Tuesday, January 25, 2011

Isu bersalam: PAS mahu Umno ingatkan MCA hormati Islam

KUALA LUMPUR, 25 Jan — PAS mahu Umno mengingatkan rakan-rakannya bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN) supaya menghormati hak Muslim ekoran tindakan pemimpin membangkitkan isu bersalam calonnya Normala Sudirman, kata Setiausaha Agung Mustafa Ali.

“Sepatutnya pemimpin Umno perlu ingatkan kawan mereka yang bukan Islam supaya hormati hak orang Islam sebagaimana orang Islam hormati hak orang bukan Islam.

“Kita tidak cemuh orang bukan Islam khususnya Cina yang makan babi misalnya kerana itu hak mereka dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diambil,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Mustafa, keadaan itu berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat apabila pemimpin DAP dan pemimpin bukan Islam dalam PKR cuba memahami dan mendekati Islam.

“Ia diperlihatkan dengan baik dalam isu bukan Islam memasuki masjid, membaca al-Quran dan memberi salam,” kata beliau merujuk kepada komen yang dibuat Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyentuh tindakan Normala tidak bersalam dengan kaum lelaki.

“PAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Normala Sudirman kerana tidak menggadaikan prinsip dan disiplin perjuangan untuk kepentingan politik sementara,” katanya sambil menambah Normala berjaya menonjolkan disiplin Islam di tengah-tengah masyarakat dengan penuh yakin walaupun mungkin kehilangan satu dua undi orang di sekeliling Dr Chua.

“Tak usah bimbang kerana masyarakat umum yang mengenali PAS memahami soal ini.

“Ia bukan perkara baru dalam PAS. Semua pemimpin muslimat PAS sama ada calon atau tidak calon berpendirian yang sama seperti Normala... sama ada Dr Mariah Mahmood (MP Kota Raja) atau Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (MP Titiwangsa) dan lain-lain wakil rakyat PAS pun berpendirian yang sama hatta (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) pun berpendirian yang sama,” kata Mustafa.

Katanya, Dr Chua menjadikan isu sebagai pendiriannya dan MCA kerana dua sebab.

“Yang pertama Dr Chua rasa pelik kerana sepanjang puluhan tahun bergaul dengan pemimpin Umno, sama ada pemimpin wanita atau isteri pemimpin Umno, dia tidak pernah melihat apa yang diperlihatkan oleh Normala.

“Ini bagi saya kegagalan Umno kerana tidak memahamkan perkara ini kepada pemimpin bukan Islam yang bersama mereka. Saya tidak fikir Wanita Umno tidak tahu dari segi hukumnya,” katanya.

Selain itu kata beliau, sikap Dr Chua sendiri yang tidak dapat membezakan mana yang dianggap bermoral dan mana yang tidak.
“Sebab itu, berlakon filem seks pada orang lain tidak bermoral tetapi bagi dia dan partinya MCA tidak ada apa-apa. Sebab itu dia terus menang menjadi presiden MCA,” katanya.

Dalam pada itu, The Star memetik Dr Chua sebagai berkata, menjadi tugas beliau untuk menjelaskannya apabila orang ramai membangkitkan perkara tersebut ketika sesi bertemu pengundi.

Kata Dr Chua, bukan niat beliau untuk membangkitkan isu berkenaan atau untuk mempolitikan pilihan Normala.

“Kami hormati pilihan beliau dan begitu juga beliau harus memahami mengapa orang terkejut dengan tindakan beliau.

“Sebagai bukan Islam, kami tidak arif mengenai agama ini (Islam),” katanya.

Katanya beliau juga akan memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi apabila bertemu dengan beliau.

Semalam, Muhyiddin, Timbalan Pengerusi BN, menggesa MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri menegaskan, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya kecil itu.

“Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini,” katanya.

Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insider kelmarin, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari ketiga hari ini. Pengundian diadakan Ahad ini.

The Malaysian Insider pagi tadi melaporkan, Perkasa menyokong desakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya presiden MCA agar memohon maaf kepada umat Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam - calon PAS dalam kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang.

“(Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek diingatkan dalam kempen MCA menentang DAP agar berhati-hati apabila menyentuh hal atau perkara-perkara yang membabitkan Islam, apatah lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum Islam yang jelas,” kata Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali.

Katanya, menjadi tanda tanya kepada Perkasa sejak kebelakangan ini ada pihak yang kerap menyentuh sensitiviti orang Islam negara ini demi politik atau pun sengaja hendak menghina Islam.

“Apa pun alasannya, Perkasa beri amaran bahawa jangan sesekali mempolitikan Islam demi mendapatkan sokongan kaum bukan Islam kerana umat Islam dalam negara ini menerimanya sebagai satu penghinaan kepada kesucian Islam yang menjadi wajib kepada umat Islam menentang mereka,” kata beliau lagi.

Kata Syed Hassan, Perkasa akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini sekiranya penghinaan terhadap Islam terus berlaku.

Harussani menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Read more ...

Misteri pembunuhan peguam : Pembunuh kenalan orang besar-besar ?

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2008/08/28/MichaelJeyakumar.jpgKUALA LUMPUR 25 Jan. : Walau sebulan berlalu tetapi misteri motif pembunuhan kejam seorang peguam terkenal di Perak pada 16 November lalu masih berada dalam keadaan tanda tanya.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D.Jeyakumar berkata tiada suspek yang didakwa oleh polis kerana ada sumber memberitahu suspek merupakan orang yang berpengaruh dan mempunyai hubungan baik dengan pegawai atasan polis.

