Thursday, April 1, 2010

Polis siasat Pengerusi DAP Perak












IPOH, 1 April: Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis telah memulakan siasatan terhadap Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berhubung dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa persidangan DUN pada Selasa dan semalam.

Beliau berkata dua laporan telah diterima polis daripada orang awam yang meminta polis mengambil tindakan sewajar berhubung dakwaan Ngeh (gambar) itu.

“Polis Perak telah memulakan siasatan di dalam kes ini di bawah Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan mereka yang boleh membantu siasatan akan dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkfili menjelaskan kehadiran polis semasa persidangan itu berlangsung adalah di atas permintaan Speaker Datuk R. Ganesan bagi menentukan keselamatan dan ketenteraman awam memandangkan kekecohan pernah berlaku pada persidangan DUN sebelum ini.

“Pihak polis tidak berada di dalam dewan sebaliknya hanya berkawal di luar dewan dan perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan bahawa seolah-olah polis akan menembak sesiapa tidak disukainya, sebagai tidak bertanggungjawab dan jahat.

Kenyataan Ngeh yang menyuarakan bantahan dengan kehadiran ramai anggota dan pegawai polis di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang DUN berlangsung, dibuat selepas istiadat perasmian sidang DUN, semalam.

Ngeh dipetik berkata: “Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita”.

-Bernama-

Read more ...

Sepuluh bakal calon ditemui Anwar










PETALING JAYA, 1 April : Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.Sedaka Sejahtera

Read more ...

PAS Kedah yakin rampas kerusi Kota Siputeh












ALOR SETAR, 31 Mac :
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak yakin PAS mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam masa terhampir ini.

Menurut Azizan, kesungguhan yang dipamerkan oleh petugas-petugas dan jentera di semua peringkat parti membuktikan kesungguhan mereka untuk menawan kerusi yang selama ini disandang oleh Barisan Nasional (BN).



Azizan berucap di hadapan petugas-petugas PAS di semua peringkat ketika merasmikan Majls Taakhi PRK Kota Siputeh di Markas PAS Masjid Paya, 20 Mac lalu.

Majlis yang mempertemukan jentera tempatan di peringkat Unit Peti Undi (UPU) dengan pasukan pembantu dari kawasan-kawasan di seluruh Negeri Kedah adalah merupakan langkah awal PAS untuk mencapai hasratnya merampas kerusi DUN Kota Siputeh.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS perlu mencapai kemenangan dalam PRK Kota Siputeh untuk memperkukuhkan kerajaan yang dimenangi semasa pilihan raya umum yang lalu.

"Taktik musuh (BN) ialah menunggu ketikanya jentera kita lemah barulah mereka akan mengadakan pilihan raya, dan kita kena bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapinya.

"Hanya kemenangan akan memperkukuhkan kerajaan yang dimenangi dalam pilihan raya umum yang lalu. Kita akan hadapi masalah sekiranya gagal merampas kerusi ini, musuh akan menyerang kita dari segenap sudut untuk merampas kerajaan sekiranya kerajaan kita tidak kuat," jelasnya.

Azizan turut menyarankan jentera dan petugas-petugas untuk menggunakan pendekatan yang terbaik bagi menambah keyakinan rakyat kepada PAS.

"Rakyat makin yakin dengan kemampuan kita mentadbir negeri, dan kita perlu mengekalkan keyakinan rakyat untuk merampas Kota Siputeh yang sekaligus akan memperkukuhkan kerajaan yang ada.

"Kita juga perlu menggunakan pendekatan yang cukup berhemah apabila berhadapan dengan penyokong Umno dan BN untuk mengalih sokongan mereka kepada PAS," katanya.

Menurut Azizan, keputusan penghakiman berhubung kes kerusi DUN Kota Siputeh akan diumumkan dalam waktu terdekat ini dan PRK akan diadakan bagi mengisi kekosongannya.

Kerusi itu dikosongkan sejak Ogos tahun lalu akibat kegagalan wakil rakyatnya menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Senator Muhamad Yusof Hussin dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Abdul Ghani Ahmad.

detikdaily

Read more ...

PAS Perak beri sumbangan kepada mangsa ribut

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhklAX4PxUKIaj0TnN6Pj_M_RQqRaVgO-kHeS5w0aGhPyiMGaJG0Ku1WSqC8gbNNW-ApcanjPB4XvgQiUYKW1cdtzeiOVG5mt4TxE5yeksZVgTXCyJIo9SSt8flyr6Be35rApupiNK7wLjq/s1600/DSC_0004.JPG

BAGAN SERAI, 1 April : Badan Kebajikan PASPerak datang ke kawasan Panchor untuk memberi sedikit sumbangan kepada mangsa ribut.Rombongan ini diketuai oleh Ustaz Haji Mustafa Shaari selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri,merangkap Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Negeri.

