Monday, July 12, 2010

Sasaran 60 kerusi, tiada penyatuan PAS-Umno


KUALA LUMPUR, 12 Julai : Sasaran PAS adalah merampas 37 kerusi Parlimen daripada Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia dikuasai oleh PAS, tegas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Menurut beliau, usul 'menguasai 60 Parlimen' itu telahpun dipersetujui dalam Muktamar PAS kali ke-56 pada 12 Jun lalu demi memastikan PAS bersama-sama Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dari Umno BN tidak lama lagi.


Sehubungan itu, beliau mewakili jentera pilihan raya pemuda menolak pelawaan Umno untuk kerjasama demi kepentingan parti perkauman itu.


"Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain," tegas beliau petang tadi di Lobi Parlimen.


Baginya, PAS mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai kesemua Parlimen sasaran tersebut jika berdasarkan demografi pengundian rakyat pada PRU12 lalu.


"Saya ingat cerah, kalau jentera lebih berkerja keras dari apa yang sedia ada," ujar beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.


Ini kerana, beliau berkata, sebanyak 16 kerusi Parlimen menyaksikan PAS kalah kurang dari 5 ribu undi.


Manakala, katanya lagi, lapan kerusi parlimen sasaran yang lain menyaksikan PAS kalah kurang dari 10 ribu undi.


13 kerusi berbaki, menurut beliau lagi, menyaksikan PAS kalah 13 ribu undi sahaja.


"Kita kena gandakan fokus dan kerja, kalau nak pujuk rakyat tolak politik zalim dalam pilihanraya depan," tegasnya lagi.


Ditambah dengan mood rakyat yang kian sedar ekoran melihat isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada Singapura; gadai dua telaga minyak (Blok L dan Blok M) pada Brunei; kes pembunuhan Altantuya; skandal kapal selam Scropene; serta perlantikan Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang dikatakan pro Yahudi sebagai syarikat komunikasi kerajaan, beliau berkata, sudah tentu memberi kelebihan pada PAS dan Pakatan Rakyat.


Penegasan '60 Kerusi Parlimen' itu sekaligus menjawab pelawaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Lokman Nor Adam kononnya PAS lebih mudah melaksanakan Islam sekiranya bekerjasama dengan Umno adalah sandiwara Umno semata-mata.


Menurut beliau, tujuan pelawaan itu demi kepentingan Umno semata-mata, bukannya Islam.


"Kalau Umno ikhlas nak laksana Islam, mereka boleh buktikan sekarang, tak perlu 'main wayang' dengan PAS," ujar beliau sambil menyifatkan kenyataan Lokman itu bertujuan memecahbelah muafakat Pakatan Rakyat.


"Saya tak mahu Negara Islam versi Umno sebab negara kekal dalam kezaliman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), mahkamah tidak bebas, rasuah sana sini, sokong judi bola, amalkan politik membenci kaum-kaum lain yang tidak sokong Umno dan banyak lagi sebenarnya."


Sebaliknya, beliau berkata, pendirian PAS bersama-sama DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat demi memujuk rakyat menolak kezaliman Umno BN; sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


"Dalam Perjanjian Fudhul Hudaybiah, sebelum Perang Badar dan waktu memeterai Perjanjian Madinah pun, Nabi sendiri bersama-sama orang Islam dan yang bukan Islam untuk lawan kezaliman, apa masalahnya dengan DAP dan PKR," soal beliau.


Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Lokman turut mendakwa DAP anti Islam, manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin utamnya.


Lokman turut mengumpan PAS kononnya boleh melaksanakan Hudud sekiranya parti itu bersedia bekerjasama dengan Umno dalam masa terdekat ini.


Difahamkan, pujukan Lokman itu demi memulihkan semula sokongan masyarakat Melayu pada Umno yang belakangan ini dilihat kian pudar sejak parti perkauman itu menggadai kepentingan agama, negara dan bangsa.

Read more ...