"Tapi masalahnya sekarang ialah 'crime suspect', dalang itu ada orang-orang kuat di belakang dia, keluarga dia ada beberapa orang Datuk dan juga bekas pegawai polis yang tinggi. Jadi sekarang tugas profesional polis sekarang ini telah disekat, kami mahu polis selesaikan kes ini secara profesional," katanya.

Ekoran daripada tiada tindakan diambil polis, Parti Sosialis Malaysia atau PSM telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan Memorandum kepada Ketua Polis Negara.

Menurut Presiden PSM, Dr Nasir Hasyim, jika tiada tindakan diambil walaupun selepas memorandum diserahkan, pihaknya akan meminta rakyat membela kematian peguam yang banyak memberikan khidmat kepada rakyat miskin di Perak.

"Andainya masih tidak selesai kami akan berbalik kepada rakyat dan memberitahu bahawa ia tidak bergerak dan kita serah kepada rakyat untuk bertindak membuat laporan polis dan apa saja supaya kematian ini dibela," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 16 November tahun lalu di Desa Rishah, G Balasundram, 57, seorang peguam yang sering memberi khidmat percuma kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM), maut ditikam dua lelaki bertopeng dipercayai pembunuh upahan.

Bagaimanapun kumpulan yang disyaki menyerang mangsa telah ditahan oleh polis pada pertengahan bulan Disember 2010 sehingga sekarang.

Read more ...

Menteri 'tak cerdik' suruh Pakatan turunkan harga barang

Cabar Pakatan guna alasan budak sekolah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiphWdQxCKZwkWISsN358sS5KKVWDo8O_XYgnVM_yDJ98nh0-eznAtc0K9dLBsl-20tW2ZX21ZEeehS-ykLStyKM8vV7_IjCwsWdjVNSxFDhKB9B1HPYPkYOjXpn2-Za0SX4BY72nuRUlY/s400/ahmad+maslan.jpgKUALA LUMPUR, 25 Jan: PAS menyifatkan cabaran Datuk Ahmad Maslan supaya negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga barangan sebagai 'alasan' setelah gagal memberi penjelasan kenaikan harga barangan yang dituntut rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sepatutnya memberi jawapan yang baik dan bukan mengalihakan isu tersebut dengan membuat cabaran kepada Pakatan Rakyat.

"Masyarakat mengharapkan jawapan yang baik dari Timbalan Menteri, tapi malangnya jawapan Ahmad macam budak tak sekolah.

"Semua orang tahu, kuasa beri subsisdi untuk menurunkan harga barangan ini bidang kuasa kerajaan pusat bukan kerajaan negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno dalam kempennya di Tenang hari ini dilaporkan mencabar negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan menurunkan harga barang termasuk harga petrol.

Menurutnya, empat negeri Pakatan Rakyat itu dicabar mencari sumber kewangan bagi memberi subsidi kepada pengusaha stesen minyak.

Beliau dipercayai membuat cabaran itu ekoran tidak senang duduk dengan isu kenaikan harga barang yang dicanang jentera kempen Pakatan Rakyat di Dun Tenang.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cabaran Ahmad itu juga menunjukkan kelemahan kerajaan BN yang seolah-olah telah mengaku tidak dapat menurunkan harga barangan yang kini sedang ditanggung rakyat.

"Sebab itu Pakatan Rakyat tonjolkan Buku Jingga, kita mahu kaji semula pembayaran RM19 bilion subsidi gas kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk disalurkan kepada subsidi rakyat.

"Kalau nak suruh Pakatan Rakyat turunkan harga, berilah peluang pada Pakatan Rakyat Perintah Malaysia, kita tengok dalam masa 100 hari Pakatan boleh buat atau tidak," katanya.

Read more ...

"Saya nak bangkitkan soal bunuh, soal rasuah, rampas isteri semua itu akan dibangkitkan, dan soal Port Dickson,"

Chua Tidak Layak Sebut Isu Peribadi


SHAH ALAM 25 Jan. : Perilaku Datuk Dr Chua Soi Lek disifatkan sebagai mengata dulang paku serpih,mengata orang dia yang lebih dalam soal calon PAS di tenang.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sidang media selepas forum 'Luncheon Talk with YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim' di Kelab Shah Alam, Shah Alam pagi tadi.

Kata beliau, tindakan Presiden MCA itu membuat serangan peribadi terhadap Normala juga sesuatu yang jelek memandangkan latarbelakang beliau yang sudahpun terjejas akibat skandal DVD lucah tidak lama dahulu.

'Chua Soi Lek bangkitkan isu peribadi dengan Normala, itu bagi saya sangat tidak adil, dan Chua Soi Lek nak bicara soal peribadi tu tak sesuai saya fikir. Jadi lebih baik tumpu soal dasar, keupayan tokoh ini berbanding dengan tokoh BN," kata beliau.

Beliau menjelaskan ini hanyalah satu strategi Umno-BN mengalih pandangan rakyat daripada melihat kepada isu sebenar iaitu tatakelola kerajaan, rasuah yang berleluasa, kenaikan harga barangan yang drastik dan isu khidmat kepada masyarakat.

"Chua Soi Lek bercakap mengenai serangan peribadi? Apa sudah terjadi dengan halatuju politik negara ini? Kita mahu mendebatkan dasar tetapi nampaknya (serangan peribadi) telah menjadi paten," kata beliau.

Katanya lagi, rakyat perlulah memikirkan dan menilai dasar Pas dan PR, dasar Umno dan BN serta menilai kewibawaan dan keupayaan calon-calon yang bertanding.

Anwar menjelaskan, isu ini sama seperti respon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana apabila Anwar menjemput Najib utuk berdebat soal dasar 'Buku Jingga' yang memuatkan pelan tindakan PR dalam 100 hari di Putrajaya, najib menjawab dengan membuat serangan peribadi terhadap Anwar.