Rombongan ini disambut oleh YB Ramli dan YB Husin.Selain itu,Ustaz Misbahul Munir(Setiausaha PAS Negeri),saudara Zamarul Aini(Pengarah Unit Amal Negeri),kakitangan unit amal negeri dan kawasan serta Nisa' kawasan Bagan Serai turut hadir bersama-sama.


Sumbangan adalah berupa wang ringgit dan barang keperluan asas yang diterima dari PAS Negeri,PAS Kawasan Bagan Serai,Nisa' Kawasan Bagan Serai serta individu-individu yang prihatin.YB Ramli mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang yang sudi membantu.Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.GunungSemanggol

Read more ...

Dewan dicabuli, demokrasi telah mati


IPOH , 1 April :
Pakatan Rakyat (PR) Negeri, bertindak keluar Dewan Negeri pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), berikutan tidak berpuas hati dengan perjalanan sidang berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, mereka (PR) terpaksa bertindak sedemikian kerana Dewan Negeri dilihat seperti sudah tidak berfungsi dalam amalan sistem demokrasi di negeri ini.

Menurutnya, mereka (PR) juga tidak berpeluang bercakap pada sidang berkenaan apabila semua mikrofon di sebelah pihak pembangkang tidak boleh berfungsi seperti biasa.

“Selain itu, keengganan pihak Barisan Nasional (BN) mendengar Perintah Tetap (standing order) selain tidak membahaskan titah perasmian Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah juga dilihat sebagai satu penghinaan kepada sidang Dewan itu sendiri.

“Kami sangat kesal kerana mereka (BN) enggan mengikuti aturan mesyuarat sebagaimana insiden yang pelantikan Speaker DUN pada sidang DUN 7 Mei tahun lalu yang dibuat sebelum titah Sultan.

“Pada jadual aturan mesyuarat pada hari ini juga jelas memperlihatkan bahawa mereka (BN) tidak berminat bagi membahaskan titah perasmian baginda semalam yang dilihat banyak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita.

Sivakumar berkata demikian pada sidang media di sini, setelah PR bertindak keluar dari Dewan Negeri berikutan tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat pada sidang berkenaan.

Hadiri sama ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Ngeh Koo Ham (Sitiawan) dan Nga Kor Ming (Pantai Remis).

Barisan kepimpinan PR berkenaan turut menganggap bahawa kemuliaan Dewan Negeri juga dicabuli menerusi perlanggaran aturan dewan berkenaan selain membuktikan bahawa demokrasi di negeri ini telah mati.SH

Read more ...

Pemuda PR desak Apco disiasat


GEORGETOWN , 1 April :
Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang (SMPPRPP) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide yang didakwa mempunyai agenda tersendiri mirip rejim haram Zionis-Israel.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir berkata, mereka terpanggil untuk membuat laporan polis kerana ia mungkin boleh memberi kesan kepada keselamatan negara.

“Ia adalah sebuah syarikat yang dikenali sebagai pro-Zionis dan ada ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada rakyat Israel yang pernah terlibat secara langsung dengan badan perisikan rejim itu.

“Bagaimanakah sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dan hubungan terus dengan rejim Zionis dan Israel dibenarkan menjadi penasihat kerajaan Malaysia?,” katanya ketika ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, semalam.

Menurutnya, sebuah syarikat yang mempunyai beberapa bekas tokoh dalam badan perisikan dan badan diplomatik Israel tidak ajar diberi akses kepada maklumat negara ini yang tidak sepatutnya didedahkan.

“Saya rasa ini bukan satu langkah yang betul apabila sebuah syarikat yang mempunyai hubungan kuat dengan badan perisikan dan diplomatik Israel telah diberi akses kepada maklumat yang boleh memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), Syed Mikael Rizal Aidid berkata, Apco jelas mempunyai agenda dan dokongan individu berpengaruh yang mirip rejim Zionis Israel.

“SMPPRPP menolak penafian Apco bahawa ia tidak terlibat langsung dalam penubuhan ‘Gagasan 1Malaysia’ kerana ia jelas membuktikan Apco sudah bertapak di Kuala Lumpur dengan pejabat operasi dan penggeraknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah sama, cuma ia bergerak atas nama Mind Team Sdn Bhd.

