRU 2008,Miri telah dimenangi oleh calon SUPP dengan kelebihan undi sebanyak 5216 undi.Terdapat tiga buah Dun di Parlimen Miri iaitu Piasau,Pujut dan Senadin.Dalam Pilihanraya negeri kali ini,dua buah kerusi SUPP berjaya dirampas DAP iaitu Piasau dan Pujut,manakala berlaku kontroversi di Senadin apabila calon DAP yang menang sebelum ditambah undi pos akhirnya tewas dengan majoriti 58 undi setelah ditambah dengan undi pos.Berdasarkan undi terkumpul DAP di Sibu,mereka berjaya memperoleh 22 394 undi berbanding hanya 17 013 untuk SUPP.Jika dikira,DAP mampu memenangi Parlimen Miri dengan majoriti lebih 5000 undi dalam pilihanraya yang akan datang.
Di Parlimen Lanang,DAP berjaya mempertahankan Dun Bukit Assek dan menawan kerusi Dudong daripada SUPP.Ahli Parlimen Lanang sekarang,Datuk Tiong Thai King yang turun bertanding di Dudong bukan sahaja tewas di sana,malah turut berisiko untuk hilang kerusi Parlimen yang dimenangi tiga tahun lalu dengan majoriti sekitar 4000 undi.Undian terkumpul untuk DAP kali ini di Lanang adalah sekitar 23 176 undi berbanding hanya 14 032 undi untuk SUPP.Ini bermakna,perbezaan undi antara DAP dan SUPP adalah sekitar 9144 undi.
Satu lagi kerusi Parlimen di kawasan Kuching adalah Parlimen Stampin, yang mengandungi tiga buah kerusi Dun iaitu Batu Lintang,Kota Sentosa dan Batu Kawah.Dalam pilihanraya umum 2008,Pakatan Rakyat mampu untuk menang di kawasan terbabit dan jika tewas sekalipun,adalah di bawah majoriti 1000 undi.Pun begitu,akibat tiada persefahaman,PKR dan DAP masing-masing meletakkan calon mereka di kerusi tersebut. DAP telah meletakkan penyandang kerusi Batu Lintang sebelum ini,Voon Lee Shang manakala PKR meletakkan aktivis tanah adat,See Chee How.Untuk rekod,Voon tidak bertanding kali ini kerana digantung oleh Jawatankuasa Disiplin DAP manakala Chee How berjaya memenangi kerusi Batu Lintang,setelah berlaku pertukaran kerusi antara DAP dan PKR di Padungan dan Batu Lintang.Berdasarkan undian terkumpul yang diperoleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya negeri kali ini,mereka berjaya mendapat undian sebanyak 33 268 undi berbanding 19 520 undi untuk SUPP.
Di Sarikei pula,satu lagi kawasan majoriti Cina,BN hanya berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada tahun 2008 dengan majoriti tipis 51 undi.Jika tidak berlakunya pertandingan lima penjuru dalam pilihanraya tersebut,DAP sememangnya berpeluang besar untuk merampas kerusi tersebut daripada SUPP.Dalam pilihanraya kali ini,Sarikei yang mempunyai dua buah kerusi Dun iaitu Repok dan Meradong menyaksikan DAP berjaya merampas kerusi Dun Repok dan mempertahankan kerusi Dun Meradong.Undian terkumpul yang diperoleh oleh DAP adalah sebanyak 14 784 undi berbanding 9418 undi untuk SUPP.Jika terdapat banyak calon bebas di kawasan Sarikei pada tahun 2006 dan 2008,hanya terdapat pertembungan dua penjuru di kedua-dua buah Dun dalam pilihanraya kali ini.
Di satu lagi kerusi Parlimen iaitu Bintulu,sekiranya DAP mengalami kekalahan yang agak besar pada tahun 2008 dengan majoriti kekalahan sebanyak 14 965,tetapi berdasarkan kiraan kali ini DAP mampu menang dalam pilihanraya umum akan datang setelah mengatasi BN dengan majoriti 453 undi di Bintulu.Walaupun calon dua calon PKR kalah di Dun Jepak dan Kemena,kemenangan besar DAP di Kidurong dilihat mampu menghidupkan peluang mereka untuk merampas kerusi tersebut dalam pilihanraya umum ke 13.Untuk rekod, Pakatan Rakyat mengumpul sejumlah 17 855 undi di Bintulu kali ini berbanding 17 402 oleh Barisan Nasional.Walaubagaimanapun,undi yang dikumpul dua orang calon SNAP dan tiga orang calon Bebas masih menjadi teka-teki dalam pilihanraya umum akan datang.
Di Lawas dan Saratok pula,walaupun undi Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menyaingi undi Barisan Nasional,kemenangan PKR di Dun Krian (Saratok) dan Ba Kelalan (Lawas) dilihat menjadi semangat baru buat Pakatan Rakyat menambah lebih banyak kerusi di kawasan Malaysia Timur.
Walaupun kerusi-kerusi Parlimen Melayu Melanau nampaknya masih berpihak kepada PBB,ini tidaklah bermakna Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menguasai kerusi tersebut.Di kerusi Batang Lupar misalnya, kerusi yang ditandingi oleh Pas dalam pilihanraya umum 2008 adalah satu lagi kerusi berpotensi memandangkan Pas mampu memberi saingan di Sebuyau dan Beting Maro selain PKR di Lingga.Untuk rekod,Pas dan PKR mampu menguasai 5593 undi Parlimen Batang Lupar dalam pilihanraya kali ini berbanding 10 766 undi untuk Barisan Nasional.Walaupun ketinggalan sekitar 5173 undi,keputusan tersebut lebih baik berbanding tahun 2008 apabila ketika itu calon Pas hanya mampu mendapat 2923 undi dan kalah dengan majoriti lebih besar sekitar 8092 undi.Penulis yakin,dengan usaha berterusan Pas di dua kawasannya iaitu Sebuyau dan Beting Maro mampu memberikan saingan pada PBB dalam PRU 13.
Apapun,selamat maju jaya buat Pakatan Rakyat Sarawak dalam Pilihanraya Umum ke 13.Kepada wakil Pakatan Rakyat yang baru,selamat bersidang penulis ucapkan.kamisokongpas