Kuantan – Seorang kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pahang (JPNINP) cedera selepas khemah yang diduduki terbalik dan terbang dalam kejadian hujan serta ribut di Teluk Chempedak, semalam.
Wanita berkenaan yang juga Penolong Guru Tadika Perpaduan Balok Makmur 1, Norhashimah Sulaiman, 23, dikatakan berada di khemah berhadapan pantai bersama beberapa lagi rakan untuk menyediakan makanan kepada peserta dan pengunjung sempena program My Beautiful Malaysia.
Norhashimah dikatakan cedera di beberapa bahagian badan, bagaimanapun tindakan cepat orang ramai dan pasukan keselamatan dapat membawa wanita itu dengan segera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.