“Perkara ini sudah lama berlaku, sebelum Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak jadi PM dengan ‘gagasan 1Malaysia’nya lagi. Saya selaku wakil seluruh rakyat Malaysia menolak sekeras-kerasnya ‘penjajahan’ seperti ini dan mengajaksemua rakyat bangkit menentang ‘Neo-Colonialism’ tajaan Zionis-Israel ini,” katanya.

Turut hadir di IPD Timur Laut semalam, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide mempunyai hubungan dengan kerajaan sebelum Gagasan 1Malaysia diperkenalkan.SH

Read more ...

Pakatan letak calon PKR


KUALA LUMPUR, 1 April :
Pakatan pembangkang akan meletakkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi Pas dan DAP sebelum menamakan calon itu dalam masa terdekat.

“Ia (pemilihan calon) masih terbuka... itu proses biasa dalam parti, kita kena dengar dari cabang negeri, masyarakat tempatan, kemudian kita bincang dengan rakan-rakan pimpinan PKR serta rujuk kepada pimpinan Pas, DAP dan kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR Khamis lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan penyandang kerusi itu ketika itu, Datuk G Palanivel daripada Barisan Nasional dengan majoriti 198 undi.- Bernama.

Read more ...

110,000 daftar Takaful Kifalah


CHETOK , 1 April : Seramai 130,000 warga emas yang ada di Kelantan hanya lebih kurang 110,000 warga emas sahaja yang berdaftar dalam Takaful Kifalah sehingga hujung tahun lepas.

Pengurus Besar Kifalah Sdn Bhd, Khalili Ab Kadir berkata, bilangan ini menunjukkan masih ada lagi warga emas yang masih belum berdaftar dan berkemungkinan tidak mengetahui mengenai perkara ini ataupun beranggapan berkemampuan.

Menurutnya, ada juga warga emas yang berada di luar Kelantan menyebabkan mereka tidak berdaftar ataupun tidak mempunyai maklumat mengenai skim ini.

“Kita sudah mengenal pasti mengenai perkara ini tetapi terpulang kepada mereka untuk berdaftar atau sebaliknya dan kita tidak memaksa mereka untuk berdaftar dengan kita cuma ini sekadar memberi manfaat dari sudut kewangan kepada keluarga si mati nanti.

“Kita mahu membantu mereka dan keluarga untuk meringankan beban dan ini salah satu usaha kita membantu tanpa mengira pangkat, darjat dan fahaman parti politik,” katanya pada penyerahan wang Takaful Kifalah di sini.

Khalili berkata, pembahagian wang skim itu akan diserahkan mengikut Parlimen dan pembayaran mengikut tuntutan yang dibuat oleh keluarga si mati.

Menurutnya, dari Januari hingga Februari tahun ini, sebanyak RM4 juta diagihkan kepada 2,040 keluarga si mati untuk digunakan dengan sebaiknya.

“Di kawasan Chetok ini, seramai 94 orang penerima wang kifalah di antara RM 500 hingga RM 2,000 seorang.

“Wang ini asasnya untuk rakyat dan pemastautin dalam negeri ini dan tidak mengira sebarang perbezaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pembahagian wang kifalah ini adalah hasrat kerajaan untuk membantu rakyatnya.SH

Read more ...

‘Penyamun, Penyangak, Pencuri, The World is Watching, UMNO katak’.


IPOH , 1 April : Persidangan Dewan Rakyat Pertama, Penggal Ketiga Mesyuarat ke-12 Dewan Negeri Perak, hari kedua, semalam, kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat (PR) cuba membangkitkan isu pelantikan Yang Dipertua Dewan yang disandang oleh Datuk R Ganesan dikatakan tidak mengikut Perintah Tetap.

Kekecohan dimulakan oleh ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming kerana cuba membangkitkan isu berkenaan dan disambung oleh ADUN Pakatan.

Sementara itu, pertelingkahan semakin hangat apabila ADUN PR menunjukkan sepanduk kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan ‘Penyamun, Penyangak, Pencuri, The World is Watching, UMNO katak’.

ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berang apabila terdapat ADUN PR yang menunjukkan logo UMNO.

“Jangan biadab, jangan tunjuk lambang UMNO dalam Dewan,” kata Tajol.

ADUN PR mulai meninggalkan Dewan pada jam 10.58 pagi kerana permintaan mereka yang mahu isu pelantikan Speaker tidak dilayan.