Selepas Anwar, Bala pula akan dituduh agen CIA





















KUALA LUMPUR, 12 Julai:
Penyiasat persendirian (PI) Balasubramaniam mungkin bakal difitnah sebagai agen asing sebagaimana beberapa pemimpin Umno mengfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'agen CIA', kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu membuat jangkaan demikian ekoran kesediaan Bala mendedahkan skandal rasuah berkaitan kapal selam Scorprene kepada sekumpulan penyiasat di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefacture, 8 malam ini iaitu jam 2 petang waktu Perancis.


"Itulah permainan pemimpin Umno, mereka nak tutup rasuah yang membelit kapal tak boleh selam ini dengan tuduh beberapa individu ini sebagai agen asing.


"Saya percaya Bala ini akan difitnah seperti Datuk Seri (Anwar)," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.


Menurut beliau, permainan itu semata-mata untuk mengelirukan rakyat dari melihat isu sebenar - kapal selam Scorpene bernilai EURO1.084 bilion yang dibeli dari Perancis masih menghadapi masalah teknikal hatta tak boleh menyelam.


Katanya lagi, sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih awal membuka kertas siasatan berhubung skandal pembelian kapal selam yang dikatakan membabitkan Datuk Abdul Razak Abdullah Baginda (bekas panacea Datuk Seri Najib Razak) dan mendiang Altantuyaa Sharibuu (gadis Mongolia yang dibom menggunakan C4).


"Suatu yang memalukan apabila Perancis pentingkan integriti, mereka tak mahu ada dakwaan kononnya ada agen misteri dalam negara mereka amalkan rasuah.


"Suatu yang pelik, SPRM hanya bersedia serah soalan siasatan kepada peguam Bala saja," sindir beliau.


Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoal permainan media membunuh karektor Anwar.


"Dua hari lalu, dia fitnah Anwar upah CNN, kemudiannya dia fitnah Anwar 'agen CIA' pula, isunya kalau Anwar 'Agen CIA' hari-hari dia boleh masuk CNN dengan tak perlu bayar sebab CIA bayar," ujar beliau sambil menganggap permainan media yang pro Umno tertentu itu semata-mata bertujuan membendung kebencian rakyat pada kerajaan.


"Dulu masa PKR tak ada, mereka tuduh PAS agen asing, sekarang tuduh Anwar.


Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa CNN mungkin akan menyaman kerajaan Malaysia dan beberapa media terbabit.


"Dia ingat CNN ini macam TV3, itu bukan tuduhan pada Anwar, sebenarnya tuduhan itu boleh mendorong CNN saman media arus perdana (dan) mereka yang terbabit," beliau menambah.


Sedangkan, beliau berkata, suatu firma misteri di Amerika Syarikat sebelum ini terbukti membayar sejumlah wang tertentu pada New York Times demi memastikan isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimahsyurkan sebagai 'First Lady' dalam akhbar tempatan Amarika Syarikat pada 16 April lepas.
(Gambar: Iklan yang menyatakan Rosmah adalah First Lady Malaysia dalam New York Times...Kalau dia first lady, siapa dia Raja Permaisuri Agung)

Sebelum pada itu, Pengarah Strategik PKR Nasional, Tian Chua mendedahkan bahawa pembekal memberi jaminan untuk memperbaiki kapal selam terbabit sepatutnya tamat pada 25 Jun lalu.


Namun, disebabkan terlalu banyak masalah teknikal, jaminan pembekal dipanjangkan sehingga 25 Mei lalu.


Tambahnya lagi, kos penyelenggaraan kedua-dua kapal terbabit dianggarkan akan terus meningkat dari anggaran yang dibuat oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, iaitu EURO270 juta setahun.


Sehubungan itu, beliau bersama-sama Mahfuz menuntut supaya segera menubuhkan suatu suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal kapal selam yang membazirkan EURO1.34 bilion wang rakyat.


Selasa lalu, Harakahdaily melaporkan bahawa Mahfuz turut mendakwa Bala serta Raja Petra Kamaruddin (pemilik blog Malaysia Today) mempunyai 'kunci peti rahsia' berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Read more ...

