KUALA LUMPUR: Muktamar dan pemilihan PAS pada November depan dijangka
menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan ketua pemuda sayap parti itu
dengan dua daripada lima calon muka baru mengesahkan akan bertanding
kerusi tersebut, menyaksikan penyandang semasa Nasrudin Hassan
mengesahkan menarik diri.
Mendahului senarai calon-calon berpotensi untuk menyandang jawatan
tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan peguam
parti yang juga Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman
Ekor (KASE) Zulhazmi Shariff.
Ketika dihubungi Antarapos, kedua-dua pemimpin yang terkenal melalui
gerakan dalam PAS mengesahkan diri untuk bertanding bagi mengisi
kekosongan yang ditinggalkan Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Sementara tiga lagi calon muka baru yang layak iaitu Naib Ketua Dewan
Pemuda PAS Pusat Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pusat Dr Riduan Mohamad Nor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah
Persekutuan Kamaruzaman Mohamad masih belum membuat sebarang keputusan.