Persidangan ditangguhkan oleh Speaker ke satu tarikh yang akan ditetapkan, selepas diusulkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu di luar Dewan, ADUN PR mencabar Barisan Nasional (BN) Negeri meneruskan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama lima hari, bagi membahaskan titah perasmian Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada perasmian pembukaan sidang berkenaan semalam.

ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, titah baginda perlu dibahaskan pada sidang berkenaan kerana titah itu dilihat banyak memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya memberi jaminan bahawa semua ADUN PR akan hadir sekiranya perbahasan sidang berkenaan diteruskan selama lima hari demi membuktikan bahawa kami (PR) benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kesal dengan tindakan ganas dan liar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat yang cuba menjadikan Dewan seperti ‘kandang’.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng yang dikatakan cuba memukulnya dengan menggunakan fail setelah bertindak melintas garisan pihak lawan, ke arah beliau.SH

Read more ...

MEB “Indah khabar dari rupa”



KUALA LUMPUR, 1 April :
Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang dikatakan indah khabar dari rupa dan juga membelakangkan kepentingan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan telah ‘mencedok’ idea MEB daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, PR telah mengenal pasti beberapa kandungan utama dalam MEB yang mempunyai persamaan dengan AEM.

Antaranya ialah keperluan mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan dan tumpuan memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, kerajaan sepatutnya membentangkan dasar tersebut di Parlimen terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ia diumumkan kepada rakyat.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak serius dengan kedudukan Parlimen dan pengasingan kuasa,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, MEB yang dibentangkan kerajaan kelmarin, menunjukkan bahawa kepimpinan semasa kembali kepada dasar yang pernah diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“MEB itu juga menjadi imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan dilaksanakan Tun Dr Mahathir.

“Di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MEB yang sememangnya dinanti-nantikan yang akan mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 (RM48,910) menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 (RM22,824) sekarang ini.SH

Read more ...

Wednesday, March 31, 2010

Syabab Race


PARIT , 31 Mac : Buat julung-julung kalinya, Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit telah menganjurkan program yang bermotifkan seperti explorace namun diberi nafas baru iaitu Syabab Race.

Syabab yang bermaksud Pemuda melambangkan jati diri para peserta yang gagah dan perkasa. Kegagahan para pemuda diserlahkan lagi dengan kesepakatan untuk memakai berbaju hijau bersimbolkan ikon rakyat, Datuk Seri Ir. Haji Nizar Jamaludin pada program yang berlangsung di Parit pada hari Ahad lalu.


Plan perjalanan program Syabab Race


Antara peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan Syabab Race.

Saudara Al-Hakimi As-Syah Alami selaku pengarah membuat ucapan alu-aluan.


Program yang direncana dengan penuh keunikan ini berjaya menghimpunkan hampir seratus orang anak muda termasuk para petugas. Keunikan program Syabab Race jelas terserlah apabila peserta yang dibahagikan kepada 3 orang satu kumpulan dikehendaki menyiapkan tugasan yang memberikan 'milage politic' kepada PAS dalam mengejar status johan pertandingan.

Tetap tersenyum riang walaupun disimbah dengan bahang mentari yang panas



Kepuasan dapat membersihkan kubur dalam salah satu 'checkpoint'


Program ini telah bermula di Dewan Darul Mubarak, Parit hinggalah ke Kampung Belanja Kiri dengan hanya berjalan kaki. Setiap kumpulan dikehendaki berjalan sejauh hampir 6km untuk menyiapkan tugasan seperti melukis pelan lokaliti, membersihkan kubur, membersihkan surau, mengemaskini mtd, menghias pasti dan memancing bendera pas.

Nikmat berjemaah jelas tergambar di wajah para pemuda ini semasa di 'check point' membersihkan masjid



Bukan sekadar ikan sahaja yang boleh dipancing, Bendera Pas pun turut boleh dipancing!



Peserta bergambar riang dengan 'hasil tangkapan'. Waah.. berapa kilo tu bang? :)



Alhamdulillah. Pasangan suami isteri ini mengisi borang PAS pada hari ini. Tidak sia-sia datang melancong ke Parit.


Keunikan pertandingan ini jelas terserlah apabila peserta dikehendaki untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 3 pengundi baru dan 2 orang ahli pas baru bagi setiap kumpulan. Alhamdulillah, dalam masa lebih kurang 2 jam sahaja, hampir30 pengundi baru berjaya didaftarkan dan berpuluh-puluh lagi orang ramai di pekan Parit mendaftar sebagai ahli PAS.