Laporan curi pasir tidak benar , salah fakta

SHAH ALAM, 12 Julai : Laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta-fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pasti gambar ini diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, bukannya di Bukit Canggang.


Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.


Kelulusan dari jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.


Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB. Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands.


Syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.


KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG.


Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.


Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.


Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.


Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta sepertia yang dilaporkan akhbar.


Adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.


Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.


Kerajaan Negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir. Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian.


Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.


Kita juga berharap pihak media lebih berhati-hati dengan fakta yang diberikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus menambah baik perlombongan pasir yang menjadi sumber untuk agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

MB Selangor

Read more ...

Saman ekor cara baru ambil duit rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam pesalah trafik melalui saman ekor sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, pihaknya merasa kesal ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dan indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ menyatakan bahawa mereka yang ada sama ekor tidak dibenarkan membaharui cukai jalan.


"PAS bukan menentang saman kepada mereka yang bersalah, tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul. Kenapa tidak dibawa kepada pengadilan untuk dibicara," katanya.


Kata Idris, PAS berpendapat, ini adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut kerana ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku.


"Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak mengurangkan kemalangan jalanraya, ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam," dakwa beliau.


Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya.


PAS berpandangan, katanya, bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat.


"Mungkin kerajaan telah terlepas peluang kerana lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang dengan hebat oleh rakyat. Sebab itu tidak hairanlah kepada kita kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan," katanya.


PAS, kata beliau, mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat.


"PAS menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu dibibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13," katanya.

Read more ...

Bola api semarakkan World Cup

PARIT, 12 Julai : Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit (DPPKP) tidak ketinggalan dalam demam bola sepak Piala Dunia yang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam.

Pada malam yang bersejarah itu, kira-kira 60 orang hadirin telah memeriahkan acara-acara yang berlangsung sejurus selepas solat isyak di Markas PAS Titi Gantung,Perak.

Acara malam semalam mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila berlangsungnya acara yang paling unik iaitu "Bola Sepak Berapi" yang mendapat sambutan hangat oleh golongan muda.

Sebanyak 4 buah pasukan telah berentap untuk merebut anugerah johan dan ianya telah dimenangi oleh pasukan MRRQ.

Menariknya, hadirin turut disajikan dengan menu nasi ikan bakar BBQ dan acara-acara lain iaitu kuiz isu semasa dan cabutan bertuah.

Sementara menunggu saat bermulanya perlawanan akhir Piala Dunia 2010, para hadirin juga tidak mensia-siakan masa yang terluang memandangkan pihak penganjur ada menyediakan tayangan video isu-isu semasa. Apabila bermulanya perlawanan bersejarah itu, semua hadirin yang hadir menyaksikannya di skrin putih gergasi yang disediakan.

Menurut Ketua DPPKP, Ustaz Zaidan Abdul Ghani ketika berucap di majlis perasmian, dalam PAS kita juga berhibur dan mengikuti Piala Dunia Bola Sepak, tetapi kita tidak sekali-kali lalai atau melanggar batasan Islam.

Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah dan menelusuri perjuangan Islam di mana-mana sahaja. Beliau juga berpesan supaya semua hadirin solat subuh berjemaah di masjid sebelah markas sebaik sahaja tamat perlawanan tersebut.

Selepas perlawanan, Ustaz Zaidan kelihatan begitu gembira dengan keputusan perlawanan akhir yang berprestij itu kerana beliau merupakan penyokong kuat pasukan Sepanyol.

Read more ...

Program Cakna Rakyat dapat sambutan



PARIT BUNTAR , 12 Julai : Program Cakna Rakyat 2010 anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong mendapat sambutan hebat daripada penduduk di Kuala Bagan Tiang dan sekitarnya.

Pengarah program Ahmad Azhar Haji Sharin berkata, program yang julung-julung kali diadakan di Kuala Bagan Tiang ini mendapat kerjasama penduduk setempat.

" Kerjasama penduduk yang diketuai oleh Ketua Kampung Pakatan Rakyat Haji Ahmad Bakhtair Arshad telah menjayakan lagi program ini.