'Saya nak tekankan saya tak mahu layan soal peribadi, saya nak bicara soal ekonomi tetapi kalau dia tegas nak bicara dan debat soal peribadi, saya sedia, soal peribadi. Tuduhan liwat terhadap saya. Saya nak bangkitkan soal bunuh, soal rasuah, rampas isteri semua itu akan dibangkitkan, dan soal Port Dickson," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata beliau lebih berminat mendebatkan soal 'Buku Jingga' kerana isu tersebut telah menjadi satu persoalan kepada rakyat Malaysia dan perlu diperjelaskan.

'Tanya saya sebagai orang bertanggungjawab, jangan debat isu peribadi. Itu nasihat saya tapi kalau dia pilih saya terima. saya mash tekankan perlu debat isu buku jingga," tegas beliau lagi.

Read more ...

BN tarik subsidi rakyat tambah subsidi kroni, PR akan tarik subsidi kroni tambah subsidi rakyat

Anwar : Kekalkan Subsidi Rakyat


SHAH ALAM 25 Jan.: Pakatan Rakyat (PR) berkata pemberian subsidi kepada rakyat harus dikekalkan terutamanya membabitkan empat sektor iaitu beras, pertoleum, kesihatan dan pendidikan.

Dalam satu majlis 'Luncheon Talk Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim' di Kelab Shah Alam, Shah Alam pagi tadi, Penasihat Ekonomi Kerajaan PR Selangor, itu berkata pemotongan subsidi dalam sektor-sektor berikut akan menghimpit kehidupan seharian majoriti rakyat negara ini.

"Kerana bagi rakyat, mengapa harus kami dibebankan bila ekonomi meleset? Mengapa tidak pimpinan? Siapakah yang melakukan curang, rompak harta negara, rasuah, mengadakan dan memperkenalkan kebijakan ekonomi yang songsang? Mengapa mereka tidak didenda dan dihukum? Jadi sebab itu, penyelesaiannya selalu dibebankan kepada orang bawah," jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) mengurangkan subsidi atas nama rasionalisasi kurang tepat kerana tindakan tersebut hanya menguntungkan golongan kaya sahaja, dengan memberikan contoh di mana walaupun subsidi LPG, petrol dan diesel telah dikurangkan dengan drastik tetapi subsidi kepada pengeluar tenaga swasta (IPP) masih berada pada RM19 bilion.

Katanya lagi, kerajaan memberikan subsidi kepada semua golongan samada yang kaya dan miskin tetapi dengan menggunakan istilah berbeza di mana bagi syarikat swasta, bantuan sebegini dipanggil insentif manakala bagi golongan miskin seperti petani dan nelayan pula, ia dipanggil subsidi.

"Tetapi yang aneh, mengapa bila kita mengalami defisit tumpuan kita, seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Idris Jala, ialah mengurangkan subsidi, dia tak sebut mengurang, rasionalisasi. Maknanya potong subsidi," kata beliau.

Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan selama lapan tahun semasa berada di Kabinet dahulu menyatakan walaupun saranan Bank Dunia dan IMF (International Monetary Fund) adalah untuk menghapuskan subsidi sekaligus tetapi penghapusan subsidi tidak sesuai untuk corak ekonomi negara.

Kata beliau, saranan tersebut adalah dengan andaian ekonomi berpasaran sempurna tetapi pada realitinya ekonomi negara merupakan ekonomi pasaran tidak sempurna.

Konsep pasaran sempurna menyatakan subsidi boleh mengurangkan kebajikan sosial dan perlu dihapuskan bagi meningkatkan permintaan dan bekalan pasaran tetapi dalam konteks sebenar, pasaran tidak sempurna tidak menjamin kebajikan sosial terpelihara sekiranya mana-man unsur yang menyebabkan ketidaksempurnaan ini dikeluarkan, dalam hal ini merujuk kepada subsidi.

Ini diterangkan oleh beliau dengan memberikan contoh pasaran elektrik yang mana hanya membebankan rakyat sekiranya subsidi dikurangkan, tetapi IPP tetap akan terus mendapat subsidi yang diperuntukkan untuk mereka.

"Kenaikan kos, purata sekarang dianggap RM100 setahun kerana kos peningkatan harga gula, minyak dan sebagainya. RM100 bagi orang kaya tidak sangat menekan tetapi RM100 bagi orang yang berpendapatan RM1,500, kenaikan RM100 tanpa kenaikan gaji itu cukup membebankan," tegas beliau.

Beliau seterusnya menyatakan, menurut CIMB Research, beban kewangan golongan berpendapatan purata RM1,500 dengan mengambil kira bayaran ansuran kereta, pinjaman rumah dan sebagainya mencecah 80 peratus daripada pendapatan mereka.

Kata beliau, sekiranya tatakelola sesebuah negara itu baik, beliau percaya dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Read more ...

Mazlan ANAK cabar anak Maslan berdebat


LABIS 25 Jan. : Isu peneroka terus berkumandang di Tenang apabila Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sekali lagi mencabar Datuk Ahmad Maslan berdebat soal FELDA.

Presidennya, Mazlan Aliman hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana di pejabat FELDA Segamat.

Beliau menambah, debat ini akan meliputi segenap isu dan menyebut tujuan cabaran debat dikemukakan disebabkan Maslan mendakwa kononnya ANAK didakwa menjadi penghasut, pembawa fitnah dan memecahbelahkan warga FELDA.

Tambahnya, debat berkenaan juga diadakan bagi menafikan dakwaan bahawa ANAK takut untuk berdepan pihak kerajaan dalam isu berkaitan FELDA.