Keghairahan untuk bertanding dan merebut kejohanan yang menawarkan RM150 bagi tempat pertama sama sekali tidak menyebabkan para pemuda PAS melupakan kebajikan masyarakat. Buktinya, di 'chekcpoint' yang terakhir, para peserta diminta untuk menanam pokok buah-buahan seperti rambutan, mangga, langsat dan banyak lagi di beberapa rumah yang terpilih. Bukan itu sahaja, galakan markah bonus menyamarakkan lagi semangat peserta melakukan aktiviti tambahan dengan mengemas dan membersihkan persekitaran rumah yang rata-ratanya terdiri dari orang susah dan memerlukan bantuan.


Ketua Pemuda , Ust Zaidan sendiri turun padang menjadi peserta program.


Pengarah program, Saudara Al-Hakimi As-Syah Alami menyebut bahawa program-program yang dianjurkan seperti inilah yang dinanti dan ditunggu oleh masyarakat. Walaupun penyertaannya terdiri dari Pemuda Pas Kawasan Parit, namun impak program tersebut amat dirasai oleh masyarakat setempat. Beliau menyifatkan program ini membuktikan bahawa PAS adalah milik semua dan bersifat inklusif dan bukannya ekskusif. Beliau juga menyentuh bahawa rata-rata masyarakat yang ditemui oleh pemuda PAS semasa pertandingan melahirkan rasa kekaguman atas kesantunan dan budi bahasa pemuda PAS.

Ust Zaidan , KP Kawasan Parit bersama Pengarah Program, Saudara Al-Hakimi As-Syah Alami


Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit, Ustaz Zaidan Abd Ghani juga mengambil kesempatan memuji kegigihan para pemuda Pas meredah keperitan panas mentari sambil bibir terus memapar senyuman ikhlas kepada masyarakat. Beliau menyifatkan para pemuda Pas berjaya membawa dengan baik moto pemuda iaitu "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang".

Jentera Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit yang merealisasikan Duta Penyelamat dan Kasih Sayang



Program yang bermula jam 8 pagi itu berakhir pada jam 2 petang dengan jamuan tengahari yang ditaja oleh mantan Calon Dun Belanja, Ustaz Mohd Ismi Mohd Taib merangkap Timbalan YDP Kawasan Parit. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit yang proaktif dalam menarik minat anak muda untuk menyokong PAS.Dpppk

Read more ...

Terus aktif beri khidmat kebajikan

https://mail.google.com/mail/?ui=2&ik=351fe2e96b&view=att&th=127aa7a6482bcd75&attid=0.1&disp=inline&realattid=f_g7df1nfj0&zw

PARIT BUNTAR, 31 Mac : PAS Cawangan Simpang Empat Kampung Kedah akan terus aktif memberikan khidmat kebajikan kepada masyarakat setempat tanpa mengira fahaman politik. Demikian kenyataan Ketua PAS Cawangan Simpang Empat Kampung Kedah Haji Muhamad Yaakob

“ Walaupun bergerak di peringkat cawangan , PAS Cawangan ini tetap berusaha mencari mencari dana kebajikan untuk diberikan kepada warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“ Setiap kali PAS Cawangan ini mengadakan program, akan diselitkan penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan” katanya ketika ditemui semasa mesyuarat agung PAS Cawangan berkenaan.

Muhammad berkata, sumbangan yang diberi bergantung kepada dana kebajikan yang diperolehi PAS Cawangan berkenaan.

“ Kadang-kadang sumbangan yang diterima besar, kadang-kadang kecil tetapi PAS Cawangan tidak berputus asa untuk membantu warga emas , ibu tunggal dan anak yatim.

“ Pada mesyuarat agung PAS Cawangan hari ini, seramai 32 orang warga emas dan ibu tunggal telah menerima sumbangan dan diraikan “ katanya

Menurut Muhamad, Yang Dipertua PAS Parit Buntar Haji Harun Hashim telah menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan

Mesyuarat agung PAS Cawangan Simpang Empat Kampung Kedah telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa dan dihadiriseramai 72 orang ahli PAS Cawangan.

Read more ...

Pemuda kena tingkatkan ilmu dan kemahiran














LUMUT, 31 Mac : Bagi mendepani cabaran dan iklim politik yang lebih hebat di masa akan datang setiap anggota pemuda dinasihatkan untuk mempertingkatkan ilmu dan juga pelbagai bidang kemahiran.Ilmu yang dimaksudkan seperti ilmu komunikasi,bahasa dan juga ict.Yang dimaksudkan dengan mahir pula ialah mahir memimpin.Justeru para pemuda diseru supaya mamahirkan diri dan mendalami ilmu kepimpinan.Inilah antara beberapa perkara yang dipertegaskan oleh Sdr. Salman Salleh,Naib Ketua Dppn Perak.