" Cakna Rakyat 2010 ini diadakan sebagai tanda prihatin pemimpin masyarakat khususnya daripada wakil rakyat untuk mendekati rakyat dengan lebih dekat." katanya

Menurutnya, acara yang dimulai dengan majlis ucapan perasmian oleh ADUN Titi Serong,
Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan Haji Harun Hashim selaku penaung program.

" Pelbagai acara telah dianjurkan yang dapat menarik ratusan pengunjung ke Dewan Serbaguna Kuala Bagan Tiang.

" Pengunjung dihidangkan dengan acara peraduan mewarna kanak-kanak, sukaneka kanak-kanak, sukaneka wanita, pertandingan masakan dan gubahan, bolasepak tujuh sebelah, tarik tali, pemeriksaan kesihatan percuma, daftar dan semakan pemilih dan banyak lagi" katanya

Azhar berkata, setiap acara mendapat sambutan sehingga pihak penganjur terpaksa mengadakan acara saringan terutamanya bagi acara sukaneka kanak-kanak kerana lebih seratus kanak-kanak menyertainya.

" Dalam masa yang sama tidak ketinggalan juga pihak penganjur menyampaikan sumbangan untuk fakir miskin di kawasan tersebut.

" program turun padang mendampingi rakyat ini merupakan acara yang sering dilaksanakan oleh pihak penganjur. Sebelum ini acara yang sama telah diadakan di Pekan Tanjung Piandang dan Kampung Perak " katanya

Tambahnya, program ini dianjurkan sebagai tanda prihatin pihak Parlimen dan DUN untuk memberi khidmat pada penduduk setempat dan pada kali ini Kuala Bagan Tiang menjadi tuan rumah.

Sementara itu, pada acara penutupnya di padang bolasepak Kuala Bagan Tiang, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh penduduk setempat yang sama-sama terlibat bagi menjayakan Cakna Rakyat ini.

" Saya menyeru anak-anak muda khususnya yang beragama Islam dan berbangsa Melayu ini menyertai program-program yang berfaedah dan dapat memupuk semangat muhibbah di antara pemimpin dan juga masyarakat setempat " katanya

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Titi Serong serta penaung Cakna Rakyat yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Haji Harun Hashim.


Kanak-kanak menyertai acara meniup belon

Seorang warga emas sedang diperiksa oleh doktor.


Acara tarik tali mendapat sambutan hebat


Puan Zuraida isteri kepada Ahli Parlimen menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Read more ...

Bongkar lebih banyak



SHAH ALAM, 12 Julai :
Bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong langsung tidak gusar apabila namanya diumumkan antara tiga lagi individu yang bakal disaman.

Bercakap kepada Tv Selangor, menurut Dr Tan, sekiranya kes sampai ke mahkamah, maka semakin banyak perkara yang akan terbongkar.

" Sila lah. Saya pun sudah cakap banyak bagaimana Najib aturkan satu mesyuarat sulit di pejabat, pada waktu itu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada masa itu Pengerusi Felda pun tidak tahu, ketua pengarah pun tidak tahu.

Kalau betul-betul melalui cara biasa, sesuatu perubahan plan, mesti mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah bukan? ujarnya kepada Tv Selangor.


Semalam, media melaporkan Felda bakal menyaman tiga lagi individu dari Parti Keadilan Rakyat berhubung kes penyiaran artikel dari Suara Keadilan berjudul "Felda Bankrap".

Mereka ialah Dr Tan, Anggota Majlis Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Biro Felda PKR, Suhaimi Said.

Pada 1 Julai lalu, Felda bertindak menyaman lidah rasmi PKR itu sebanyak RM 200 juta.

Dalam pada itu, Dr Tan terus mempersoalkan tindakan kerajaan melabur ratusan ribu ringgit dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat yang menggelarkan diri mereka pakar bio-diesel seperti yang didedahkannya sebelum ini.

" Apa kepakaran syarikat Amerika Syarikat dalam bio-diesel yang ada yang kita tidak ada?".