"Pihak Datuk Ahmad Maslan memainkan satu sentimen bahawa Pakatan Rakyat sebagai penghasut, pembawa fitnah dan memecahbelahkan masyarakat FELDA.

"Tetapi kita ada fakta dan hujah yang boleh dipegaang," katanya dalam satu sidang media pagi ini.

Katanya lagi, surat berkenaan menetapkan tempoh selama dua hari kepada Ahmad untuk memberikan jawapan kepada debat berkenaan.

Mazlan yang juga anggota jawatankuasa PAS berkata, debat itu akan dilangsung pada 28 Januari - dua hari sebelum hari mengundi bagi pilihan raya DUN Tenang.

Memorandum diserahkan oleh Naib Presiden ANAK, Shamsul Bakri ditemani Setiausaha ANAK, Zabidi Alias.

Dalam memorandum itu, Mazlan menyebut peruntukan RM1.6 billion untuk pembangunan FELDA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain cadangan pemberian 500 lot tanah dipertikai kesahihannya.

Tambahnya, dakwaan pendapatan bersih peneroka FELDA sebanyak RM3 ribu sebulan adalah tidak benar dan bertujuan mengelirukan rakyat.

"Tarikh ini dipilih kerana berdekatan dengan tarikh mengundi Pilihanraya Kecil DUN Tenang supaya pengundi terdiri daripada peneroka dan generasi kedua dapat menilai kejujuran kedua-dua pihak dalam memuktamadkan isu warga FELDA dan bukannya hanya gimik politik pilihanraya semata-mata," jelas beliau.

Isu FELDA mencuri tumpuan Pilihanraya Kecil DUN Tenang menyaksikan jumlah 4,000 pengundi peneroka yang menjadi pertaruhan kali ini. Justeru Pakatan Rakyat mengharapkan kebangkitan warga FELDA menentang kezaliman Umno-Barisan Nasional sejak sekian lama.

Read more ...

Umno-BN gagal naik taraf warga felda



LABIS 25 Jan. : Kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menyuntik peluang menaiktaraf sosio-ekonomi generasi kedua dan ketiga Felda menyebabkan ramai rakyat kawasan itu tergolong dalam kategori miskin menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tambahnya, generasi muda terpaksa keluar mencari pekerjaan di kawasan bandar meninggalkan Tanah Rancangan Felda di seluruh negara.

Justeru Dzulkefly berpendapat sekiranya rakyat di DUN Tenang memberi kejutan kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional maka nasib mereka akan jauh lebih terbela berbanding perkara yang ditawarkan hari ini.

"Pemulihan kejutan itu kepada mereka supaya mereka pandang apa yang sebenarnya yang menjadi denyut nadi keperitan hidup Labis seluruhnya yang rata-rata tidak ada pun tapak perindustrian yang ketinggalan dan dipinggirkan dalam arus pembangunan. Anak muda remaja keluar mencari rezeki dan pendapatan di negeri dan negara lain sebab tidak mendapat suntikan pembangunan ," jelas beliau kepada pengunjung yang hadir pada sesi penerangan PAS di Kampung Redong, Labis.

Beliau turut menyebut negara Malaysia terpaksa bersaing dengan negara seperti Kemboja dan Timor Leste dalam sektor ekonomi walaupun terdapat jumlah hasil bumi yang banyak disebabkan ketirisan.

Dalam ceramahnya malam tadi di Kampung Redong, Dzulkefly berkata calon wanita PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman diserang bertubi-tubi oleh Barisan Nasional dengan menjadikan sifat keperibadian seorang wanita sebagai sasaran justeru menyinggung masyarakat beragama Islam.

Tambahnya, keputusan Pilihanraya Kecil DUN Tenang bukan berhasrat mengubah kedudukan kerajaan di negeri Johor namun dapat menghantar isyarat kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat menolak pemerintahan kejam parti itu selama 53 tahun.

Jelas beliau lagi, keputusan tersebut turut akan menentukan gelombang kebangkitan rakyat melakar perubahan di kawasan yang akan dijangka akan menyumbangkan 4,000 undi.

Dalam pada itu, Dzulkefly dalam ucapannya turut menyebut taktik rasis yang diterapkan Barisan Nasional dan komponennya kepada penduduk daerah Tenang tidak mampu mengugat dasar muafakat yang telah terjalin antara ketiga-tiga kaum.

Dzulkefly berkata dasar Pakatan Rakyat berjaya menolak syak-wasangka antara kaum di negara ini.

"Sekian lama mereka tertanam melihat PAS macam lihat hantu. Sebab walaupun baik katanya tapi kami takut. Hari ini tidak ada lagi, runtuh sudah segala prejudis samada kaum Cina dan India, bersatu dalam permuafakatan politik.

Ini lah dia apa hujah-hujahnya PAS bersama DAP dan PKR. Sama sekali kami tidak akan diperkudakan oleh sesiapapun sebab Pakatan Rakyat itu sifatnya muafakat. Bukan macam Umno ada ketuanan Melayu," ujarnya lagi.

Read more ...

Ro$mah membazir, rakyat jadi fakir

Artikel : Tatkala kedudukan ekonomi Malaysia yang berada dalam keadaan yang tidak stabil, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dikatakan membuat perbelanjaan yang besar semasa mengunjungi negara-negara Arab baru-baru ini.

Kunjungan Rosmah ke negara terbabit, mendapat respon yang amat negatif dari kalangan rakyat. Negatif kerana rakyat terkejut dengan dakwaan perbelanjaan yang amat besar oleh isteri Perdana Menteri.