Ini penting untuk membina jati diri kepemudaan jelas Salman ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut pada pagi kelmarin.

Selain itu beliau turut memperingatkan para pemuda bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi cabaran lebih besar pada pilihanraya ke-13 akan datang.Oleh itu beliau menekankan agar setiap jentera pemuda memberi tumpuan yang lebih terhadap gerak kerja dan bidang tugas yang digalas.Walaupun populasi dan suasana semasa pengundi diseluruh negara sebenarnya positif dan berpihak kepada Pakatan,ini tidak bermakna Pakatan boleh mencapai kemenangan dengan mudah.

Dalam hal ini beliau menyarankan agar jentera pemuda memberi tumpuan kepada usaha mendaftar pemilih baru dari kalangan pengundi muda yang sudah cukup umur dari kalangan Cina,India dan juga Melayu.Pemuda khususnya pemuda Lumut mesti bekerjasama membantu Pas kawasan dalam usaha kearah ini.

Untuk tujuan itu,katanya lagi pihak Dppn sedang merancang untuk mengadakan program pendaftaran secara besar-besaran di setiap Dun dan akan dilancarkan dalam masa yang terdekat ini.

Beliau juga turut mengingatkan agar anggota pemuda disetiap peringkat agar memahami misi dan visi parti.Justeru penting katanya bahawa misi dan visi parti itu dirangka selaras dengan apa yang diajar Rasulullah s.a.w demi mencapai keredaan Allah s.wt.DPPPerak

Read more ...

RM 52 bilion saham bumiputera hilang: Umno/Bn pengkhianat?











Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal di atas pengkhianatan kerajaan Umno/BN yang dengan kehilangan RM52 bilion saham bumiputera. Siasatan menyeluruh mesti dibuat ke mana lesapnya nilai saham yang begitu banyak yang diperuntukan kepada Bumiputera. Siapakah dalang yang mengkhianat hak Bumiputera perlu disisasat. Menteri yang bertanggungjawab mesti disiasat dan meletak jawatan.

PAS yakin dengan peruntukan wang sebanyak itu, pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin Umno/BN maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.

Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat yang ,miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian menunjukan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan melalui projek mee segera yang diberikan setiap kali pilihanraya

Pas menyedari bahawa kemiskinan yang dirancang supaya ia menjadikan modal dan halwa manisan untuk orang-orang Melayu/Bumiputera akan terus menyokong Umno/BN dalam setiap kali pilihanraya. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian, menunjukkan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan terutama janji yang ditaburkan setiap kali pilihanraya.

Umno/BN akan mencanang bahawa Melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada orang bukan Melayu. Mereka mendakwa kalau orang Melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan Umno/BN kerana Umno sahaja parti yang menjaga ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan Melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang Melayu di negara ini.

PAS berpendapat buatlah apa dasar sekalipun jika tidak membuang sifat pembaziran, rasuah dan ketirisan dan salah urus, maka dasar Model Ekonomi Baru (MEB) juga akan mengulangi kegagalan DEB sebelumnya, kerana pelakon yang sama membawa watak yang sama.

Ust Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read more ...

Penyertaan Ahli Umno dalam Perkasa bukti 1 Malaysia gimik politik










Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap kumpulan pelampau Melayu-Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1 Malaysia. Gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada Barisan Nasional, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

Sebelum ini, Kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakan semangat perkauman. Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhan pertubuhan. Malah Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan Akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak Kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1 Malaysia.

Pengakuan Ketua Pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman yang ekstrim dan melampau.

Kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan satu Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakan kebencian kepada kaum-kaum lain.

PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1 Malaysia. Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa.

Pas berharap agar rakyat menyedari perkara ini dan bersatu menolak pelampau perkauman ini. Pas menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau. Kaum bukan Melayu diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan Kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu. Kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Gagasan 1 Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman tidak wujud kerana merekalah yang sering menyemarakan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum dinegara ini.

Hatta di diakhirat juga nanti tidak ada orang Melayu, cina atau India yang masuk syurga. Tiada jaminan kerana yang masuk syurga hanya mereka yang berketurunan Adam dan Hawa sahaja. Semua manusia sama, yang membezakannya adalah ketaqwaan kepada Allah swt.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read more ...