" Dari hari pertama sampai sekarang sudah tiga tahun, rugi, rugi, rugi" tambahnya lagi.

Read more ...

Ceramah Ust. Zulkifli bebas dari tahanan Mesir















LENGGONG, 12 Julai: Kerinduannya kepada keluarga serta rakyat di kawasan Parlimen yang pernah ditandinginya selepas selamat pulang ke tanahair Jumaat lalu, membuatkan Ustaz Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria, 41, yang hampir sebulan ditahan di Mesir, tidak sabar untuk berada di atas pentas.

Kebetulan ada program ceramah anjuran PAS Kawasan Lenggong di Kampung Kota Tampan Air kelmarin (10 Julai), beliau turut bersama berada di atas pentas, bagaimanapun tidak dibenarkan berucap atas arahan pihak polis.

Namun kerinduan penduduk terhadap beliau terubat dan perasaan lega orang ramai terbayang kerana beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak tidak ditahan berpanjangan di Mesir dan apabila pulang tidak dikenakan tindakan tahanan lanjut.

Program ceramah itu membabitkan Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Ahmad Idzam Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dengan kehadiran lebih 500 penduduk.

Program sempena majlis akikah seekor lembu itu turut dimeriahkan dengan acara pertandingan membaca teks khutbah peringkat menengah yang berjaya dimenangi oleh adik Muhammad Muzammil Jamaluddin, di mana hadiah disampaikan oleh Razman.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program ceramah, Muhammad Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata selama 25 hari berada dalam tahanan, beliau terpaksa menerima deraan seperti berdiri tiga hari tiga malam, sehari semalam dan dikenakan kejutan elektrik.

Katanya, deraan itu sebagai denda kerana pihak berkenaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikannya selepas disoalsiasat, seperti mengenai sijil diploma yang terlupa dibawanya menyebabkan beliau tidak diterima untuk menduduki pengajian/peperiksaan peringkat sarjana.

"Bila dia tanya tidak adakah orang yang boleh menghantar sijil itu, saya jawab tidak ada, dia tidak terima alasan itu, saya pun didenda berdiri sehari semalam, mula waktu asar sampai waktu asar keesokannya," katanya.

Muhammad Zulkifli berkata, antara soalan-soalannya hanya mengenai tujuannya ke Mesir, di mana memang beliau ke sana untuk menyambung belajar ke peringkat sarjana dan tidak ada tujuan lain selain itu.

Katanya, apabila dibebaskan dan sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pula, di mana beliau ditanya apa yang berlaku di Mesir yang mengakibatkan beliau ditahan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesyukurannya kerana dibebaskan tanpa terpaksa menjalani tahanan lanjut dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau dibebaskan segera.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat saya dan keluarga saya, termasuk yang sama-sama mendoakan supaya saya dibebaskan segera dan dapat pulang dengan selamat," katanya.

Read more ...

Tuduh Anwar agen CIA bukti Najib makin terdesak















KUALA LUMPUR, 12 Julai:
Para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketawa besar dengan usaha terkini mengaitkan penasihat partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan agensi perisik Amerika Syarikat, Central Intelligence Agency (CIA) melalui tulisan blogger yang jarang dikenali umum.

"Pemimpin Umno dan media menuduh Anwar sebagai agen Amerika dan Yahudi, tetapi juga memetik tulisan bahawa CIA dan Mossad ingin membunuhnya. Mereka sudah gila," kata Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali melalui laman perhubungan komuniti, Twitter.


Mingguan Malaysia, telah menyiarkan satu berita mengenai seorang blogger dari New York, bernama "Elaine Meinel Supkis" yang tidak dikenali umum yang menuduh Anwar adalah "agen CIA" di dalam sebuah tulisan yang dipaparkan di blognya.


Walaupun suratkhabar tersebut menggambarkan blogger itu sebagai "seorang yang menonjol", namun tiada sebarang maklumat tambahan yang dapat diperolehi daripada siasatan Harakahdaily pada beberapa enjin carian mengenai nama penulis mahupun blog miliknya.