Rakyat juga mempersoalkan apakah kewajarannya Rosmah mengunjungi negara-negara terbabit, kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pemerintahan sendiri, ada kerajaan dan ada menteri yang bertugas pada bidang-bidang yang telah dikhususnya.

Sehingga ada kalangan rakyat mempertikaikan, apakah peranan Rosmah sebenarnya. Isteri PM atau orang politik yang berjawatan Menteri, atau punyai jawatan yang lebih tinggi daripada itu.

Sehingga dilaporkan dalam media internet, Rosmah menginap di sebuah bilik mewah (suite) yang harganya mencecah UDS35,000 atau menyamai RM106,000 semalam.

Jika benar begitu, ianya merupakan suatu perbelanjaan yang amat boros. Jika perbelanjaan beliau menggunakan peruntukan dari kerajaan, rakyat mahu mengetahui apakah beliau layak menerima peruntukan sebesar itu?

Jika penginapan itu ditaja, rakyat harus dibekalkan jawapan secara jujur, siapa yang menaja dan mengapa beliau ditaja

Namun Rosmah mendakwa lawatannya ke luar negara adalah di atas jemputan, mewakili rakyat Malaysia dan apa yang beliau lakukan adalah untuk faedah rakyat dari semua kaum, agama dan parti.

Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: "Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak."

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan - yang telah dijalankan oleh perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan kabinet.

"Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya."

Itu kata Rosmah. Namun, ada satu soalan yang tertanya-tanya dalam benak fikiran rakyat, yang masih belum terunkai.

Iaitu, adakah apa yang dilakukan oleh sekarang ini, juga dilakukan oleh isteri bekas-bekas PM semasa mereka memerintah?

Cerita-cerita mengenai dominasi Rosmah dalam pemerintahan negara bukannya benda baru. Persepsi negatif ke atas beliau timbul apabila banyak laporan dan juga secara berfakta dikemukakan.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, suatu program yang diketuai oleh isteri PM diberi peruntukan ratusan juta, sebagaimana yang diterima Rosmah untuk projek Permata beliau.

Hal ini dipertikaikan rakyat, kerana negara sudah mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita dan keluarga, kerajaan mempunyai Kemas, Tabika Perpaduan, pra-Sekolah di bawah Kementerian Pelajaran. Untuk apa lagi diwujudkan suatu program atau sistem baru yang memainkan peranan yang sama?

Rakyat bertanya mengapa tidak diperkemas dan diperkukuhkan atau dilakukan penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada?

Dalam perkara lain, Rosmah juga dilaporkan membuat perbelanjaan yang besar, dalam istilah lain disebut shopping (membeli belah) yang nilai yang amat besar sewaktu berkunjung ke luar negara.

Mungkin juga beliau menggunakan wang sendiri, namun selaku isteri seorang PM, beliau harus sedar bahawa beliau juga punyai tanggungjawab kepada masyarakat.

Beliau harus sedar bahawa rakyat semakin terhimpit dengan krisis ekonomi, kenaikan harga barangan mendadak, semakin ramai dihimpit kemiskinan dan tidak mempunyai wang untuk makan dan belanja sekolah anak.

Selaku isteri PM Rosmah harus sedar, bahawa segala gerak lakunya diperhati dan dinilai oleh masyarakat. Ramai rakyat di luar sana yang memerhati dan mengetahui stail Rosmah.

Beliau ada hak untuk menafikan sebarang dakwaan terhadapnya, namun yang penting sekali, Rosmah harus mengelak daripada timbulnya sebarang fitnah ke atas beliau yang akan terpalit kepada PM sendiri.

Rosmah mendakwa beliau tidak mencampuri urusan politik, tetapi mengapa beliau anjurkan program sidang wanita pertama yang menelan belanja jutaan ringgit.

Rakyat mengetahui dengan jelas, terlalu sedikit isteri PM atau Presiden luar yang hadir.

Jelas, program sebegini besar tidak mendapat sambutan kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Justeru, apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mahupun Rosmah sedar bahawa, persidangan tersebut tidak membawa apa-apa hasilnya kepada negara? Malah ianya hanya membazirkan wang rakyat.

Justeru, Najib dan Rosmah harus sedar bahawa tingkah laku mereka menjadi ukuran dan penilaian rakyat kerana mereka adalah pemimpin dan isteri pemimpin.

Mereka juga harus sedar bahawa antara sebab Presiden Tunisia, Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan adalah kerana pembaziran yang dilakukan oleh isteri beliau Leila Trabelsi.

Leila digelar 'Imelda Marcos', melarikan diri dengan jongkong emas yang nilainya terlalu tinggi.

Rosmah harus muhasabah diri, usah jadi seperti Imelda, usah jadi seperti Leila.

Rakyat Malaysia umumnya mereka yang sangat baik dan berdisiplin. Belum pernah mereka menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

Tetapi apa yang pasti, mereka akan menumbangkan Kerajaan Umno-BN pimpinan Najib dan Rosmah menerusi Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.
Mohd Rashidi Hasan

Read more ...

PRK Dun Tenang : Buka wajah buruk Umno


Artikel : Tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam - merujuk calon PAS-Pakatan Rakyat (PR) kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini. Sekaligus memperlihatkan kegagalan Umno menerangkan Islam yang sebenar kepada sekutunya itu.

Walaupun ucapan Chua itu berlaku dalam perjumpaannya dengan masyarakat Cina bukan Islam, namun Umno tindak mengambil langkah proaktif untuk mengajak MCA berbincang agar isu tersebut dijawab dengan lebih berhemah.

Bahkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan tentang agenda PAS yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat (PR) berkuasa.