Namun begitu, perkara tersebut tidak menghalang para pemimpin Umno melengahkan masa untuk mengutuk Anwar berdasarkan laporan tersebut, dengan Rais Yatim, salah seorang ahli Majlis Tertinggi parti itu, menyatakan kepercayaan beliau terhadap blogger tersebut kerana beliau yakin blogger tersebut telahpun melakukan siasatan yang secukupnya sebelum menulis artikel tersebut.


"Diharapkan penulis blog berkenaan mempunyai asas-asas yang menyokong dakwaan tersebut, tetapi saya percaya apa yang diterbitkan itu tentulah sudah disiasat oleh penulisnya dan bukan hanya tulisan kosong," kata Rais yang memuji blogger tersebut.


Manakala, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pula enggan mempercayai sebarang hujah mengenai keakraban Anwar dengan CIA, tetapi beliau memberikan amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Anwar, sekiranya terbukti, Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara.


"Tak tahulah sama ada (alat) CIA atau tidak, tetapi kita tengok banyak rahsia dia sudah terbongkar," katanya kepada wartawan.


Sementara itu, Pengarah Strategik PKR dan ahli parlimen Batu, Tian Chua tidak menolak kemungkinan bahawa ada satu perancangan oleh kerajaan untuk menahan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.


Tian Chua berkata Perdana Menteri Najib Razak seharusnya mengetahui perkara tersebut dengan lebih baik daripada mempercayai kebodohan Utusan dengan kempen fitnahnya.


"Utusan-Umno semakin bodoh. Siapa-siapa, minta tolong hantarkan kepada Najib Razak, seorang propagandis yang lebih cerdas. Bukan ke kontrak APCO telah dipanjangkan?" seloroh beliau sambil merujuk kepada perunding imej Najib, APCO Worldwide yang telah dikritik keras baru-baru ini atas pertalian erat syarikat tersebut dengan para pemimpin Israel.

Read more ...

SADA jamin atasi masalah air



KUALA NERANG , 12 Julai :
Masalah air yang berlaku di beberapa kawasan dalam daerah ini bakal selesai apabila pelan perancangan meningkatkan kapasiti air di loji yang giat dilaksanakan akan disiapkan sepenuhnya Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, berkata, berdasarkan pertemuan dan perbincangannya dengan Ketua Eksekutif Sada, Datuk Adzmi Din bulan lalu satu penjelasan mengenai masalah air dibincangkan antara kedua pihak.


Menurutnya, Sada memberi jaminan bahawa masalah air yang dihadapi masyarakat di beberapa kawasan dalam daerah ini dan Kedah amnya, akan diselesaikan apabila projek menaik taraf loji air terpilih dan laluan paip siap dilakukan.

“Tumpuan untuk mengatasi masalah air di negeri dan daerah ini dijalankan dengan serius di semua daerah. Projek yang sedang berjalan di daerah berhampiran melibatkan kawasan Pendang akan membantu menyelesaikan masalah air di sekitar kawasan Naka, Lamdin, Kubang Julok dan sekitarnya.

“Projek giat dilaksanakan sekarang adalah pembinaan loji dan laluan paip di kawasan Padang Sanai Baru berkapasiti 50 juta liter sehari untuk kemudahan masyarakat dan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Nasir berkata, projek loji dan laluan paip bernilai RM50 juta meliputi kawasan Padang Sanai, Kubang Pasu, Sintok dan Bukit Kayu Hitam akan mampu menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan terlibat.

Menurutnya, projek menaik taraf bekalan air untuk keselesaan rakyat sedang dilakukan membabitkan membekal, pemasangan paip dan membina tangki dengan kos RM30.8 juta melibatkan sebahagian di kawasan Pendang sekali gus membantu menyelesaikan masalah air dalam daerah ini.

Terdahulu, Sinar Harian siaran 3 Jun ada melaporkan keadaan penduduk di beberapa kawasan dalam daerah ini khususnya di pedalaman yang mengalami kesulitan mendapatkan bekalan air sehingga terpaksa bersusah payah mengangkut air untuk kegunaan harian.

Nasir berkata, program untuk Projek Rancangan Malaysia ke 10, bekalan air di Padang Terap adalah melibatkan projek membina muka sauk (pam air mentah) berkapasiti 50 mld, rumah pam dan pemasangan paip bagi membantu penduduk mengatasi masalah bekalan air.

“Projek ini akan dimulakan pada tahun ini dengan melibatkan pemasangan paip dari Padang Sanai ke Kota Putera, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam. Projek ini akan akan membantu masalah kekurangan bekalan di kawasan sekitar itu dan juga beberapa kawasan dalam daerah ini,” katanya.SH

Read more ...

KM Melaka bangang



















MELAKA , 12 Julai :
Umno Cawangan Bukit Pulau dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi bagi membincangkan tentang ceramah Ketua Menteri di Bukit Pulau Sabtu lalu yang tidak mendapat sambutan dari penduduk setempat.

Ceramah Umno/BN yang dilangsungkan bersebelahan dengan ceramah PAS bagi tujuan mengganggu ceramah PAS tersebut hanya dihadiri oleh kira-kira 100 orang sahaja itupun di’import’ dari luar, sedangkan ceramah PAS dihadiri oleh 300 orang yang sebahagian besarnya penduduk setempat.


Sumber dalaman Umno memberitahu bahawa pimpinan Umno naik berang dengan keadaan itu yang membuktikan bahawa rakyat semakin meluat dan muak dengan Umno dan Ketua Menteri sendiri. Imej seorang yang bergelar Ketua Menteri sudah tentu tercabar kerana orang kampong Bukit Pulau sendiri tidak mahu keluar mendengar ceramah beliau.


Tamparan sudah tentu lebih hebat kerana Penolong Setiausaha Umno Bahagian Bukit Katil, Yunos Hitam juga berasal dari Bukit Pulau. Beliau sendiri nampaknya tidak dapat memujuk penduduk Bukit Pulau untuk keluar mendengar ceramah Ali Rustam.


Beberapa penduduk Kampung Bukit Pulau memberitahu bahawa penduduk kampong sudah muak dengan ucapan Ali Rustam yang jelas tidak mempunyai fakta dan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat dalam isu-isu seperti banjir, Eye On Malaysia, Lapangan Terbang Batu Berendam,rasuah dan lain-lain.


Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah Mohamad, jawapan yang diberikan oleh Ali Rustam pada ceramahnya malam itu benar-benar memperbodohkan rakyat umpamanya berkaitan dengan Eye On Malaysia, di mana Ali berkata kerajaan negeri dan rakyat tidak rugi apa-apa kerana ianya adalah projek swasta sedangkan rakyat tahu bahawa kerajaan negeri melalui KMB mempunyai kepentingan dalam syarikat usahasama itu.


“Janganlah cuba tipu rakyat kerana rakyat hari ini sudah cerdik dan mudah mendapat maklumat melalui internet dan media alternative” ujar Abdullah.

IkutSukaAku.

Read more ...

Karpal tiada niat bermusuh dengan PAS



KUALA LUMPUR, 12 Julai : Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak berniat untuk menimbulkan isu Negara Islam acuan PAS apatah lagi membidas pemimpin PAS sebaliknya menyifatkan isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu, kata Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Teresa Kok.

Ujar Exco Selangor itu lagi, perkara tersebut bukan isu besar dan sengaja dimainkan semula oleh pihak tertentu dan menganggapnya sebagai asam garam dalam dunia politik.

“Tiada isu sebenarnya. Saya rasa Karpal tidak mahu membidas PAS.

“Kenyataan yang dikeluarkan mungkin sebagai menjawab pertanyaan orang lain. Apabila ada yang bertanya, maka kita kena jawablah,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, isu tersebut adalah salah faham antara Karpal dan pemimpin PAS dan ia tidak sama sekali mengeruhkan hubungan kerjasama antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Ia salah faham dan bukan masalah besar pun. Perkara ini biasa saja. Dalam hubungan suami isteri pun pasti ada salah faham,” katanya sambil meminta semua pihak berhenti memanjangkan isu tersebut.