Umno bukan sahaja tidak membantu MCA menghormati agama Islam malah mereka sendiri turut sama mempersendakan agama rasmi Malaysia itu. Apakah Umno begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan 5,766 pengundi masrakat Cina sehingga sanggup menjual agama?

Jumlah pengundi Cina tersebut merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.

Sebelum ini PAS dituduh oleh Umno dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang pro-Umno bahawa parti Islam itu telah menggadai prinsipnya kerana berkawan dengan DAP yang didakwa anti Islam. Pelbagai tohmahan dan demontrasi dibuat mengutuk tindakan PAS itu. Ditambah pula isu kenyataan "over my dead body" oleh Karpal Singh.

PAS dan DAP didakwa tidur sebantal tetapi mimpi yang berlainan. Tetapi isu ini telah membuka wajah sebenar Umno dan NGO tersebut. Mana perginya suara lantang mereka? Mana jaguh-jaguh pendemo mereka? Mana perginya ketuanan Melayu-Islam yang mereka bangga-banggakan selama ini? Di mana Umno yang gah mengatakan merekalah juara membela agama? Di mana JAKIM dan di mana IKIM? Semuanya menunduk kepala tatkala MCA dan Gerakan mula mencemuh PAS sekaligus menghina Islam kerana pematuhan kepada suruhan agama.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa Umno sebenarnya yang menjual agama demi politik mereka. Walaupun Muhyiddin meminta isu ini tidak dipanjangkan oleh MCA, namun sehingga kini tiada suatu dialog khusus antara ulama Umno dengan pimpinan MCA bagi meleraikan isu ini.

Rakyat yang cerdik dan celik tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam telah dapat melihat dengan jelas bahawa PAS secara istiqamah meneruskan suruhan agama walaupun difitnah dan dihalang melalui pelbagai cara oleh Umno dan konco-konconya.

Dalam hal ini DAP lebih menghormati Islam setelah berkawan dengan PAS dan tidak pernah mempersoalkan kenapa seorang muslimah perlu bersarung tangan untuk bersalam dengan pengundi yang bukan muhrim. Yang lebih menyedihkan sikap tidak menghormati Islam ini disiarkan ke seluruh negara oleh media pro-Umno.

Isu ini sepatutnya mencelikkan mata dan hati rakyat Johor khususnya di Dun Tenang yang masih beranggapan Umno lah pejuang agama Islam. Sebahagian rakyat Johor telah pun membuat perubahan, dan pengundi Johor sewajarnya memulakannya di Tenang. Perkara ini tidak mustahil kerana Johor terkenal dengan sekolah agama rendahnya. Secara logik, hampir semua anak-anak Johor mempunyai asas agama.

Mereka sewajarnya sedar bahawa Umno yang mempunyai JAKIM dan IKIM hanya mampu bersetuju dengan MCA dan Gerakan dalam perkara perkara yang mencabar dan menghina Islam. Berbanding PAS yang tegas mempertahankan Islam walaupun pernah hilang sekutunya pada pilihanraya 1999.

Walau apapun keputusan PRK Tenang, PAS sudah menang dan membuktikan mereka tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk menegakkan Islam dan memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia ini. Berbanding Umno yang berselindung disebalik agama dan apabila keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan Melayu-Islam. Tetapi, tanpa disangka, Dun Tenang telah mendedahkan watak hipokrit mereka.Majdan Yahya

Read more ...

Semakin ramai puji Cikgu Mala, kecam Umno


KUALA LUMPUR, 25 Jan: Isu salam antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim timbul mungkin disebabkan kegagalan Umno sendiri menjelaskan norma-norma Islam kepada orang bukan Islam.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Faizal Abdul Aziz, mungkin Umno tidak pernah mengamalkan norma-norma tersebut menyebabkan bukan Islam menjadi keliru.

Beliau berpendapat isu tersebut sepatutnya tidak perlu dipolitikkan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang.

Ini kerana, tindakan calon PAS, Normala Sudirman enggan bersalam dengan lelaki, satu masej yang baik kerana Islam melarang bersentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali muhrimnya.

"Bagi saya secara peribadi isu itu tidak elok dipolitikkan sebab isu salam itu tertulis dalam al- Quran yang kita tidak boleh bersentuhan antara kelaki dan perempuan kecuali muhrimnya," katanya kepada Harakah .

Baru-baru ini, Presiden MCA Dato' Seri Chua Sua Lek dipetik, secara sindiran mempersoal cara Normala dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman di Tenang.

"Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini.

"Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS," Dr Chua dipetik.

Menyokong pendirian Normala itu, Faizal berkata tindakan calon PAS tidak bersalam dengan lelaki adalah satu sikap yang wajar dipuji kerana telah pertahan syariat Islam.

Tambahnya lagi, jika beliau tidak bersalam pun, perpaduan kaum tidak akan terjejas.

Beliau berkata, di zaman nabi SAW perpaduan tetap utuh walaupun nabi seorang yang islamik.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, meskipun dalam masyarakat bukan Melayu, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan amalan biasa, tetapi dalam agama Islam ada batasannya.

Kerana itu katanya, tindakan Normala memakai sarung tangan untuk berjabat tangan dengan orang lelaki semasa berkempen di Tenang tidak wajar dipertikai khususnya oleh MCA.

Katanya, sekalipun Dun Tenang kubu kuat Umno Normala tetap ikhlas turun ke sana walaupun bersalam dengan bersarung tangan.

"Kalau pakai sarung tangan tak apa, dan MCA memang suka jadikan isu-isu itu sebagai bahan mereka untuk menang.

"BN hendak dapat lebih 5000 undi dan kalau dia tak main isu seperti mungkin mereka tidak ada peluang," ujarnya.