Terdahulu, Karpal dilaporkan melahirkan rasa tidak setujunya terhadap konsep Negara Islam yang mahu dibawa PAS.

Keengganan Karpal dibidas pimpinan PAS yang meminta Karpal memberi perjelasan berhubung isu tersebut bagi menamatkan polemik mengenainya.SH

Read more ...

Kerajaan Kelantan tidak berhutang bayar gaji kakitangan



















RANTAU PANJANG, 12 Julai :
Kerajaan PAS Kelantan mampu membayar gaji kakitangannya tanpa berhutang daripada mana-mana pihak, kata Timbalan Pengerusi Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun.

Menurutnya dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak mampu membiayai gaji kakitangannya jika dapat memerintah negeri ini adalah tidak benar.


"Kita (kerajaan negeri) masih mampu membayar gaji kakitangan walaupun mentadbir negeri ini dalam tempoh 20 tahun ini, tanpa perlu berhutang daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan Pusaat," katanya kepada Bernama di sini.


Katanya perbelanjaan mengurus atau emolumen kerajaan negeri masih mencukupi untuk menampung membiayai gaji kakitangan walaupun mengalami perbelanjaan defisit setiap tahun.


"Cuma kerajaan negeri menghadapi masalah perbelanjaan pembangunan yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan pusat," katanya.


Beliau berkata, dakwaan pemimpin parti politik pembangkang sebelum pilihan raya 1990 kononnya kerajaan negeri hanya mampu membayar gaji kakitangannya dalam tempoh tiga bulan adalah tidak benar.


Abdul Fatah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata kerajaan boleh menggunakan peruntukan daripada mana-mana wang yang disatukan jika menghadapi masalah sumber kewangan untuk menampung pembiayaan gaji kakitangan.


"Jadi setakat ini tidak timbul soal kerajaan negeri tidak mampu membayar gaji kakitangan dalam tempoh tertentu seperti dakwaan sesetengah pemimpin parti politik," katanya.


Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku berkata kerajaan negeri akan lebih bernasib baik jika berjaya dalam tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

Read more ...

Sokongan Melayu kepada PAS kekal



















KUALA LUMPUR, 12 Julai:
Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.


"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.


"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.


"Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.


Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.


Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.


Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.


"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.


Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai Mursyidul Am serta ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.


Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.


Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.


Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.


Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.


"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.


"Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Read more ...

Tanah kampung Melayu bukan milik kerajaan negeri

lim guang eng














KUALA LUMPUR, 12 Julai :
Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak ada kuasa untuk meroboh perkampungan Melayu di negeri itu kerana banyak tanah perkampungan Melayu adalah milik individu dan bukan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan, jika pemilik tanah persendirian mahu memajukan tanah mereka.

Bagaimanapun katanya, jika mereka tidak berpuas hati, mereka boleh membawa perkara ini ke mahkamah. Kerajaan negeri pernah menghalang Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) meroboh perkampungan orang Melayu di Tanjung Tokong.

“Tetapi kerana UDA nak majukan dengan projek kondominium, orang Melayu terpaksa keluar kerana tidak mampu membeli unit-unit kondominium tersebut," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Lim menjelaskan, “kerajaan negeri boleh halang UDA kerana sebahagian tanah di situ milik kerajaan negeri. Tetapi saya nak tanya yang nak ambil tanah itu kerajaan negeri atau UDA kerana UDA adalah sebuah agensi milik kerajaan pusat,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri sedang membangunkan tapak tanah perkampungan Melayu di negeri itu dengan tujuan supaya orang Melayu keluar dari kampung mereka.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Umno dan Gerakan perlu membuktikan dakwaan bahawa kerajaan negeri sengaja mahu memusnahkan perkampungan Melayu.

"Ini wayang sahaja, ini kenyataan politik untuk kepentingan politik sendiri,” sindir beliau.

Read more ...