Read more ...

Cikgu Mala tidak mahu serang peribadi lawan

Biarpun diserang dengan pelbagai fitnah, kempen calon PAS, Normala Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala, bertemu pengundi Dun Tenang sedikit pun tidak terjejas.

Pada sidang medianya semalam, Cikgu Mala menampilkan keperibadian yang tinggi apabila menjelaskan beliau tidak akan sesekali membalasnya dengan membuat serangan peribadi kepada pihak lawan.

"Saya tak akan buat serangan peribadi terhadap pihak lawan. Itu pendirian saya walau apa pun mereka buat pada saya.

"Saya percaya Tuhan akan melindungi saya," katanya.

Tambahnya lagi, beliau sedikitpun tidak terkesan dengan serangan peribadi yang dibuat terhadapnya kerana telah membuat persedian awal sebelum nekad menerima tawaran menjadi calon.

Selain itu katanya, beliau tidak mahu membuang masa untuk menjawab fitnah tersebut kerana mahu fokus bertemu seramai mungkin pengundi Dun Tenang sepanjang tempoh kempen ini.

"Saya telah buat persiapan jiwa dan mental...saya sentiasa berdoa agar Tuhan melindungi saya.

"Ianya sedikit pun tidak melemahkan perjuangan saya untuk membela nasib rakyat," ujarnya lagi.

Sejak tempoh kempen bermula 22 Januari lalu, Ciku Mala berdepan beberapa serangan peribadi yang dilemparkan Umno BN.

Ianya termasuk isu tidak bersalam dengan lelaki ketika hari penamaan calon yang dibangkitkan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Selepas itu, Cikgu Mala kemudiannya memakai sarung tangan bagi membolehkannya bersalam dengan semua orang.

Namun beliau tetap diserang dengan mempersoal kenapa bersalam dengan wanita juga memakai sarung tangan.

Bagaimanapun, isu itu telah dijelaskan oleh Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang mengatakan ia bukan isu kerana setiap kaum mempunyai cara tersendiri untuk mengucapkan salam dan bersalaman.

Selain itu, Cikgu Mala turut difitnah sebagai pernah bertanya kepada seorang peniaga Cina "kenapa jual minuman arak".

Tuduhan itu dilaporkan dibuat oleh ahli parlimen Labis Chua Tee Yong.

Bagaimanapun Cikgu Mala menafikan perkara itu malah PAS mencabar Chua menyatakan di mana, bila dan tempat, calon PAS bercakap sedemikian.

Chua juga diberi tempoh 24 jam bagi menjelaskan tuduhan tersebut, atau berdepan tindakan saman fitnah yang dijangka akan dikemukakan PAS sekiranya tiada jawapan munasabah dari Chua dalam tempoh tersebut.

Read more ...

Interlok : Bahas secara ilmiah dan terbuka


LABIS 25 Jan. : PAS mengambil pendirian bahawa novel Interlok yang dijadikan buku teks di Tingkatan 5 tidak seharusnya dinilai dari sudut perkauman tetapi dari aspek seni sastera yang mengambarkan konteks sosial sejarah mengenai tiga etnik terbesar di negara ini.

Justeru kekeliruan fakta dalam novel tersebut harus dibahas secara ilmiah dan keterbukaan intelektual tinggi tanpa menjejaskan tujuan buku yang ditulis oleh sasterawan negara Abdullah Hussian menurut kenyataan media Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Kenyataan itu diumumkan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Mujahid Yusof Rawa.

"PAS menyeru isu ini digarap dengan penuh teliti dan penuh sensitiviti oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan menekankan supaya semua pihak terlibat perlu menggunakan saluran berbincang dan dialog bagi mencari jalan penyelesaian yang berkesan," menurut beliau.

PAS turut menyeru supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menghina martabat sesuatu kaum.

Read more ...

Umno angkuh, rakyat boleh nilai

Tolak Usul: Bukti Umno Angkuh


SHAH ALAM 25 Jan. : Keputusan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Selangor semalam memperlihatkan sikap tidak jujur Umno-Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin memberi peluang kepada rakyat untuk menilai siapa yang menolak institusi Raja.

"Ini satu perkara yang pada saya telah membuka minda masyarakat Melayu khususnya di Selangor tentang sikap dan wajah sebenar Umno.

"Semalam menunjukan Umno tidak ikhlas dan hanya sekadar melaungkan slogan rektorik politik untuk mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu," katanya.

Usaha kerajaan negeri menerusi sidang Khas DUN semalam untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri Selangor kepada Sultan Selangor tetapi tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan sokongan dua pertiga.

Keputusan usul itu diumumkan oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim di mana 34 anggota dari Pakatan Rakyat menyokong manakala 20 wakil rakyat Barisan Nasional pula menolak.

Shamsul ketika dihubungi Tv Selangor berkata Umno seperti biasa, terus bersikap angkuh sedangkan Pakatan Rakyat sering dimomokkan dengan andaian pemerintahan Pakatan Rakyat terus-terusan menolak Institusi Diraja.

"Itu adalah satu andaian yang meleset kerana kita telah berjaya membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa dalam hal-hal yang berkaitan dengan maruah institusi Raja pihak kami lebih jujur dan ikhlas," katanya.

Mengulas tentang kualiti perbahasan persidangan semalam, Shamsul berpendapat wakil rakyat dari Umno-BN pasif dan kelihatan tidak bersedia dengan memberi penjelasan yang kurang fakta dan mantap berbanding wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, insiden ini juga secara tidak langsung mengambarkan kewibawaan seseorang wakil rakyat yang dipilih untuk mewakili suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

"Pimpinan Pakatan Rakyat nampak lebih mantap dan jauh lebih bersedia daripada hujah-hujah Barisan Nasional, jadi pada saya inilah kualiti sebenar wakil rakyat yang dihidangkan kepada rakyat kerana mereka perlu tahu apabila mereka memilih wakil rakyat mereka harus memilih wakil rakyat yang mampu membela nasib mereka secara keseluruhannya," katanya.

Read more ...

Anak Chua Soi Lek gagal buktikan tuduhan, mula berdolak dalih

NONESetelah diberi tempoh 24 jam daripada PAS supaya membuktikan kenyataannya bahawa calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan pemilik kedai bukan Islam berhubung penjualan arak, ahli parlimen Labis, Chua Tee Yong cuba berdolak-dalih.

Jika pagi semalam, Chua berkata kepada sebuah portal berita beliau tetap dengan kenyataanya tetapi enggan menamakan pemilik kedai berkenaan tetapi pada lewat petang, Chua menukar nadanya.

Laporan The Malaysian Insider memetik Chua sebagai berkata,” Sudah tentu, saya tidak boleh menamakan kedai itu, pemiliknya tidak mahu dikenali”.

Namun apabila diasak wartawan di sebuah majlis ketika kempen pilihan raya kecil Tenang di Labis, Chua menafikan beliau membuat laporan itu dan mendakwa laporan The Malaysian Insider adalah tidak tepat.

"Semasa berkempen, ada pengundi tanya sama ada penjualan arak akan dihentikan jika calon PAS dipilih, saya jawab mungkin.”

Berikutan kenyataan itu, PAS memberi Chua 24 jam bagi membuktikan bahawa Normala mempersoalkan jualan arak ataupun berhadapan dengan saman fitnah jika gagal berbuat demikian.

Menurut sebuah laporan China Press, Chua dilaporkan berkata, "Mengikut maklumat yang saya terima, semasa kempen Normala, dia bertanya kepada seorang pemilik kedai kopi mengapa bir dijual. Pemilik kata itu adalah haknya untuk berbuat demikian.”

tenang by election day 1 230111 normala greets public"Kami mahu beliau (Chua) memberikan nama kedai kopi itu (dan juga), tarikh dan masa Normala berkata demikian sebelum tengahari (esok).

"Jika tidak, kita akan memfailkan saman fitnah ke atasnya,” kata timbalan pesuruhjaya PAS Johor yang juga penyelaras pilihan raya kecil parti itu, Dzulkefly Ahmad, kepada wartawan.

Chua berkata beliau belum membaca laporan China Press kerana sibuk dengan kemp[en pilihan raya kecil.

"Saya mesti tunggu surat dari mereka (PAS) sebelum boleh beri ulasan.”

Diasak wartawan, Chua berkata, beliau tidak secara langsung menafikan laporan berkenaan tetapi meminta wartawan melaporakan apa yang dikatannya.

Read more ...

Calon Umno pernah disaman, Umno tidak selidik calon

Calon BN Ada Rekod Mahkamah

LABIS 25 Jan. : PAS hari ini mendedahkan bukti calon Barisan Nasional (BN) terlibat dalam kes mahkamah berhubung lelongan tanah di Segamat pada tahun 2003.

Azahar Ibrahim sebelum ini telah disaman pada 2004 oleh pemilik tanah Mansor Mohamad di Mahkamah Tinggi Muar berikutan melelong tanah tanpa kebenaran pemilik ketika beliau memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Pengarah Pilihanraya Kecil PAS DUN Tenang, Salehuddin Ayub berkata kecuaian calon BN itu membuktikan beliau tidak seharusnya diberi mandat membela nasib rakyat di kawasan itu.

"Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan hartanah Mansor Mohamad telah dengan tidak sah dilelong pada 1/12/2003 dengan harga RM 70 ribu," kata beliau dalam sidang media pagi tadi.

Salehuddin turut mempersoalkan isu integriti calon yang diketengahkan BN.

"Pendedahan ini menunjukkan bahawa sejak dari awal Umno dengan sengaja menyembunyikan fakta kerana sedar rakyat akan menolak calon Umno itu," jelasnya lagi.

Pada 18 September 2003, Perintah Jualan telah dikeluarkan oleh Azahar kepada hartanah Mansor Mohamad mengakibatkan tahan beliau dilelongan pada Disember tahun yang sama.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar, Hakim Datuk Asmadi Asnawi pada tahun 2008 memutuskan lalu membenarkan tuntutan Mansor ke atas Azahar Ibrahim yang pada masa itu memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian dan kelalaian sebelum beliau ditukarkan ke Pejabat Tanah Daerah Rengit.

Justeru Salehuddin berkata PAS akan menunggu respon daripada calon Umno dan menjelaskan perkara tersebut disamping bersedia untuk bertanggungjawab ke atas dakwaan yang dikemukakan terhadap calon BN DUN Tenang itu.

Salehuddin turut mengingatkan pengundi bahawa tidak mengadaikan maruah dan masa depan dengan memilih calon BN yang telah dibuktikan mahkamah menganiayai rakyat.

"Mengapa calon yang telah dibuktikan oleh mahkamah cuai dan lalai dalam melaksanakan tugas awam diamanahkan namun masih lagi dicalonkan oleh Umno bagi mewakili rakyat DUN Tenang," soalnya.

Dalam sidang media yang sama, mangsa Mansor Mohamad berkata sehingga kini geran tersebut masih belum ditukar ke atas nama beliau.

Tambahnya beliau tidak mengemukakan sebarang saman kepada Pejabat Tanah Daerah Segamat sebaliknya hanya menuntut kembali hak tanahnya.

Read more ...